Home Cerpen Cinta Seru Jodoh
Seru Jodoh
Diq Na
20/2/2020 00:29:19
3,193
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

            Baliklah, nanti sembelih ayam kampung buat rendang.

            Jangan lupa balik, boleh tengok Iman bersilat.

            Cubalah balik, Mak Long Peah rindu sangat.

            Balik ke tak? Putik kedondong belakang rumah banyak. Kalau Usu balik, mak nak buat jeruk.

            Kedondong! Okey, petang Jumaat habis kerja Usu balik. Nokhtah. Selepas berdolak-dalih dengan pelbagai alasan setiap kali menjawab panggilan dan membalas pesanan, cair juga hati yang beku bak ais. Bujukan penuh diplomasi si ibu berhasil. Anak bongsu kesayangan akan pulang.

            Kecur air liur. Irdina memang pantang bila dengar putik kedondong. Kalau ikutkan hati, semalam juga capai kunci kereta dan lari pulang. Semua jeruk, asam dan yang masam-masam dia suka. Boleh ‘naik hantu’ dan lupa dunia. Tidak terkecuali jus mangga yang sedang dinikmatinya ketika ini.

            Orang sekarang kalau kahwin mana ikut musim lagi. Dahulu menunggu cuti sekolah. Hari raya puasa pun jadi pilihan. Alasannya, mudah kaum kerabat berkumpul. Hujung tahun paling popular waima musim tengkujuh. Kadang-kadang sampai tiga ke empat majlis serentak.

            Yang sudah kahwin selamatlah. Yang bakal berkahwin alhamdulillah. Yang sedang menuju ke arah itu setidak-tidaknya ada jawapan. Yang masih solo, tercangak-cangak sendirian bak tunggul kayu, ke depan salah ke belakang pun serba-salah, kiri sesat kanan pun hilang arah macam Irdina memang letihlah. Bila lagi? Pada usia sekarang dia sudah mula ‘dibelasah’ soalan keramat menggegar bumi. Sebab itu bila sebut walimatulurus, dia pun jawab bila-bila saja walau bila pun masanya. Mudah.

            Lantaklah.Jeruk kedondong, aku balik!

            Irdina capai gelas. Sambil mata tidak lepas memandang hempasan ombak  di pesisir pantai Laut China Selatan, dia menghabiskan baki jus. Sedut-sedut, tiada air yang lalu ke tekak. Irdina pandang gelas. Rupa-rupanya sudah habis. Patutlah…

            Tiada pilihan lagi. Bingkas bangkit menuju ke kaunter bayaran.

            “Dah siap bayar. Ini resitnya.”

            Terpinga-pinga. Siapa yang bayar? Irdina ambil resit dari tangan Kak Eja, tuan punya Kafe Ombak. Tempat dia melepak, menghilangkan stres selepas waktu kerja. Tugasan di bank, akaun dan angka memang meminarkan.

            “Lelaki. Katanya kawan sekolah Irdina. Orang baru kat sini agaknya. Sebelum ni tak pernah nampak pun tapi dah tiga kali dia datang.”

             Tidak menunggu soalan, Kak Eja terus bagi jawapan. Tengok muka Irdina dia tahu apa yang bergejolak dalam kepala.

             “Nama?”

             “Entah .Akak ada tanya tapi dia kata rahsia. Orangnya kacak, berkumis, tinggi lampai, tegap dan berkulit cerah. Dia suruh akak sampaikan salamnya sekali. Duduk di meja hujung sana. Tak perasan ke?”

             “Tak perasanlah.”

             “Tak apalah Irdina. Balik nanti basuh otak. Ingat semula siapa kawan yang ada ciri-ciri fizikal macam akak sebut tadi. Kalau bujang lagi ada peluang. Irdina pun tengah mencari calon kan.”

             “Yalah tu. Entah-entah dia saja mengaku kawan sekolah. Dahlah namanya rahsia. Mesti ada udang di sebalik spageti macam masakan terlaris Kafe Ombak, spageti udang berarak lalu. Kena kuak udang baru dapat spagetinya.”

             Kak Eja ketawa besar. Dia periang dan mesra pelanggan. Penyebab utama Irdina kerap berkunjung ke situ.

             “Don’t worry. Kalau dia datang lagi akak risik-risik.”

             “Risik-risik aje. Jangan merisik. Bunyi sama, maksud lain. Oh ya, nasib tak terlupa. Saya berada di luar kawasan esok sampai Ahad. Nanti tertanya-tanya ke mana hilangnya wanita anggun ni.”

             “Kemana? Bercuti? Kursus? Pulau Tioman? Pulau Perhentian?”

             “Pulau Chekas.”

             “Pulau Chekas, tak pernah dengar pun. Kat mana?”

             “Kat kampung saya di Raub sanalah akak weh. Saya nak balik kampung esok. Moh ler kita.”

             “Raub yang jauh dari laut pun ada pulau ke?”

             “Ada. Alkisah bermula apabila arus sungai tersekat oleh bongkah batu besar di tengah-tengahnya. Maka terhasillah dua aliran air. Berlaku proses pemendapan tanah dan pasir di sekeliling batu. Terbentuklah daratan seakan pulau di situ. Lalu diletakkan nama tempat itu Pulau Chekas.

             “Ooo…”

 

             “Usu setujulah. Boleh tahan orangnya. Berkawan dulu pun tak apa. Kalau serasi, boleh langsungkan terus. Usu pun tak ada yang istimewa sekarang kan.” Lembut sekali rayuan ibu.

             Tepat jangkaannya. Pasti ada agenda rahsia apabila dia diumpan dengan pelbagai benda. Lali, bersedia dan terbiasa. Sudah acap kali. Mental dan fizikal tidak terdera lagi. Irdina selamba.

            “Abah tak kesah bila Usu nak kahwin. Yang abah kesahkan, takut tak kahwin sampai sudah.” Ayah di anjung mencelah, capai keropok lekor yang masih berasap.

            “Siapa jejaka bertuah tu?” Irdina mengaju soalan susulan kerana tidak mahu orang tuanya tersinggung.

            Dia tahu mereka tidak ambil pusing sangat soal jodoh. Berkahwin lewat dewasa ini perkara normal. Kakak sepupunya ada yang berkahwin pada usia 32 tahun. Midah yang sebaya juga belum kedengaran jodohnya. Berura-ura pun tiada. Namun ini soal tanggung jawab. Menyempurnakan pernikahan anak-anak juga sebahagian daripadanya. Kebimbangan tetap ada. Paling tidak mereka pasti akan mengusahakan sesuatu.

            “Nama pendek Amy, nama panjang kami lupa sebab memang panjang sungguh namanya. Nanti tanyalah mak long. Tua setahun daripada Usu. Budak tu macam Usu juga. Tanya pasal kahwin, senyap. Sebut aje calon, terus bisu,” sambung ibu.

            “Bagus budaknya. Hormat orang tua. Kerja hotel di Kuantan,” tambah ayah, menyedapkan cerita.

            “Dah tengok?” Irdina menyoal.

            “Tengok gambar dalam telefon mak long,” jawab ibu.

            “Keluarga dan calonnya pun dah tengok gambar Usu.” Ayah menokok kata.

            “Kalau Usu setuju, nanti mak long datang berbincang,” terang ibunya pula.

            Bunyi macam menarik. Kuat daya tarikannya sampai semua orang puji melambung. Tertarik hati pula Irdina untuk mengenali lelaki pilihan keluarganya itu. Untung-untung sangkut. Irdina pandang siling. Menggambarkan wajah si teruna dalam renungan imaginasinya sambil tangan menyuap jeruk kedondong.

            “Setuju ke tak? Hish budak ni. Tak habis-habis makan jeruknya. Hari malam ni nak oi. Sakit perut baru dia tahu.” Si ibu membebel.

            “Mak, esok buat lagi jeruk ya. Nak bagi kawan. Tauke kafe tempat Usu selalu lepak. Hantu jeruk kedondong juga tu. Nanti Usu boleh dapat seminggu diskaun bila makan kat situ.”

            “Lain yang kita tanya, lain yang dia jawab. Setuju ke tak?”

             Irdina jawab pertanyaan dan balas omelan ibunya dengan sengih.

 

            “Usu, bangunlah! Matahari dah tinggi ni. Orang bangun lewat, payah dapat rezeki. Jodoh pun lambat nanti,” pekikan ibu lantang memenuhi segenap ruang rumah.

            Serentak itu juga ayam jantan yang baru lepas dari reban berkokok sahut-sahutan. Menceriakan lagi suasana pagi di sebuah desa yang permai. Irdina yang masih bermalas-malasan di atas katil terus selak kain gebar. Nikmatnya beradu di desa.Tidak perlu pasang kipas atau penyaman udara.

            “Dah bangun ke belum? Mak dengan abah nak pergi dah ni.” Ibunya menjerit lagi.

            Pergi mana? Kebun getah upah orang untuk ditoreh. Ke dusun durian bukan musimnya.Takkan pergi menebas. Selalunya kerja-kerja pembersihan kebun juga guna khidmat orang lain.

            Mata Irdina terus cekang. Dia tahu ke mana hala tuju mereka. Spontan raba perut. Lapar. Bergegas berkejar ke jendela.

            “Beli nasi lemak Cik Yon dan bingka ubi Wan Munah ya,” pesan Irdina, terjengul di muka jendela.

            “Ewah! Tengoklah anak zaman sekarang abahnya. Main order dari tingkap nak makan apa,” rungut ibu memanjang lagi.

            “Dah beli. Ada bawah tudung saji. Lepas subuh tadi abah terus ke Warung Tok Mat. Takut habis makanan kesukaan kamu tu. Pandai-pandailah cari,” jawab abah sambil hidup enjin motor.

            Irdina senyum simpul. Setiap kali pulang, itulah yang dia cari. Usai solat subuh tadi dia sambung tidur semula. Mana sedar ayahnya keluar. Perut semakin berkeroncong. Tidak sabar untuk menikmati sarapan kegemaran.

           “Dah tu mak dengan abah nak ke mana?” Dia tanya sebab mereka nampak macam tergesa-gesa.

           “Laaa…ke tempat orang kendurilah. Gotong-royong masak lauk. Kamu tu jangan lupa datang. Pakaian elok-elok sikit. Ini kampung. Bersolek berpada-pada. Jangan merah menyala sangat.”

           “Hari ni kenduri rumah siapa mak? Pak Mail ke Pak Akob? Lupa dah.”

           “Hari ni rumah Pak Akob. Esok baru kenduri Pak Mail.”

           Irdina usap dagu. Cuba ingat yang mana satu Pak Akob.

           “Sudahlah maknya. Pakai lekas topi keledar. Lagi banyak kita jawab soalan, lagi berderet dia tanya. Tak bergerak ke mana nanti.”

           “Saya takut dia sesat bang. Rosaklah projek kita nanti.”

           “Tak da maknanya nak sesat. Bukalah telefon tu, GPS ada. Jangan kata Kampung Durian Tunggal, kandang kambing Muthu tepi hutan pun boleh jumpa.”

           Ibu tidak banyak soal lagi. Terus membonceng motosikal kapcai ayah lalu bergerak meninggalkan halaman. Ditinggalkan Irdina yang masih lagi terconggok di muka jendela, terus mencongak siapa Pak Akob.

           “Rumahnya di mana?”

           Irdina bertanya lagi namun senyap tanpa jawapan. Dia pandang halaman. Kosong. Hanya tinggal asap dan baunya sahaja. Nun di simpang jalan besar, motosikal yang ditunggangi mereka membelok ke kiri kian menjauh.

           Dia garu kepala pula. Tak mengapalah. Nanti bila sudah selesai bersiap, dia telefon ayah. Irdina turun ke dapur. Perut lapar minta diisi. Walaupun di Kuantan boleh dapat dengan mudah nasi lemak daun pisang dan bingka ubi namun rasanya tidak sesedap air tangan orang kampung.

           Sebaik menjenguk dapur, dia terlihat Belang sedang mengumpil tudung saji yang ditindih dengan lesung batu. Amboi… bukan main lagi. Besar sungguh hajat Belang. Seberat-berat lesung batu, ada hati hendak menyelongkar segala isi perut di bawahnya. Anak kucing berbelang-belang oren yang kini sudah jadi bapak kucing, tidak diketahui asal usul tetapi tiba-tiba terjengul semakin menunjukkan belangnya.

           Irdina sergah. Belang mengiau, terkutik-kutik ekornya. Dia tepuk meja. Kucing jantan itu terus terjun, lari ketakutan. Nampaknya dia kena beli juga almari lauk. Sudah banyak kali ibu mengadu perihal kenakalan Belang.

           Sesudah perut kenyang, Irdina gosok pakaian. Baju kurung biru bersama hijab warna sedondon jadi pilihan. Telefon bimbit berbunyi. Ayah hantar pesanan ringkas.Tercatat gambaran simpang, lokasi rumah dan temanya sekali. Mereka bimbang dia tersesat. Nasib baik. Dia baru nak tanya.

           Jam 12 tengah hari dia keluar. Tidak susah pun mencari rumah pengantin. Ada bunga manggar di simpang masuk. Dia yang terlebih risau. Orang kampung berduyun-duyun berpakaian cantik. Irdina cuma ikut sahaja.

            Entah mengapa dia rasa berdeburan. Jalan ke rumah pengantin ini seakan pernah dilaluinya. Ingatan memutarbalikkan satu memori. Kalau tidak silap, di penghujung jalan ini pernah terjadi satu peristiwa. Dia cuba ingat tetapi tetap lupa. Peristiwa apa ya?  

            Akhirnya dia tiba ke destinasi. Tetamu sudah ramai. Kugiran gegak-gempita mengalunkan ritma kenangan rock kapak era 90-an. Budak-budak main kompang sudah sedia. Iman anak saudaranya juga kelihatan sabar menanti. Dia seakan menuju ke lohong masa, kembali ke satu hari kira-kira sebelas tahun lampau.

            Ya, inilah rumah si dia yang kutinggalkan. Pada satu majlis perkahwinan, aku nekad kerana tidak mahu ada sebarang hubungan serius lagi. Komitmenku ketika itu hanyalah pelajaran. Walhal dia baru sahaja meluahkan perasaan. Menceritakan tentang impian dan hasratnya.

            Bukan masanya untuk bercinta. Aku pelajar IPTA. Dia bakal menduduki STPM. Masih mentah. Perjalanan hidup masih jauh. Kita putus!

            Harapan kecewa. Punah. Tega sungguh aku. Tiada ruang tertutup peluang. Tolong faham, aku mahu menggapai cita-cita dahulu. Mohd Arif Hakimi bin Yaakob. Nama timangannya Amy. Baru aku ingat. Kahwin juga akhirnya.

            Hati dihimpit sayu. Bukan sedih si dia sudah menjadi milik orang tetapi mengenangkan diri sendiri yang masih keseorangan. Si dia yang kutinggalkan sudah naik pelamin sedangkan aku yang meninggalkannya, pelamin entah di mana lagi.

            Terdengar cermin kereta diketuk orang. Irdina yang larut dalam lamunan sedar kembali dan terus pandang kanan.

            Dia keluar dari kereta. Mendakap rakan sekolah merangkap teman kamceng tetapi sayang sudah lama terputus hubungan.

            “Nurul Syafika, lama tak jumpa!”

            “Rindunya.”

            “Seorang saja?”

            “Berlima.Tiga orang ‘pahlawan’ kecil campur seorang pahlawan negara.”

            Kali terakhir mereka bertemu, majlis perkahwinan Nurul Syafika. Oleh kerana suaminya anggota tentera, maka merantaulah satu Malaysia. Masing-masing bawa haluan sendiri.

            “Masih sendiri? Tunggu Hakimi ke?”

            “Apa disebut hak orang. Meriah kendurinya ni.”

            “Bukan dia yang kahwin tapi abangnya.”

            “Ya ke. Kan abangnya dah kahwin. Aku tumpang kereta abah kau pergi majlis tu.”

            “Lepas tu kau menangis sampai mak abah aku sesak. Kau bagi alasan sakit perut. Tapi sebenarnya sedih. Ingat tak? Jodoh pertama tak panjang. Mereka bercerai enam tahun lepas. Ini nikah kali kedua.”

            “Hakimi?”

            “Bujang lagi. Kerja hotel. Baru tukar ke cawangan di Kuantan. Naik pangkat. Jomlah makan. Boleh sambung borak.”

            “Kau pergilah dulu. Kasihan anak-anak tu lapar. Aku nak ambil gambar Iman bersilat.”

            Nurul Syafika akur. Irdina sengaja beralasan begitu. Dia takut terserempak dengan Hakimi. Masih belum bersedia. Namun pandangan tetap meliar. Tercari-cari. Manalah tahu ternampak. Selepas sebelas tahun, bagaimana rupa Hakimi agaknya?

            “Ingatkan tak sudi datang.”

            Ada suara menyapa. Irdina toleh kanan. Orangnya kacak, berkumis, tegap, tinggi lampai dan berkulit cerah. Teringat kata-kata Kak Eja dan profil calon menantu pilihan keluarga. Digaul pula kisah sahabatnya sekejap tadi. Dia susun atur satu-persatu. Adakah Hakimi, jodoh yang memanggilnya pulang?

            Irdina tengok keliling, orang kampung pandang-pandang. Terlihat ibu bapa pengantin, jeling-jeling.Terarah kepada orang tuanya, senyum simpul. Mata mencari Nurul Syafika, spontan rakannya menunjukkan isyarat bagus.

            “Pengantin dah sampai!”

            Kompang dipalu, tingkah-bertingkah. Menyambut kehadiran mempelai. Irdina kerling orang di sebelah. Dia pun sama. Mata saling bertautan. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.