Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
43,417
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 22

ANGIN malam bertiup lembut membelai wajah mulus Kamalia. Rambutnya yang lembut ikut terbuai sedikit. Dia duduk melihat bintang di beranda rumahnya. Bau wangi teh bunga kekwa menemaninya ketika itu. Kadang-kadang dia senang bersendirian sebegitu. Membiarkan badan dan otaknya berehat dari kepenatan kerja seharian.

“Leeya,” panggil Datin Naurah perlahan. Dia memegang lembut bahu anaknya.

Kamalia tak menjawab. Sebaliknya dia berkalih memandang mamanya sambil tersenyum manis. Tanpa disuruh, mamanya mengambil tempat duduk di sebelahnya. Gadis itu pun melentok manja kepalanya ke bahu mamanya. Kadang-kadang dia suka juga bermanja sebegitu dengan mamanya. Datin Naurah tersenyum nipis dengan ulah manja anaknya itu. Dia pun turut membelai lembut rambut ikal anaknya itu. Untuk seketika, mereka berdua hanya diam.

“Leeya,” panggil Datin Naurah sekali lagi.

“Hemm...”

“Boleh mama tanya Leeya sesuatu?” pinta Datin Naurah terlebih dahulu.

“Apa dia mama? Tanyalah. Kalau Leeya boleh jawab, Leeya akan jawab,” ujar Kamalia sopan. Dia masih lagi melentokkan kepalanya.

Datin Naurah diam seketika. Dia cuba memikirkan bicara terbaik untuk menyampaikan soalannya. “Mama nak tahu pendapat Leeya tentang Hazim. Apa yang Leeya fikirkan tentang dia?” tanya dia akhirnya.

Kamalia diam mendengarkannya. Dia tersenyum nipis sahaja. Sebenarnya, dia sudah menjangkakan pertanyaan mamanya itu. Dia menarik nafasnya dalam sebelum menghembus keluar perlahan-lahan. “Apa maksud mama? Pendapat macam mana yang mama nak tahu?” sengaja dia bertanya kembali mamanya.

“Yalah! Apa yang Leeya fikirkan pasal dialah sebagai seorang perempuan. Kan dia tu calon pilihan mama untuk Leeya. Mama tak nak paksa Leeya sangat kalau Leeya memang tak boleh terima dia tapi...” Datin Naurah diam seketika sebelum menyambung kembali. “Mama sukakan Hazim tu. Mama rasa dia sesuai sangat dengan Leeya. Maksud mama... mama pasti yang dia boleh bahagiakan puteri tunggal mama ni.” Datin Naurah tersenyum sambil menyentuh lembut pipi anaknya.

Kamalia hanya tersenyum nipis mendengarkannya. Dia masih lagi diam. Dah tentu mama! Apa saja yang mama buat memang untuk kebahagiaan Leeya. Sampaikan Leeya dah tak dapat bezakan yang mana satu kebahagiaan yang sebenarnya?! Bentak gadis itu di dalam hatinya.

“Entahlah mama. Leeya sendiri pun tak tahu nak cakap macam mana. Lagi pun, Leeya tak kenal rapat pun dengan dia. Sekadar kenal macam tu saja,” balas Kamalia sambil mengeluh perlahan. Pandai sekali dia berlakon melindungkan rasa sebenarnya ketika itu.

“Kenapa pulak cakap macam tu? Bukankah hari tu, Leeya ada pergi berjumpa dia dekat hospital?” tanya Datin Naurah sambil mengerutkan sedikit dahinya. “Memanglah setakat berjumpa sekali dua tu, masih tak cukup nak kenal hati budi seseorang tu. Tapi sekurang-kurangnya, mesti Leeya dapat bayangkan macam mana dia kan?” Dia masih cuba untuk mengetahui pendapat anaknya tentang doktor muda itu.

“Urm... mungkin,” balas Kamalia perlahan. Kemudian, dia mengeluh lagi. “Tapi dia jenis yang sibuklah mama! Hari tu Leeya ke hospital pun, mana sempat Leeya jumpa dia. Nurse cakap yang dia tengah sibuk dan tak tahu bila dia boleh jumpa dengan Leeya. Jadi, Leeya pun balik macam tu sajalah,” sambung gadis itu berbohong. Sengaja dia menyembunyikan perkara sebenar mengenai kejadian itu.

“Yakah? Mama tak tahu pulak,” getus Datin Naurah. Dia juga turut terdiam memikirkannya. Kalau begitu, susahlah untuk mereka berjumpa dan menghabiskan masa bersama. Macam mana nak saling mengenali hati budi kalau susah untuk berjumpa? Tanyanya sendiri di dalam hati.

Kamalia tersenyum nipis sambil mengerling mamanya. Datin Naurah masih lagi diam sambil mengerutkan dahinya. Pasti mamanya itu sedang memikirkan rancangan untuk dia dan Doktor Hazim. Dia tahu yang mamanya takkan mudah berputus asa. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menyatukan mereka berdua jika tiada sebarang halangan dari dia.

“Kalau macam tu, Leeya nak mama aturkan perjumpaan dengan dia?” tanya Datin Naurah cuba mengusulkan cadangannya.

“Isyy mama ni! Nanti nampak Leeya pulak yang beria-ia nakkan dia. Seganlah Leeya macam tu walaupun kami tak ada apa-apa pun,” selar Kamalia. Sengaja dia cuba menolak cadangan itu.

“Alah, Leeya tak payah risaulah! Pandailah mama aturkan nanti supaya tak nampak macam tu. Lagi pun, auntie Ifah memang sukakan Leeya. Dia pun harap sangat Leeya dapat jadi menantu dia. Pandai-pandai kamilah nanti nak aturkan macam mana. Asalkan Leeya setuju nak jumpa dengan Hazim,” ujar Datin Naurah cuba memujuk.

Kamalia mengeluh perlahan. Dia memandang lembut mamanya. “Terpulanglah dekat mama. Leeya ikutkan sajalah,” akur gadis itu. Kemudian, dia tersenyum nipis. Nampaknya rancangannya mula berhasil. Let’s see what happen next! Getus hatinya.

“DAH habis kemas ke barang korang?” tanya Auni Liyana sambil menjengah bilik kedua-dua adiknya itu.

“Tengah kemaslah ni akak,” sahut Nufail sambil memasukkan baju yang dilipat kemas ke dalam begnya. Begitu juga dengan Naufal.

“Kemas elok-elok beg tu. Jangan sampai ada barang yang tertinggal pulak. Bukannya dekat dari Melaka ke Shah Alam ni,” sampuk Puan Musliha pula berpesan.

“Memang tak dekat tapi tak adalah jauh mana pun mak,” tingkah Naufal pula.

“Hah, yalah tu! Kalau ada barang tertinggal, bukannya kamu berdua yang nak balik ambil. Akak kamu juga yang kena hantarkan nanti,” selar Puan Musliha pula.

Naufal dan Nufail hanya mengiyakan sahaja. Mereka berdua perlu pulang ke kampus pengajian masing-masing setelah cuti semester mereka berakhir. Walaupun agak keberatan kerana seronok bercuti kali ini, tapi mereka punyai tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Mereka berdua sama-sama belajar di Universiti Teknologi Mara cawangan Melaka. Kedua-duanya mengambil Diploma tapi berlainan bidang. Dan Naufal telah pun berada di semester terakhir.

“Dah habis kemas barang nanti, tidur awal! Esok kena bangun awal. Mungkin kita sempat berjalan kejap ke dekat Melaka tu sebelum korang masuk kampus,” ujar Auni Liyana lagi kemudiannya.

“Okay! Nufail pun ada barang nak beli,” sahut Nufail sambil tersenyum ceria.

“Mak, Nana nak masuk tidur dululah. Awal pulak mengantuk hari ni,” pinta Auni Liyana sambil memandang emaknya yang sedang melihat adik-adiknya itu berkemas.

“Amboi, cepat benar kamu nak tidur! Baru pukul 9.00 malam,” balas Puan Musliha sambil melihat jam dinding di bilik tidur itu.

Auni Liyana hanya tersenyum sahaja. “Nak buat macam mana. Dah rasa mengantuk. Tidur sajalah,” sahut Auni Liyana lagi.

“Hemm, yalah! Pergilah tidur. Esok Nana yang nak bawa kereta hantarkan budak berdua ni,” alah Puan Musliha sambil tersenyum. Auni Liyana pun terus mengucapkan selamat malam sebelum berlalu ke bilik tidurnya.

Klik! Auni Liyana mengunci pintu bilik tidurnya. Setelah itu, terus sahaja dia berlari ke bilik air. Makan malam yang dijamahnya sebentar tadi melonjak naik dari perut ke dadanya. Dia memuntahkan hampir semua yang dijamahnya tadi. Nafasnya sedikit tercungap-cungap dan matanya mula berair menahan sakit memuntahkan makanan itu. Hampir 15 minit, dia berada di bilik air.

Kini, dia tersandar lesu di pintu bilik air. Dia memegang dadanya cuba menyingkirkan sakit ngilu yang bersisa itu. Air matanya masih membasahi pipinya. Perlahan-lahan, dia menyeka air mata itu. Dengan langkah lemah, dia keluar dari bilik air setelah membersihkan dirinya. Dia duduk di birai katilnya.

Laci meja di sebelah katil ditarik keluar. Ada beberapa botol ubat-ubatan di situ. Untuk seketika, dia hanya melihat kosong sahaja botol-botol itu. Wajahnya ditundukkan. Sebenarnya, dia mulai bosan untuk mengambil ubat-ubatan itu. Hanya ubat sahaja yang tidak ditolak badannya ketika itu. Sejak kebelakangan ini, selera makannya makin tumpul dan sering kali sahaja dia memuntahkan kembali makanan yang dimakannya. Tapi dia kuatkan juga semangatnya agar emaknya tidak merisaukannya.

“Sampai bila Nana?” Auni Liyana bertanya sendiri. Lemah dan perlahan nadanya. Terselit juga sayu. “Sampai bila kau nak rahsiakan dari mak? Naufal dan Nufail? Kawan-kawan lain yang rapat dengan kau? Bila kau nak beritahu perkara yang sebenarnya?” bertubi-tubi persoalan terbit dari mulutnya.

“Yang kau... tak dapat hidup lama lagi?” sambungnya lagi.

Air mata yang sudah kering tadi bergenang kembali di tubir matanya. Itulah teman setianya setiap kali malam menjelma dan ketika dia bersendirian. Kadang-kadang dia terlupa yang dia dulunya seorang gadis yang ceria dan tabah. Dia diam seketika bertemankan air mata itu.

Setelah dirinya kembali tenang, gadis itu pun mengambil ubat-ubatan itu. Dia menelan semuanya sekali gus. Air segelas membantunya. Setelah menghabiskan air itu, dia bangun menuju ke maja solek pula. Dia duduk memandang keadaan dirinya ketika itu. Perlahan-lahan, dia memegang wajahnya.

“Muka aku makin pucat. Badan aku pun makin kurus,” ujar Auni Liyana sambil terus memandang pantulan dirinya itu. Dia mengetapkan bibirnya. Dia tahu, dia tak boleh terus menyimpan rahsia itu lebih lama lagi.

Auni Liyana menarik nafas dalam. Dia tampak nekad selepas itu. “Sekurang-kurangnya, biar aku tahan untuk tahun ni! Aku nak hantar mak pergi haji dulu. Lepas tu...” ayatnya tergantung di situ. Pandangan kembali sayu. Keluhan lembut melepasi bibirnya. Dia tersenyum nipis.

“Lepas tu, terpulanglah kepada ALLAH,” sahut dirinya.

Harapannya masih ada. Itulah satu-satunya yang membuatkan dia teguh berpegang untuk meneruskan sisa hidup ini. Mungkin esok atau lusa, semua ini hanyalah mimpi atau kenangan pahit yang telah berlalu. Mungkin ketika itu, dia sedang berbahagia bersama seseorang. Melihat emak dan adik-adiknya tertawa ceria kembali. Ya! Harapan untuk sembuh masih ada walau setipis mana pun. Walau serapuh mana, itulah pegangan terakhirnya. Harapan dan doa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati