Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,182
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

“ASSALAMUALAIKUM....” Auni Liyana membuka bicara dengan salam suci. “Mak apa khabar? Sihat? Naufal dengan Nufail pulak macam mana? Sihat jugak ke? Kampung macam mana, mak? Dah banyak buah rambutan dekat dusun tu? Manggis menjadi ke tak tahun ni?” terus dia bertanya tanpa henti sebaik sahaja panggilannya ke kampung bersahut.

“ALLAH, kamu ni Nana. Cubalah bagi mak jawab salam Nana tu dulu. Dah tak menyempat sangat nak tanya macam-macam?” leter Puan Musliha. Bagaikan peluru menerjah telinganya mendengar semua pertanyaan anak sulungnya itu. Laju dan bertubi-tubi tanyanya.

“Lah.... mak tak sempat nak jawab lagi ke salam Nana. Ingatkan jawab dalam hati saja tadi,” gurau Auni Liyana sambit tertawa kecil. Lucu hatinya mendengarkan emaknya berleter. Dia turut membayangkan bagaimana reaksi Puan Musliha berleter dengannya. Pasti tangan emaknya terawang-awang di udara.

“Banyaklah kamu jawab dalam hati. Dah kamu bagi salam terang-terangan, dah tentulah mak pun nak jawab terang-terangan jugak. Bukannya kamu bagi salam dalam hati pun tadi,” bidas Puan Musliha kembali. Dia pun seakan enggan kalah dengan ulah bicara anaknya itu. Terdengar Auni Liyana tertawa di hujung talian sana. Bibir tuanya turut menguntum senyum. “Hah, dahlah! Ni mak nak jawab salam Nana ni. Waalaikumussalam.... kami semua kat sini sihat saja. Buah-buah dekat dusun tahun ni, semuanya menjadi. Tambah-tambah buah dukung. Bukan main merimbunnya tahun ni. Manggis pun ada jugak tapi tak adalah banyak sangat macam tahun lepas. Kurang sikit tahun ni. Rambutan pulak macam biasalah. Merah merimbun kat pokok tu. Dah berjuntai-juntai sampai ke tanah. Hah, apa lagi apa kamu nak tanya? Tanyalah cepat,” ujar Puan Musliha panjang lebar. Sempat juga dia memerli anaknya itu.

“Aik, mak! Perli nampak,” sengaja Auni Liyana menduga. Senyuman sedari tadi masih bermain di bibirnya. Dia sangat senang berbual dengan emaknya yang mudah dibawa bergurau.

“Mana ada mak perli. Sungguhlah tu. Kalau kamu dah tak ada benda nak tanya, mak pulak yang nak tanya macam-macam ni. Mak dah siap buat list dah ni, soalan nak tanya kamu,” balas Puan Musliha.

“Uihh mak. Bukan main lagi. Siap ada list lagi tu. Dah macam nak ujian pulak. Hah, cuba mak tanya sikit soalan mak tu,” tanya Auni Liyana sambil bergurau.

“Hemm, dengar ni soalan mak! Pertama sekali.... kenapa Nana dah lama tak telefon balik kampung?” tanya Puan Musliha ibarat seorang cikgu bertanya kepada muridnya.

Auni Liyana hanya tersenyum lebar mendengar soalan pertama emaknya itu. Sudah dijangkakan soalan itu kerana memang agak lama juga dia tidak menelefon ke kampung. Adik-adiknya juga tak sempat untuk dihubungi. Dia sedikit sibuk kebelakangan ini. Mungkin sengaja menyibukkan diri supaya dia tak perlu sangat memikirkan perihal dirinya.

“Hah...! Sebab tulah Nana telefon mak ni,” kata Auni Liyana sambil menepuk sofanya.

“Sebab apa?”

“Lah.... sebab Nana dah lama tak telefonlah,” jawab Auni Liyana sengaja bergurau.

“Kamu ni kan Nana! Hisyy, geram betul mak!” leter Puan Musliha. Dia terus mencicit geram dengan keletah anaknya itu.

Tawa Auni Liyana makin galak mendengarkan leteran emaknya itu. Entah apa lagi yang terkeluar dari mulut emaknya ketika marahkan dia. Kekadang makin tinggi pula nada emaknya. Sesaat kemudian, kembali tenang sedikit sebelum lantang semula. Namun dia tahu, emaknya sekadar berleter sahaja tanpa benar-benar rasa marah terhadapnya.

Auni Liyana masih tersenyum seorang diri. Dia sekadar memerhatikan Choco bermain dengan bebola benangnya. Auni Liyana tiba-tiba digamit rindu. Dia begitu mengharapkan emaknya dan adik-adiknya ada di depan matanya sekarang juga. Dia begitu merindui mereka.

“Nana.... Nana!! Dengar tak mak tanya ni?” soal Puan Musliha bila soalannya sebentar tadi tak berjawab. Auni Liyana tersentak mendengarkan nada tinggi suara emaknya. Dia berkhayal seketika.

“Ahh, mak! Dengar! Nana dengar ni,” spontan Auni Liyana menjawab. Kemudian, dia diam seketika, “Umm, apa ya soalan mak tadi?”

“Ya ALLAH.... ya RAHMAN ya RAHIM...! Penat mak cakap sorang! Ingatkan orang kat sana tu, dengarlah apa yang orang kat sini bertanya. Rupanya dia berangan. Geram betul mak!” marah Puan Musliha. Sangkanya, Auni Liyana mendengar pertanyaannya sebentar tadi. Tergeleng-geleng kepalanya dengan ulah nakal anak perempuan yang cuma seorang itu. “Mak tanya.... bila Nana nak balik kampung? Dah lama sangat Nana tak balik sini. Dah tak nak balik sini dah ke?” dia mengulangi kembali pertanyaannya.

“Ohhhh..... pasal balik kampung. Umm... tulah mak. Bukannya Nana tak nak balik kampung tapi.... Nana sibuklah dekat sini. Kerja makin banyak pulak kebelakangan ni,” jawab Auni Liyana jujur. Memang dia sedikit sibuk walaupun dia sendiri juga yang ingin menyibukkan diri. “Kenapa? Mak rindu kat Nana ke?” tanya Auni Liyana ingin bermanja sedikit.

“Manalah mak tak rindu. Anak perempuan mak cuma seorang tu saja. Walaupun seorang tapi.... bagai nak pecah kepala mak ni fikirkan pasal kamu,” tingkah Puan Musliha.

“Apa yang mak fikirkan sangat pasal Nana ni?”

“Yalah. Mak fikir.... bila Nana nak balik kampung ni? Bila Nana nak bawa masuk calon suami jumpa mak? Bila mak boleh nak buat kenduri kat rumah ni? Bila mak nak boleh timang cucu? Bila mak....”

“Opss, cukup mak!” pintas Auni Liyana sebelum emaknya meneruskan bicaranya. “Tak perlu nak sambung lagi soalan mak tu. Dah cukuplah tu,” ujarnya laju. Agak menyesal pula dia bertanyakan soalan itu kepada emaknya tadi.

“Hehehe.... alah mak. Kalau setakat kenduri tu, tak payah tunggu Nana kahwin pun dah boleh buat. Mak buat sajalah, kenduri kesyukuran ke doa selamat ke. Tak pun.... kenduri arwah,” tambah Auni Liyana lagi. Ayat akhirnya sedikit meruntun jiwanya.

“Haihh, kamu ni! Kenduri arwah nak buat apa? Bukannya ada sesiapa yang meninggal pun. Nana jangan nak main cakap saja,” tegas Puan Musliha. Dia kurang suka perihal berkaitan dengan soal kematian. Memang dia tidak boleh menafikan hak ketentuan ALLAH yang satu itu tapi janganlah sengaja menyebutnya pula. Seakan-akan ingin mendoakan sahaja kematian itu berlaku.

“Alah mak ni. Nana cuma cakap saja. Dah mak yang nak sangat kenduri kan,” jawab Auni Liyana lagi. Kemudian, suasana antara mereka sepi seketika. Mungkin Puan Musliha sedikit terasa hati dengan bicaranya sebentar tadi. Auni Liyana tersenyum tawar memikirkannya. “Dahlah mak! Nana minta maaf, okay? Janganlah nak merajuk dengan anak perempuan mak yang cuma seorang saja ni,” pujuknya kemudian.

“Umm, yalah. Ada-ada saja kamu ni.” Rajuk Puan Musliha hanya sekejap. Auni Liyana lega mendengarkannya.

“Sebenarnya.... Nana ada hal lain ni yang Nana telefon mak ni,” ujar Auni Liyana.

“Lah, hal apanya? Kenapa tak cakap dari awal tadi?” soal Puan Musliha kembali.

“Dah mak yang asyik mengarut dari tadi.”

“Aikk, mak pulak?! Nana tu yang asyik mengarut. Mak layankan saja,” bidas Puan Musliha bersahaja. Auni Liyana tersenyum simpul mendengarkannya. “Umm, apanya hal kamu tu? Penting sangat ke?”

“Eh, memang penting mak! Penting sangat-sangat,” tekan Auni Liyana betapa mustahaknya hal yang ingin dibincangkan itu.

“Hah, apa halnya? Cepatlah cakap,” desak Puan Musliha tak sabar untuk mengetahuinya pula.

“Nana ingat.... Nana nak suruh mak datang sini. Tinggal dengan Nana dekat sini. Boleh tak mak?” beritahu Auni Liyana.

“Apalah kamu ni Nana. Mana boleh mak nak duduk dekat sana. Nana tu kan duduk menyewa dengan kawan-kawan Nana yang lain. Mana ada bilik kosong untuk mak. Nana sendiri pun berkongsi bilik kan. Mengarut sajalah kamu ni,” leter Puan Musliha. Entah apa angin anaknya itu mengajaknya untuk tinggal bersama dengannya.

Auni Liyana mengetap bibirnya mendengarkan leteran itu. Dia diam cuba mencanai bicara seterusnya. Memang sebelum itu, dia pernah menyewa dengan kawan-kawan yang lain. Tapi, itu setahun yang lalu.

Kini, dia tinggal seorang diri di dalam rumah yang agak besar itu. Sengaja dia memilih untuk tinggal bersendirian. Dia tak mahu perihal kesihatan dirinya diketahui kawan-kawannya. Namun, dia sengaja tidak memberitahu perihal itu kepada emaknya. Dia ingin memberi sedikit kejutan kelak. Sangkanya, dia punya harapan untuk pulih dari sakitnya itu tapi bila harapan itu makin menghilang.... dia hanya ingin menghabiskan masa-masa terakhirnya di samping keluarganya.

“Umm.... mak! Sebenarnya, Nana dah tak duduk dengan kawan-kawan Nana lagi. Nana dah pindah keluar dari situ. Sekarang ni, Nana cuma tinggal seorang saja kat rumah ni. Tulah yang Nana nak ajak mak tinggal dengan Nana dekat sini. Tak lama pun. Mungkin.... setahun saja agaknya,” beritahu Auni Liyana berterus-terang. Hanya itu sahaja cara yang terbaik. Lambat laun, dia perlu juga memberitahu emaknya.

“Lah.... kenapa pulak Nana pindah keluar? Nana gaduh dengan dorang ke? Tak baiklah Nana gaduh-gaduh ni. Dah elok-elok berkawan baik, pakat bergaduh tu buat apa? Hishh, budah bertuah nilah....!” makin nyaring pula leteran Puan Musliha.

“Isyy, mak ni! Masa bila pulak Nana cakap Nana gaduh-gaduh dengan dorang? Nana okay sajalah dengan dorang semua tu. Sampai sekarang pun, kami semua masih lagi keluar melepak hujung minggu kalau tak ada apa-apa hal,” tingkah Auni Liyana menafikan jangkaan emaknya itu. “Nana saja nak pindah keluar. Sebab nanti, tak adalah lagi alasan mak tak nak datang sini lagi kan. Sekarang Nana pun duduk seorang saja dekat sini. Bahaya tau mak. Baik mak datang temankan Nana dekat sini,” ugut Auni Liyana sengaja bergurau pula.

“Dah tahu bahaya, pergi duduk seorang diri tu buat apa? Dah tu, mak yang kat kampung ni pun seorang jugak. Dahlah mak pun dah tua. Kalau jadi apa-apa kat mak, macam mana?” Puan Musliha memulangkan kembali ugutan anaknya itu.

“Alah, mak ni.... sampai hati mak. Macam-macam alasan mak bagi sebab tak nak datang sini duduk dengan Nana. Mak dah tak sayangkan Nana lagi,” rajuk Auni Liyana kemudiannya. Sengaja dia mendayukan suaranya untuk memancing perhatian emaknya.

“Ya ALLAH.... dah namanya anak. Takkanlah mak tak sayang. Semua anak-anak mak, semuanya mak sayang! Cuma.... kalau mak pergi duduk dengan kamu nanti, pokok-pokok kat dusun ni siapa yang nak jagakan. Dengan pokok rambutannya, manggis lagi, dukung lagi.... macam-macam lagilah! Hah, siapa yang nak tengokkan?” tingkah Puan Musliha.

“Aikk, mak! Kalahkan orang yang bela ayam dengan itik lagi. Kalau bela ayam ke itik ke.... tak pun, lembu dengan kerbau ke. Tu, Nana fahamlah juga. Ni tak, cuma pokok-pokok dekat dusun tu saja. Tak adanya nak boleh lari pun pokok-pokok tu,” perli Auni Liyana pula. Ada-ada sahaja alasan emaknya. Sukar sekali untuk memujuk emaknya keluar dari kampungnya itu.

“Umm, memanglah tapi.... kenapa tiba-tiba saja ajak mak tinggal dengan Nana ni. Ada apa-apa ke? Dah tu, lama pulak. Nak kena duduk sana sampai setahun buat apa? Kalau setakat seminggu dua tu, tak apalah lagi,” rungut Puan Musliha seterusnya. Dia kurang selesa untuk menetap di kawasan bandar. Baginya, suasana kampung lebih serasi dengan jiwanya.

“Alah mak, bukannya lama pun setahun tu. Kejap saja pun. Nana bukannya apa nak mak tinggal dengan Nana ni. Sebabnya, Nana memang akan makin sibuk dalam setahun ni. Tak tahu bila boleh balik kampung. Kalau boleh, Nana nak habiskan banyak masa dengan mak. Nana nak selalu tengok mak. Nana nak jaga mak kat sini. Banyak lagilah Nana nak buat untuk mak. Bolehlah mak, ya?” pujuk Auni Liyana lagi. Dia benar-benar inginkan emaknya datang ke sini. Dia begitu mengharapkan dia dapat berada dekat dengan emaknya untuk tahun yang mungkin terakhir buatnya ini.

Puan Musliha terdiam mendengarkannya. Entah mengapa, hatinya digamit sayu. Dia juga ingin sentiasa berada di samping anak perempuannya itu. Sejak kebelakangan ini, perasaannya itu makin membuak-buak. Seakan-akan dia perlu untuk sentiasa bersama dengan Auni Liyana. Apakah itu suatu petunjuk dari-NYA? Tentang hidupnya di dunia ini yang sudah tinggal tak seberapa lagi. Tapi.... mengapa hanya dengan Auni Liyana? Tak ketara pula dengan dua orang anak lelakinya. Entahlah, dia sendiri pun tak pasti. Hati tuanya mengeluh perlahan.

“Tapi, kenapa setahun? Kenapa tak tiga ke empat tahun saja terus?” duga Puan Musliha pula.

“Boleh mak! Nana memang harap mak boleh duduk dekat sini terus saja. Cuma....” Auni Liyana diam seketika sebelum meneruskan bicaranya. “Duduk dengan Nana sajalah yang setahun, mungkin....”

“Hah, ni kenapa cakap macam tu pulak? Lain macam saja mak dengarnya,” tingkah Puan Musliha. Ada sedikit kelainan dalam akhir bicara anaknya itu. Dia tak selesa mendengar nada suara Auni Liyana yang kedengaran sedikit sayu pada pendengarannya.

“Yalah. Manalah tahu, kalau-kalau lepas setahun tu.... Nana kahwin ke? Kenalah tinggal dengan suami kan?” gurau Auni Liyana sambil tertawa kecil. Dia tak mahu emaknya mengesyaki apa-apa lagi. Biarlah dulu untuk sementara ini. Masih belum tiba lagi waktunya. Putus hati Auni Liyana.

“Huh, banyaklah Nana punya kahwin? Calon pun tak ada nak bawa jumpa mak. Kalau betul, lapang dada mak ni.” ujar Puan Musliha.

“Kalau ada jodoh mak....” hanya itu kata Auni Liyana. “Jadi, macam mana mak? Boleh ke tak?” tanyanya lagi. Kalau boleh, dia ingin segera mendapat kata putus dari emaknya.

“Entahlah Nana. Mak pun tak tahu. Nanti apa pulak kata Naufal dengan Nufail. Dorang pun dah nak balik untuk cuti semester ni.” Puan Musliha masih berdalih.

“Nana memang nak dorang datang sekali pun. Nanti mak sajalah beritahu dengan dorang. Rasanya, dorang memang tak ada masalah nak datang sini. Suka lagi adalah,” ujar Auni Liyana lagi.

“Isyy, besar sangat ke rumah sewa kamu tu? Muat ke kalau ramai-ramai ke sana?” tanya Puan Musliha. Bimbang kalau rumah sewa Auni Liyana sempit pula jika tinggal ramai-ramai.

“Alah mak. Kat sini, ada lagi dua bilik kosong. Satu untuk mak, lagi satu untuk budak dua orang tu lah. Lagi pun, bilik yang satu tu memang ada dua katil bujang pun. Untuk bilik mak pulak, dah ada satu katil dalam tu. Mak jangan risaulah,” jelas Auni Liyana meyakinkan emaknya. “Nana cuma nak mak datang sini saja. Mak tak payah risau pasal apa pun. Lagipun, Nana tak pernah minta apa-apa dengan mak. Cuma untuk kali ni saja. Nana harap sangat mak dapat tunaikan permintaan Nana yang satu ni,” rayu Auni Liyana pula.

“Yalah tu tak pernah mintak apa-apa. Macam-macam dimintanya dulu. Jenuh mak nak mengerjakan apa yang Nana nak dulu tau. Nak coklatlah, teddy bearlah, kasut barulah.... hisyy, entah apa macam lagilah,” rungut Puan Musliha sengaja bergurau.

“Alah mak ni. Tu semua cerita lama. Tu pun nak berkira dengan Nana. Nak merajuklah macam ni,” balas Nana turut bergurau.

“Umm, merajuklah dengan mak! Kalau merajuk, tak jadilah mak nak ke sana,” ugut Puan Musliha pula.

“Alalah, tak apalah. Tak jadilah Nana nak merajuk tapi mak kena datang tahu?” Auni Liyana cuba mengikat janji dengan emaknya.

“Yalah. Nantilah mak tengok macam mana dulu. Nak kena beritahu dengan adik-adik kamu lagi. Dah tu, nak kena cari orang tolong tengokkan dusun tu dulu. Banyak benda jugak nak kena buat,” balas Puan Musliha membuat perancangan.

“Tak kisahlah mak. Asalkan mak datang jugak ke sini,” sahut Auni Liyana.

“Insya ALLAH....” balas Puan Musliha. Biarlah dia berjanji di atas-NYA. Andai tiada aral melintang, dia akan ke sana.

AUNI LIYANA tersenyum nipis sambil memandang taburan bintang di langit. Dia duduk bersantai di pelantar rumahnya. Telefon bimbit masih di tangan. Dia senang mendengar kesudian emaknya untuk datang ke sini tinggal bersamanya walaupun seketika. Tapi bila memikirkan perihal itu, fikirannya juga makin buntu. Bagaimana harus dia mengisahkan perihal yang sebenarnya.

“Hemmm....” keluhan berat melepasi rengkungannya. Choco di atas ribaannya sekadar mengiau manja. “Biarlah.... Sampai masa nanti, semuanya akan terbongkar juga. Tapi, buat masa ni. Biarlah aku simpan dulu rahsia aku ni,” ujar Auni Liyana sendiri.

Auni Liyana menekan punat butang di telefon bimbitnya untuk mengaktifkan telefon itu. Tertera muka jam analog menjadi gambar hiasan skrin kuncinya. Jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Masih awal baginya untuk tidur. Malah, dia berasakan rugi baginya untuk tidur. Kalau boleh, dia mahu menikmati alam ini sepenuhnya. Namun, sebagai manusia biasa dia masih perlu berehat. Tambah lagi dengan tahap kesihatannya sekarang, rehat yang cukup merupakan satu keperluan yang penting.

“Cantiknya bintang malam ni....” ujar Auni Liyana. Matanya masih terus memandang butiran cahaya kecil yang berkerlip-kerlip di dada langit yang hitam itu. Cantik sekali.

Duhai bintang....

Apakah selama ini kau begitu indah seperti malam ini?

Atau hanya aku yang kesuntukan masa ini

Baru menyedari akan keindahanmu

Andai benar.... sangat rugi aku selama ini

Tak menyedari akan keindahanmu

Kau sentiasa ada di atas sana

Sedangkan aku tak sering kali mendongak memandangmu

Siapa kan duga.... aku masih sempat untuk menghayati

Betapa indahnya kau di langit malam selama ini

Walaupun.... ku sedar hanya di hujung nyawa.......
Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati