Home Novel Islamik Indahnya Takdir Ini
Indahnya Takdir Ini
Nur Amina
21/6/2018 18:58:56
8,546
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 1

Allah tidak pernah menjanjikan bahawa langit itu selalu biru,

Dan mentari selalu bersinar.

Tapi ketahuilah bahawa Allah selalu memberi pelangi di setiap badai,

Senyuman di setiap titisan air mata,

Pahala di setiap ujian

Dan jawapan di setiap doa.....

Subhanallah, begitu tertib dan cantik takdir yang diberikan oleh Allah buat setiap hambaNYA. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al-Quran dan hadis. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan dan sikap yang tiada batasnya.


Hari demi hari berlalu. Gadis itu tetap setia berada di negeri semenanjung utara untuk menimba ilmu dunia dan akhirat. Cita- citanya yang begitu tinggi dalam perjuangan mujahadahnya sebagai hamba Allah itu menjadi pendorong baginya untuk terus tabah meniti titian menuju syurga Allah yang pastinya bertalu-talu duri menanti. Di sini, Maktab Pendidikan al-Quran al-Ghazali di Kedah, Taqiyyah Amira binti Azman akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Sudah hampir sedekad insan bernama Amira ini menggenggam amanah sebagai Hafizah Al-Quran.


Dalam naskhah hasil buah fikiran Ustazah Fatimah Syarha, Tautan Hati telah tertulis baris-baris madah yang cukup indah.

Bertemu cinta dalam halaqoh,

Hidup lebih indah terarah,

Menyulam tautan hati kerana Allah,

Terpaterilah ikatan akidah.


Keindahan itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang memahami setiap ungkapan yang terzahir dan menjiwai dunia halaqah. Itulah perasaan Amira setelah meneliti bait ungkapan tersebut. Begitu gamit hatinya terhadap bait indah daripada penulis yang terkenal dengan karya Cinta High Class itu. Dirinya sendiri sering mengikuti kumpulan halaqoh di surau. gadis berhati al-Quran ini sudah begitu tersimpul pada kumpulan halaqoh sebegini. Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : Rasulullah saw. bersabda :

"Apabila berkumpul suatu kaum dalam rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Al Qur'an dan mempelajarinya, maka ketenangan pasti akan turun kepada mereka, rahmat Allah melingkupi mereka, malaikat-malaikat mengelilingi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang ada didekatNya (para malaikat)

“ Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, antunna sekalian sekali lagi dipilih oleh Allah SWT untuk menghadiri taman syurga yang sangat indah ini. Ustazah pasti, antunna masih ingat Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya).

Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu.”

(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Alhamdulillah, nampaknya kita ada ahli baru hari ini. Jadi, eloklah kita mulakan sesi taaruf untuk usrah kita kali ini,” Ustazah Syiqqin selaku naqibah membuka bicara bulatan halaqoh. Masing-masing yang bersimpuh dalam bulatan halaqoh itu mengukir senyuman tatkala mendengarkan hadis junjungan mulia SAW yang dibacakan oleh Ustazah Syiqqin.

Seramai 13 gadis yang berada di situ bersedia untuk memperkenalkan diri mereka.  Apabila berada dalam halaqoh, lutut bertemu lutut, mata bertentang mata. Hati mereka seakan-akan terikat dengan tali ukhuwah. Berada dalam halaqoh menjadikan setiap insan yang berada dalamnya bagaikan satu keluarga atau dikenali sebagai usrah. Mereka yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur mengindahkan lagi suasana kekeluargaan dalam bulatan halaqoh.

“ Alhamdulillah... Jadi, hari ini kita akan tadabbur Surah An- Nur ayat 11. Setiap orang baca 2 ayat. Ustazah akan mulakan. Yang uzur tolong baca tafsir. Lepas ni, kita akan bincang makna di sebalik ayat al-Quran yang akan kita tadarus bersama,”

Tafseer Al-Quran memang sudah tersedia bersama mereka dengan buku catatan. Dengan segera, Kalamullah itu dibuka ke halaman 351 yang memaparkan Kalam Allah yang cukup indah.

Adapun mereka yang uzur teliti mendengar alunan ayat suci Al-Furqan itu sambil menghayati bait-bait tafsir yang tertulis di sisi halaman tersebut.

“ Sekarang, ustazah nak Raihanah, tolong bacakan tafsir Surah An-Nur ayat 26,”  ujar Ustazah sebaik kesemua muslimat selesai membaca ayat masing-masing. Raihanah yang uzur, sudah meneliti makna ayat tersebut.

“ Perempuan yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji untuk perempuan yang keji pula. Sedangkan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Mereka itu bersih daripada apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia ( syurga ).” Raihanah membaca dengan teliti tafsir pada halaman 352 itu.

Jiwa-jiwa muslimah yang berada di situ begitu tertarik dengan makna daripada dalil tersebut. Maknanya cukup indah  sehinggakan terukir senyuman pada wajah mereka begitu juga Ustazah Syiqqin.

“ Jadi, bagaimana perasaan antunna apabila Raihanah membacakan tafseer tersebut?” ujar Ustazah Syiqqin. Mereka melontarkan senyuman antara satu sama lain. Amira mengangkat tangan tanda ingin melontarkan pandangannya. Itulah tradisi halaqoh. Perbincangan dua hala inilah yang menjadikan halaqoh lebih berkesan.

“Pada pandangan ana sendiri yang masih dangkal ini, Allah telah mengikat janji pada ayat tersebut.  Allah kata, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Begitu juga sebaliknya. Jadi, sekiranya kita yakin dengan janji Allah, kita tidak perlu risau tentang jodoh. Allah itu sudah mengatur segala-galanya sebelum roh ditiup ke jasad kita lagi. Jadi, teruskan berdoa kepada Allah. Pada masa yang sama kita perbaiki diri. In Sya Allah, percayalah si dia juga turut memperbaiki dirinya untuk memiliki kita,” ujar Amira dengan buah fikiran yang cukup menggamit ahli halaqoh yang lain.

Tidak lama selepas itu, Wardah yang merupakan pelajar Tingkatan 3 pula mengangkat tangan lalu bersuara.

“ Ana sangat setuju dengan pendapat ukhti Amira. Sebab itulah, bercouple sebelum nikah ini dianggap sebagai tindakan orang yang bodoh. Mereka seakan-akan tiada kitab panduanKenapa? Sebab kebanyakan orang yang bercouple ni bertindak demikian kerana memiliki satu ideologi. Iaitu, takut sekiranya jodoh tidak menyapa apabila usia menjangkau dewasa. Mereka inilah, kelompok yang tidak yakin dengan janji Allah. Jika kita yakin, Islam adalah penyelesaian kepada setiap permasalahan, kita tidak akan ragu-ragu untuk meyakini apa yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Hadis. Wallahhu a’lam,” sekali lagi ahli halaqoh digamit oleh lontaran fikrah gadis berusia 15 tahun itu.

“ Alhamdulillah, bernas belaka pandangan yang terpendam di lubuk fikiran antunna sekalian. Ustazah sendiri bersutuju dengan pendapat Amira dan Wardah. Inilah konsep yang perlu kita gunakan dalam kehidupan. Al-Quran dan Sunah telah menggariskan panduan yang cukup cantik untuk kita. Seterusnya, pilihan di tangan kita sama ada ingin mengikutinya atau memandang secara membuta tuli semata-mata,” jelas Ustazah Syiqqin.

“ Ustazah, macam mana kita nak elakkan diri kita dari budaya couple ni? Sebab ana rasa, budaya ni seakan-akan telah menjadi kebiasaan kepada remaja masa kini. Sedangkan, mereka tidak sedar bahawa perbuatan tersebut dapat mengundang kemurkaan Allah SWT,” ‘Atiqah melontarkan soalan kepada Ustazah Syiqqin.

“ Cantik soalan itu, ‘Atiqah. Antunna sekalian. Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan bahawa Islam ini datang dalam keadaan yang asing dan kembali kepada asing. Maka berbahagialah menjadi orang asing. Rasulullah SAW sendiri dah terangkan kepada kita situasi di akhir zaman ni. Antunna sekalian ini dikira sebagai orang asing. Kenapa? Sebab, tidak ramai umat Islam hari ini yang mengamalkan budaya Islam. Tak payah tengok budaya Islam yang berat-berat, cukuplah menghadir majlis ilmu. Berapa sangatlah yang hadir menghadiri majlis ilmu dengan hati yang ikhlas. Ajaran Islam seolah-olah dipandang sebagai bahan tontonan semata-mata, bukan lagi ikutan. Jadi, kalau kita lihat kebiasaan remaja masa kini membudayakan couple secara haram. Maka, antunna sekalian berpalinglah dari perbuatan tersebut sekalipun, antunna dipandang ketinggalan zaman. Kerana ingatlah, orang yang asing itu sangat beruntung.

Gantikan cinta manusia itu kepada cinta yang sebenar iaitu kecintaan kepada Pemilik Cinta. Carilah halaqah atau majlis ilmu macam antunna hadir saat ini. Majlis begini akan mengingatkan kita kepada Allah. Selain itu, biasakan diri melaksanakan amalan-amalan sunat yang dapat mendekatkan diri kita dengan Allah. In Sya Allah,” jawab Ustazah Syiqqin.

                                

Sesi halaqoh tersebut sering diadakan pada waktu pagi, seusai waktu Syuruk. Sesekali, halaqoh akan diadakan pada waktu petang dan ada kalanya, seusai Solat Isyak. Segala-galanya bergantung pada kesesuaian masa pelajar di maktab tersebut. Mereka yang sudah terbiasa dengan halaqoh pasti ternanti-nanti saat diadakan halaqoh. Kerinduan mereka kepada ahli usrah serta pengisian ilmunya cukup mendalam.

2 jam bersama ahli usrah akhirnya majlis bersurai. Jam sudah menunjukkan 10.30 pagi. Amira lantas menuju ke bilik wudhuk untuk memperbaharui wudhuknya. Dia tidak mahu melepaskan waktu yang indah itu untuk sujud kepada Allah dalam Solat Sunat Dhuha. Itu adalah antara amalan yang dijaga oleh Amira sejak di Sekolah Tahfiz Sains semasa 7 tahun lagi.

            Belum sempat takbir diangkat, Amira terdengar samar-samar suara jejaka yang sedang berbicara.

            “Niatnya, sahaja aku tunaikan solat sunat dhuha dua rakaat makmum, mengikut imam tunai kerana Allah Taala. Semasa rakaat pertama selepas baca al-Fatihah, baca surah al-Kafirun dan rukuk sujud seperti biasa. Rakaat kedua pula, bacalah surah al-Ikhlas selepas bacaan al-Fatihah. Kemudian rukuk sujud dan tahiyyat. Setelah selesai, abang nak Jamil bacakan doa Dhuha. Baiklah, masuk saf, lurus dan rapatkan saf. Pastikan tumit belakang kamu sama dengan rakan sebelah kamu,”   Dengan pantas akal memberi mesej kepadanya bahawa itu adalah suara Furqan. Siapa tidak kenal dengan insan ini. Gayanya yang matang, bersuara merdu tatkala mengalunkan ayat-ayat al-Quran malah dia juga seorang Hafiz Al-Quran. Sungguh hebat anugerah yang Allah kurniakan kepada  jejaka ini.

            Tanpa berfikir panjang, Amira terus menuju ke saf pertama bahagian muslimah dan mengikut imam.


            “ Ya Rabb, aku bersyukur di atas setiap rezeki yang Kau limpahkan kepada diriku yang hina ini. Cukup tidak terhitung nikmat yang aku rasai sebaik aku dilahirkan sehingga hari ini. Ya Rahman, hamba-Mu ini sedar bahawa kehidupan ini sementara Cuma. Akhirat jualah kehidupan yang hakiki. Maka, Ya Allah kau tetapkanlah hatiku ini dalam mencari rahmatMu. Cekalkan semangatku dalam jihad mencari ilmu. Kentalkanlan imanku dalam perjuangan melawan nafsu. Aku Cuma ingin menjadi hamba kepada diriMu, Ya Allah....”

            Bingkisan doa itu mengusik jiwanya sehinggakan mampu menitiskan air mata. Sebaik doa itu diaminkan, Amira duduk sejenak di tempat solatnya itu. Tersenyum dia memikirkan saat-saat kakinya menceburi dunia Al-Quran. Bermula dengan keterpaksaan, akhirnya Allah menitipkan keikhlasan. Mutiara keikhlasan itulah yang menjadi pemangkin untuknya kekal di negeri utara itu dalam menimba ilmu agama.

            Dalam mengukir senyuman, hatinya berkata, “ Sesungguhnya, kalau Allah kehendaki, pasti akan terjadi!!! Alhamdulillah...”

           

     

Raihanah Qaisara, atau Amira lebih senang memanggilnya Hana merupakan rakan baik kepada Amira. 6 tahun pengajiannya di sana, Hanalah yang menjadi teman setia kepada Amira. Hubungan mereka sudah boleh diibaratkan bagai isi dengan kuku.

            Hana yang datang bulan ketika itu setia menunggu Amira di halaman surau. Stoking serta sarung tangan yang berwarna hitam itu segera disarungkan oleh Amira. Kemudian, perlahan dia mengatur langkah menuju keluar dari musolla itu.  Segera, dia mendapatkan Hana. Maka, bermulalah perjalanan mereka menuju ke Kelas  Tauhid Ustaz Jamal.

            Dalam perjalanan, Amira mengkhabarkan bahawa hari esok dia akan pulang ke Putrajaya..

            " Kenapa terburu-buru sangat ni, Mira," ujar Hana.

            "Sebenarnya, abang aku nak kahwin. Jodoh dia sudah tiba. Alhamdulillah, Ustazah Syiqqin dan Ustaz Karim pun dah memberi keizinan dan membeli tiket kereta api. Hana, jaga diri baik-baik tau. Mungkin aku tak ada dalam 3 hari. "

            " Tiada masalah, Mira. In Sya Allah, aku boleh jaga diri walaupun kau tak ada…"

            Amira memandang Hana sekilas. Dia teragak-agak dengan jawapan daripada rakannya itu.

            " Oh, kau tak percaya ye…Kita tengok…" ujar Hana sambil mencuit bahu Amira. Tersenyum Amira tanpa bicara.

            Raihanah… Sikapnya yang mudah membuatkan orang tersenyum menjadikan Amira dan dia serasi menjadi kawan. Mereka itu bagaikan isi dengan kuku. Amira senang dengan sikapnya. Itulah yang menjadi penguat kepada ikatan ukhuwah antara mereka berdua.

**********


Perjalanan dari Kedah ke Putrajaya memakan masa 7-8 jam sekiranya menggunakan kereta api. Seawal 8.00 pagi lagi Amira sudah menaiki kereta api. Kebiasaannya, dia bakal tiba di KL Sentral sebelum Asar.

            " Ha!!! Ini dia sit no.18. Alhamdulillah, tiada orang di sebelahku," dengan hati yang gembira Amira pun meletakkan beg lalu duduk. Dia sungguh tidak sabar untuk tiba di rumah untuk berjumpa dengan keluarganya yang tercinta. Akhirnya, rindu yang membaluti dirinya sekian lama ini terubat jua.

            'Earphone' yang tersimpan dalam beg tangannya segera dicapai. Tenang dia mendengar bacaan ayat al-Quran daripada Qari Misyari al-Afasy. Suaranya sungguh merdu. Setiap kalimah yang dialunkan mudah untuk difahami maknanya dek jelasnya makhraj dalam bacaan beliau.

Amira masih teringat di saat dia dibebani tugas yang sungguh banyak sehinggakan dia tidak sempat untuk mengikuti kelas Al-Quran dan Sunnah selama seminggu. Saat itu, dia rasa sungguh khuatir kerana ujian semakin hampir. Tugasan demi tugasan menghambat dirinya yang merupakan ketua aspuri pada ketika itu. Sehinggakan suatu hari, Hana datang menghampirinya lalu diperdengarkan kepadanya bacaan Surah Ar-Rahman daripada Misyari al-Afasy. Menitis air mata Amira tatkala mengenangkan kalimah-kalimah yang menunjukkan betapa pengasihnya Pencipta itu. Nikmat kurniaannya membatasi segalanya. Amira sedar, dia  sepatutnya kuat menggalas amanah tersebut kerana Allah sudah sediakan segalanya…atap langit untuk berteduh, hamparan bumi untuk bertapak dan segala nikmat yang lain yang sering kita alpa.

            Sedang khusuk dia menghayati bait ayat, tiba-tiba Amira terlihat kelibat seseorang yang dia kenali. Kelibat itu masih belum jelas kelihatan dek dikaburi oleh manusia di sekeliling. Teliti Amira memerhati untuk mendapatkan kepastian. Melihat kelibatnya sahaja, telah menimbulkan perasaan yang aneh dalam dirinya sendiri. Amira menarik nafas sedalam-dalamnya. Dirinya semakin hampir dan semakin mendekati Amira. Wajahnya semakin jelas.

            Alangkah terkejutnya Amira… Dia, Furqan.

            " Apa dia buat di sini? Takkan dia pun nak balik bercuti. Aku fikir, aku sahaja yang pulang bermalam minggu niMinggu ini bukannya minggu pulang bermalam…" Amira bermonolog sendiri bertemankan persoalan yang mengganggu fikirannya.



Bersambung...




Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nur Amina