Home Cerpen Seram/Misteri Ada Apa Dalam Tilammu?
Ada Apa Dalam Tilammu?
Diq Na
15/2/2022 04:48:18
3,287
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Sebuah tilam tebal saiz queen diusung masuk ke dalam rumah. Seorang wanita lewat 50-an tersenyum. Mata tidak lekang memandang dua orang pekerjanya memegang tilam itu penuh cermat.

            Setelah selesai, Zahrah mengarahkan mereka menanti di luar rumah. Ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada pembeli. Tilam itu bukan sebarangan. Sepadan dengan harga serta kualiti tilam gred A, penerangan tentang produk juga cara-cara penjagaan perlu diperincikan.

            Di dalam rumah, Ayuni mengusap tilam yang masih berpalut plastik. Seperti mana tukang jual, dia sebagai tukang beli, senyuman mekar mencecah telinga. Mudah-mudahan selesai masalah yang dihadapi lewat ini.

            “Seperti yang dijanji, pakej pembelian percuma selimut herba. Kalau beli selimut saja, harganya beratus juga.”

            Zahrah membetulkan duduk supaya lebih selesa. Dia segera menyerahkan selimut herba yang dipegang sejak dari awal ketibaan di banglo dua tingkat itu kepada anak tuan rumah. Kemudian tauke kedai perabot itu menjelaskan kandungan herba serta kebaikan menggunakannya. Selain katalog tilam herba, dia turut menghulur katalog barangan lain yang dijual di kedai.

            “Tilam ni paling laris sekarang. Asal sampai stok baru, tak dan lama terus licin. Yang Yuni punya stok kedua akhir. Saya dah order stok baru. Minggu depan sampai. Kak Simah dengan Abang Yudin tak teringin ke? Tilam apa pakai sekarang?” Zahrah cuba mengumpan kedua ibu bapa Ayuni.

            “Kami orang lama, setia dengan tilam kekabu,” jawab ayah Ayuni, tangan menekan tilam yang terbentang.

            “Rumah besar, hiasan dalaman moden tapi masih tidur dengan tilam kekabu ya. Tilam tu dah ketinggalan zaman bang oi. Saya pun otai juga. Umur lebih kurang dengan Kak Simah. Badan tua macam kita memang patut guna ni. Baik untuk kesihatan.” Zahrah mengumpan gula-gulalagi.

            “Selain selimut herba, tak ada tawaran istimewa lain ke? Kelmarin akak terdengar dalam radio. Tilam syarikat lainlah, bukan main hebat lagi pakejnya. Banyak barang percuma siap diskaun lagi.” Ibu Ayuni mula menunjukkan minat.

            “Mestilah ada. Kalau tolak tilam kekabu tu pada saya, diskaun 20 peratus percuma selimut herba. Nak pakej tilam herba dengan perabot lain contohnya katil atau almari, diskaun 30 peratus percuma selimut herba. Macam mana?” Kata-kata manis meluncur lagi.

            Ibu bapa Ayuni saling berpandangan. Mata seakan berbicara, mahu atau tidak dengan tawaran itu.

            “Misal kata kami nak gabungkan pakej pertama dengan pakej kedua, ada diskaun 50 peratus tak? Tilam baru dapat, perabot baru pun dapat. Lagi lena tidur gamaknya,” Ayah Ayuni cuba berunding.

            Zahrah terkerenyeh. Matanya menongkat siling. Hujung jari terkutik-kutik membuat perkiraan.

            “Kalau nak ambil dua pakej sekali, kita bincang lainlah di kedai. Bukan apa, saya kena buat kira-kiranya dulu. Yalah, adat orang berniaga, mana ada yang nak rugi kan. Tapi akak dengan abang jangan bimbang, diskaun tetap diskaun.” Zahrah menjawab disusuli senyuman kelat.

            Tauke perabot itu cepat-cepat meminta izin untuk beredar. Menurutnya ada dua buah tilam herba lagi yang perlu dihantar sebelum hari malam.

            Ayuni merebahkan tubuh di atas tilam sebaik palutan plastik dibuka. Memang selesa teramat sangat. Tidak keras dan tidak juga lembut. Alah membeli menang memakai. Berbaloi dengan harga. Hilang penat seharian bekerja kala berbaring di situ.

            “Betul ke boleh hilangkan masalah tidur? Macam sama aje dengan tilam-tilam yang lain tu.” kata ibu Ayuni yang sedang duduk di birai tilam.

            “Betullah mak. Cuba tengok. Bukan main empuk lagi. Bau pun wangi. Lebih kurang bau ramuan akar kayu arwah Wan Nursiah dulu-dulu. Nyenyaklah tidur malam ni.” Ayuni segera menjawab.    

            Hidung ibu Ayuni kembang kempis mencium bau herba yang terbit. Betul kata Ayuni. Memang sama macam aroma rebusan akar kayu warisan ibunya yang satu ketika dahulu menjadi rebutan ramai. Terkenal sampai ke Kuala Lumpur.

            “Belilah satu. Mak selalu merungut, bila bangun sakit tengkuklah, sakit pingganglah, sakit sendilah. Manalah tahu boleh hilang. Biar kita semua mimpi naik ke awan bak kata-kata dalam katalog tu.” Ayuni memberi cadangan.

            “Belum guna dah dakwa itu ini. Entah betul ke tidak. Orang nak melariskan barang, semua dia cakap bagus. Tengok dulu seminggu dua. Dah, lekas bersiap Yuni. Kita nak ke rumah Pak Long Zaini, ada sambutan hari jadi malam ni. Takkan makanan dah siap masak baru nak pergi. Kamu pun satu, dan-dan tulah sibuk membeli tilam.” Ayah Ayuni mengomel sambil menutup jendela.   

            Malam itu Ayuni mencuba tilam barunya. Dia sangat berharap masalah tidur yang dialami beberapa minggu ini berakhir. Minggu depan dia dan rakan-rakan hiker daripada kelab rekreasi daerahnya akan mendaki sebuah bukit di Selangor. Selain rehat, tidur juga harus mencukupi supaya stamina tidak terjejas.

            Gangguan tidurnya bermula selepas pulang dari Kelantan bulan lepas. Dia juga sering bermimpi dikejar makhluk berbulu yang tingginya dua kali ketinggian manusia biasa. Dalam mimpinya, dia berlari dan terus berlari menyelamatkan diri, meredah segala hutan belukar dan akhirnya terjatuh bergolek-golek ke dalam gaung. Apabila terjaga dia tidak dapat lelap sampai ke siang.

            Ayahnya meminta dia berubat. Manalah tahu kalau-kalau terkena buatan orang. Di tempat kerja, dia baru dinaikkan pangkat. Di kelab rekreasi pula, dia terpilih sebagai setiausaha. Bimbang ada yang berdengki. Bukan dengan orang lain sebaliknya bapa saudara sendiri. Cara pengubatan juga berlandaskan Islam.

            Namun dia menolak. Tegasnya hubungan dengan semua orang sangat baik. Dia berpendapat mungkin diri dibebani stres hingga mengganggu tidur. Orang baru naik pangkat. Kerja pun bertambah.

            Dalam pada sibuk-sibuk memikirkan masalah tidur, Ayuni terlena juga. Menjelang dinihari dia terjaga. Terasa ada pergerakan kecil di dalam tilam. Dia bingkas bangun dan memetik suis lampu.

            Tangan meraba tilam. Anehnya tiada pula pergerakan. Tidak setakat di kawasan dia tidur, serata permukaan turut diperiksa. Memang tiada yang bergerak. Ayuni fikir dia bermimpi. Kalau betul baguslah. Sekurang-kurangnya bukan mimpi ngeri. Dia memutuskan untuk menyambung tidur.

            Sebaik kepala menyentuh bantal, pergerakan di dalam tilam muncul semula. Kali ini lebih keras. Tubuhnya seolah-olah sedang diurut. Terasa nikmat pula. Mungkin inilah keistimewaan tilam herba yang disebut oleh penjual. Kena cuba dan alami sendiri baru tahu. Dia pun buat tidak endah dan akhirnya ketiduran semula.

            Sewaktu bersarapan, mulut Ayuni riuh bercerita tentang pengalaman pertamanya. Bukan main lagi dia memuji kehebatan tilam itu.

            “Macam kita duduk atas kerusi urut, begitulah lebih kurang. Baik abah dengan mak beli cepat.”

            Ayuni segera menghabiskan air kopi. Dia menjeling jam di lengan. Sudah lambat nampaknya. Gara-gara tidur lena, dia hampir kesiangan. Mujurlah tidak terbabas. Dia cepat-cepat keluar menuju ke kereta.

            “Kita belilah abahnya.”

            “Tak, sekarang ni masalahnya, benda apa yang menggerakkan tilam tu. Kalau kerusi urut yalah pakai kuasa karan. Kalau tilam herba?”

            “Kuasa herbalah. Awak pun…”

            “Merepeklah!”

            Ibu dan bapa Ayuni terus dibayangi tanda tanya sepanjang bersarapan.

 

            Malam kedua, Ayuni dikejutkan lagi dengan pergerakan di dalam tilam. Lebih kuat berbanding semalam. Diselangi juga goncangan yang hampir menyebabkan dia terlambung tetapi diabaikan sahaja. Mungkin itu juga sebahagian daripada kelebihannya. Dia terlena semula. Sedar-sedar, wajah kedinginan dibasahi air. Suara ayah dan ibu menyebut namanya bersilih ganti.

            “Dah pagi ke? Tak dengar pun loceng jam. Rosaklah agaknya. Kena beli jam baru ni. Duit lagi.” Ayuni menceceh, terpisat-pisat dengan mata separa terbuka.

            “Banyaklah kamu punya jam loceng!” Ibu Ayuni meninggikan suara, telapak tangan menampar pipi anak gadisnya yang basah disimbahi segelas air paip.

            “Bangun cepat Yuni oi. Kamu tahu tak kita dekat mana ni?” Ayah Ayuni menyoal dengan lantang.

            “Dalam biliklah.” Ayuni menjawab malas-malas.

            “Salah. Kita sekarang di tengah laman. Rasa ni, rumput kan,” balas ayah Ayuni, segera ditarik tangan si anak menyentuh rumput yang lembab dek embun.

            Mata Ayuni terus cekang. Pandangan melilau. Kelihatan bebayang pohon mangga dan kelapa yang disuluhi lampu dari dalam rumah. Dalam kepala meluru persoalan, apa sebenarnya yang telah terjadi?

            “Hebat sungguh tilam ni. Bergerak sampai keluar rumah. Tidur mati betul kamu ya. Tak sedar ke apa.” Si ibu menyambung omelan.

            “Kamu bangkit sekarang juga. Angkut tilam masuk dalam rumah cepat. Langit dah cerah. Kejap lagi dengan mak bapak, bebudak pergi sekolah, mana nak ke kebun, nak pergi kerja segala bagai lalu-lalang depan rumah. Kalau mereka nampak kamu tidur bertilam berselimut pasal tengah laman, kecoh sekampung. Raban Cik Yuni karang!” Si ayah memberi arahan.

            Apa lagi, tergocoh-gocohlah tiga beranak itu mengusung tilam herba yang boleh tahan juga beratnya. Sebaik masuk ke dalam rumah, lalulah dua buah motosikal diiringi suara berbual dan gelak ketawa. Mereka bertiga mengurut dada. Nasib baik sempat.

            Tatkala matahari terbit, bapa saudara Ayuni tiba. Ayah Ayuni yang meminta abang sulungnya itu datang dengan segera. Mereka mengesyaki tilam itu berpenunggu.

            “Sah, bukan salah tilam!”

            Bapa saudara Ayuni menepuk tilam dengan kuat. Bau herba automatik menjajah rongga hidung semua.

            “Tapi ada yang marahkan budak Yuni ni sebab mengambil sesuatu yang bukan hak dia. Baik kamu mengaku, apa bendanya. Kalau tak sampai bila-bilalah kau dan tilam merayap waktu tidur. Malam tadi dekat laman. Kira amaranlah tu. Esok lusa entah sampai ke Siam dihantarnya kamu.”

            “Ambil yang bukan hak? Mana ada. Saya tak kacau hak orang lain. Baik suami, tunang atau kekasih orang.”

            “Bukan oranglah. Mengikut renung firasat pak long, kamu ada terambil benda waktu naik bukit baru-baru ni. Apa sebutannya? Alah, yang orang muda sekarang tengah gila sangat, Busking kan.”

            “Bukan busking tapi hiking. Busking tu nyanyi-nyanyi.”

            “Apa-apalah. Janji ada bunyi king king belakang tu.”

            Ayuni terdiam. Kepala ligat memikir.Apa yang telah diambilnya ya?

            “Hah, jangan-jangan batu bulat besar kelingking yang kamu tunjukkan pada mak tu tak?” Ibu Ayuni menebak.

            “Batu? Hai budak ni, kan dah banyak kali abah pesan. Hiking, hiking juga. Jangan sampai mengganggu makhluk lain. Tak kiralah kamu dah pro sekalipun.” Si ayah terus menjegilkan biji mata.

            “Batu biasa-biasa aje. Cuma bentuknya bulat cantik, takkanlah.” Yuni cuba menafikan kesalahan.

            “Pada kamu batu biasa-biasa aje. Entah-entah batu permata dekat alam sana. Ambil lekas. Pak long nak tengok.” Bapa saudara Ayuni bertegas.

            Ayuni akur. Dia menuju ke akuarium di sudut rumah. Di situlah dia meletakkan dua biji batu yang ditemui secara tidak sengaja ketika menunduk untuk membetulkan tali kasut yang terburai. Tertarik dengan keunikannya, dia pun bawa pulang.

            “Sah, bukan tilam bukan batu tapi memang Yuni yang salah!”

            Bapa saudara Ayuni meminta agar batu itu dikembalikan ke tempat asal secepat mungkin. Menurutnya barang ‘keras’ dan mempunyai kuasa yang bukan berasal dari dunia mereka.

            “Jauh, Kelantan nun,” keluh Ayuni.

            “Lagi jauh kalau kau dan tilam ni merayap malam sampai ke Siam nun,” Peringatan bapa saudara Ayuni.

            Tiada pilihan lain, esoknya Ayuni menyambung cuti lagi. Dengan bantuan beberapa rakan kelab rekreasi, mereka bertolak ke Kelantan.

            Selepas dipulangkan, gangguan tidur Ayuni pun berakhir. Sebulan kemudian lori Zahrah menjengah halaman rumah lagi. Bukan setakat tilam herba, selimut herba dan katil baru, pakej pembelian termasuk juga karpet herba produk terbaru pengeluar yang dikatakan mampu membuang toksin-toksin di dalam badan kala duduk di atasnya. 

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.