Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 40

HAURA menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Langkah diatur ke dapur. Sunyi dan sepi. Jam yang tergantung pada dinding ruang tamu dipandang sekilas.

8:00 pagi.

Berkerut dahinya memandang angkat yang ditunjuk oleh jarum pendek itu. Kemudian, dia mengalihkan pandangannya ke arah luar tingkap. Cerah.

"Fuh... awal betul aku bangun hari ni. Memang patut pun akak belum bangun lagi. Abang tu tak tahulah dah bangun ke belum. Entah-entah dah lesap pagi-pagi macam ni. Akak tu tak lama lagi nak beranak pun dia asyik keluar saja." Haura menggelengkan kepala. Membebel pada diri sendiri sambil menarik pintu peti sejuk. Dia bercekak pinggang.

"Nak masak apa, ya?" Dia mengusap dagunya. Tangan kiri masih statik mencekak pinggang.

"Masak ajelah apa-apa."

"Oi, tenuk terbang!" Melatah Haura tidak tentu fasal dek suara garau yang tiba-tiba saja menyapa gegendang telinganya. Mujur ketika itu dia tidak memegang sebarang benda yang tajam. Kalau tak, sia-sia saja nyawa Si Kizo melayang.

"Abang ni. Terkejut adiklah. Cuba bagi salam ke apa. Ni main serang aje." Takut juga kalau-kalau Kizo mendengar kutukannya sebentar tadi. Matilah dia.

"Kau yang tak tengok kiri, kanan, atas dan bawah. Sibuk sangat membebel pasal aku. Takut sangat akak kau beranak tanpa aku ke?" perli Kizo.

"Eh, mestilah. Tu anak sulung abang. Setelah bertahun abang berkahwin, abang kenalah ada dengan akak." Haura menjeling. Dah tahu, buat-buat tanya pula. Mahu saja dia menghempuk kepala abang tirinya itu.

"Dah-dah tak payah nak membebel banyak sangat. Aku rasa tak payah masak kut. Akak kau terasa nak makan kat kedai mamak. Kau nak ikut ke? Tadi Hilmi ada call aku. Eh, kau apa cerita dengan Hilmi tu, hah? Bercinta ke?"

Haura menggaru kepalanya yang terasa gatal secara tiba-tiba. Abangnya ni menyoal mengalahkan kelajuan LRT. Tak boleh ke soal satu-satu? Dia sendiri buntu mahu menjawab soalan yang mana satu. Dan sejak bila pula dia bercinta dengan Si Hilmi tu?

"Abang ni, cuba soal satu-satu. Ini tidak. Sekali harung." Haura mencebik.

"Senang. Jimat air liur aku," balas Kizo dengan nada bersahaja. Dia menyandarkan sisi tubuhnya pada dinding dapur.

"Mana ada bercinta dengan dia. Dah selalu jumpa dengan dia dekat markas Abang Saif tu. Tu sebablah rapat dengan dia. Bukan dia je. Semua yang ada dekat situ, adik dah rapat dengan dia orang. Semua jenis masuk air. Boleh jadi genglah. Kenapa pulak dia call abang? Macamlah tak boleh call adik sendiri?"

Kizo mengangkat kedua-dua belah bahunya. "Aku tak nak kau rapat dengan lelaki keparat tu. Kau tak tahu cerita sebenar dia, jadi kau jangan nak jatuh hati dengan dia sangat. Ramai lagi lelaki lain yang boleh jadikan pasangan kau. Kalau kau pilih dia, awal-awal aku dah tolak. Aku tak suka. Kalau sekadar kawan tu, aku boleh terima lagi."

Dahi Haura berkerut hairan. Apa yang Hilmi sudah buat sehinggakan Kizo tidak suka kepadanya? Dia pernah buat sesuatu yang burukkah? Ah sudah... inilah padahnya kalau dia tak tahu asal-usul cerita yang sebenar. Nak tanya siapa, ya?

"Tak payah nak tanya apa-apa. Aku nasihat tu, dengar saja. Kalau kau ingkar, habis kau aku kerjakan. Kau ingat sikit. Aku ni abang kau walapun berlainan bapak. Kau dengan aku lahir dari rahim yang sama. Termasuk Saif." Kizo sudah berura-ura mahu mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas.

"Habis tu, dia call abang kenapa? Nak adik siap-siap ke apa ni?"

"Dia kata nak ajak kau sarapan sama. Aku dah bagi dia warning. Supaya dia bawa kawan-kawan dia yang lain. Aku tak nak korang jalan berdua. Pergilah bersiap. Lagi 20 minit dia sampai. Aku nak keluar dengan akak kau." Langkah diteruskan dengan mendaki anak tangga sehingga ke tingkat atas.

"Apa-apa sajalah abang aku yang sorang ni. Aku rasa kalau aku tanya Abang Saif, mesti dia boleh ceritakan dekat aku apa yang terjadi sampaikan Abang Kizo tak suka Abang Hilmi. Haih... macam-macam hallah. Tak boleh ke, nak bagi aku ni bernafas dengan sempurna? Hari tu, masalah Kak Dira dengan Abang Qar. Ni masalah aku dengan Abang Hilmi pula. Aku dengan dia rapat sebagai abang dengan adik saja. Mana ada lebih...," omel Haura pada dirinya sendiri.

SEBAIK saja dia memijak anak tangga yang terakhir, kepalanya dibawa pusing ke kiri dan ke kanan. Dan-danlah dia tersenyum lebar, saat anak matanya bertembung dengan susuk tubuh yang sedang melakukan sesuatu di dapur. Mungkin sedang menyediakan sarapan pagi untuk mereka berdua.

"Good morning, sayang. I love you...," ucap Qarizh dengan penuh lentuk manjanya. Pinggang Indira dari belakang dirangkulnya erat rapat ke tubuhnya.

"Eh, terkejut Dira. Sweetnya pagi-pagi ni. Tersampuk hantu mana?" perli Indira. Entah kenapa, dia kurang selesa dengan perangai Qarizh sekarang. Terlampau manja. Mungkin efek sakit demamnya itukah?

"Alahai. Kau suka kau dingin-dingin dengan kau ke? Kau juga yang tension, kan?"

"Bukan suruh dingin 24 jam. Tak adalah. Kenalah faham. Dira mana pernah rasa macam ni. Jadi...."

"Kekok?" Qarizh mencantas percakapan Indira.

Indira menganggukkan kepalanya. "Nanti lama-lama Dira biasalah. Sorry."

Qarizh senyum kecil. Kepala dibawa angguk sekali. Salah dia juga kerana tidak membiasakan perkara ini sejak awal perkahwinan mereka lagi. Ini dah masuk beberapa bulan barulah nak bermanja. Memang janggallah dibuatnya.

"Tak apa. Aku faham. Tapi... kau tak jawab lagi wish aku tadi."

"Good morning too, Qar. I love you more..."

Senyuman Qarizh bertambah lebar. Berbunga-bunga hatinya mendengar suara lembut milik Indira yang mendayu-dayu itu. Bahagia pula rasanya.

"Kau masak apa?"

"Dira goreng mi aje. Qar okey ke?"

"Apa kau masak, semua aku makan. Janji perut aku kenyang sudah. Aku tak pernah cerewet pasal makan."

Indira menganggukkan kepalanya. Dia hanya tersenyum.

"Lepas makan ni, aku nak ke pejabat. Ada benda yang belum diuruskan lagi. Kau nak ikut? Lepas aku dah settlekan masalah untuk hari ni, aku bawa kau jalan-jalan. Okey?"

"Nak, nak! Dah lama kita tak spend time sama-sama. Rindu."

"Kesian dia. Rindu aku ya, sayang. Sorry tau. Aku sayang kau sangat-sangat. Aku harap kau betul-betul boleh maafkan kesalahan aku."

Indira memusingkan tubuhnya menghadap suami kesayangannya. Senyumannya melebar. Perlahan dia menggelengkan kepala.

"Kita sama-sama salah. Dira ego. Qar pun ego. Tapi sekarang ni, kita dah mula cuba untuk bahagia bersama-sama. Lepas ni Dira harap, tiada rahsia di antara kita lagi. Masalah Qar atau masalah Dira. Kita sama-sama selesaikan bersama. Okey?"

Qarizh angguk. Dia membelai rambut Indira dengan senyuman manis.

"Okey, sayang. Terima kasih sebab sudi terima aku."

Indira angguk. "Ni Qar dah mandi belum? Demam dah kebah?"

"Kau jaga aku betul-betul. Aku tak sangka aku boleh sihat hari ni. Tak sampai seminggu. Dulu aku demam lama tau. Lepas tu, Qas...."

Jeda.

Indira senyum. Dia tahu yang suaminya sangat merindui Qasrina. Begitu juga dengan dia.

"Mesti dia bebel, kan? Tapi dia jaga Qar juga sampai sembuh."

Qarizh senyum tawar. Kepala diangguk sekali. Entah kenapa, mulutnya terlepas menyebut nama Qasrina. Ya, dia akui. Yang dia terlalu merindui satu-satunya adiknya itu.

"Aku belum mandi. Aku bangun je tengok kau dah tak ada kat sebelah. Tu aku cari kau. Mana tahu kau tinggalkan aku lagi."

"Hish, Qar ni. Mana ada tinggal. Dira kat dalam rumah ni, hah. Tak pergi mana pun."

Qarizh senyum. Dia mencuit pipi Indira. "Aku mandi dulu ya, sayang."

"Baik. Nanti turun. Kita breakfast sama-sama."

"Okey, sayang," sahut Qarizh sambil mendaki anak tangga sehingga ke tingkat atas.

BELIKATNYA disandarkan pada kerusi besi itu. Matanya membelingas ke sana sini. Memerhatikan suasana di restoran makan yang dibawa oleh Hilmi. Yang menemani mereka hanya Thakif dan Adiyan. Dia duduk bertentangan dengan Hilmi. Dan dia juga perasan dari tadi yang Hilmi sepertinya merenungnya tidak lepas. Lagi-lagi waktu makan. Rasa kurang selesa pula bila dia ditenung sebegitu rupa.

"Lepas ni, nak pergi mana weh?" soal Thakif kepada Hilmi.

Hilmi tersedar dari lamunannya tatkala namanya diseru. Entah kenapa, kata-kata Kizo terngiang-ngiang di dalam kepala otaknya.

"Aku tak kisah. Ikut saja. Korang nak pergi mana?"

"Aku dengan Yan nak singgah kedai Digi sekejap. Line aku macam ada problem. Padahal dah bayar dah bil bulan lepas."

Hilmi menganggukkan kepalanya. "Kalau macam tu, kita singgahlah dekat Aeon Taman Maluri tu. Tak jauh lagipun. 15 minit dari sini."

"Cun. Kau dah siap ke?"

Hilmi angguk sekali. Anak matanya beralih ke arah wajah manis milik Haura. Gadis itu asyik dengan suasana sekeliling. Sepertinya mahu mengelat bertembung mata dengannya.

"Haura..."

"Ya?"

Hilmi senyum. "Haura okey ke?"

Haura membalas senyuman Hilmi. Kepalanya dibawa angguk sekali. "Haura okey saja. Dah sudah ke? Nak pergi mana?"

"Dia orang nak pergi kedai Digi. Haura ikut abang, boleh?'

"Boleh saja. Jomlah..."

Serentak mereka bangun. Hilmi melangkah ke kaunter pembayaran diikuti Haura dari belakang. Thakif dan Adiyan sudah saling berbalas pandangan sambil tersenyum-senyum simpul.

"Aku harap Hilmi dah jumpa kebahagiaan dia," ujar Thakif.

"Dan aku harap budak kecik tu boleh terima Hilmi tu."

Kata-kata Adiyan membuatkan Thakif berfikir sejenak. Ada betul juga kata Si Adiyan itu. Haura masih tidak tahu lagi tentang silam Hilmi dua tahun lepas. Lelaki itu pernah mengkhianati kumpulan mereka sendiri. Kalau Haura tahu, tak pastilah apa yang akan terjadi.

"Haura tu, aku dapat rasa yang dia boleh terima Hilmi," kata Thakif.

"I think so too." Adiyan bersetuju.

SAMPAI saja di Aeon Taman Maluri, Adiyan dan Thakif sudah membawa haluan mereka berdua ke kedai Digi yang terletak di aras dua. Tinggallah Hilmi dan Haura beriringan berjalan tidak tahu hala tuju mereka.

"Haura nak beli apa-apa?" soal Hilmi. Mahu memecahkan kesunyiannya yang merajai antara mereka berdua.

Haura toleh. Dia menggelengkan kepalanya. "Tak ada plan nak beli apa. Abang?"

"Abang pun sama." Hilmi tertawa kecil.

"Kita makan aiskrim sundae kon MCD tu nak?" ajak Haura. Mahu menyerap aura keceriaan di antara mereka. Entah kenapa dia terasa janggal bersama dengan Hilmi. Inilah pertama kali dia berjalan berdua dengan lelaki itu.

"Boleh saja. Haura nak perisa apa?"

"Chocotop."

Hilmi menganggukkan kepalanya. Terus saja dia melangkah ke kaunter yang sememangnya khas untuk membeli aiskrim. Mujur tidak ramai orang beratur di situ.

Haura mengambil tempat duduk di bangku coklat yang tidak jauh dari restoran MCD. Dia menopang dagu di atas betisnya sambil memerhatikan Hilmi yang sedang mengeluarkan dompetnya setelah selesai membuat pesanan.

"Kalau nak diikutkan, Abang Hilmi memang handsome. Tapi... takkan dia tak ada awek? Biasalah lelaki macam dia, awek sorang pun tak cukup. Keliling pinggang kalau boleh. Dan sebab apa pula Abang Kizo tak suka kat dia? Dia dah buat apa, eh? Haih...."

"Mengeluh apa tu?" tegur Hilmi. Dari tadi, dia perasan Haura sedang memerhatikannya tanpa lepas walau sesaat.

"Tak ada apa." Haura senyum.

Senyuman manis Haura membuatkan Hilmi terpegun seketika. Jantungnya berdetak tidak seirama. Adakah ini dinamakan cinta? Tapi... sanggupkah dia mengkhianati cintanya pada arwah Qasrina?

"Terima kasih, abang." Haura mengambil salah satu kon aiskrim berperisa Chocotop itu daripada tangan kanan Hilmi.

"Sama-sama," jawab Hilmi bersertakan senyuman kecil.

"Sedap?" soal Hilmi apabila melihat Haura sudah pun menjilat aiskrimnya.

"Sedap sangat. Ni kesukaan Haura. Hehehe..."

Hilmi menganggukkan kepala. Kesukaan Haura ini akan dia sematkan dalam ingatannya. Mana tahu, lain kali dia boleh beli tanpa bertanya pada gadis itu.

"Haura tak ada kekasih hati?"

Mujur Haura dapat mengawal perasaan terkejutnya apabila Hilmi bertanyakan soalan itu tanpa apa-apa signal. Selamba badak saja lelaki itu menanyakan soalan privasi tersebut. Sensitif tau!

"Tak. Haura tak ada kekasih hati. Haura tak terfikir lagi nak bercinta. Entahlah. Lagipun, abang-abang Haura ni strict sikit pasal hal-hal bercinta ni. Apa-apa kena direct dia orang dulu. Macam nak mintak restu berkahwin. Macam tulah gayanya." Haura tersengih.

Hilmi menganggukkan kepalanya. Tak tahu pula dia yang Saif merupakan seorang yang strict. Tapi kalau nak dibandingkan dengan Kizo, semestinya Kizo yang lebih tegas dan garang dengan adik-adiknya.

"Jadi, Haura tak terasa ke nak ada kekasih hati?"

"Kalau ada jodoh, insya-Allah ada." Haura senyum.

"Kalau abang cakap yang abang suka dekat Haura?"

Haura terdiam. Sedaya-upaya mengawal degupan jantungnya ketika ini. Seperti mahu melantun keluar dari tubuh badannya.

"Suka yang macam mana?"

Hilmi melepaskan tawanya secara tiba-tiba. Rasa mahu hempuk saja kepalanya dengan batu-bata. Dah gila agaknya. Selamba saja dia bercakap seperti itu. Dia sendiri pun tak sedar. Aduh... mana dia nak letak muka dia sekarang ni?

"Tak adalah. Abang gurau saja. Dah habis makan aiskrim tu?" Laju saja Hilmi mengubah topik. Harapnya Haura tidak mengambil serius dengan pertanyaannya itu.

"Abang ni kuat bergurau, kan? Terkejut tau. Dah habis dah. Jom jalan-jalan..."

Hilmi hanya menganggukkan kepalanya. Fuh... nasib baik Haura hanya menganggap luahannya tadi sebagai lelucon.

Haura mengelap bibirnya dengan tisu basah yang sememangnya dia bawa ke mana saja. Sehelai lagi tisu basah ditarik lalu dihulurkan kepada Hilmi.

"Bibir abang comot."

Hilmi senyum. Tisu yang berada di tangan Haura diambil. Tanpa sengaja, tangannya terkena sentuhan kulit tangan Haura. Masing-masing tergamam hanya seketika sebelum Haura melepaskan tawanya.

"Comellah abang ni bila comot. Macam budak-budak," ejek Haura.

Hilmi hanya tersengih. 


Previous: BEM 39
Next: BEM 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza