Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 1)
Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 1)
nzamwhid
15/10/2018 00:03:53
2,065
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Kisah percintaan jalanan I

 

 

Petang tadi sementara menunggu kereta aku siap dicuci di kedai, teringat aku kisah pasangan gelandangan di sekitar Jalan Silang. Dia bekerja mencuci kereta untuk meneruskan kelangsungan hidup sambil menyimpan duit bagi majlis perkahwinannya. Lelaki itu sekitar usia awal 30an manakala pasangannya seawal usia 19 tahun. Banyak kisah menarik pasangan ini yang boleh kita jadikan teladan khususnya mak dan ayah yang ada anak remaja perempuan.

  

Aku mengenali pasangan itu setelah diberitahu oleh warga gelandangan lain kerana perempuan itu sedang hamil 6 atau 7 bulan, aku pun sudah lupa. Dia tidur di kaki lima tepi restoran mamak bersebelahan bangunan Suria. Waktu itu aku sedang sibuk menguruskan kes uncle Cina bernama Adam selaku  'jiran' tidur kepada pasangan ini. 

 

Nanti aku kongsikan kisah mereka. Inilah pertama kali aku berhadapan dengan kisah percintaan dan keberanian daripada si lelaki untuk meneruskan semuanya atas satu sebab; cinta.

 

 


PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Kisah percintaan jalanan II

 

 

"Assalamualaikum ustaz," dia menghulur tangan.

"Waalaikumussalam. Wei saya bukan ustaz lah!" Tersengih aku apabila dia memanggilku dengan gelaran ustaz. 

 

"Jangan panggil saya ustaz. Panggil saja Nizam. Nizam HUMANITY..."

"Saya tau ustaz ni ustaz Nizam dari Baitulmal. Ramai orang cakap ustaz Nizam suka bantu gelandangan ..." 

 

"Hahahahaha! Wei itu Nizam boss Baitulmal! Saya Nizam lain!" Mengekek kuat aku malam itu. Kebetulan pula nama aku sama dengan nama pengurus Baitulmal KL, makanya mereka ingat akulah ustaz Nizam pengurus Baitulmal itu. 

 

"Saya memang nak bernikah bang. Sekarang ni sedang cari duit. Saya ingat nak cari kerja dulu,” Dia memulakan cerita. Lebih senang untuk dipanggil dengan nama Jo, lelaki ini mendatangi aku untuk memohon bantuan tempat tinggal kerana pasangannya sedang sarat mengandung, 
menunggu hari.

 

Aku tekun mendengar, beri dia peluang berkongsi perancangannya dahulu. Perempuan muda, pasangan Jo itu pula hanya tunduk membatu. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. 

 

Remaja perempuan itu memang cantik. Berkulit putih dan air mukanya tenang. Sedap mata memandang. Nampak seperti remaja perempuan baik-baik saja. Entah apa malang yang menyebabkan dia terjebak dalam hidup sebegini, tidak aku tahu.

 

"Dulu saya kerja bang, tapi baru berhenti pasal bergaduh dengan kawan sekerja…"

"Gaduh ke dadah?" Laju aku potong ceritanya. Saja ingin melihat reaksi daripada dia.

"Eh tak bang! Sumpah saya tak ambik! Tu dulu," balasnya. Aku tahu dia menipu. Sebenarnya aku telah menyiasat latar belakang Jo sebelum berjumpa dengannya malam itu. Aku tahu dia juga terlibat dengan salah guna dadah. 

 

Alhamdulillah, waktu itu hampir semua mereka yang bergelandangan di sekitar Jalan Silang, cam dan tahu tentang aktiviti HUMANITY di situ.  Aku sendiri pun hampir setiap malam berjalan malam untuk bersama mereka. Jadinya mudah bagi aku mendapatkan info tentang gelandangan lain daripada mereka semua.

 

Ya, itu semua dahulu. Sekarang aku sudah menghentikan berjalan malam. Terlalu banyak pembaziran makanan berlaku. Aku hanya berjalan malam bila diberitahu oleh teman tentang mereka yang betul-betul memerlukan bantuan HUMANITY.

 

Jo bergelandangan sejak beberapa minggu lalu. Kehadiran dia bersama pasangannya seorang remaja perempuan yang sedang hamil membuatkan suasana komuniti gelandangan di kaki lima restoran mamak agak kecoh. Pekerja parkir kereta di kawasan itu turut menelefon aku agar turun melihat remaja perempuan yang sedang sarat hamil tersebut. Menurut laporan awal gelandangan lain, mereka simpati terhadap remaja itu. Puas dinasihati agar pasangan itu mencari bilik, namun mereka masih di kaki lima, Sungguh, mereka tidak tergamak melihat perempuan muda yang sedang sarat mengandung tidur bertilamkan lantai simen. Azabnya tidur berlantaikan simen telah sebati dengan mereka, apatah lagi jika mengandung.

 

Bayangkan, dengan perut yang besar, dia teresot-esot menyelesakan diri di atas kaki lima. Bantalnya hanyalah lengan tangan atau beg pakaian. Pernah sekali di tengah malam aku terlihat remaja perempuan itu sedang duduk mengosok pinggangnya sendiri. Jo dan komuniti gelandangan lain sedang nyenyak tidur. Teringat aku bila mana isteri aku selalu mengeluh lenguh pinggang sewaktu mengandung, sedangkan tidur atas tilam, ini kan pula dia di atas simen!

 

Remaja perempuan itu banyak menyimpan rahsia. Puas usaha aku lakukan untuk mengorek maklumat yang sahih, namun gagal. Mungkin kerana perbezaan jantina menyebabkan dia tidak selesa berkongsi. Waktu itu HUMANITY masih tidak mempunyai sukarelawan perempuan yang boleh dipanggil bila-bila masa untuk turun membantu.

 

Tiba-tiba aku teringat pada sekumpulan pelajar UKM yang aku kenali sewaktu mengikut aktiviti Feed The Homeless(FTH) bersama Kindness Malaysia dahulu. Aku menghubungi Aisyah lalu menceritakan sedikit pelan aku dan kisah pasangan gelandangan itu kepadanya. Syukur, Aisyah bersetuju untuk turut sama membantu. Kebetulan pula dia dan temannya memang mengambil kursus berkaitan kerja khidmat sosial ini. 

 

Malam itu, seperti yang dirancang, aku bersama mereka; Jo dan pasangannya. Kali ini kehadiran aku disertai oleh empat orang pelajar dari UKM. Sebelum ini aku sudah mendengar cerita daripada Jo. Dia memang berbakat dalam berbual. Mana-mana NGO atau individu sekiranya jarang bersama komuniti gelandangan, pasti tertipu dengan cerita sedih dari si Jo ini. Dia boleh bercerita sambil mengalirkan air mata. Dia boleh mereka-reka cerita untuk bermain dengan emosi. Belum lagi kefasihan bahasa Inggerisnya digunakan, pasti ramai sukarelawan lain akan menzahirkan simpati dan kekaguman.

 

Rancangan aku malam itu ialah pisahkan Jo dan pasangannya. Remaja perempuan itu dibawa ke McDonald's berhampiran bersama Aisyah dan temannya. Manakala Jo pula aku biarkan di restoran mamak bersama kawan lelaki Aisyah dan sahabat HUMANITY. Mereka ditugaskan untuk melayan Jo berbual,  sementara aku dan Aisyah mengorek rahsia dari pasangannya yang sarat hamil itu. Aku mula membandingkan cerita daripada Jo sebelum ini. Menurut  Jo, dia di pihak yang benar dan wajar diberi pujian. Dia pernah bercerita dengan aku kisah bagaimana hubungannya dengan 
pasangannya itu mula terjalin hinggalah remaja itu mengandung.

 

Ya, ternyata Jo tidak berbohong!

 

Allahu, apabila mendengar pengakuan daripada remaja perempuan itu, barulah kami semua jelas dan faham situasi sebenar. Strategi kami berjaya. Respek juga aku pada si Jo ini apabila terhurai cerita sebenar.  Tahu apa kisah mereka?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.