Home Cerpen Keluarga Bagaikan Mimpi
Bagaikan Mimpi
sha_shira sha_shira
26/12/2014 13:42:35
1,617
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Terasa bagai mimpi apabila abangnya yang keluar rumah untuk bertemu kawan-kawan pulang ke rumah dalam keadaan kaku tidak bernyawa. Terasa bagai tidak percaya saat jenazah abangnya diusung ke tanah perkuburan untuk dipulangkan ke tempat asal kejadian manusia. Malah, hingga ke saat ini, dirinya masih tidak dapat meyakinkan diri bahawa satu-satunya abang yang dia punya sudah pulang ke sisi Pencipta, meninggalkan dirinya sendirian tanpa sesiapa untuk berkongsi duka.

Farah tidak tahu mahu memberi reaksi apa ketika berita kemalangan yang menimpa abangnya sampai ke telinganya. Mulanya, dia menyangkakan teman baik abang itu sekadar bercanda. Malah, dia seribu kali lagi lebih rela jika benar teman abangnya itu hanya bercanda! Farah ketawa perlahan dengan kepala yang digeleng-gelengkan tanda tidak percaya.

‘Abang Mir jangan tipu! Abang keluar kejap je pergi jumpa kawan-kawan dia. Kenapa abang nak mati pulak?’

Azmir yang datang menyampaikan berita kemalangan yang menimpa teman baiknya itu terkedu dengan reaksi adik Fiqri. Gadis itu seakan-akan hilang arah.

‘Abang Mir bukan cakap Fiqri mati, Farah. Abang Mir cakap, Fiqri kemalangan. Dekat simpang depan tu.’

Azmir menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Pening kepalanya mahu berhadapan dengan adik tunggal teman baiknya itu. Lain yang dikatakan, lain pula yang difahami oleh gadis itu. Dia sendiri tidak tahu seteruk mana keadaan Fiqri kerana dia sendiri tidak berkesempatan menyaksikan ketika Fiqri diusung pergi. Namun, menurut kata teman lain yang berada di tempat kejadian, keadaan Fiqri nampak parah.

‘Mana abang? Farah nak abang! Farah nak abang!’

Farah tiba-tiba meraung tangis membuatkan Azmir kaget di tempatnya berdiri. Ditelan liur kelat dengan reaksi Farah yang tidak dijangka. Gadis yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri itu ditatap penuh simpati.

‘Sabar, Farah. Mari, Abang Mir bawak Farah pergi hospital. Kita pergi jumpa abang.’

Farah menghentikan tangisan. Dia seakan lembu dicucuk hidung apabila hanya merelakan saat Azmir memakaikan tudung di kepalanya dan mengekori lelaki itu ke keretanya. Kakinya seakan-akan tidak jejak ke bumi dengan berita kemalangan yang mengejutkan itu.

Di hospital, teman lain yang sudah sampai lebih awal menyapa Azmir dan Farah. Azmir pantas mendapatkan Kamal. Wajah Kamal beriak duka. Daripada riak wajah Kamal itupun Azmir sudah curiga. Namun, dibuang segala fikiran negatif dari mindanya.

‘Macam mana? Apa kata doktor?’

Kamal menggeleng kepala. Dibisikkan berita duka ke telinga Azmir membuatkan lelaki itu terduduk di atas lantai. Kamal panik seketika. Dibantu Azmir duduk di kerusi yang disediakan.

‘Azmir, woi! Kau kenapa? Istighfar, Mir. Istughfar!’

‘Innalillahi wainna ilaihi rajiuun…’

Farah pula terus teresak-esak menangis sambil memanggil-manggil nama abangnya membuatkan mata yang menyaksikan basah dengan air mata.

Suara imam membacakan talqin seakan-akan terngiang-ngiang di telinga Farah. Seperti juga pergaduhannya dengan Fiqri masih terngiang-ngiang di telinganya hingga kini. Pertemuan terakhir dengan abangnya berakhir dengan pergaduhan mulut dan abangnya pergi meninggalkan rumah dalam keadaan marah. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Kerana lancangnya mulut tatkala bersuara, hingga kini Farah terpaksa menanggung rasa terkilan yang tidak berpenghujung.

‘Farah tak kira! Farah nak jugak kerja dekat tempat Ilham kerja! Abang jangan halang Farah! Farah dah besar!’

Fiqri merenung tajam wajah Farah. Hanya kerana Ilham, Farah kini sudah berani meninggikan suara kepadanya. Fiqri menahan sabar. Adik perempuannya yang seorang itu masih mentah. Dipujuk hati supaya bersabar. Seingatnya, kali ini sudah tiga kali dia dan Farah bertikam lidah dengan keinginan Farah mahu bekerja sambilan di kedai serbaneka berhampiran bengkel tempatnya bekerja.

‘Abang tak nak Farah kerja dekat tempat tu sebab kat situ banyak mat motor, penagih dadah! Abang tak izinkan! Farah boleh marah abang, tapi abang tetap takkan benarkan Farah kerja kat situ. Tak kiralah part-time ke apa.’

Tegas suara Fiqri membuat keputusan. Dia tidak peduli jika Farah mahu merajuk atau marah dengannya. Yang penting dia tahu, keselamatan adik perempuannya lebih terjamin jika gadis itu tidak berkongsi tempat kerja dengan Ilham.

‘Abang memang kejam! Kenapa abang tak nak faham yang Farah cuma nak tolong abang cari duit?’

Fiqri mengeluh. Lagi-lagi alasan itu yang dikemukakan oleh Farah. Dia sedar kerjanya sebagai mekanik tidak menjanjikan hidup yang mewah, namun sehingga ke saat ini, mereka dua beradik belum pernah lagi kelaparan sejak kematian orang tua mereka hampir lima tahun yang lalu.

‘Abang tak nak dengar! Farah adik abang! Abang tahu apa yang terbaik untuk adik abang! Dahlah, abang nak keluar kejap jumpa kawan-kawan.’

Fiqri pantas mencapai helmet. Langkah diatur menuju ke pintu. Sebelum kakinya melangkah keluar rumah, Fiqri menoleh dan menatap wajah Farah lama-lama. Entah kenapa, hatinya terasa sayu memandang wajah manis adik kesayangannya itu. Seakan-akan ada benda buruk yang bakal terjadi. Fiqri pantas beristighfar. Bukan layaknya sebagai seorang hamba membuat ramalan yang tidak-tidak.

Tidak seperti kebiasaan apabila Fiqri ingin keluar rumah, Farah pasti akan menyalami tangan abangnya dan Fiqri pula akan mengusap-usap kepala gadis itu dengan penuh kasih sayang. Malam itu, Farah menunjukkan protesnya dengan membuat acuh tak acuh saat Fiqri mengatakan dia ingin keluar dan Fiqri pula tidak betah mahu memujuk kedegilan adik kesayangannya itu.

‘Farah jaga diri baik-baik. Abang sayangkan Farah.’

Farah terkedu dengan ucapan sayang daripada abang kesayangannya itu. Entah kenapa hatinya jadi tidak senang mendengar ucapan itu.

‘Farah juga sayangkan abang.’

Kata-kata itu hanya terluah di dalam hati sambil matanya melihat kelibat abangnya yang menunggung motosikalnya hilang dalam kegelapan malam. Farah kembali mengalihkan perhatiannya kepada skrin televisyen.

‘Abang, Farah minta maaf. Abang pulanglah. Farah janji Farah akan dengar cakap abang. Farah takkan kerja dengan Ilham kalau abang tak suka. Farah minta maaf, abang. Tolonglah, abang. Tolong jangan tinggalkan Farah. Farah rindu pada abang.’

Farah tidak kekok berbicara dengan pusara abangnya seakan-akan lelaki itu yang sedang berhadapan dengannya. Dia mahu abangnya tahu betapa dia menyesal melawan cakap abang. Dia mahu abangnya tahu dia sayangkan abang. Tapi, hakikat kematian masakan boleh dilawan.

Azmir yang memandang dari jauh mengesat air mata. Dia tidak tahu ke mana gadis itu akan pergi selepas ini. Dia tidak tahu jika ada saudara mara yang mahu menjaga gadis itu. Fiqri pernah mengatakan bahawa mereka tidak ada saudara mara selepas kematian ibu bapa mereka.

Farah tidak betah berganjak daripada kuburan abangnya. Rindunya masih belum terubat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.