Shah
langsung tidak menyangka. Setia yang diberi dibalas dengan kecurangan. Hubungan
yang dibina dan dibaja selama hampir enam tahun akhirnya kecundang di tengah
jalan. Sangkanya, perempuan itu yang akan menjadi suri dalam hidupnya, menemani
sepi harinya, menghiburkan duka jiwanya. Sangkanya perempuan itu yang akan
berkongsi hidup dengannya, melahirkan anak-anaknya, membahagiakannya sampai
hujung waktu. Ternyata dia salah! Rupa-rupanya, dalam diam Zara sudah punya
rencana untuk meninggalkannya. Rupa-rupanya, selama ini dia bercinta dengan
bayangan saja. Zara tidak tulus dalam cintanya. Zara curang!
Tidak
pernah Shah menyangka cerita silam akan berulang lagi. Kali ini, hatinya hancur
berkeping-keping. Dadanya terasa sesak, ketat. Nafas seolah-olah tersekat di
halkum. Pilu jiwanya, parah lagi hatinya yang luka.
Dulu,
kehilangan kekasih hatinya adalah kepada suratan takdir yang tidak mampu
dihalang. Hasya pergi meninggalkannya setelah terlibat dalam satu kemalangan
jalan raya. Seakan tidak percaya apabila jasad Hasya yang kaku terpamer di
depan matanya. Terasa seperti mimpi ngeri. Dalam hati, Shah meraung hiba.
Tidak
sedikit masa dihabiskan meratapi kehilangan Hasya. Air mata menemani
hari-harinya yang sepi tanpa senyum dan gelak tawa gadis itu. Jiwanya terasa
longlai mendepani ujian daripada Pencipta. Hampir setahun jiwanya bagaikan
lumpuh dengan kesengsaraan dan kepiluan yang tidak terucap.
Namun,
takdir Tuhan itu amat indah. Dia dipertemukan dengan Zara yang menerimanya
seadanya. Kemanjaan Zara mengikat hatinya, kemesraan Zara mengubat lara di
jiwanya. Perlahan-lahan, jiwanya yang longlai kembali hidup. Seakan mendapat
nafas baru, kehadiran Zara menyuntikkan semangat dalam dirinya. Dia kembali
mengenal erti bahagia. Dia kembali merasa nikmatnya hidup bersama orang
tersayang.
Tapi, itu
cerita hampir enam tahun lalu. Ketika dia dan Zara baru bertemu dan sedang
bahagia menyulam kasih. Kini, di saat dia menyayangi dan mencintai gadis itu
separuh mati, Zara tiba-tiba berubah. Perubahan Zara yang mendadak sekali lagi
melumpuhkan jiwanya. Shah kecewa.
Sekali
lagi Shah ditinggalkan untuk merawat hati yang luka sendirian. Zara yang
dicintai dan disayangi sepenuh hati rupanya tidak berkongsi rasa yang sama.
Kecewa sungguh dia apabila gadis kesayangannya itu meminta hubungan mereka
diputuskan secara tiba-tiba. Alasan Zara, dia sudah bertemu lelaki yang lebih
baik. Begitu mudahkah rasa cinta dan sayang beralih arah? Shah nanar dalam memaknakan
kehidupan yang terasa semakin hilang arah tujuan dengan keputusan mendadak
Zara.
Kecewa
membuatkan Shah membawa diri pulang ke kampung halaman. Di sisi orang yang
menyayanginya tanpa syarat, Shah mengharapkan ketenangan.
‘Shah,
kenapa ni? Senyap je?’
Sapaan
ummi menyentak lamunan Shah yang panjang. Bibir mengukir senyum kepada ummi
sekadar untuk menutup duka di hati.
‘Tak ada
apalah, ummi. Shah cuma tengok langit tu. Banyak bintang malam ni. Cantik
sangat.’
Kepala
ummi turut terdongak memandang ke arah langit yang dihiasi bintang. Seperti
kata Shah, langit kelihatan sangat cantik ditaburi bintang yang berselerakan.
Ummi tersenyum.
‘Amboi,
anak ummi ni dah pandai renung langit, tengok bintang, ada apa-apa ke yang ummi
tak tahu?’
Shah
tersenyum kelat. Kalaulah ummi tahu…
‘Tak
adalah, ummi. Saja Shah tengok langit. Menikmati keindahan ciptaan Tuhan.’
Ummi
tergelak. Berpuitis pula anak sulung ummi malam ini. Ditepuk lembut bahu Shah.
Walaupun mulut anak itu tidak terbuka untuk meluahkan rasa hati, ummi dapat
merasakan bahawa ada sesuatu yang disembunyikan oleh Shah. Shah seperti sedang
kecewa dan ummi tahu naluri ummi benar apabila melihat ada air mata yang
bertakung di mata anak itu.
‘Ummi…
ummi cakap kalau kita setia akan dibalas setia. Ummi cakap jangan pernah
mainkan perasaan perempuan. Tapi, ummi…’
Bergetar
suara Shah meluahkan rasa hati. Shah menarik nafas panjang. Air mata yang mahu
mengalir ditahan kejap. Dia tidak mahu kelihatan lemah di depan ummi. Dia anak
lelaki sulung ummi, tak sepatutnya dia menunjukkan kelemahan di depan ummi.
‘Tapi,
kenapa bila Shah dah setia dan sayang dia, dia sanggup kecewakan Shah, ummi?
Kenapa dia sanggup curang? Apa kurangnya Shah, ummi? Dan apa lebihnya lelaki
tu?’
Ummi
menarik Shah ke dalam pelukan seorang ibu. Diusap-usap belakang Shah sambil
berharap agar duka di hati anak terunanya itu sedikit terubat dengan
sentuhannya. Ummi berharap agar Shah dapat merasakan kasih ummi yang tidak
pernah putus untuk anak-anak ummi.
‘Shah, apa
yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kalau dia tak hargai kasih sayang dan cinta
anak ummi ni, satu hari nanti akan ada perempuan lain yang akan hargai semua
tu. Shah tak boleh lemah. Shah kena kuat. Ummi tahu anak ummi ni lelaki yang
kuat.’
Shah
meletakkan dagunya di atas bahu ummi. Tubuh ummi dipeluk kejap dengan harapan
agar duka di hatinya berkurangan dengan mesra kasih sayang ummi. Dipejam
matanya dan keajaiban kasih sayang dan sentuhan ummi terasa meresap dalam dada.
Kata-kata
ummi terasa mendamaikan sedikit jiwanya yang merusuh. Dia mahu percaya bahawa
di luar sana, akan ada perempuan lain yang akan menghargai cinta, kasih sayang
dan setianya. Dia mahu percaya bahawa kata-kata ummi akan jadi kenyataan pada
saat yang telah ditakdirkan.
Shah tidak
malu lagi untuk menangis di bahu ummi. Air mata dibiarkan mengalir laju dengan
harapan reda sedikit duka dan pilu di hati.
Dalam
diam, ummi turut menitiskan air mata. Dalam hati ummi mendoakan Shah akan
selalu kuat untuk meneruskan hidup. Doa ummi agar akan ada perempuan lain hadir
dalam hidup Shah dan membahagiakan anak itu.
Untuk
kesekian kalinya Shah merenung skrin telefon pintarnya. Berpuluh-puluh
panggilan telefon yang dibuat langsung tidak bersambut. Zara tetap tegar mendiamkan
diri. Lalu, dibuka pula aplikasi Whatsapp.
Mesej-mesej ringkasnya langsung tidak mendapat balasan walaupun gadis itu
ternyata sedang ‘online’.
‘Zara syg, knp syg sgup buat Shah mcm ni? Hub
kta x bmkna lgsung k bg Zara? Pls come back to me, syg. I miss u.’
‘Shah thu Shah byk kkurgn, tp pe yg kta dh
kgsi slma ni xde mkna lgsung k Zara? Smp ati Zara wat Shah mcm ni.’
‘Shah cuma nk pnjelasan. Kalau btul Zara dh
xsyg Shah, tlg jelaskn spy Shah dpt move on dgn hdup Shah.’
Sepi.
Tiada balasan. Shah menarik nafas panjang. Kekecewaan terasa mendakap erat
sekujur tubuhnya.
‘Zara,
kalau betul ni yang Zara nak. Shah tak boleh nak halang. Shah sayang Zara,
sayang sangat-sangat. Shah kecewa sangat bila Zara buat Shah macam ni. Tapi,
kalau betul Zara akan lebih bahagia dengan dia, Zara teruskanlah hidup Zara
dengan dia. Shah takkan ganggu Zara lagi. Shah harap Zara bahagia. Terima kasih
untuk semua kenangan yang Zara bagi. Shah akan kenang sampai bila-bila. Selamat
tinggal, sayang. Semoga Zara berbahagia.’
Shah
menyeka air mata yang mengalir laju di pipi. Gambar kenangannya bersama Zara
ditatap dengan mata yang dikaburi air mata. Senyumannya dan senyuman Zara yang
terpapar di gambar itu terasa merobek-robek hati. Kata-kata yang diucapkan
kepada gambar itu mahu dijadikan ucapan selamat tinggal kepada Zara dan juga
untuk membebaskan dirinya daripada terus dibebani kekecewaan yang tak
berpenghujung.
Pilu di
dada tidak terucap. Sungguh hatinya masih sayang kepada gadis itu, sungguh dia
tidak sanggup kehilangan Zara, tapi dia sudah membuat keputusan. Jika benar
perpisahan akan membuatkan gadis kesayangannya itu mengecap bahagia, dia akan
relakan segalanya. Biarlah dia yang kecewa, biarlah dia yang makan hati,
biarlah dia yang merana. Asalkan Zaranya berbahagia walaupun bukan dengan dia.
Shah sedar hakikat bahawa mencintai tak semestinya memiliki.
Kini,
sudah setengah tahun Shah hidup tanpa kehadiran Zara. Dalam diam, dia sentiasa
mengharapkan kepulangan gadis itu ke sisinya. Namun, akal warasnya mengerti,
Zara sudah tidak sudi lagi. Dia tahu tidak guna memaksa orang yang tak sudi.
Kerana itu, Shah senang menyepi.
Shah masih
ingat, kata ummi, setia akan dibalas setia. Hubungan akan jadi lebih indah dan
bermakna apabila setia menjadi tali yang mengikat. Shah percaya dengan kata-kata
ummi. Walaupun hatinya hancur dengan kecurangan Zara, dia tetap berpegang
kepada kata-kata ummi. Dia tahu ummi benar. Dan pada masa yang telah
ditakdirkan, dia juga akan mengecap bahagia itu.
Setia
pasti akan dibalas dengan setia!