Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,249
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13

“SEMPAT ke kita ke pasar ni?” tanya Puan Musliha sambil meliarkan pandangannya melihat sekeliling dari dalam kereta.

“Apa yang tak sempatnya pulak mak? Dah nak sampai pasar dah pun,” balas Auni Liyana sambil membelok keretanya ke sebelah kiri.

“Yalah, mak takut nanti Nana pulak yang lambat masuk kerja,” sahut Puan Musliha lagi.

“Alah mak, awal lagilah. Baru pukul 8.00 pagi. Akak masuk kerja pukul 10.00 pagi. Sempat punya,” sampuk Nufail dari tempat duduk belakang.

“Eh, sibuk sajalah orang dekat belakang tu. Mak tanyakan kakak, kamu pulak yang yang pergi jawabkan,” tingkah Puan Musliha sambil menjuihkan bibirnya. Nufail dan Naufal tertawa mendengarkannya.

“Oh ya akak! Jadi ke kak Nana cuti minggu depan?” tanya Naufal pula.

“Jadi. Dah lulus pun cuti akak. Kenapa? Tak sabar-sabar nak pergi jalan-jalan ke?” tanya Auni Liyana kembali. Pandangannya terus meliar mencari parkir kosong.

“Tak adalah. Mana tahu kalau tak jadi pulak nanti. Kesian dekat mak. Dah beria-ia sangat nak pergi jalan-jalan dekat kota raya besar ni,” balas Naufal sambil tersengih.

“Aik, mak pulak yang beria-ia? Kamu semua tu yang tak sabar sebenarnya. Asyik tanya mak saja bila akak kamu nak cuti lama,” tingkah Puan Musliha enggan mengalah dengan anaknya. Auni Liyana tertawa kecil mendengarkan perbalahan antara mereka.

“Tak kisahlah siapa yang beria sangat. Yang pastinya, minggu depan memang kita pergi berjalan-jalan. 5 hari tau akak minta cuti. Akak pun tak sabar juga nak tunggu minggu depan ni,” sampuk Auni Liyana sambil terus tertawa. Adik-adiknya tersenyum senang hati mendengarkannya.

“Okay, dah sampai! Jom keluar,” ajak Auni Liyana sebaik sahaja mematikan enjin keretanya. Laju sahaja Puan Musliha membuka pintu kereta. Tak sabar untuk dia melihat pasar tani di ibu kota besar begini. Mungkin ada bezanya dengan pasar tani di kampung.

“Ahhh!” Auni Liyana terjerit kecil bila seorang lelaki terlanggarnya sehingga dia hampir terjatuh. Dia terus terpandangkan seorang wanita yang terjatuh tak jauh di hadapannya. Wanita yang tampak berumur itu sedang meminta tolong. Terus sahaja, Auni Liyana menangkap apa sebenarnya yang terjadi.

“Naufal! Nufail! Peragut!!” ujar Auni Liyana meninggikan sedikit suaranya sambil menuding ke arah lelaki yang melanggarnya tadi.

Adik-adiknya yang berada di belakangnya terus sahaja berlari mengejar peragut itu yang masih nampak di pandangan mereka. Beberapa orang awam yang kebetulan mengetahui kejadian itu turut menolong mereka. Auni Liyana dan Puan Musliha pulak pergi mendapatkan wanita yang jatuh itu.

“Mak cik! Okay ke? Ada terluka dekat mana-mana tak?” tanya Auni Liyana prihatin sambil menolong wanita itu untuk berdiri. Puan Musliha pulak tolong mengutip barang-barang belian wanita itu yang turut terjatuh. Beberapa orang awam yang mulai mengetahui kejadian itu pun mulai mengelilingi mereka.

“Ya ALLAH.... mak cik tak sempat nak buat apa. Dia terus ragut bet tangan mak cik,” beritahu wanita itu. Wajahnya tampak resah.

“Tak apalah mak cik. Bersabarlah ya. Mana tahu kalau dorang yang kejar tadi dapat balik beg tangan mak cik,” pujuk Auni Liyana cuba menenangkan wanita itu.

Tak lama kemudian, kelihatan Naufal dan Nufail dari jauh. Beberapa orang awam turut bersama mereka. Ada juga dua orang anggota polis trafik yang mungkin kebetulan ada di situ.

“Macam mana Naufal? Nufail?” tanya Puan Musliha sebaik sahaja mereka sampai.

“Ni beg tangan mak cik kan?” tanya Nufail sambil menunjukkan beg tangan yang dipegangnya.

“Ya! Memang beg tangan mak cik. Terima kasihlah sebab dapatkan balik beg ni,” ucap wanita itu gembira.

“Tapi peragut tadi tu terlepaslah. Dia lari bukan main laju lagi. Yang dapat beg ni balik pun sebab dia terjatuh. Lepas tu dia lari tinggalkan beg ni. Tak sempat nak kutip balik,” beritahu Naufal pula. Puan Musliha mengeluh mendengarkannya.

Kelihatan dua orang anggota polis trafik itu bertanyakan perihal kejadian itu kepada beberapa orang awam yang ada di situ termasuklah wanita itu dan mereka juga. Masing-masing kesal dengan kejadian yang berlaku tadi. Memang kawasan itu agak berbahaya. Sudah ada beberapa kes ragut yang telah dilaporkan.

“Tak apalah puan. Pihak kami akan cuba memantau kawasan ni. Kami pun sempat juga mengecam wajah laki tadi. Kalau terjumpa balik, memang kami akan tahan dia,” ujar salah seorang anggota trafik itu. Wanita itu hanya mengangguk mendengarkannya.

“Saya ada peti kecemasan dalam kereta saya. Tangan mak cik berdarah sikit tu. Biar saya tengokkan,” pinta Auni Liyana sopan.

Wanita itu pun melihat tangannya. Ya, sedikit berdarah akibat terjatuh tadi. Dia sendiri pun tidak perasan. Dia pun akur dengan Auni Liyana. Dia mengikut gadis itu ke keretanya yang diparkir berhampiran sahaja.

Auni Liyana pun mengeluarkan peti kecemasannya dari tempat meletak barang di bahagian depan kereta. Dia mengeluarkan iodin untuk membersihkan luka bersama kapas dan pembalut luka. Sekejap sahaja dia membalut luka di tangan wanita itu. Cermat dan teliti balutannya.

“Terima kasihlah nak. Nasib baik ada kamu semua. Kalau tak, tak tahulah mak cik nak buat apa,” ujar wanita itu sambil mengeluh perlahan. Dia sendiri juga sedikit terkilan dengan kejadian yang tak diduga tadi.

“Tak apalah mak cik. Kebetulan saja kami semua ada dekat sini. Lagi pun, lorong belakang ni memang bahaya sikit. Kalau boleh tu, elakkanlah parkir kereta dekat belakang ni. Saya ni pun yang parkir dekat belakang ni sebab ada adik-adik saya ni. Kalau tak, memang saya cari juga parkir dekat depan tu sampai dapat,” pesan Auni Liyana. Naufal dan Nufail sama-sama tersenyum bila mereka dinyatakan.

“Mak! kenapa diam saja ni?” tanya Auni Liyana bila mendapati emaknya banyak diam dari mula tadi.

Puan Musliha tersentak bila dia dipanggil. Dia sekadar menggeleng sahaja menyatakan tiada apa-apa tapi dia masih memerhatikan wanita itu. Mereka saling bertukar senyuman.Kemudian, wanita itu mengerutkan dahinya. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Auni Liyana dan adik-adiknya hanya memerhatikan sahaja keletah dua orang wanita itu.

“Leha?” tanya wanita itu memandang Puan Musliha.

“Astagfirullah al-azim...! Yati?! Yati kah ni?” tanya Puan Musliha agak kalut. Wanita yang dipanggil Yati itu terus berdiri dan memandang Puan Musliha. Masing-masing berpelukan untuk seketika sambil tertawa. Auni Liyana saling berpandangan dengan Naufal dan Nufail.

“Kawan mak ke?” tanya Naufal perlahan.

“Entahlah...” balas Auni Liyana tak pasti. Nufail pulak sekadar menjungkitkan bahunya tidak tahu juga.

“Eh kenalkan Yati! Anak-anak aku,” ujar Puan Musliha sambil meleraikan pelukannya. Dia memandang ketiga-tiga anaknya yang hanya diam memandang mereka berdua. “Yang ni yang sulung. Kau ingat lagi tak?” tanya Puan Musliha cuba menduga.

“Err... Auni ya?” tanya wanita itu cuba mengingati gadis itu. Auni Liyana tersenyum memandangnya. Tak ramai yang memanggilnya menggunakan nama pertamanya.

“Isy kau ni Yati. Dari dulu lagi aku suruh panggil Nana. Auni jugak yang kau panggil,” tingkah Puan Musliha sambil terus tersenyum senang bila kawan lamanya itu masih ingat kepada anak perempuannya itu. Wanita itu tertawa mendengarkannya.

“Yalah, dah aku kata panggil Auni tu dengar lagi lembut dan sedap. Kau tu saja yang suka suruh orang panggil anak kau Nana. Kononnya manjalah tu,” bidas wanita itu pulak. Masing-masing ketawa dengan perbalahan kecil itu.

“Ni kawan lama mak dekat kampung dulu. Hayati namanya. Dia pernah tinggal dekat kampung kita dulu tu tapi dia pindah. Masa dia pindah, Nana baru umur 5 tahun. Rasanya mungkin Nana tak ingat sangat tapi dia ni selalu datang rumah kita dulu. Tambah lagi bila Nana baru lahir dulu. Suka sangat dia nak main dengan Nana. Macam dia tak ada anak sendiri pulak,” beritahu Puan Musliha sambil bergurau.

“Yalah, dah anak aku masa tu semuanya laki. Aku ni dahlah memang teringin sangat nak anak perempuan. Tahu-tahu saja, anak kau yang sulung perempuan. Jeles jugak aku masa tu,” sahut Puan Hayati turut bercerita.

“Oh, sekarang ni dah ada anak perempuan dahlah?” tanya Puan Musliha.

“Ada, seorang saja. Yang paling bongsu. Tapi, aku selalu jugak teringatkan dekat Auni ni. Aku ingat lagi dulu. Dia manja dengan aku dulu,” jawab Puan Hayati. “Ni pulak anak-anak laki kau ke?”

“Ha’ah, dua-dua nilah yang selalu buat aku pening kepala. Ni Naufal dengan Nufail,” ujar Puan Musliha.

Naufal dan Nufail hanya tersengih mendengarkannya. Puan Hayati tersenyum memandang mereka satu persatu. Paling lama pandangannya tumpah memandang Auni Liyana.

“Tak sangka... dah besar rupanya Auni sekarang. Cantik mak cik tengok,” ujar Puan Hayati sambil menyentuh lembut wajah Auni Liyana. Gadis itu hanya tersenyum mendengarkannya. Segan bila dipuji begitu.

“Eh, takkan nak berdiri dekat sini saja. Jomlah kita cari tempat selesa sikit nak bersembang,” ajak Puan Hayati lagi. Auni Liyana memandang emaknya sambil tersenyum nipis. Dia tak boleh berlama lagi. Mereka perlu membeli barang dapur sekarang atau dia akan terlewat ke tempat kerjanya.

“Aku memang nak bersembang lama dengan kau tapi Nana ni nak kena pergi kerja. Ni pun, aku tak beli lagi barang dapur,” ujar Puan Musliha sambil mengeluh perlahan. Dia juga ingin terus bersembang dengan kawan lamanya itu yang hampir 20 tahun tidak ditemuinya. Mujurlah mereka masih mengecam sesama sendiri. “Tapi aku duduk lama jugak dekat sini dengan Nana ni. Kalau ada masa, kau datanglah rumah anak aku ni. Dekat saja dengan sini,” ajak Puan Musliha kemudiannya. Dia tak mahu pertemuan itu berakhir di situ saja.

