Terasa bagai mimpi apabila abangnya
yang keluar rumah untuk bertemu kawan-kawan pulang ke rumah dalam keadaan kaku
tidak bernyawa. Terasa bagai tidak percaya saat jenazah abangnya diusung ke
tanah perkuburan untuk dipulangkan ke tempat asal kejadian manusia. Malah,
hingga ke saat ini, dirinya masih tidak dapat meyakinkan diri bahawa
satu-satunya abang yang dia punya sudah pulang ke sisi Pencipta, meninggalkan
dirinya sendirian tanpa sesiapa untuk berkongsi duka.
Farah tidak tahu mahu memberi reaksi
apa ketika berita kemalangan yang menimpa abangnya sampai ke telinganya.
Mulanya, dia menyangkakan teman baik abang itu sekadar bercanda. Malah, dia
seribu kali lagi lebih rela jika benar teman abangnya itu hanya bercanda! Farah
ketawa perlahan dengan kepala yang digeleng-gelengkan tanda tidak percaya.
‘Abang Mir jangan tipu! Abang keluar
kejap je pergi jumpa kawan-kawan dia. Kenapa abang nak mati pulak?’
Azmir yang datang menyampaikan berita
kemalangan yang menimpa teman baiknya itu terkedu dengan reaksi adik Fiqri.
Gadis itu seakan-akan hilang arah.
‘Abang Mir bukan cakap Fiqri mati,
Farah. Abang Mir cakap, Fiqri kemalangan. Dekat simpang depan tu.’
Azmir menggaru-garu kepala yang tidak
gatal. Pening kepalanya mahu berhadapan dengan adik tunggal teman baiknya itu.
Lain yang dikatakan, lain pula yang difahami oleh gadis itu. Dia sendiri tidak
tahu seteruk mana keadaan Fiqri kerana dia sendiri tidak berkesempatan
menyaksikan ketika Fiqri diusung pergi. Namun, menurut kata teman lain yang berada
di tempat kejadian, keadaan Fiqri nampak parah.
‘Mana abang? Farah nak abang! Farah
nak abang!’
Farah tiba-tiba meraung tangis
membuatkan Azmir kaget di tempatnya berdiri. Ditelan liur kelat dengan reaksi
Farah yang tidak dijangka. Gadis yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri
itu ditatap penuh simpati.
‘Sabar, Farah. Mari, Abang Mir bawak
Farah pergi hospital. Kita pergi jumpa abang.’
Farah menghentikan tangisan. Dia seakan
lembu dicucuk hidung apabila hanya merelakan saat Azmir memakaikan tudung di
kepalanya dan mengekori lelaki itu ke keretanya. Kakinya seakan-akan tidak
jejak ke bumi dengan berita kemalangan yang mengejutkan itu.
Di hospital, teman lain yang sudah
sampai lebih awal menyapa Azmir dan Farah. Azmir pantas mendapatkan Kamal. Wajah
Kamal beriak duka. Daripada riak wajah Kamal itupun Azmir sudah curiga. Namun,
dibuang segala fikiran negatif dari mindanya.
‘Macam mana? Apa kata doktor?’
Kamal menggeleng kepala. Dibisikkan
berita duka ke telinga Azmir membuatkan lelaki itu terduduk di atas lantai.
Kamal panik seketika. Dibantu Azmir duduk di kerusi yang disediakan.
‘Azmir, woi! Kau kenapa? Istighfar,
Mir. Istughfar!’
‘Innalillahi wainna ilaihi rajiuun…’
Farah pula terus teresak-esak
menangis sambil memanggil-manggil nama abangnya membuatkan mata yang
menyaksikan basah dengan air mata.
Suara imam membacakan talqin
seakan-akan terngiang-ngiang di telinga Farah. Seperti juga pergaduhannya
dengan Fiqri masih terngiang-ngiang di telinganya hingga kini. Pertemuan
terakhir dengan abangnya berakhir dengan pergaduhan mulut dan abangnya pergi
meninggalkan rumah dalam keadaan marah. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan.
Kerana lancangnya mulut tatkala bersuara, hingga kini Farah terpaksa menanggung
rasa terkilan yang tidak berpenghujung.
‘Farah tak kira! Farah nak jugak
kerja dekat tempat Ilham kerja! Abang jangan halang Farah! Farah dah besar!’
Fiqri merenung tajam wajah Farah.
Hanya kerana Ilham, Farah kini sudah berani meninggikan suara kepadanya. Fiqri
menahan sabar. Adik perempuannya yang seorang itu masih mentah. Dipujuk hati
supaya bersabar. Seingatnya, kali ini sudah tiga kali dia dan Farah bertikam
lidah dengan keinginan Farah mahu bekerja sambilan di kedai serbaneka
berhampiran bengkel tempatnya bekerja.
‘Abang tak nak Farah kerja dekat
tempat tu sebab kat situ banyak mat motor, penagih dadah! Abang tak izinkan!
Farah boleh marah abang, tapi abang tetap takkan benarkan Farah kerja kat situ.
Tak kiralah part-time ke apa.’
Tegas suara Fiqri membuat keputusan.
Dia tidak peduli jika Farah mahu merajuk atau marah dengannya. Yang penting dia
tahu, keselamatan adik perempuannya lebih terjamin jika gadis itu tidak
berkongsi tempat kerja dengan Ilham.
‘Abang memang kejam! Kenapa abang tak
nak faham yang Farah cuma nak tolong abang cari duit?’
Fiqri mengeluh. Lagi-lagi alasan itu
yang dikemukakan oleh Farah. Dia sedar kerjanya sebagai mekanik tidak
menjanjikan hidup yang mewah, namun sehingga ke saat ini, mereka dua beradik
belum pernah lagi kelaparan sejak kematian orang tua mereka hampir lima tahun
yang lalu.
‘Abang tak nak dengar! Farah adik
abang! Abang tahu apa yang terbaik untuk adik abang! Dahlah, abang nak keluar
kejap jumpa kawan-kawan.’
Fiqri pantas mencapai helmet. Langkah
diatur menuju ke pintu. Sebelum kakinya melangkah keluar rumah, Fiqri menoleh
dan menatap wajah Farah lama-lama. Entah kenapa, hatinya terasa sayu memandang
wajah manis adik kesayangannya itu. Seakan-akan ada benda buruk yang bakal
terjadi. Fiqri pantas beristighfar. Bukan layaknya sebagai seorang hamba
membuat ramalan yang tidak-tidak.
Tidak seperti kebiasaan apabila Fiqri
ingin keluar rumah, Farah pasti akan menyalami tangan abangnya dan Fiqri pula
akan mengusap-usap kepala gadis itu dengan penuh kasih sayang. Malam itu, Farah
menunjukkan protesnya dengan membuat acuh tak acuh saat Fiqri mengatakan dia
ingin keluar dan Fiqri pula tidak betah mahu memujuk kedegilan adik
kesayangannya itu.
‘Farah jaga diri baik-baik. Abang
sayangkan Farah.’
Farah terkedu dengan ucapan sayang
daripada abang kesayangannya itu. Entah kenapa hatinya jadi tidak senang
mendengar ucapan itu.
‘Farah juga sayangkan abang.’
Kata-kata itu hanya terluah di dalam
hati sambil matanya melihat kelibat abangnya yang menunggung motosikalnya
hilang dalam kegelapan malam. Farah kembali mengalihkan perhatiannya kepada
skrin televisyen.
‘Abang, Farah minta maaf. Abang
pulanglah. Farah janji Farah akan dengar cakap abang. Farah takkan kerja dengan
Ilham kalau abang tak suka. Farah minta maaf, abang. Tolonglah, abang. Tolong
jangan tinggalkan Farah. Farah rindu pada abang.’
Farah tidak kekok berbicara dengan
pusara abangnya seakan-akan lelaki itu yang sedang berhadapan dengannya. Dia
mahu abangnya tahu betapa dia menyesal melawan cakap abang. Dia mahu abangnya
tahu dia sayangkan abang. Tapi, hakikat kematian masakan boleh dilawan.
Azmir yang memandang dari jauh
mengesat air mata. Dia tidak tahu ke mana gadis itu akan pergi selepas ini. Dia
tidak tahu jika ada saudara mara yang mahu menjaga gadis itu. Fiqri pernah
mengatakan bahawa mereka tidak ada saudara mara selepas kematian ibu bapa
mereka.
Farah tidak betah berganjak daripada
kuburan abangnya. Rindunya masih belum terubat.