Home Cerpen Seram/Misteri UFO Serang Kampung Kita!
UFO Serang Kampung Kita!
Diq Na
22/9/2020 10:14:55
3,502
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Tepung beras cap mangga. Tepung lain, cap zirafah ke, cap cendawan ke, toksah beli. Tak cantik kuihnya. Pastu perati bebetul. Mangga kembor dua. Kalau sebijik hok tiruan. Paham dak ni.”

            “Paham.”

            “Deras kit. Pak Atan tutup kedai lepas isyak. Karang tak dan pulok.”

            Faiz capai kunci motosikal. Sementara kertas senarai barang diselitkan ke dalam poket baju melayu. Walaupun cuma tiga barang tetapi emak tetap tulis apa yang hendak dibeli kerana bimbang dia terlupa.

            Faiz membuka pintu dapur. Hawa malam yang hangat terus menerjah tubuh biarpun mentari sudah lama terbenam. Cuaca panas kering bulan Jun menduga emosi. Kalau ikutkan hati memang malas hendak keluar ke mana-mana. Jangankan ke pekan, berjalan dua tiga langkah di sekitar rumah pun bercinta. Hatta di dalam rumah sekalipun. Bergerak sedikit badan naik panas.

            Apa nak dikata. Sekampit tepung beras, gula  dan gula merah yang abah beli habis dirembat kera pulang petang. Berbedak tepung rumput di belakang rumah angkara si tangan panjang yang semakin bermaharajalela di kampung.

            Abah rabun malam. Akhir-akhir ini rabunnya semakin menjadi-jadi. Dia tidak berani lagi keluar malam. Ke masjid pun menumpang kereta Utih Yob jiran sebelah. Kalau Utih Yob tak pergi, tak pergilah dia.

            Tak mengapalah. Besar pahalanya berbakti kepada orang tua biarpun sumbangan tidak seberapa. Lagipun lompat tikam memang kuih kegemaran. Kuih emak bukan biasa-biasa. Resepi warisan arwah wan. Faiz segera menghidupkan enjin motosikal dan terus bergerak.

            Tiba di simpang rumah, Faiz berhenti. Hati berbelah bagi. Kiri atau kanan? Kalau sebelah kanan dia akan menempuh rumah orang di sepanjang perjalanan. Masalahnya jalan itu jauh.

            Jika sebelah kiri, Faiz akan melalui kebun kelapa arwah datuk. Kemudian kebun sawit Pak Cu Khalid bapa saudaranya. Tembus ke jalan besar terus masuk simpang pekan. Memanglah jalan itu dekat tetapi menyeramkan. Sudahlah menyeramkan, lengang pula. Lebih-lebih lagi bagi orang yang tidak gemar keluar malam sepertinya, memang memikir banyak kali.

            Faiz memandang langit. Malam baru bermula. Suasana sekeliling juga tidaklah terlalu gelap walau hanya bulan sabit yang menempel di kanvas kelam malam.

            Ikut jalan dekatlah. Cepat pergi, cepat balik.

            Faiz membelok ke kiri dan menyambung perjalanan. Tidak semena-mena muncul benda bulat, melantun-lantun di atas jalan. Bukan satu tetapi tiga berturut-turut. Dia terus mengelak. Motosikal tersasar ke dalam semak. Dia jatuh terguling. Mujurlah tiada kecederaan serius. Cuma lutut terasa sengal.

            Faiz meraba telefon bimbit lalu menyalakan lampu suluh. Dia menyuluh ke kawasan sekitar. Beberapa biji kelapa tua berselerakan di tepi dan di atas jalan. Rupa-rupanya setandan kelapa yang gugur. Dia mengurut dada. Lega. Ingatkan anak pocong kembar tiga yang bermain kejar-kejar. Berderau juga dibuatnya.

            Faiz cuba bangun. Kali ini pinggangnya pula terasa sakit. Dia duduk semula. Beberapa saat kemudian mencuba lagi. Perlahan-lahan. Syukur, pinggangnya tidak apa-apa. Dia berdiri tegak sambil menarik nafas dalam-dalam. Kepala mendongak memerhati bintang-bintang di celahan pelepah kelapa.

            Mata Faiz menangkap cahaya berkelip-kelip menuju ke kebun kelapa arwah datuk. Semakin dekat cahayanya semakin terang berwarna kuning, biru dan merah. Cahaya itu berlegaran di sekitar kebun kelapa. Sekejap turun, sekejap naik. Ada ketika menjauh dan datang semula.

            Faiz segera berselindung di sebalik sebatang pohon kelapa. Dari pohon ke pohon dia cuba mendekati cahaya misteri tersebut. Kemudian dia mengambil gambar serta merakam apa yang dilihatnya. Tiba-tiba, cahaya itu menjunam ke bawah lalu menghilang. Dia menjerit kerana terperanjat.

            Faiz bergegas ke motosikal. Dia menunggang laju meninggalkan kebun kelapa. Sesampai di pasar mini Pak Atan dia menuju ke rak barang dapur. Tangan mencapai kampit tepung cap mangga, gula dan gula merah. Selesai membayar, dia terus pulang tetapi kali ini memilih jalan jauh kerana bimbang terserempak dengan cahaya tadi.

            Sebaik tiba di rumah, Faiz letak barang-barang yang dibelinya di atas meja. Dia berkejar ke ruang tamu untuk melihat kembali foto dan rakaman yang diambil. Memang sah UFO!

            Berita panas itu perlu disebarkan segera supaya orang kampung berjaga-jaga. Faiz mengambil keputusan untuk memuat naik foto dan rakaman di media sosial.

            “Faiz, deras turun bawoh!”

            Kerja-kerja memuat naik diganggu oleh suara lantang emak. Faiz tertanya-tanya mengapa.

            “Amendanya mak?”

            “Turunlah…”

            Suara emak yang sedikit keras membuatkan dia menangguhkan dahulu kerjanya. Dalam kepala terus mencongak-congak. Barang salah beli? Takkanlah. Memang betul kampit tepung cap mangga yang dia ambil tadi. Ada yang tercicir beli? Mustahil. Bukan banyak pun.Cukup sangatlah tiga barang yang dia letak di kaunter bayaran. Kertas senarai disemak dua kali lagi.

            Berdiri di ambang pintu dapur, Faiz lihat emaknya mencuka di tepi meja makan. Sementara barang-barang yang dibeli tadi berlonggokan di luar plastik.

            “Tepung menda awok beli ni…”

            “Tepung cap mangga yang mak naklah. Betul kan. Dari sini Faiz nampok dua bijik mangga kat plastik tepung tu.”

            “Memanglah tepung cap mangga. Keknya tepung pulut bukannya tepung beras. Taknya ada orang buat lompat tikam guna tepung pulut weh. Tak mboh melompatlah kuih tu nanti.”

            Faiz tidak percaya. Dia menuju kemeja makan.

            Tepung Pulut Cap Mangga Pilihan Suri Rumah Mithali. Berbaloi-baloi.

            “Saloh ambiklah ni. Nok cepat ngat tadi. Dah tu…”

            “Keluorlah balik.”

            “Tepung pulut ni camna? Bawok sekali, tukor dengan tepung beras?”

            “Jangan buat kerja babir pulok. Beli suku lain. Tepung pulut tu bior aje. Taulah mak nok buat mendanya nanti. Deras pegi. Dan lagi ni. Hari baru isyak.”

            Dalam hati Faiz menyumpah-nyumpah cahayaUFO yang dilihatnya tadi.


            UFO Kampung Bantal?

            Begitulah kapsyen berserta foto dan rakaman yang dimuatkan di Facebook. Status Faiz terus tular. Menjelang pagi mendapat ribuan like dan ratusan share. Peti masuk media sosial dipenuhi pertanyaan baik daripada orang perseorangan, pihak media mahupun kumpulan paranormal.

            Kemunculan UFO turut meledak di grup WhatsApp Kampung Bantal. Sesudah subuh seisi kampung gempar. Di warung Esah Janda dan kedai runcit Pak Asri, semua bercerita tentang UFO. Faiz dihujani panggilan telefon daripada orang kampung, bertanyakan kesahihan berita itu.

            Di pangkin bawah pokok rambutan tepi laman, Zaidi dan Armin, rodong secawan sepinggan Faiz semenjak sekolah rendah juga kecoh berbual tentang UFO. Tidak cukup berkomunikasi di telefon sepanjang malam, terang sahaja tanah kedua-duanya sudah tercongok di pangkin menghadap kebun kelapa.

            “Agok-agok dame, makhluk asing tu nok menda yek?” tanya abah Faiz yang turut serta dalam perbincangan.

            “Nok mengkaji buoh nyor gamoknya. Kot-kot nyor boleh jadi sumber tenaga.” Zaidi menjawab penuh yakin.

            “Tak pun buoh nyor sebenornya sumber tenaga yang dah lama pupus di planet tempat tinggal makhluk asing. Sebab tu datang bumi. Sikit lagi abihlah semua nyor kat Malaysia ni. Kena rampas belaka.” Armin pula mencelah.

            “Dame ni. Dah macam cerita kartun pulok. Kalau dalam filem mat saleh bolehlah pakai. Teknologi makhluk asing tu lagi canggih daripada kita. Tak mainlah buoh nyor,” komen abah.

            “Logik gak bah. Kita bukan tau berapa banyok makhluk asing seluruh galaksi ni. Negara barat pun tak abis lagi mengkaji angkasa lepas. Acer bayangkan makhluk asing dok perang, rampas kuasa, beramuk sama macam kita. Entoh-entoh berebut sumber tenaga bagai. Sebab tu kena cari stok baru. Dan buoh nyor, buoh nyorlah. Janji ada.” Faiz menokok.

            “Rabanlah kita weh. Sekali ni nyor. Esok lusa entoh kelapa sawit. Tulat tubin tak tau menda pulok. Cari akal abahnya. Kita tak berjelobir banyok macam orang lain. Kebun kelapa pusaka tulah reta yang ada. Mana boleh makhluk asing tu nok ambik gitu aje.” Emak terus menyampuk diskusi.

            “Aok nok kas buat menda? Tunggu makhluk asing tu. Pastu perambat dengan puntung kayu. Dannya tembak ke kas ni dengan laser, jangan kata badan, sebatang gigi pun aok tak jumpa dah. Pohpaleh. Percaya ngatlah cerita pedaoh bebudok ni.” Abah menyambung.

            Sambil-sambil bersarapan lompat tikam perbualan terus rancak. Sesekali mereka diganggu oleh panggilan telefon. Faiz mengulangi skrip cerita yang sama entah ke berapa kali sejak dari malam tadi.

            “Kita pegi tengok nok,” cadang Faiz.

            “Setuju!” Zaidi dan Armin mengangkat tangan.

            “Kemainlah weh. Apa, ingat dame tu Ejen Mulder, Ejen Scully X-Files ke. Karang ada yang bertukor hijau meroh macam kuih lompat tikam. Bior lantaklah makhluk asing tu nok mengambik nyor. Ambiklah banyok mana pun. Nyawa yang penting,” larang abah.

            “Jangan mencari sakit. Kalau dame tak bertukor hijau, mak yang naik hijau macam Incredible Hulk. Mak ko hijo karang. Kalau berani pegilah, pegi.” Emak mengeluarkan amaran keras.

            Nun di jalan kampung, berhenti sebuah kereta. Seorang remaja lelaki berlarian masuk ke kebun kelapa. Dari pohon ke pohon dia meneliti, bagaikan mencari sesuatu. Tatkala tiba di sebatang pohon kelapa tinggi, dia berteriak tetapi buah butirnya kurang jelas. Kemudian dia kembali semula ke kereta.

            Beberapa ketika kemudian, kereta bergerak menuju ke rumah mereka. Sebaik berhenti di laman, Dollah Lonjong dari kampung sebelah keluar. Diikuti anak dan cucunya. Setelah memberi salam dan menolak pelawaan sarapan pagi, dia menyatakan tujuan kedatangan.

            “Kas nok mintak izin panjat nyor arwoh apak aok. Hok yang tengoh-tengoh tu,” kata Dollah Lonjong.

            “Aok nok nyor kutai ke? Nok buat kenduri? Kalau nok banyok kas boleh upah Sidi dengan Mat Dan beruknya tu,” jelas abah.

            “Yas, bukan nok nyor tapi mengambik dron. Main kat padang bola malam tadi, tetiba hilang kawalan. Lost signal, gitulah lebih kurang gelornya,” terang Dollah Lonjong.

            “Dron!” Kesemua yang duduk dipangkin bersuara hampir serentak.

            “Ha ah. Yang dok viral dalam Facebook, WhatsApp segala macam lagi tu dron Syafiq nilah bukannya UFO. Tersangkut celoh tandan nyor nu,”ulas Dollah Lonjong.

            “Kalau dah betul mainan cucu aok sangkut kat situ panjat ajelah, tak da hal.” Abah memberi kebenaran.

            “Sapa nok panjat bah?” Kamal, anak Dollah Lonjong memintas.

            “Sapa lagi, awoklah panjat. Ah ya, takkan abah pulok.” Tegas Dollah Lonjong

            “Tinggi tu...” Kamal ragu-ragu.

            “Masa daur Syafiq dulu, kena perambat dengan rotan, hok yang tinggi dari tu pun boleh ke awok. Dek senalor panjat pokok tinggilah, pangkat pun tinggi kat Putrajaya nu. Dah, moh deras.Tuan tanoh dah bagi izin,” arah Dollah Lonjong.

            Apabila Dollah Lonjong anak-beranak berlalu, si abah memandang tajam anak bujang dan teman-temannya.

            “Ha, dengor dak. Mainan Syafiq kesannya. Bukan UFO. Berita palsu ni. Tak pasal-pasal kena dakwa nanti, main-mainlah,” sindir abah.

            “Benda apa dron tu abahnya?” Emak ternyata masih kabur.

            “Entoh. Kalau RON  95, RON 97 tu kas taulah. Acer tanya bebudok ni. Pedaoh mat kalau tak tau. Memasing hebat-hebat belaka. Bercakap mengalahkan professor,” perli abah lagi.

            Ketiga-tiga teruna yang kanyor itu hanya tersengih macam kerang busuk.

            Sejam kemudian, kebun kelapa arwah datuk Faiz digemparkan pula dengan kehadiran sebuah jentera bomba. Dua jam selepas itu Kampung Bantal tular sekali lagi. Kali ini berita seorang ayah tersepit di pelepah kelapa gara-gara hendak mengambil dron anaknya yang tersangkut di celah tandan kelapa dan terpaksa diselamatkan oleh bomba. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.