Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia
Bab 54

"BILA kau nak mati, hah? Bila kau nak berhambus dari hidup aku!"

Tumbukan demi tumbukan Indira yang diterima oleh Yazir. Habis wajahnya berlumuran darah. Tapi itu tidak membuatkan Indira berasa simpati dengannya.

"Akak, sudah akak!" Haura memeluk tubuh Indira dari belakang. Namun, Indira lebih kuat menolak dirinya sehingga dia jatuh terduduk.

"Jangan halang aku nak bunuh dia!" tempik Indira bagaikan sudah hilang kawalan diri.

"Uuuhuk! Urgh!" Tersembur darah dari mulut Yazir apabila Indira melepaskan tumbukan bertubi-tubi pada dadanya tanpa henti. Ibarat sedang menumbuk punching bag. Dipandangnya wajah Yazir dengan penuh rasa kebencian.

Anak-anak buah Qarizh cuba untuk menenangkan Indira. Namun, Haura menghalang. Biar dia sendiri yang menenangkan Indira.

"Akak sudah, akak. Jangan bunuh dia. Akak bukan pembunuh. Abang Qar dah dibawa ke hospital. Kita pergi hospital, ya," pujuk Haura sambil menarik lengan Indira perlahan.

Mendengarkan nama Qarizh, serta-merta tumbukan Indira menjadi perlahan dan terhenti. Ditolehnya ke belakang. Qarizh tiada lagi di situ. Yang ada cuma limpahan darah. Segera dia mengalihkan pandangannya pada wajah Haura dengan debaran di dada. Dia sepatutnya mengutamakan nyawa Qarizh daripada melepaskan amarahnya pada Yazir. Kenapa dia boleh gagal mengawal diri?

"Bawa akak. Cepat, bawa akak!" tengking Indira pada Haura.

Haura sekadar menganggukkan kepala. Dia langsung tidak terasa dengan tengkingan Indira. Dia tahu fikiran kakaknya itu sedang kusut.

"Jom, kak." Haura memimpin Indira keluar dari rumah. Sempat lagi dia memberi isyarat mata kepada Saif agar menghantar mereka ke hospital.

"Kau orang uruskan mamat tu. Jangan sampai dia terlepas. Abang Kizo dalam perjalanan ke sini. Jaga-jaga. Jangan biar dia mengamuk tak tentu pasal."

Kawan-kawannya menganggukkan kepala. Akur dengan arahan yang diberi oleh Saif. Segera mereka mengepung sekeliling Yazir. Lelaki itu sudah tidak sedarkan diri. Darah banyak mengalir keluar dari celah hidung dan sekitar wajah. Begitu juga dengan tubuh badannya.

"HUBBY! Haura, mana dia?" Indira sudah seperti seorang ibu kehilangan anak. Dipandang ke kanan dan ke kiri beberapa kali. Mencari Qarizh yang tidak tahu keberadaannya di mana.

Haura mengejar langkah Indira yang sudah jauh ke depan. Izz yang baru saja sampai turut mengejar Indira dan Haura dari belakang.

"Akak, sabar kak! Jangan lari. Tunggu, Haura!" panggil Haura. Berkali-kali diseru kakaknya itu agar memperlahankan langkah. Namun, Indira hanya membuat tuli saja.

"Indira Callista, boleh sabar tak? Sabar!" Izz meninggikan sedikit suaranya agar dapat menyedarkan Indira. Ditarik lengan adiknya itu masuk ke dalam dakapannya.

Indira memukul-mukul dada abangnya itu. Haura berdiri di belakang mereka. Mengawal nafasnya yang tercungap-cungap.

"Bawa bersabar, Dira. Qar ada. Dia tengah dirawat. Jangan macam ni," pujuk Izz sambil mengusap belakang tubuh adiknya itu.

"Adik nampak pisau tu tercacak atas dada dia. Macam mana Dira nak sabar? Macam mana!" Bagaikan mahu terkeluar anak tekaknya menjerit, memarahi Izz. Matanya mencerlung ke arah wajah abangnya itu.

"Habis tu dengan meraung macam orang gila ni, boleh sembuhkan Qar ke? Hah? Angah tanya ni, boleh ke?" soal Izz. Dikawal dirinya agar bersabar dengan kondisi Indira ketika ini.

"Hisk... hisk... kalau... kalau dia tinggalkan... adik lagi... macam mana? Adik tak nak... adik tak bersedia lagi, angah. Tolong adik...," rayu Indira. Digoyang-digoyangkan kedua-dua belah lengan Izz berkali-kali.

"Jangan fikir negatif, Dira. Angah yakin Qar takkan tinggalkan adik. Doa yang baik-baik, bukan fikir macam tu." Izz mengusap air mata Indira yang berjuraian mengalir tidak berhenti.

"Adik...." Pandangan Indira tiba-tiba saja berbalam-balam. Tubuhnya juga sudah tidak seimbang.

"Adik, kenapa ni?" Izz menahan tubuh Indira dari jatuh ke atas lantai.

"An... angah...."

Laju Izz menyambut tubuh Indira yang terkulai rapat ke dalam dakapannya.

"Haura, tolong aku. Panggilkan doktor. Dira pengsan."

Haura angguk. Dia berlari mendapatkan doktor yang berhampiran situ.

PERLAHAN dia mengayun kakinya masuk ke dalam wad dengan linangan air mata. Perutnya yang masih kempis, diusap. Pandangannya dihalakan ke arah sekujur tubuh yang masih terbaring kaku di atas katil. Masih lagi tidak sedarkan diri.

"Puan Indira, saya nasihatkan puan untuk tidak terlalu tertekan. Banyakkan berehat. Tekanan darah puan agak tinggi. Boleh memberikan kesan buruk pada kandungan puan yang berada di peringkat awal."

Air matanya kembali menitis ke pipi apabila suara doktor yang merawatnya tadi bermain di dalam fikirannya. Tangan Qarizh digenggam erat sebaik saja dia melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan katil wad.

"Hubby..." Bibirnya diketap. Cuba menahan esakan dari terhambur. Mata dibawa pejam rapat.

"Hubby bukan tak nak janji dengan sayang. Hubby kena risikokan diri hubby juga kalau Yazir tu muncul. Kan hubby dah cakap yang hubby takkan bagi dia sentuh sayang lagi. Kali ni, hubby betul-betul tekad. Hubby tak nak sayang tengok sakit lagi. Sayang dah banyak tersakiti."

"Biar hubby yang tanggung sakit sebab hubby lelaki. Hubby suami sayang. Sebagai suami kena lindungi isterinya. Pada masa yang sama, hubby nak tebus semua kesalahan hubby dekat sayang dulu. Hubby banyak sakiti sayang. Hubby buat sayang menangis."

Semakin deras air mata Indira apabila teringat akan kata-kata Qarizh pada dirinya. Mungkin Qarizh fikir dia sudah lena dibuai mimpi. Sebenarnya tidak. Dia hanya memejamkan mata. Memaksa untuk tidur. Kerana ketika itu juga, hatinya berasa tidak enak.

"Cinta dan sayang hubby hanya untuk sayang. Sampai mati. Tiada siapa yang boleh pisahkan kita lagi kecuali ajal dan maut."

Dicelik kembali matanya. Seraut wajah yang pucat lesi itu, ditenung lama bersama dengan air mata yang mencurah-curah sehingga menyebabkan pandangannya kabur.

"Bukan Dira saja yang tersakiti, hubby. Dulu kita sama-sama tersakiti. Bertemu kemudian berpisah. Bertemu kembali setelah 10 tahun, kemudian kita berpisah lagi. Selepas dua tahun, kita ditakdirkan untuk bertemu semula. Kita sama-sama menelan rasa pahit. Bukan Dira sorang saja. Kenapa hubby risikokan diri hubby untuk Dira? Kenapa hubby tak elak dari Yazir? Kenapa...." Indira mengongoi.

Izz yang mahu melangkah masuk ke dalam wad, terhenti di tepi pintu wad apabila telinganya menangkap bunyi esakan seseorang. Hatinya dipagut sayu mendengar rintihan Indira. Sudah lama, dia tidak melihat adiknya menangis seteruk itu.

"Hubby... kita akan jadi mama dengan papa tak lama lagi. Hubby tak nak bangun ke? Berapa lama hubby nak tidur? Dah berjam-jam Dira tunggu hubby bukak mata hubby tu. Selalu hubby cedera, hubby tak pernah tidur lama macam ni. Janganlah buat Dira takut. Dira mohon jangan tinggalkan Dira lagi. Hubby dah janji nak sentiasa ada dengan Dira." Terenjut-enjut bahu Indira melepaskan esakan. Diseka berkali-kali air matanya namun tetap mengalir.

"Dira tak nak anak kita jadi macam Dira. Kalau Dira tak dapat nak merasa kasih sayang daripada dua orang yang bergelar ibu dan ayah. Dira tak nak baby membesar tanpa seorang papa dia. Hubby kena kuat. Dira tahu hubby penat. Kali ni, hubby nak tidur lama sikit. Tak apa, Dira tetap tunggu. Tetap setia menunggu walau ambil masa berapa lama sekalipun."

Izz mendekati Indira. Tangannya naik menyentuh bahu si adik.

"Adik angah yang angah sayang sangat, janganlah menangis lagi. Hati angah sedih tengok adik angah menangis macam ni sekali. Angah tahu adik terlalu sedih. Tapi adik kena jaga nyawa yang sedang membesar dalam kandungan adik. Adik kena kuat. Kuat demi baby dan Qar. Angah yakin Qar akan bangun. Dia nak rehat. Adik bagi dia peluang berehat. Dan adik pun kenalah berehat juga."

Indira mendongakkan wajahnya yang basah dengan air mata. Perlahan dia berdiri lalu memeluk tubuh Izz dengan erat. Teresak-esak dia melepaskan esakan.

"Shhh... sudah, sayang. Jangan banyak menangis. Tak elok untuk kesihatan adik dengan baby. Adik kena berehat. Haura dengan Saif tunggu adik dekat luar tu. Angah nak adik pergi balik. Alas perut tu. Makan ubat dan vitamin yang doktor bagi tadi. Kemudian, berehat. Biar angah yang jaga Qar. Angah janji, apa-apa saja yang doktor bagi tahu angah akan call adik. Okey?" Penuh lemah-lembut Izz Benazir memujuk adik kesayangannya itu.

Indira akur. Dia kena dengar nasihat abangnya itu. Kalau terlalu mengikutkan kesedihannya, mungkin akan terjadi perkara buruk pada dirinya. Nanti kalau Qarizh bangun, pasti Qarizh sedih melihat keadaan dia begitu.

"Baik, angah. Adik dengar nasihat angah. Adik balik dulu." Digenggam tangan Izz lalu dikucup perlahan.

"Dah sampai rumah, chat abang sebelum tidur."

Indira menganggukkan kepalanya. Dibawa langkahnya keluar dari wad itu lalu mendapatkan Haura dan Saif yang sedang menunggunya di ruang menunggu.

"Haura, kita balik."

Haura senyum kecil. Dipaut bahu Indira lalu mereka jalan beriringan. Saif mengekori mereka dari belakang sambil membaca chat yang dihantar oleh Hilmi melalui aplikasi WhatsApp.

Hilmi Nazran

Akhirnya semua sudah berakhir. Si tongok tu kali ni tak dapat nak larikan diri dah. Semua beres. Dia akan berjumpa dengan mak bapak dia tak lama lagi.

Hazim Saif

Bagus. Lega aku baca chat kau ni. Akhirnya, habis juga kelicikan mamat tak guna tu. Dialah musuh yang paling susah sekali nak dilenyapkan. So, lepas ni apa plan? Abang aku ada cakap apa-apa tak tadi?

Hilmi Nazran

Fuh! Laju aje kau, kan? Plan apa doh? Aku tak tahu. Tak terfikir. Abang kau adalah pesan tadi. Tu kalau taip dalam chat ni sampai esok tak tersenarai. Nanti jumpa, aku cerita.

Hazim Saif

Hah, yalah. Eh, kau cakap dengan aku yang adik aku ajak kau kahwin?

Saif tertawa kecil apabila Hilmi menghantar emoji monyet menutup wajah. Gedik betul kawannya dia yang seorang ini. Tak sangka pula dia, kawannya itu boleh terpaut dengan adiknya itu.

Hazim Saif

Eh, kau jangan macam-macam. Hantar emoji macam tu. Gedik siot.

Hilmi Nazran

Kau ah ni. Aku dah kena tegur dengan Kizo dah sebab tersengih-sengih tak tentu pasal. Kau ni pun tanya aku salah time. Nantilah cerita. Hish! Kizo panggil aku ni. Bye!

Saif menggelengkan kepalanya. Sudahnya chat Hilmi dibiarkan tanda bluetick. Sekarang ni, dia kena hantar Indira dan Haura pulang ke rumah. Karang mengamuk Izz kalau dia tak hantar-hantar lagi Indira ke rumah. Sudahlah kakak kesayangan Haura itu memerlukan rehat yang secukupnya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.