“Yalah mak cik. Datanglah rumah. Nak datang hari ni pun tak apa. Mak ada saja dekat rumah tu,” ajak Auni Liyana pulak. Dia juga ingin emaknya dapat berbual dengan kawannya. Tidaklah emaknya berasa bosan berada di rumah sahaja.

“Yakah? Tapi tak bolehlah hari ni. Aku pun ada hal lain lagi ni. Insya ALLAH... ada masa nanti, kita jumpa lagi. Aku memang tak puas sembang dengan kau lagi ni,” ujar Puan Hayati. “Oh ya, bagi aku nombor telefon kau. Nanti bolehlah aku telefon kalau nak datang ke rumah,” pinta Puan Hayati.

“ALLAH, aku tak adalah telefonnya. Kau bagi nombor kau dekat anak aku,” ujar Puan Musliha sambil menyuruh Auni Liyana mengambil nombor telefon Puan Hayati. Auni Liyana pun terus memasukkan nombor itu ke dalam telefonnya dan sempat dia mendail seketika.

“Janji tau, nanti kita jumpa lagi,” ujar Puan Hayati sebelum dia beredar dari situ.

“Ya, mesti punya kena jumpa lagi,” janji Puan Musliha. Dia melihat sahaja kawannya itu berlalu mendapatkan pemandunya. Rupanya ada pemandu yang datang menjemputnya. Senyuman Puan Musliha terus bermain di bibirnya. Dia benar-benar senang hati dengan pertemuan tak disangka ini.

“YATI! Kenapa dengan tangan awak tu. Berbalut bagai macam tu?” tanya Encik Mukhriz sebaik sahaja melihat tangan isterinya. Puan Hayati yang sedang memotong daun bawang ketika itu pun terhenti. Dia tersenyum memandang suaminya.

“Aik, tangan berbalut macam tu pun boleh senyum lagi. Awak ni dah nyanyuk ke apa?” gurau Encik Mukhriz. Puan Hayati mencebik mendengarkannya.

“Tangan ni terluka sikit masa balik dari pasar tadi. Yati kena ragut abang, dekat pasar tadi,” beritahu Puan Hayati memulakan ceritanya. Dia pun menceritakan serba sedikit akan kejadian yang berlaku itu. Encik Mukhriz yang mendengar hanya mampu beristighfar panjang. Tak sangka isterinya turut menjadi mangsa ragut. Mujur sahaja tidak berlaku apa-apa yang lebih teruk.

“Tu lah awak. Abang selalu pesan suruh berhati-hati. Kalau setakat nak ke pasar tu, tak payahlah nak bawa beg tangan besar-besar. Bawa dompetnya saja sudahlah,” leter Encik Mukhriz.

“Yalah abang. Lain kali Yati ingat pesan abang tu,” akur Puan Hayati bila dia malas hendak bertekak dengan suaminya mengenai hal itu lagi. “Dahlah lupakan pasal hal tu. Kalau diingatkan pun bukannya boleh tangkap pun peragut tu. Tapi kan abang, disebabkan peragut tu lah Yati gembira sangat hari ni,” sambungnya lagi. Encik Mukhriz mengerutkan dahinya.

“Aihh, kena ragut pun gembira. Kenapa? Peragut tu hensem sangat ke sampai awak boleh rasa gembira?” perli Encik Mukhriz. Puan Hayati mencebik mendengarkannya.

“Abang ni kan. Nak saja potong cakap Yati. Cuba dengar Yati cerita sampai habis. Dah lah tu, suka buat andaian bukan-bukan. Yati tak sempat pun tengoklah macam mana rupa peragut tu,” tempelak Puan Hayati. Encik Mukhriz ketawa mendengarkannya.

“Abang tau siapa yang tolong Yati dekat pasar tu?” tanya Puan Hayati sengaja menduga suaminya.

“Siapa lagi? Orang yang ada dekat situlah,” balas Encik Mukhriz acuh tak acuh. Lagi sekali, Puan Hayati mencebik mendengarkan jawapan Encik Mukhriz yang entah apa-apa baginya.

“Dahlah, biar Yati beritahu abang sajalah. Suruh abang teka bukannya abang tahu pun,” alah Puan Hayati malas hendak terus memanjangkan soal itu. “Yati jumpa dengan Leha, abang,” beritahu Puan Hayati akhirnya.

“Leha?” Encik Mukhriz terdiam memikirkan nama itu. “Leha mana?”

“Alah, Leha kawan rapat Yati dekat kampung dulu tu. Dia sama-sama satu sekolah dengan Yati dari kecil lagi sampai habis sekolah menengah,” beritahu Puan Hayati cuba mengingatkan suaminya. “Yang ada anak perempuan nama Auni tu,” tekannya lagi bila Encik Mukhriz masih lagi kabur.

“Ohhh.... Leha! Leha yang tinggal dekat simpang tiga yang ada kedai runcit tu ke?” tanya Encik Mukhriz inginkan kepastian.

“Hah, yang tulah!”

“Lah, tak sangka pulak awak jumpa dengan dia. Macam mana dengan dia? Anak-anak dia mesti dah besar kan sekarang,” tanya Encik Mukhriz bila dia mula mengenali nama itu. Ya, memang mereka mengenali sesama keluarga mereka. Malah, hubungan isterinya begitu akrab sekali dengan Puan Musliha membuatkan dia juga turut mengenali rapat keleuarga itu.

“Yati tak sempat nak bercerita panjang pun tadi. Leha dengan anak-anak dia nak cepat. Setakat bertanya khabar macam tu sajalah. Tapi Yati dah janji nak jumpa lagi dengan dia. Yati dah ambik pun nombor telefon Auni. Lain kali, kalau senang Yati nak ajak dia jumpa lagi,” beritahu Puan Hayati. Dia mula merencanakan pelbagai rancangan. Tak sabar untuk dia bertemu lagi dengan kawannya itu.

“Oh, yakah? Auni macam mana? Mesti dah besar kan?” tanya Encik Mukhriz lagi. Dia juga rapat dengan anak sulung Puan Musliha itu ketika dia masih kecil lagi.

“Yalah abang. Takkan budak tu nak kecik macam tu selamanya,” bidas Puan Hayati sengaja mengenakan suaminya kembali. Kali ini, Encik Mukhriz pula yang mencebik bibirnya. Puan Hayati tersenyum nipis senang hati. “Auni tu dah segak sangat sekarang ni abang. Sopan orangnya. Sejuk mata dengan hati Yati ni menengoknya. Haihh....” sambung Puan Hayati sambil mengeluh di akhirnya. Dia terus tersenyum sambil membayangkan kembali rupa anak gadis Puan Musliha.

“Yalah, lain kali ajak abang sama. Abang pun nak jugak jumpa mereka sekeluarga lagi. Dah lama rasanya kita tak balik ke kampung tu kan. Sejak kita bawa mak tinggal dengan kita dekat sini. Memang dah jarang sangat kita balik ke sana,” ujar Encik Mukhriz.

Puan Hayati tersenyum mendengarkannya. Benar kata suaminya itu. Sudah lama mereka tak balik ke kampung. Tanah yang ada di kampung sekadar dipesankan untuk orang tolong menjaganya. Emaknya juga senang tinggal dengan mereka bila semua keperluannya dijaga elok. Tambah lagi dekat dengan cucu.

Puan Hayati terus tersenyum sambil mengenangkan kembali kenangan di kampung dulu. Tak sangka sudah lama semua itu berlalu. Dia sendiri pun sudah tua. Ada anak-anak yang sudah besar semuanya. Kenangan di kampung menggamit pelbagai perasaan. Namun, semuanya kenangan terindah.
Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati