“Kau dah fikir habis-habisan ni?” soal Soraya untuk sekian kalinya.
“Berapa kali aku nak cakap ni, pasti 100%!”tegas Lidya Alya.
“Manalah tau kot-kot kau ubah fikiran ke?”
‘Tak.. aku rasa inilah yang terbaik buat kami.”
“Kau tak sayangkan dia lagi ker?”
“Tak sayang kata kau? Kalau tak sayang takkanlah aku sanggup menunggu sampai bertahun lamanya. Dah hampir sepuluh tahun. Kau ingat sekejap ke?” tanya Lidya Alya. Matanya memandang tepat ke arah mata temannya itu. Walaupun hati terasa nyilu dan air mata terasa ingin menghambur keluar, dia keraskan hati seperti mana dia berpegang teguh pada keputusannya ini.
“Habis tu, kalau sayang kenapa kau mengambil keputusan ini. Bukankah lebih baik kau berbincang dulu dengan dia.”
“Aku buat semua ini untuk kebaikannya. Untuk kebaikan semua pihak”
“Bukan untuk kebaikan kau sorang?” tempelak Soraya. Lidya Alya mendengus.
“Kau tak faham.”
“Habis tu cuba fahamkan aku. Tang mana yang aku tak faham tu sebab memang aku tak faham semuanya.”
“Bolehkah kau cuba memahami tanpa menyoal sebab dan musababnya,” perlahan Lidya Alya berkata.
“Tak. Sebab aku kawan kau. Dan aku tak nak melihat kau bersedih, menangis kemudian hari. Aku tak nak kau menyesal di atas setiap keputusan yang kau amik ni.”
“Aku telah buat pertimbangan yang sewajarnya. Baik dan buruk. Yang aku nampak kalau aku meneruskan perhubungan ini, perkahwinan ini banyak buruk dari baiknya.”
“Apa yang buruknya. Cuba bagitahu aku, tak pun kau berbincanglah dengan suami kau tu.”
“Nak bincang apa lagi. Keputusan dah muktamad.”
“Aku rasa dia lebih bahagia setelah berpisah dengan aku.”
“Dan kau juga akan lebih bahagia selepas berpisah dengan dia, begitu?” tekan Soraya lagi. Dia betul-betul tidak berpuas hati kerana dia tidak tahu apa yang tak kena di dalam rumahtangga sahabatnya yang baru enam bulan terbina ini. baru enam bulan. Baru permulaan. Enjin baru nak panas. Baru je memulakan perjalanan hidup. Takkanlah kerana satu masalah, terus nak berhenti pada permulaan. Bukankah lebih baik cuba berjalan lagi, manalah tahu akan terbit keserasian. Takkanlah masa bercinta yang hampir sepuluh tahun ini, berakhir setelah enam bulan berkahwin. Dia pelik dan juga pening kepala dengan masalah sahabatnya ini. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba tsunami melanda sehingga dia terpaku, melihatnya sahaja.
“Mungkin kami hanya sesuai untuk bercinta bukan hidup bersama. Itulah yang aku pasti. Enam bulan ini sudah cukup untuk aku menilai keserasian kami,” Lidya Alya menundukkan wajahnya.
“Tapi… boleh aku tahu kenapa? Manalah tahu aku boleh tolong kau?”
Lidya Alya tersenyum melihat kesungguhan sahabatnya ini.
“Kau seorang sahabat yang baik Aya. Bertuah aku mempunyai kawan sepertimu.”
“Eh aku pulak. Memang pun. patutnya kau bersyukur kerana ada aku ni. Now tell me, what happen?” Tidak putus asa Soraya bertanya. Namun Lidya Alya, tetaplah Lidya Alya yang degil dan penuh rahsia.
“Kau ni memang tak putus asa ya. Nak jugak korek rahsia aku. Tapi kali ini, biarlah aku simpan sendiri.”
“Suatu hari nanti kau akan tahu juga. Percayalah.”
“Suatu hari tu bila?”
“Apabila tiba saatnya.”
“Eeeiii.. Tak faham betullah aku dengan korang ni. Dulu bukan main romantik. Bukan main berkepit ke hulu ke hilir. Tapi bila dah kahwin jadi macam ni pulak. Apa nak jadi tak tahulah aku,” bebel Soraya.
Hah ini baru seorang yang tahu. Itu pun sahabatnya. Kalaulah keluarga dan saudara maranya yang tahu, tak tahulah apa yang mereka akan katakan. Mesti dia lelah untuk menjawab. Jadi sebab itulah dia tidak menghebohkan kepada sesiapa pun. urusan ini mereka berdua yang uruskan. Apabila telah selesai nanti barulah mereka akan memberitahu kedua belah keluarga.
*******
Akhirnya semua telah selesai. Lidya Alya dan Norman Farouk bukan lagi suami isteri. Soraya setia menemani sahabatnya ini. kelihatan Lidya Alya menitiskan air matanya walaupun inilah juga yang diharapkan. Yelah wanita mana mengharapkan penceraian setelah berkahwin sedikit sebanyak kesedihan tetap beraja di hati.
Lidya Alya dan Norman Farouk saling berbalas pandang.
“Saya minta maaf di atas kekurangan saya selama kita bersama. Halalkanlah makan minum saya selama ini. semoga awak bahagia” tulus Lidya menuturkannya. Terkaku bekas suaminya seketika.
“Alya.. abang juga minta maaf. Kalau boleh abang ingin kita menyambung kembali perhubungan ini. abang janji abang akan berubah,” pinta Norman sepontan dia memegang tangan bekas isterinya ini.
Serta merta Lidya Alya cuba melepaskan pegangan itu sambil tajam memandang bekas suaminya itu. ada kesayuan di dalam matanya. Tetapi entahlah. Hatinya benar-benar tawar untuk bersama. Ingatkan percintaan sepuluh tahun ni dia kenal betul dengan bekas suaminya itu. namun hanya 20% sahaja dia mengenalinya.
“Peluang? Rasanya peluang itu sentiasa ada sejak sepuluh tahun yang lalu. Rasanya sudah terlalu cukup masa dan peluang diberikan. Cukuplah masa saya habiskan setakat ini. cukuplah. Takkan ada lagi peluang itu!” tegas Lidya Alya
“Lidya…” tegur Soraya. Serta merta Lidya Alya berpaling mengadap sahabatnya itu. Rasanya inilah saatnya.
“Kau tak pernah merasa cemburu ke Aya?” soal Lidya Alya. Serentak Soraya dan Norman Farouk memandang Lidya Alya. Keduanya kehairanan.
“Cemburu? Cemburukan apa?” soal Soraya pelik.
“Cemburukan aku dan Norman!”
“Kenapa pula aku harus cemburu? Kau kan sahabat aku. Patutnya, akulah orang paling sedih sebab perkahwinan kau dan dia sekerat jalan saja.”
Lidya Alya tersenyum sinis.
“Cukuplah berdrama Aya. Tentang kau dan Norman aku dah tahu. A to Z. tak perlulah kau buat tak tahu. Buat-buat macam tak ada apa pun yang terjadi.”
“Betul aku tak faham… Kenapa pula kaitkan aku dan Norman?” kejap Soraya memegang lengan sahabatnya itu. Takkanlah rahsia yang kemas tersimpan sejak lima tahun lalu telah terbongkar!
Lidya Alya menarik nafas panjang. Rasa geram dan benci menjengah hatinya. Tetapi untuk apa rasa itu. sedangkan dia yang salah. Dia yang memberi peluang kepada keduanya. Dan kerana dia jugalah mereka berdua berkorban. Hanya untuk memastikan dia merasa bahagia. Namun bahagiakah dia di atas kemusnahan kebahagiaan orang lain?
“Aku tahu kau dan Norman telah berkahwin sebelum ni. Telah punya anak seorang. Tapi kenapa kau sanggup rahsiakan dari aku?” Bongkar Lidya Alya. Tak perlu lagi berselindung. Dia dan Norman telah pun selamat bercerai. Tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi.
Keduanya kelihatan terkejut dan terdiam seribu bahasa. Tak sangka rahsia yang cuba disorokkan dari Lidya Alya terbongkar hari ini.
“Maaf.. aku tak maksudkan nak menipu kau. Sungguh…” Beriya-iya Soraya cuba menyakinkan Lidya Alya.
“Semua ini silap faham. Kerana satu kesilapan membuatkan kami terperangkap sehingga terpaksa berkahwin. Tetapi sungguh aku tak ada niat pun untuk merampas Norman dari kau. Sebab itulah kami bercerai sebaik sahaja kau pulang ke sini” terang Soraya.
Matanya telah hangat dengan air mata. Dia amat menyesal kerana melukakan hati sahabatnya itu. namun itu bukan niat. Langsung tak terniat tetapi mainan takdir yang membuatkan dia tetap membuatkan Lidya Alya terluka.
“Aku tahu dan aku juga tak ingin kau terluka. Kau yang aku anggap sebagai kakak aku selama ini. sebab itulah aku membuat keputusan ini”
Kemudian Lidya terus berpaling mengadap Norman.
“Awak sayangkan Soraya? Cintakan Soraya” soal Lidya berterus terang. Norman Faouk gelabah dan tidak tahu apa yang harus dia jawab.
“Memang awak sayangkan diakan? Lebih dari awak sayangkan saya kan?” Berterusan Lidya Alya mendesak. Norman terkedu.
Sebuah senyuman muncul di bibirnya. “Awak memang lelaki pengecut yang tidak pandai mempertahankan cinta sendiri. kenapa? Awak takut saya akan bersedih dan menderita kerana awak?” soal Lidya Alya lagi.
“Saya sayangkan awak lebih dari saya sayangkan Soraya. Perkahwinan kami satu kesilapan. Tapi percayalah hanya awak dalam hati saya.”
“Entah. Saya dah tak percayakan lagi setiap apa yang awak cakapkan. Cukuplah. Kalaulah awak sayangkan saya, awak kena mengambil Aya sebagai isteri awak semula. Dan saya telah permudahkan laluan untuk awak.”
“Tapi….”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Soal keluarga kita. Saya akan uruskan. Kali ini saya nak awak berterus teranglah. Jangan rahsiakan lagi. Kasihan, Liyana yang tak pernah merasai belaian kasih sayang dari nenek dan datuknya.”
“Lidya….” Soraya menggenggam tangan Lidya Alya.
Dia menangis. Tak sangka begitu tenang sekali penerimaan Lidya Alya. Dia dulu seminggu menangis kerana terpaksa berpisah dengan Norman Farouk. Benar dia amat menyayangi lelaki ini tetapi oleh kerana rasa bersalah kuat merajai hatinya, dia rela diceraikan untuk menebus kesalahannya merampas Norman Farouk.
“Sudahlah… saya tak salahkan kamu berdua. Saya yang bersalah sebenarnya kerana pentingkan diri sendiri. suka ikut kepala sendiri dan membuat keputusan sendiri,” akui Lidya Alya.
Dulu dia memang seorang gadis yang degil. Yang suka melakukan sesuatu mengikut kata hati dan mementingkan kerjaya dari segalanya. Lima tahun yang lepas, lagi dua bulan mereka bakal disatukan dia membuat keputusan drastik untuk menerima tawaran menyambung master di Uk. Hanya di saat-saat akhir pemergiannya barulah dia memberitahu kepada Norman Farouk. Tentu sekali dia marah dan kecewa. Tapi apalah sangat kemarahan Norman Farouk itu, bukannya dapat melawan kedegilan Lidya Alya.
Di sana dia bebas. Bagaikan terlepas dari sangkar. Dia mengikut kata hati. Enjoy dan menikmati keindahan dunia. Sampaikan dia terlupa pada yang merinduinya. Ketika itu, dia pasti Soraya ada untuk menemani Norman Farouk. Bukankah mereka bertiga sahabat baik. Cuma yang membezakannya, Norman menyintainya. Dan dia juga tahu Soraya menyintai Norman di dalam diam. Bukan dia tak tahu semua itu. dia Cuma membutakan mata dan hatinya. Sebab itulah dia membuat keputusan begitu. Pergi jauh untuk memberi peluang kepada Soraya.
Ternyata Soraya mengambil peluang yang ada untuk sentiasa mendamping Norman sehingga mereka berkahwin. Kepulangannya pula menjadi penghalang untuk mereka terus bahagia. Sebabnya keluarganya dan Norman mendesak mereka bersatu. Tambahan pula kesihatan atoknya yang tak berapa mengizinkan dan teringin sekali melihat dia bersanding. Akhirnya mereka berkahwin walau dalam hati tidak merelakan.
Norman memang suami yang baik dan sabar. Bukankah dia bertuah kerana memilikinya. Tapi dia bukanla seorang yang tamak dan pentingkan diri. Untuk apa mengikat diri di dalam perkahwinan ini andai dia tahu kawannya itu menangis di atas kebahagiaanya. Seorang anak pula kehilangan kasih ayahnya. Lalu setelah atok meninggal dunia, dia pun mengambil keputusan ini.
Dari jauh kelihatan seorang lelaki melangkah menuju kea rah mereka dengan senyuman manisnya.
“Sorry tak dapat temankan you. Macam mana semuanya dah settle ke?” Soal lelaki tersebut kepada Lidya Alya sambil bersalaman dengan Norman Farouk.
“Kenalkan ini Azri Imran dan ini Norman Farouk dan Soraya,” ujar Lidya Alya seraya memperkenalkan mereka bertiga.
“Sudah,” jawab Lidya Alya pendek.
“Kalau begitu, shall we…” Ajak Azri Imran.
“Ok”
“Jadi awak dan Aya… Jangan risaukan saya lagi. Insyallah saya takkan rasa apa-apa di atas perpisahan ini. Giliran kamu berdua pula mencipta bahagia.”
“Aya… jangan senang-senang nak serahkan suami kat orang lain lagi lainkali, even kawan sendiri tau.”
“Lainkali takkan ada orang yang baik hati macam aku ni lagi,” seloroh Lidya Alya sambil melangkah pergi dengan memaut lengan Azri Imran.
Berpaling sahaja dari situ, Lidya Alya menitiskan airmata. Perlahan Azri Imran menepuk tangan yang kejap memegang lengannya.
“Terima kasih doktor… Sebab tolong saya,” dalam sebak Lidya Alya bersuara.
“Tapi bukankah lebih baik mereka mengetahui tentang awak sebenarnya?”
“Untuk apa doktor? Takkanlah saya nak memberitahu saya ada penyakit HIV ini disebabkan saya lupa diri semasa di UK dulu?” soal Lidya.
Masing-masing terdiam. Kerana satu langkah tempang, dia kehilangan segalanya. Kerana turutan nafsu dia menanggung natijahnya. Menyesal pun tiada gunanya. Yang perlu dilakukan sekarang, hidup ini perlu diteruskan selagi ada hayat dikandung badan.