Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Islamik Indahnya Takdir Ini
Indahnya Takdir Ini
Nur Amina
21/6/2018 18:58:56
1,993
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 4

 Amira terus bergerak ke biliknya di tingkat atas. Biliknya ialah bilik pertama sebaik sahaja menaiki tangga, kemudian ada dua bilik selepas biliknya. Kemudian di bahagian yang lain di tingkat bawah tanah ada satu bilik lagi dan dua bilik di tingkat satu.  Memang cukup luas untuk penginapan saudara-mara.

            Semasa Amira melalui bilik di sebelahnya, dia terdengar suara lelaki berbicara.

            ‘Astaghfirullah, pasukan tilawah menginap di bilik sebelah kamarku rupanya. Aku perlu lebih berhati-hati apabila bersuara di dalam bilikku nanti,’ bisik hati Amira.

            Eikkkk... Tiba-tiba pintu itu terbuka. Furqan dan Faiz rupanya.

            “Oh, Mira kan? Ni nak tanya sikit boleh? Di mana kami boleh jumpa dengan Datuk Azman. Kami nak berbual mengenai hari esok sedikit?” tanya Faiz. Furqan hanya terdiam di samping Faiz sambil merenung sekitar rumah.

            “Oh, papa. Sekejap ya. Faiz dengan Furqan boleh tunggu dekat ruang tamu. Biar saya panggilkan papa. Ada dalam bilik agaknya,” kata Amira.

            “Baiklah,” kata Faiz lalu berganjak dari situ.

            Amira terus berjalan menuju ke kamar mama dan papa yang terletak di tingkat satu. Apabila ingin memulas tombol pintu, Amira terdengar bualan mama dan papa. Niatnya yang tadi hendak memanggil papa tertangguh seketika kerana tidak mahu mengganggu perbualan mama dan papa. Baru sahaja hendak menggerakkan langkah pertama beredar dari situ, Amira terdengar suara mama yang bercakap tentang Furqan. Langkahnya terhenti serta-merta.

            “Papa, mama tengok bagus betul budak Furqan tu. Bahasanya, pergaulannya dan adabnya. Memang sempurna. Sangat sesuai untuk anak kita, Mira. Lagipun... “ kata mama menarik perhatianku.

            “Mama, semua orang tak sempurna. Mana mama tahu semua tu. Baru sehari jumpa, dah pandai menilai orang. Papa tak jumpa pun dengan budak-budak tu lagi. Ingat, nak jumpalah ni. Nanti lewat malam, ganggu mereka pula,” kata papa.

            “Pa, maksud mama. Kita satukan mereka berdua tu lah papa. Mama tengok Mira tu tak kisah sangat dan nampaknya macam suka pada si Furqan tu,” cerita mama.

            “Mama...” kata papa. Namun, Amira tidak dapat mendengar sehingga ke penghabisan ayat dek suara lain yang mencuit.

            “Tak baik, dengar perbualan orang…” suara itu mengejutkan Amira. Dirinya kaku seketika kerana dia sangat mengenali suara itu. Lalu, dengan perlahan Amira menoleh wajahnya ke arah pemilik suara tersebut. Memang tidak dinafikan, pemilik suara itu ialah Furqan. Secara tiba-tiba, pipinya terasa hangat dan menebal. Amira terdiam tanpa sebarang bicara. Jarak di antara bilik papa dan ruang tamu memang tidak jauh. Perbualan antara mama dan papa terus menyepi dari pendengaran Amira.

            Furqan berbicara lagi.

“ Kenapa lambat sangat? Datuk Azman ada di dalamkan? Kenapa tak panggil sahaja? Sekarang sudah jam 8.15 dan sekejap lagi, masuk pula waktu Isyak. Kami nak bergerak ke masjid.”

            Panas saja muka ini kerana rasa malu yang mula menebal dalam diri.

            “Aduuh, mana nak letak muka ni. Malunya,” Amira bermonolog sendiri.

            “Ehh, aaa... Ada. Sekejap ya. Hmm, saya panggilkan. Minta maaf sangat sebab tunggu lama,” Amira gagal mengatur kata-katanya dengan baik dek masih terkejut dengan sapaan Furqan. Apabila melihat Furqan beredar dari situ sambil menggeleng, nafas lega dihembusnya dengan puas. Amira lantas mengetuk pintu bilik mama dan papa.

            Tok tok tok.. Pintu diketuk dengan iringan salam,

            “Assalamualaikum mama, papa. Boleh Mira masuk?”

            Sebaik sahaja dibenarkan masuk, Amira terus memberitahu papa tentang Faiz dan Furqan. Selepas itu, Amira terus menuju ke kamar untuk menunaikan solat Isyak dan membaca al-Quran untuk menguatkan lagi hafazan.


**********

Kelmarin, Abang Hafiz selesai diijab kabulkan dengan Kak Lisa. Pasukan tilawah telah melakukan demonstrasi bacaan ayat al-Quran dengan begitu baik.

            “Abang, apa rasanya dah jadi suami? Seronok?” Amira sengaja menyakat Abang.

            “Dari tadi tak habis-habis nak menyakat abang. Jangan main-main dengan abang. Nanti, masa Mira kahwin, baru Mira tahu langit tinggi atau rendah,” kata Abang Hafiz sambil meletakkan lengannya di atas bahu Amira.

            “Ceh, Mira melawak je. Tapi abang, Mira serius sekarang ni. Apa sebenarnya perasaan apabila sudah mendapat tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga?” ujar Amira sambil menatap mata Abang Hafiz.

            “Mira, nak mendirikan masjid memang mudah tapi nak pertahankan tiang-tiang yang kita dirikan itu yang sukar. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga tak sama macam tanggungjawab menjaga kambing. Tanggungjawab ini besar sehingga melibatkan syurga dan neraka. Pada mulanya abang pun takut, sekiranya pernikahan ini akan hancur begitu sahaja,” terang Abang Hafiz kepadaku dengan teratur.

            “Tapi, abang persiapkan diri dengan sebaik mungkin. Abang cari ilmu banyak-banyak agar abang dapat memandu keluarga abang ke jalan syurga. Jadi, bila abang dah sedia, timbullah keyakinan untuk abang mendirikan rumah tangga dan dari situ datangnya keberanian untuk abang memiliki seorang isteri,” sambungnya lagi.

            “Bagusnya abang. Untung Kak Lisa dapat suami macam Abang Hafiz.”

            Termenung Amira memikirkan Abang Hafiz dan Kak Lisa.

            “Oitt. Menung apa tu? Abang tak habis cerita lagi ni, dik oi,” kejut Abang Hafiz.

            “Astaghfirullah hal azim.”

            “Abang,  Mira bukannya termenung. Mira fikirkan apa yang abang katakan. Kak Lisa patut bersyukur sebab berpunyakan Abang Hafiz yang mithali. Mira harap, bakal suami Mira nanti hampir sama dengan abang,” kata Amira kepada Abang Hafiz.

            “Aik, hampir sama? Kenapa tak sama saja?” kata Abang Hafiz sambil merenung tajam ke mata adiknya.

            “Mana boleh sama. Abang tak pandai memasak. Suami Mira nanti takkanlah tak pandai masak. Nanti kalau Mira berpantang, siapa nak masak?” kata Amira sambil menolak muka Abang Hafiz yang dari tadi merenung tajam ke arahnya. Abang Hafiz bagaikan memendam geram yang mendalam terhadap adiknya yang bijak berceloteh itu.

            “Mira ni, dari tadi kata fasal abang. Mira ni, pandai sangat ke masak? Dah bersedia nak jadi bini orang. Hei, kalau nak yang pandai memasak, tu orang dekat atas tu pandai. Kelmarin, dia masak ayam masak merah madu untuk keluarga kita. Mira keluar dengan Kak Lisa kelmarin. Rugi sangat tak dapat rasa masakan dia,” kata Abang Hafiz.                  


                  “Malaslah, cakap dengan abang. Tak habis-habis dengan Furqan,” Amira mencebik.

            “Abang tak kata Furqan. Mira yang cakap,” kata Abang Hafiz dengan memek muka yang menyakitkan hati.

            “Abang!!!” jeritku. Amira malu habis.

            ‘Macam manalah aku boleh meneka Furqan begitu je. Aduuhh, Mira. sedarkan diri,’ bisik hatinya sendiri sambil menekan bibir sekuat hati.

            “Dahlah, abang. Esok abang nak bersandingkan? Pergilah tengok apa yang patut. Kalau dah takde apa-apa nak dicakapkan, Mira naik atas dulu. Lupa pula, Mira belum solat asar,”

            “Ya Allah, budak bertuah betul. Dia yang ajak bersembang, dia pula yang marah kita..,” balas Abang Hafiz sambil tergelak sinis.

            Amira tidak mengendahkan Abang Hafiz yang dari tadi tertawa sinis. Malu yang dia rasa masih belum hilang.




P/s : mohon tinggalkan komen untuk pembaikan terhadap penulisan :)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.