Home Cerpen Cinta CINTA HATI NYAMUK
CINTA HATI NYAMUK
EMELLDA M.A
15/11/2018 15:27:46
2,661
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aku hidup di dunia ini sudah lama. Usiaku mungkin sama sahaja dengan usia pokok getah di ladang nenda yang terbiar tak dijaga. Sama sahaja dengan aku. Terbiar tanpa ukhwah keluarga yang sememangnya aku dambakan. Istilah keluarga bahagia memang menjadi idaman semua. Malangnya, realiti selalu datang bak igauan ngeri. Semua yang hadir dalam hidupku tidak pernah lekat setia dalam mengharungi susah senang dunia. Jadi jangan salahkan aku jika aku benci pada sebuah hubungan.

 

Namun, pada saat nenda mendesak aku terpaksa berjanji walau tanpa rela. Pernikahan ini adalah aturan nenda yang terpaksa aku terima dengan redha. Serabut otak aku memikirkannya. Berkali-kali aku fikirkan matlamat diri yang ibarat sudah punah dan gelap apabila janji tersemat.

 

Pelik. Aku tidak pernah kenal dia. Tiba-tiba sahaja mahu menjadi imam dan matahari pada kehidupanku. Sekali pandang aku sudah tertawan. Apabila lafaz akad terucap maka aku serahkan seluruh hidupku pada dia yang bergelar suami. Namun bahagia hanya sementara apabila cinta yang hadir hanya cinta dunia yang buas mencari mangsanya.

 

Lelaki idaman malaya rupanya pandai menipu daya. Menjadi yang terbaik di mata dunia. Malangnya, di sisiku hanya syaitan bertopengkan manusia. Ingin aku luahkan pada nenda tapi terpaksa aku batalkan niat memandangkan kesihatan nenda yang tidak stabil dan sering sakit tua.

 

Hati aku lumat sudah tiada rasa. Beku ibarat ketulan ais di bumi antartika. Semangat juangku juga hilang entah ke mana. Imamku khilaf. Atau mungkin nenda juga terpedaya dengan sikap dan bicara sopannya.

 

Hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicicah. Jika kerukunan dalam berumahtangga itu aku temui maka begitulah bidalan kata yang setanding dengan kisahku. Malangnya, orang di sekelilingku hanya mementingkan hati gajah mereka sahaja. Hati nyamuk seperti aku hanya dipandang enteng. Atau mungkin diabaikan terus sehinggakan mereka sanggup menidakkan hak aku sebagai manusia.

Malang nasibku bertimpa-timpa ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Bagaikan belati menghiris jantung apabila terdengar berita bahawa suamiku mempunyai kekasih hati yang usianya muda belia. Rasanya mahu sahaja aku selamkan kepalanya ke dalam perigi buta. Astaghfirullahallazim. Segera aku beristighfar sebelum syaitan berbisik lagi.

 

Pada suati hari saat otakku sememangnya serabut, datang seorang gadis menemuiku dengan wajah penuh harap.

“Pergi mampuslah perempuan. Kau tahu dia suami aku tapi kau tetap juga mahu menggatal.”

“Bukan salah aku. Salah kau yang tak pandai jaga laki. Sebab itu laki kau cari aku.”

 

Tanpa berfikir panjang, pantas sahaja aku menampar muka perempuan muda itu. Aku tidak mahu tahu namanya. Cukuplah aku kenali dia sebagai perampas dan perosak rumahtangga.

 

“Kau tampar aku tapi kau tak mampu mengubah hati aku. Aku tetap akan setia pada kekasihku iaitu suamimu.”

 

“Aku tampar bukan untuk mengubah nasibku. Tapi kerana aku mahu kau tahu bahawa aku memang tidak akan memaafkanmu walaupun sehingga bumi ingin menelanmu. Kau rasa kau hebat kerana merampas dia daripada aku?”

 

Aku tergelak.

“Ambillah. Selamat berbahagia menjadi isterinya. Satu saat pasti kau merasa apa yang sedang aku rasa. Selamat perempuan. Hati aku kau ibaratkan seperti hati nyamuk. Tidak mengapa kerana aku ada Allah yang tak pernah berhenti mencintai aku.”

 

Aku tersenyum sinis memandang wajah perempuan durjana itu yang sedang mengesat darah pekat yang mengalir di hujung bibirnya. Ada rasa kasihan. Tapi mungkin itu sebagai pengajaran buat perempuan yang alpa pada satu akalnya sehingga menurut semua rasa nafsu yang ada.

 

Wahai dunia, inilah cerita alam rumahtangga yang pasang surutnya kadangkala tidak mampu untuk diselongkarkan pada semua. Aib yang perlu dijaga agar maruah tidak tercalar. Di hujung jalan cerita, hati nyamuk ini yang tercalar.

 

Aku ingin dongengkan pada semua, bahawa cinta pada mata kasar itu tidak mampu membimbing kamu ke syurga. Yang cantik akan hilang serinya. Yang muda akan tua mengikut putaran waktu. Tidak ada yang sempurna. Alangkah indahnya, jika cinta anugerah Allah itu kita semai dan jaga agar kembangnya harum mewangi memberi seribu makna. Aku hadir sebagai pelengkapmu. Bimbinglah aku menuju syurga abadi.

 

Ini kisahku, kisah hati nyamuk yang seringkali disakiti.Adakah kerana aku wanita? Apapun yang benarnya inilah permainan dunia. Akhirat jua yang perlu dicari. Kini aku sendiri menjalani hari demi hari dengan sebuah ikatan tanpa cinta. Hati aku, hati nyamuk. Lukakanlah. Parahkanlah. Aku tahu, walau siapa pun aku di hatimu. Aku adalah insan hina yang pertama yang akan bersamamu di saat susah dan senangmu. Bukan perempuan itu. Bukan jua sesiapa. Mungkin kau akan temui bunga yang jauh lebih cantik dan baik dariku. Tapi kau tidak akan temui isteri yang sabar dan tabah seperti aku.

 

Perempuan itu masih ada. Ingin aku meminangnya. Bukan kerana aku suka. Tapi kerana aku sudah lelah bersekutu dalam dosa. Aku lepaskan ego dan jiwaku yang tamak dengan cinta. Aku sedar, hati aku hati nyamuk. Aku lepaskan dia untuk dikongsi bersama. Bukan menyerah tapi pasrah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.