Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,148
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 21

PENGUNJUNG ke pusat membeli belah di Bukit Raja itu memang ramai pada hujung minggu. Semuanya datang bersama keluarga atau berteman. Pelbagai keletah dapat dilihat ketika itu. Agak hingar juga suasananya dengan jerit tangis anak-anak kecil yang dibawa ibu bapa mereka.

Rifdi Riyadh diam berdiri sambil bersandar ke tiang berhadapan dengan Jusco. Entah berapa kali dia mengeluh di situ. Orang ramai yang lalu lalang tak diendahkannya. Tapi, ramai gadis-gadis yang selalu mencuri pandang ke arahnya. Gadis-gadis remaja saling berbisik antara mereka sambil tertawa kecil.

Penampilan lelaki itu menarik tumpuan mereka. Dia tampak bergaya sekali dengan sepasang jeans dan baju t-shirt berserta jaket kulit berwarna hitam. Sepasang cermin mata hitam terletak di atas kepalanya. Dia tampil ringkas dan berkarisma.

“Okay Rifdi! Kau kena cuba untuk bercakap baik dengan dia. Kalau kau tak boleh jugak, tu maknanya kau memang bencikan dia. Kau kena cuba bercakap baik dengan dia hari ni,” pesan Rifdi Riyadh kepada dirinya sendiri. Berulang kali dia mengatakannya. “Tapi... kalau aku boleh saja bercakap baik dengan dia? Macam mana pulak?” dia diam memikirkannya.

“Ahh, tu fikir nanti sajalah. Sekarang ni, kau kena cuba layan dia macam orang lain,” pesan Rifdi Riyadh lagi.

“Rifdi!” panggil Auni Liyana yang baru tiba di situ. “Sorry, Nana lambat sikit,” pintanya kemudian. Lelaki itu memandangnya tajam. Gadis itu hanya diam sahaja. Yalah, marahlah Nana cepat! Salah Nana sebab Nana yang lambat. Getus hati kecilnya.

“Tak apa. Lambat sikit saja,” balas Rifdi Riyadh. Dia cuba tersenyum untuk gadis itu. Tapi nampak kekok dan janggal sekali senyumannya. Memang nampak dipaksa sekali senyuman itu.

“Huh?!” Auni Liyana terdiam melihatkan reaksi lelaki itu. “Siapa awak sebenarnya?” pantas sahaja dia bertanya.

Rifdi Riyadh mengerutkan dahinya sambil terus cuba tersenyum. Kali ini, senyumannya sinis sekali. “Apa yang kau mengarut ni? Sejak bila pulak kau tak kenal aku?” ujar lelaki itu lagi. Memang nak kena perempuan ni tau! Dahlah lambat! Banyak songeh pulak! Bentak hatinya.

Dia terhantuk kepala dia ke masa nak datang sini?! Teruk sangat ni hantukannya. Tiba-tiba saja cakap lembut dengan aku. Dah tu, tak salahkan aku pulak walaupun aku lambat. Auni Liyana terus bertanya sendiri di dalam hatinya. “Dah tu... menyeramkan senyuman dia...” ujarnya perlahan. Sekadar didengarinya sahaja.

Auni Liyana memandang lagi Rifdi Riyadh di hadapannya. Kali ini, barulah dia tersenyum nipis. Mungkin mama lelaki itu sudah memberi amaran supaya tak berkasar dengannya. Sebab itulah, lelaki itu cuba bercakap lembut dan baik dengannya walaupun tampak janggal.

“Urm, Rifdi. Rasanya adalah lebih baik kalau awak bersikap macam biasa saja. Sebab bila Rifdi bercakap lembut macam ni dengan Nana. Rasa sangat pelik. Tambah lagi senyuman tu,” terus terang Auni Liyana sengaja berlagak formal dengan lelaki itu.

Rifdi Riyadh terus mendengus kasar. Tak sampai 5 minit pun, dia sudah tak mampu lagi menahan dirinya. Dia terus memandang tajam gadis itu. Macam manalah aku boleh terfikir nak layan perempuan ni dengan baik?! Agaknya, aku hilang akal masa tu? Penat betul nak bercakap lembut dengan dia! Bentak hatinya lagi.

“Huh, bila masa pulak aku cakap lembut dengan kau ni? Aku rasa kau ada masalah pendengaranlah! Dahlah, malas aku nak layan kau,” tingkah Rifdi Riyadh. “Kau kata kau datang dengan kawan kau? Mana dia? Tak nampak pun,” tanya dia seterusnya.

Auni Liyana tersenyum sambil mengeluh lega. Ya, inilah Rifdi Riyadh yang dikenalinya. Lega bila lelaki itu kembali normal. Gadis itu terus tersenyum. “Kejap lagi agaknya. Dia kata tadi dah nak sampai sini dah pun,” beritahu Auni Liyana.

“Hemm!” sahut Rifdi Riyadh acuh tak acuh.

“Nana! Maaf saya lambat!”

“Oh, dok... err... urm... Hazim!” ujar Auni Liyana sedikit kalut. “Tak apa. Kami pun baru saja sampai kat sini,” sambungnya lagi.

Doktor Hazim terdiam. Itulah kali pertama gadis itu memanggil namanya tanpa panggilan doktor. Tapi dia senang mendengarkannya. Dia tersenyum memandang gadis itu. Auni Liyana tampak cantik sekali memakai sepasang dress maxi berwarna krim labuh ke kaki berserta kardigan berwarna coklat gelap. Tudung berwarna krim dipadankan. Nampak manis dan ayu sekali gadis itu.

“Ehemm..!”

Doktor Hazim baru perasankan kehadiran seorang lelaki di belakang Auni Liyana. Lelaki itu memandangnya tajam. Dia masih ingat lelaki itu. lelaki yang sama menghantar Auni Liyana ke hospital ketika gadis itu demam sebelum ini. Dia pun menghulurkan tangan.

“Hazim,” perkenalkan dirinya sendiri.

“Rifdi,” balas Rifdi Riyadh sambil menyambut salam itu. Dia juga masih ingat lagi rupa doktor itu. Tak sangka pula Auni Liyana berkawan rapat dengan doktor muda itu.

“Jomlah! Kita tengok wayang ya,” ajak Auni Liyana kemudiannya. Dia berjalan mendahului kedua lelaki itu. Mereka hanya menurutinya sahaja. Mereka berdua jugak hanya diam. Masing-masing tak tahu untuk berbicara perihal apa.

Auni Liyana yang beratur untuk membeli tiket wayang. Mereka serahkan sahaja pilihan cerita kepada gadis itu. Namun Doktor Hazim sedikit risau akan pilihannya tapi didiamkan sahaja. Dia hanya mampu berdoa yang gadis itu memilih cerita yang biasa sahaja.

“Mana Hazim?” tanya Auni Liyana sebaik sahaja dia selesai mendapatkan tiket. Kebetulan cerita yang mereka akan tonton akan bermula sekejap lagi. Jadi tak perlulah mereka menunggu lama.

“Beli popcorn!” jawab Rifdi Riyadh. “Nana!” panggil dia kemudiannya. Pantas dia memandang gadis itu.

“Ya?”

“Lain kali, kalau kau kata nak bawa kawan masa kita keluar. Boleh tak kalau kau bawa kawan pe-rem-pu-an,” ujar Rifdi Riyadh sengaja menyebut satu persatu perkataan akhir itu.

“Kenapa?”

“Yalah! Sebab bila kau bawa kawan lelaki. Nampak macam kau dengan dia keluar date dan aku ni menyemak saja,” balas Rifdi Riyadh kasar seperti selalu.

“Yakah? Nana tak fikir macam tulah pulak,” sahut Auni Liyana. Dia diam memikirkannya seketika. “Alah, tak apalah. Biar sajalah apa orang nak kata. Asalkan kita enjoy!” sambung gadis itu sambil tersenyum ceria.

Rifdi Riyadh mencebik mendengarkannya. Dia mengangkat keningnya memandang Auni Liyana. “Kalau aku dan kau... enjoy, happy, bahagia... atau apa saja perkatan yang positif! Tak mungkin akan wujud,” tekan Rifdi Riyadh.

“Ha’ah, betul tu!” setuju Auni Liyana. Lelaki itu memandangnya pelik. Tak sangka pula gadis itu akan bersetuju dengannya. “Tapi... tak salahkan kalau kita cuba untuk enjoy bila kita keluar macam ni. Sayanglah kalau dah keluar tapi tak boleh nak enjoy diri sendiri,” sambungnya.

“Lagi pun, Nana senang habiskan masa dengan Hazim. Dia seorang yang menarik. Sebab tulah Nana ajak dia sekali. Rifdi pun akan senang jugak dengan dia nanti,” tambah Auni Liyana lagi.

Rifdi Riyadh mengetapkan bibirnya. Entah mengapa, hatinya rimas mendengarkan kata-kata gadis itu. Memikirkan dia sedang memuji lelaki lain membuatkan hatinya tak keruan. Tapi, cepat sahaja dia tepis perasaan itu. Agak pelik kalau dia berterusan merasakan sebegitu.

Tak lama kemudian, Doktor Hazim kembali menyertai mereka bersama bekalan makanan ringan yang dibeli. Selepas itu, mereka pun masuk ke dalam panggung wayang. Doktor Hazim duduk di hujung sebelah dalam sekali. Auni Liyana pula hujung di selah luar. Manakala, Rifdi Riyadh berada di tengah-tengah mereka.

WAYANG pun tamat setelah hampir dua jam. Para penonton pun mulai meninggalkan panggung. Begitu juga dengan Auni Liyana dan dua lelaki itu. Doktor Hazim ke bilik air dulu. Tinggallah Auni Liyana dan Rifdi Riyadh berdua.

“Kau tahu tak yang kawan kau tu...” Rifdi Riyadh cuba mencari perkataan yang sesuai. “Penakut?” akhirnya dia sebut juga perkataan itu. Nampaknya, tiada perkataan lain yang lebih lembut.

“Tahu!”

What?!” Rifdi Riyadh terdiam mendengarkannya. “Dah tu, apasal kau pergi pilih cerita seram tu?!” tanya lelaki itu tak faham.

“Sebab Nana memang dah rancang nak tengok cerita tu sebelum ni,” balas Auni Liyana tanpa rasa bersalah. “Tapi sayang betul tak boleh tengok reaksi Hazim sebab Rifdi duduk dekat tengah. Hmm...” keluh gadis itu sambil tersenyum nipis.

“Perangai nakal kau ni memang takkan hilang kan?” duga Rifdi Riyadh.

Well, it’s my nature,” balas Auni Liyana ringkas sambil tersenyum.

Rifdi Riyadh hanya memandangnya tajam. Tak tahu untuk katakan apa lagi terhadap gadis itu. Perangai nakal itulah yang selalu membuatkan mereka sering bertikam lidah dulu sebelum lelaki itu bencikan dia lagi. Tapi, dia seakan telah terbiasa dengan nakal itu.

“Oh, tu pun Hazim!” ujar Auni Liyana sambil melangkah mendapatkan lelaki itu. Rifdi Riyadh hanya mengekorinya sahaja.

“Okay ke?” tanya Auni Liyana. Dia sebenarnya prihatin dengan doktor itu. Bukannya dia sengaja mahu mengenakannya tapi nakalnya kadang-kadang muncul juga.

“Err, hemm... okay,” balas Doktor Hazim sedikit lemah. Dia sebenarnya masih lagi berdebar selepas menonton cerita seram tadi.

“Lain kali, kita tengok wayang lagi ya?” ajak Auni Liyana kemudiannya. Doktor Hazim memandangnya sambil tersenyum tawar. “Tapi, nanti cerita kegemaran awak pulak lah,” sambungnya.

Doktor Hazim tersenyum manis mendengarkannya. Gadis itu pandai bertolak ansur. Ya, dia pasti mahu menghabiskan lagi masa bersama gadis itu. Walaupun dia tahu, hati gadis itu telah lama dimiliki. Sekilas, dia memandang Rifdi Riyadh. Mungkin lelaki itu tak sedar, hati yang dipegangnya begitu suci dan ikhlas menyayanginya.

“Nana!” panggil Doktor Hazim. “Saya kena masuk bertugas. Ada panggilan dari hospital tadi,” beritahunya.

“Eh, dah nak pergi?” tanya Auni Liyana perlahan.

“Ya! Maaf ya Nana, Rifdi. Saya pergi dulu,” pinta Doktor Hazim kemudiannya. Sempat dia bersalaman dengan Rifdi Riyadh dulu.

Tinggallah Auni Liyana dengan lelaki itu. Masing-masing hanya diam. Sebenarnya, Auni Liyana agak segan untuk berdua sahaja dengan Rifdi Riyadh. Walaupun dia selalu harap mereka dapat menghabiskan masa bersama, tapi bila harapan itu termakbul. Dia sendiri juga tak keruan.

Mereka berdua hanya berjalan. Kadang-kadang sahaja mereka bercakap. Itu pun, Auni Liyana yang memulakan dulu. Gadis itu pun beralah dengan sikap lelaki itu. Mungkin lebih senang mereka berdiam sahaja dari cuba untuk berbual. Tapi, Auni Liyana masih berasa gembira. Dia suka melihat belakang lelaki itu. Tampak kuat dan kukuh seperti dia boleh berharap padanya.

“Macam mana kau boleh terima cadangan mak kau tiba-tiba pulak? Bukan ke hari tu kau dah terang-terangan tolak cadangan tu?” tanya Rifdi Riyadh memecahkan sunyi antara mereka. Dia ingin tahu juga alasan gadis itu menukar fikirannya.

“Hmm...” Auni Liyana mengeluh perlahan. “Sebab mak Nana ugut nak balik kampung hari tu jugak. Kononnya dia merajuk dengan Nana lah sebab buat macam tu. Sebab tulah, Nana terpaksa juga ikut cakap mak. Nana mahu dia ada dekat sini terus,” beritahunya. Lelaki itu hanya mengangguk sahaja.

“Biarkan sajalah mak kau tu balik kampung. Apa salahnya, bukannya kau tak boleh balik kampung melawat dia kalau kau rindu,” tingkah Rifdi Riyadh.

“Tak boleh! Nana nak dia ada dekat sini dengan Nana. Sekurang-kurangnya, tahun ni. Sebab Nana dah buat banyak rancangan untuk mak,” tegas Auni Liyana.

“Contohnya?”

“Sebenarnya... Nana merancang nak hantar mak tunaikan haji hujung tahun ni. Tapi Nana tak beritahu lagi dia,” beritahu Auni Liyana sambil tersenyum. Lelaki itu terdiam mendengarkannya. Bagus sekali rancangan gadis itu.

“Hemm, okaylah tu,” balas Rifdi Riyadh ringkas.

Kemudian, mereka kembali diam. Gadis itu senang bila Rifdi Riyadh mahu berbual dengannya. Kemudian, dia diam memikirkan sesuatu. Ada perkara yang perlu dijelaskan kepada lelaki itu. Dia tak mahu lelaki itu berfikir bukan-bukan pula.

“Rifdi,” panggil Auni Liyana. Lelaki itu pun memandangnya. Gadis itu memandangnya tegas. “Ada hal yang Nana perlu beritahu Rifdi.”

“Apa dia?”

“Pasal rancangan mak kita ni,” Auni Liyana cuba memberi petunjuk. Rifdi Riyadh diam sahaja menanti bicara seterusnya. “Nana tak kisah untuk kita ikut rancangan ni. Maksud Nana, pasal kita kena keluar selama 3 bulan ni,” sambung gadis itu. Kemudian, dia diam seketika.

“Cuma Nana nak beritahu Rifdi jawapan Nana dari mula lagi,” ujar Auni Liyana. “Nana gembira sangat sebab kita boleh habiskan masa macam ni. Walaupun Rifdi bencikan Nana tapi Nana harap ni semua tak bebankan Rifdi sangat. Kalau Rifdi nak terus salahkan Nana sebab semua ni pun, tak apa. Kalau tulah yang boleh buatkan Rifdi tenang dengan semua ni,” tambahnya lagi.

“Apa yang kau nak cakapkan sebenarnya?” pintas Rifdi Riyadh. Dia rimas mendengar gadis itu berulang kali mengungkit akan kebenciannya. Tak perlu nak diungkit sesuatu yang jelas.

“Selepas 3 bulan nanti, jawapan Nana tetap sama macam hari tu,” beritahu Auni Liyana akhirnya. “Nana tak layak untuk Rifdi. Jadi, Nana harap Rifdi boleh bertahan dengan sikap Nana selama 3 bulan ni. Lepas tu, Nana janji yang Nana takkan ganggu Rifdi lagi,” sambungnya lagi.

Rifdi Riyadh memandang Auni Liyana tajam. Dia makin tak faham dengan ulah gadis itu. Bukankah gadis itu begitu menyayanginya sejak dari bangku sekolah lagi. Jadi, mengapa dia berulang kali menolak dirinya kini? Mengatakan yang dirinya tak layak untuk dia! Lelaki itu benar-benar bingung dengan gadis itu.

Bukanlah dia mahukan Auni Liyana menerimanya atau terus menyayanginya tapi... ada perasaan aneh dan tak keruan bermain di hatinya. Dia rimas dengan semua itu.

“Kenapa kau fikir kau tak layak untuk aku?!” tingkah Rifdi Riyadh. Dia makin hilang sabar dengan ulah gadis itu.

“Eh?”

“Ahh, tak! Maksud aku... Ya, kau memang tak layak untuk aku!” Pantas sahaja Rifdi Riyadh membetulkan kata-katanya.

Auni Liyana tersenyum manis memandang keletah lelaki itu. Tampak sedikit kelam kabut. Tapi... mengapa dia selalu mengatakan sesuatu yang tak mungkin dia akan katakan selama ni? Tanya hatinya sendiri. Tapi dia abaikan sahaja semua itu. Mungkin, secara spontan kata-kata itu keluar dari mulut lelaki itu.

“ASSALAMUALAIKUM!” seorang lelaki pertengahan 30-an melaungkan salam suci dari bawah rumah. Sudah dua kali dia melaungkan salam itu tapi masih tiada sebarang jawapan. Dia menunggu seketika sebelum memberi salam lagi sekali.

“Waalaikumussalam...” jawab seseorang dari belakangnya. Pantas lelaki itu berkalih memandang empunya diri yang menjawab salamnya. “Cari siapa di sini?” tanya lelaki berkopiah itu.

“Saya Syarif pak cik,” ujar Syarif memperkenalkan dirinya sambil bersalaman dengan lelaki separuh abad itu.

“Nama pak cik... Jabir,” balas Pak Cik Jabir pula.

“Saya cari penghuni rumah ni? Pak cik tinggal dekat sinikah?” tanya Syarif lagi.

“Oh tak! Pak cik tinggal selang beberapa buat rumah dari sini. Yang singgah ni pun sebab nampak kamu bagi salam,” balas Pak Cik Jabir lagi.

“Oh yakah? Kalau macam tu, pak cik tahu tak ke mana tuan rumah ni pergi? Dan... betulkah ni rumahnya Puan Musliha binti Basyir?” tanya Syarif lagi.

“Yalah tu. Nilah rumahnya tapi Leha tak ada dekat rumah. Dah lama dia pergi tinggal dengan anaknya dekat Shah Alam sana tu. Lebih kurang 3 bulan dah pun dia dekat sana. Sejak dia pergi hari tu, sampai ke hari ni pun dia masih tak balik lagi walaupun sekali,” cerita Pak Cik Jabir serba ringkas.

“Kalau macam tu, pak cik tahu alamat rumah anak dia dekat Shah Alam tu?” tanya Syarif seterusnya. Dia harus mencari tuan rumah itu. Ada urusan yang perlu diselesaikan dengannya.

“Tak tahulah pulak pak cik! Yang pak cik tahu, tu sajalah. Anak dia duduk dekat Shah Alam. Alamat betulnya, pak cik tak tahu,” jawab Pak Cik Jabir jujur.

“Nombor telefon anak dia pun tak adakah?”

“Pun tak ada. Nombor telefon rumah ni adalah,” balas Pak Cik Jabir lagi sambil tersengih. Sempat dia bergurau dengan tetamu itu.

Syarif hanya tersenyum mendengarkannya. Nampaknya pencariannya hari ini menemui jalan buntu. Mungkin dia perlu bertanyakan penduduk kampung yang lain. Mungkin ada seseorang yang dapat membantunya. Setelah itu, dia pun berterima kasih dengan Pak Cik Jabir dan sempat dia berpesan. Kalau ada sebarang maklumat mengenai rumah anak Mak Cik Leha, dia berharap Pak Cik Jabir dapat memberitahunya.
Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati