Home Novel Islamik Indahnya Takdir Ini
Indahnya Takdir Ini
Nur Amina
21/6/2018 18:58:56
8,545
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 3

"Kesian mama terpaksa jaga rumah ini seorang diri," bisik hati Amira tatkala merenung segenap ruang dalam rumah yang begitu luas tambahan lagi, papa pula selalu ada mesyuarat. Mama sememangnya seorang wanita yang tabah yang tahu tanggungjawab dan amanah yang terpikul.

            " Assalamualaikum …"

            Kedengaran suara orang memberi salam dari luar. Amira yang berjilbab dari tadi terus menuju ke pintu rumah. Manakala, mama terus menuju ke biliknya untuk mendapatkan tudung. Amira menyambut kedatangan keluarga sebelah mama. Ada yang datang dari Terengganu, Kedah dan Perak. Amira tahu perjalanan yang mereka tempuh itu bukan pendek. Jadi, layanan yang terbaik perlu diberikan kepada mereka.


            “Apa khabar, Mira? Wah, anak dara ni makin cantik, kurus pula tu. Hang ni tak makan apa-apa ka kat maktab tu. Amboi, kalau macam ni, bolehlah Mak Teh hantar Khairul  pi sana. Biar kempis sikit perut dia,” kata Mak Teh. Amira sangat memahami loghat utara. Mana tidaknya, dia sudah menetap di sana selama hampir 6 tahun.

            “Mana ada Mak Teh. Biasalah, kalau cari ilmu. Mana nak fikirkan makan. Makan untuk isi perut saja. Tak adanya nak fikir makan yang sedap-sedap,” kata Amira bertemankan senyuman di bibir.

            “Baguihlah kalau macam tu. Lepas ni, nak sambung pi mana?” tanya Mak Usu pula.

            “Entahlah, Mak Usu... Lagi sebulan Mira ambil STAM. Lepas ni, tamatlah pengajian di sana. Kalau dapat bagus nak sambung ke Mesir ataupun Madinah. Kalau dapat UIA pun bagus juga,” kataku.

            “Seronok betui, Mak Long dengar cerita hang ni. Tak pa, biar susah dulu, senang kemudian. Lepas tu, baru boleh buat kenduri,” kata Mak Long lalu tertawa.

            " Kenduri? Kenduri tu hari lusa  lah Mak Long.." Amira kehairanan.

            " Maksud Mak Long kenduri hang la…"

            Amira terpana mendengarkannya. Mukanya terasa panas menahan malu. Ahli keluarga yang lain turut ketawa. Kepalanya hanya menunduk. Lidah kelu untuk berkata-kata. Amira tidak faham mengapa masing-masing gemar berbicara soal perkahwinannya yang masih belum dalam perancangannya sendiri. Mereka bagaikan menganggap bahawa perkahwinan itu sebagai perkara biasa. Pada Amira, tidak!!! Perkahwinan itu merupakan medan yang akan meletakkan dirinya sebagai insan bergelar isteri yang terpikul amanah di bahunya. Amanah ini bukan perkara yang boleh dipandang enteng. Amira rasakan bahawa dirinya masih mentah untuk memikul amanah tersebut. Tuhan itukan lebih mengetahui.

            Amira cuba untuk senyum agar perasaan malunya tadi tidak begitu menyerlah. Dia menoleh ke sisi. Kelihatan mama sedang asyik berborak dengan Mak Lang. Tiba-tiba, mama bersuara kepadanya.

            “Mira pergi telefon Abang Hafiz, suruh balik cepat. Lepas tu, tanya bila pasukan tilawah tu nak sampai. Ni dah nak masuk maghrib ni,” kata mama.

            Amira mengangguk lalu menuju ke penjuru ruang tamu untuk mencapai telefon rumah. Tidak semena-mena, kakinya tersadung pada objek di lantai yang tajam.

            “Allah !!!”  

            Amira terduduk tanpa bicara. Darah merah mula mengalir di tapak kakinya. Dengan perlahan, Amira menarik jarum yang tertusuk di tapak kakinya itu.

            “ Aduuuhhh…” keluhnya. Lama-kelamaan, darah tersebut mengering dan berhenti daripada terus mengalir. Amira cuba untuk bangun dengan berhati-hati.

Cuaca berangin yang bertiup di dalam rumah menyebabkan tudung labuhnya tersingkap lalu menutup pandangannya. Dengan segera, Amira membetulkan tudungnya.

         “ Huh..” getus hatinya kerana lega tiada siapa yang memerhatinya dalam keadaan demikian.

 Pandangan Amira kemudian tertumpu ke luar rumah. Kelihatan Abang Hafiz sudah balik bersama rakan-rakannya mungkin. Amira berasa ganjil. Secara tidak semena-mena, muncul satu perasaan aneh dalam dirinya. Perasaan yang sukar diterjemahkan melalui kata-kata. Akhirnya, perasaan itupun terungakai apabila dia mendapati, antara rakan-rakan yang bersama dengan Abang Hafiz di luar rumah itu adalah Furqan. Amira cuba untuk keluar daripada belenggu syaitan yang sentiasa membisik.  

            “Kau boleh lakukan, Mira,” katanya sendiri untuk memberi kekuatan kepada dirinya.

            Amira terus mendapatkan mama. Pergerakannya sedikit terbatas dek tapak kakinya yang terluka.

            “Assalamualaikum,” ucap Abang Hafiz sambil mengangkat tangan.

            “Waalaikumusalam,“ jawab mama. Amira hanya menjawab di dalam hati. Dia setia berdiri di samping mama.

            Melihat Abang Hafiz mula memasuki rumah, Amira menghampiri Abang Hafiz dengan terhenjut-henjut.  Sementara itu, rakan-rakan Abang Hafiz menunggu di luar rumah. Amira bersalam dengan Abang Hafiz.

            “Macam mana, pelajaran, okey? Nanti bila dapat keputusan yang bagus, abang bagi hadiah,” kata Abang Hafiz yang pandai mengambil hati. Tangannya perlahan mengusap kepala Amira. Kata-kata itu sering keluar daripada mulut Abang Hafiz. Sehinggakan Amira cukup muak dengan ungkapan itu. Ini kerana, hadiah yang sering diungkapkan hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam .

            “Abang, peperiksaan yang lepas punya hadiah pun tak bagi lagi. Sudahlah...” balas Amira kepada Abang Hafiz. Tersengeh Abang Hafiz mendengarkan kata-kata adik perempuan kesayangannya itu.

            Mama kemudian mencelah.

            “ Hafiz, mereka tu kawan kamu ke? Kenapa tak jemput masuk?”

            “Ha-ah”.

            “Perkenalkan mama,  inilah pasukan tilawah. Mereka telefon tadi bila mereka sudah tiba di KL Sentral. Hafiz pun kebetulan dah nak balik, terus ambil diorang. Setakat 5 orang, Wellfire Hafiz tu boleh tampung,” kata Abang Hafiz memalingkan wajahnya ke arah mereka.

            “Ooh...” mama mengangguk.

“Ini Faiz, graduan Universiti Islam Madinah. Ini Amir, seorang al-hafiz dan bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Islam Malaysia. Ini pula Muhaimin, yang paling muda, baru berusia 8 tahun. Tapi suaranya, Subhana-Allah. Ini Muhammad, dia ni adik kepada Faiz dan masih belajar di sekolah menengah agama. Ini pula istimewa sikit, nama dia Furqan. Mira mesti kenal. Dia ni pelajar semaktab dengan Mira. Betul tak Mira?” jelas Abang Hafiz.

            Amira mengangguk.


            Abang Hafiz dan mama melayan tetamu itu di ruang tamu. Sementara Amira terus ke dapur untuk membuat satu jag air untuk pasukan tilawah.Jarak antara dapur dan ruang tamu tidaklah begitu jauh. Sehinggakan, Amira dapat mendengar perbualan antara mama dan pasukan tilawah. Tatkala mama menyebut nama Furqan, Amira tertarik untuk mengambil tahu perbualan mereka.

            “ Jadi, Furqan ni kenallah dengan Amira?” tanya mama membuka bicara.

            “Betul datin tapi kami jarang berbual. Setakat beri salam begitu sahajalah,” jawab Furqan.

            “ Eh, tak perlu nak panggil datin. Panggil saja mak cik. Tiada masalah…” kata mama.

            Suara Furqan begitu sopan apabila berbicara apatahlagi, berbicara dengan orang yang jauh lebih tua. Itu adalah antara faktor yang menggamit hati Amira dari dulu lagi.

            “ Astaghfirullah. Mira, ingat Allah. Ingat, kesopanan berbicara itu biasa sebagai simbol budi bahasa terhadap orang yang lebih tua,” tegas diri Amira sendiri supaya tidak terhasut dek bisikan syaitan.

            Setelah selesai membuat air, Amira menyerahkan jag air tersebut kepada Bik Shima. Dia tidak mampu untuk menonjolkan diri di hadapan Furqan lagi. Jadi, dia meminta bantuan Bik Shima untuk membawakan jag air tersebut ke ruang tamu. Setelah itu, Amira terus menuju ke tingkat atas. Dia ingin melihat keadaan saudara-maranya di bilik mereka.

            “Mak Teh, dalam almari ada telekung. Kalau nak pakai, ambillah. Lepas tu, jangan lupa pula. Tandas tu, kongsi dua bilik. Nanti kalau nak guna, kunci pintu satu lagi. Nanti, jadi drama pula dalam rumah ni,” kata Amira apabila melihat Mak Teh sedang menuju ke tandas, ambil wuduk agaknya.

            “Terima kasih, nanti kalau ada apa-apa Mak Teh panggil ya,” kata Mak Teh dengan senyuman di wajah.


Malam itu, mereka mendirikan Solat Maghrib secara berjemaah di ruang tamu bersama dengan pasukan tilawah yang diimamkan oleh Faiz. Usai Solat Maghrib, masing-masing melakukan urusan masing-masing. Amira pula berminat untuk berada di ruang tamu sambil menonton televisyen memandangkan segala persiapan sudah tersedia. Tiba-tiba, Amira disapa oleh Abang Hafiz. Tanpa banyak bicara, Abang Hafiz terus duduk di samping Amira.

            “Mira. abang nak tanya dengan Mira boleh?” tanya Abang Hafiz.

            “Apa abang? Selagi Mira boleh jawab, Mira jawablah,”

            “Umur Mira sudah menjangkau 18 tahun. Lepas ni, Mira nak sambung pelajaran. Hey, kalau nak sambung belajar bukannya setahun, dua adik. Paling kurang sekalipun, mesti 4 tahun. Paling lama 10-11 tahun. Mira tak nak kahwin dulu ke? Abang tengok Furqan tu, sesuai sangat dengan Mira. Dari gayanya, cara berkomunikasi dan adab yang ditonjolkan sangat sesuai untuk Mira. Mira, nanti bila dah tua, susah nak cari jodoh? Tak ke merana dapat gelaran andartu ” kata Abang Hafiz.

            Amira terkejut apabila dikemukan soalan sedemikian. Dia cuba untuk mencari jawapan bagi soalan abangnya itu.

            “Abang, jodoh itu kan takdir Allah SWT. Hadis riwayat Anas bin Malik ra,

‘ Sesungguhnya Allah Taala mengutus seorang malaikat di dalam rahim. Malaikat itu berkata: Ya Tuhan! Masih berupa air mani. Ya Tuhan! Sudah menjadi segumpal darah. Ya Tuhan! Sudah menjadi segumpal daging. Manakala Allah sudah memutuskan untuk menciptakannya menjadi manusia, maka malaikat akan berkata: Ya Tuhan! Diciptakan sebagai lelaki ataukah perempuan? Sengsara ataukah bahagia? Bagaimanakah rezekinya? Dan bagaimanakah ajalnya? Semua itu sudah ditentukan dalam perut ibunya. Abang jangan risau. Kalau dinamakan jodoh takkan ke mana, walaupun berlari serata dunia. Jodoh itu pasti ditemukan Allah suatu hari nanti. Sekiranya masa sudah sampai untuk Mira berkahwin, pasti itu adalah masa yang tepat untuk Mira mendirikan rumah tangga. Abang boleh cakap Furqan, tapi siapa tahu, Allah tentukan yang lain. Allah itu Maha Mengetahui. Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya kerana dia yang menciptakan kita” ujar Amira dengan lembut tutur kata.

            “ Pandainya adik abang ni beracakap. Mira, abang cuma fikirkan Mira je. Lepas ni, abang belum tentu ada masa untuk Mira. Sebab itulah, sebelum abang bergelar suami orang, abang nak bagi nasihat untuk adik abang. Abang takut Mira tersalah pilih je,” ungkap Abang Hafiz.  Kata-katanya menenangkan hati Amira. Dia tahu setiap kata-kata abangnya itu sungguh istimewa untuknya. Kata-kata itulah yang pernah menemukan mutiara keikhlasan yang Amira cari selama ini untuk menuntut ilmu agama. Dia bagaikan putera titipan Allah untuk Amira. Namun, tak lama lagi putera ini akan menjadi raja kepada seorang permaisuri yang sangat bertuah.

“Abang… jangan risaukan Mira. Sekarang ni, abang fokuskan urusan perkahwinan abang. Esok pagi akad nikah. Fikirkan tanggungjawab yang akan abang galas selepas ini. Mira dalam carta tanggungjawab abang akan turun sedikit lepas ni. Ingat, mama, papa dan isteri, itu yang perlu diutamakan. Mira dah besar panjang. In Sha Allah, Mira dapat buat keputusan dengan baik. Abang doakan Mira. In Sha Allah, Allah sentiasa bersama dengan Mira,” Amira lalu menjatuhkan kepalanya ke atas bahu Abang Hafiz.

            “ Abang sentiasa doakan yang terbaik untuk Mira dan abang percaya Mira dapat lakukannya. Kuatkan iman di dada. Jangan karam di lautan kemungkaran yang akan menjauhkan Mira daripada landasan kebenaran,” ujar Abang Hafiz sambil mengusap-usap kepala adiknya itu.

            Amira membiarkan kelepek tudungnya menjadi tidak betul dek usapan tangan abang di kepala kerana ketenangan yang dia rasakan saat bersama Abang Hafiz itu sangat lama dirinduinya. Bagi Amira, susah sebenarnya untuk mencari kasih sayang seorang abang yang jujur seperti Abang Hafiz. Dia sangat menghargai kehadiran Abang Hafiz sebagai abangnya.

            “Lepas ni, abang tak boleh dah nak bermanja dengan Mira atau nak bergurau dengan Mira. Selepas ni, giliran Kak Lisa pula untuk dimanjakan. Cemburulah Mira dengan Kak Lisa lepas ni,” kata Amira dengan nada yang perlahan .

            “Sebab tu, abang suruh kahwin. Ha, bolehlah bermanja dengan suami,” usik Abang Hafiz.

            “Abang! Abang! Tak habis-habis dengan kahwin. Tak apalah, malas pula nak borak dengan abang?” balas Amira dengan nada marah manja.

" Gurau pun nak marah…"

            Amira terus bergerak ke biliknya di tingkat atas. Biliknya ialah bilik pertama sebaik sahaja menaiki tangga, kemudian ada dua bilik selepas biliknya. Kemudian di bahagian yang lain di tingkat bawah tanah ada satu bilik lagi dan dua bilik di tingkat satu.  Memang cukup luas untuk penginapan saudara-mara.

            Semasa Amira melalui bilik di sebelahnya, dia terdengar suara lelaki berbicara.

            ‘Astaghfirullah, pasukan tilawah menginap di bilik sebelah kamarku rupanya...

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nur Amina