BAB 5

Suasana sepi di tempat persembunyian mutan pelarian Gen-X. Hanya Zombion yang masih berjaga.

'Dia ni tak pernah mengantuk?' Sedikan hati Amir apabila melihat jam yang sudah menunjukkan jam tiga pagi.

"Mana yang lain?" Tanya Amir setelah dia dan Aquilar sudah ada bersama Zombion.

"Seri Dewi pergi memburu. Halim dan Kamelia ada di dalam. Berehat." Jawapan Zombion ringkas. "Kau pun pergilah berehat juga. Tentu malam ni meletihkan."

Aquilar sudah hilang. Mungkin sudah terbang pergi dengan naluri kelawarnya. Tanpa membantah Amir masuk ke dalam menyambung lena yang sudah beberapa jam tertunggak.

***

Hari sudah mula meninggi apabila Amir membuka mata. Sinar mentari dari celah tingkap menyilaukan pandangan. Amir teringat bebola akuamarin yang diambil di landasan makmal Gen-X. Dia mengamati objek yang memukau dengan balikan cahaya mentari yang sungguh indah. Cepat-cepat bebola itu dimasukkan semula ke dalam kocek sebelum sesiapa sedar.

Ahli kumpulan mutan sudah berkumpul di ruang lapang rumah itu, seperti sedang menunggu Amir.

"Okey, Amir dah bangun. Kita boleh mulakan." Suara Zombion.

"Tapi aku lapar. Nak sarapan dulu."

Permintaan Amir tidak diendahkan oleh Zombion. Amir merengus dalam diam.

"Apa hasil intipan semalam?" Zombion memandang ke arah Aquilar.

"Ada jalan masuk melalui rekahan di bukit berbatu. Mungkin laluan keluar melalui udara. Dari situ ada terowong udara menuju ke bangunan utama." Jawab Aquilar yang memakai kaca mata hitam. Tentu cahaya matahari menyilaukan matanya yang berfungsi seperti seekor kelawar.

"Laluan udara? Bermakna hanya orang tertentu saja yang boleh masuk ke tempat tu." Zombion membuat deduksi.

"Aku rasa aku boleh masuk ke sana bersama Kamelia. Dari lubang udara, Kamelia boleh mengakses masuk ke makmal rahsia melalui koridor. Hanya dia saja yang boleh lalu tanpa dapat dikesan. Kalau Halim mungkin ada masalah sedikit."

Amir hanya mampu mendengar walaupun dia masih belum faham apa yang dimaksudkan oleh Aquilar tentang Halim.

"Kalau macam tu, yang lain kena masuk melalui pintu utama. Kita kena cari jalan supaya sistem sekuriti makmal dapat dilumpuhkan. Kemudian baru kita boleh selamatkan mutan yang lain." Zombion cuba mencerahkan.

"Aku rasa tak semudah itu. Kita mungkin dah berjaya setakat ni. Tapi aku rasa Byron ada rancangan yang lebih besar untuk kita. Lagipun aku khuatir tak semua mutan nak ikut kumpulan kita. Kita orang buangan di sini. Sedangkan janji-janji Byron mungkin menyebabkan ada mutan yang termakan dengannya." Aquilar memberi pandangan.

"Apa lagi ikhtiar yang kita ada? Sekurang-kurang kalau kita dapat selamatkan beberapa orang mutan lagi, mungkin pasukan kita akan jadi lagi besar dan mantap. Harapan kita adalah kod akses yang Amir tahu. Itupun kalau belum dibatalkan oleh Byron."

"Aku tak kira semua tu. Yang penting kita kena cuba selamatkan adik aku." Aquilar bersuara.

"Jadi apa rancangan kita sekarang?" Seri Dewi bersuara.

"Aquilar dan Kamelia akan masuk melalui rekahan bukit. Kemudian mereka akan cuba melumpuhkan sistem sekuriti Gen-X dari dalam sebelum melepaskan mutan yang masih dalam tahanan Byron. Yang lain akan bersedia menyambut mereka dari depan dan menyambut pasukan Byron."

Perkataan 'menyambut' yang digunakan Zombion menggeletek Amir.

"Bila kita akan mulakan operasi?" Tanya Kamelia.

"Malam ni. Kita bagi peluang Amir isi perut dia dulu puas-puas." Zombion menyindir Amir dengan senyuman sinis.

***

Usai mengisi perut dengan makanan tin yang ada di dapur, Amir menghampiri Zombion yang sedang berjemur di tengah matahari terik.

"Kenapa kau berpanas macam ni?" Tanya Amir tanpa berselindung.

"Sebelum kau tanya macam-macam lagi, baik aku terangkan tentang diri aku." Kata-kata sarkastik Zombion.

"Aku bekas komando. Sekurang-kurangnya itulah saja yang aku tahu tentang masa silam aku. Aku dah mati dan dihidupkan semula oleh Byron dengan teknologi gila dia. Sebab tu muka aku pucat macam mayat. Hakikatnya aku adalah mayat yang hidup. Zombi."

Kemudian Zombion menunjukkan sesuatu di bahagian dada kirinya. Bahagian daging itu dibuka dan satu panel kecil kelihatan.

"Tubuh ini adalah tubuh asal aku, bersama beberapa bahagian yang digantikan. Aku bergantung kepada tenaga solar. Apa yang aku makan dan minum bukan bertukar menjadi darah dan daging. Semuanya adalah sumber tenaga alternatif selain daripada solar. Bahagian yang diganti adalah mesin. Masa kecil aku suka menonton cerita Six Million Dollar Man dan berangan menjadi seperti dia. Tapi sekarang sebahagian diri aku menyesal dengan angan-angan itu. Sebab aku terpaksa menanggung semua yang datang bersama pekej ini. Memori yang hilang. Tubuh separuh bionik yang pelik dan menakutkan. Tak ubah macam Frankenstein. Inilah aku, Zombion. Zombi dengan kuasa bionik." Zombion melayan perasaan.

"Kau langsung tak ingat tentang masa silam kau? Nama sebenar kau pun kau tak tahu?" Amir tertarik dengan kisah Zombion.

Zombion menggeleng. "Kadang-kadang aku ada bermimpi. Aku tahu itu ada kaitan dengan masa lepas. Tapi bila aku bangun, semuanya hilang. Macam cebisan jigsaw puzzle yang berselerak. Aku tak tahu mana yang mula, mana yang akhir." Ada nada hampa dalam kata-kata Zombion.

"Aku sanggup buat apa saja untuk tahu masa silam aku. Kadang-kadang aku rasa macam ada bahagian yang dipadamkan."

"Kenapa?" Amir kurang faham.

"Aku mahir dalam hal-hal senjata dan peperangan, tapi aku langsung tak tahu tentang keluarga dan asal usul aku. Mungkin apa yang aku tahu telah ditanam oleh Byron selepas aku dihidupkan semula." Zombion kelihatan keliru.

"Mungkin data tentang kehidupan lampau kau ada dalam pengkalan data di Gen-X?" Amir memberi buah fikiran.

"Aku pun fikir macam tu juga. Tapi aku tak berharap sangat untuk berjumpa maklumat tu. Kadang-kadang aku takut. Mungkin luka akan menjadi lebih parah sekiranya aku tahu siapa diri aku yang sebenar. Entahlah, malas aku nak fikir tentang hal ini lagi."

Zombion terus mendiamkan diri, dan Amir enggan bertanya apa-apa lagi.

Kamelia datang dan memanggil Amir, "Aku ada sesuatu yang aku nak tunjukkan pada kau."

Amir bangun meninggalkan Zombion yang masih dalam lamunan. Dia tidak menghiraukan Amir dan Kamelia.

Mereka menuju ke sebuah bilik di tingkat atas. Sebuah komputer dengan monitor, CPU, papan kekunci dan tetikus berasingan terletak di atas meja.

"Apa ni?" Tanya Kamelia.

"Komputer. Teknologi ni popular di akhir kurun ke-20 dan awal kurun ke-21. Sebelum ia menjadi lebih kompak dan mudah alih. Teknologi ni dah digantikan dengan tablet dan holo PC."

"Holo PC?" Kamelia kehairanan. Kehidupan di rumah anak yatim dan makmal Gen-X benar-benar menyebabkan dia ketinggalan dalam hal itu.

"Komputer telah direvolusi menjadi hanya CPU yang kecil. Skrin, mouse dan keyboardsekadar bentuk maya yang diprojeksi dalam bentuk hologram dari CPU. Saiz dan ruang tidak lagi menjadi masalah. Semuanya bergantung pada kuasa yang dibekalkan dari CPU yang sebesar Rubic Cube. Ada juga dalam versi yang lebih kecil."

"Banyak juga pengetahuan awak." Kamelia kagum.

"Di kolej ada pelajaran khas tentang teknologi." Amir tersenyum.

"Agak-agaknya benda ni masih boleh berfungsi?" Kamelia ingin tahu.

"Mungkin. Tapi kena ada tenaga elektrik. Kalau nak akses pengkalan data online perlu ada internet."

Kamelia membelek dan menekan-nekan papan kekunci komputer yang tidak beroperasi itu penuh minat.

"Apa yang berlaku pada keluarga awak?" Tanya Amir.

Soalan Amir menyebabkan Kamelia terhenti.

"Entahlah. Kata pekerja di rumah asuhan anak-anak yatim, keluarga saya semuanya mati dalam kemalangan. Saya diserahkan sehelai sepinggang ke tempat tu. Satu dokumen pun tak ada. Masa tu umur saya tujuh tahun. Yang saya tahu cuma nama yang ada ni. Karmila." Kamelia melemparkan pandangan jauh ke luar tingkap.

"Apa yang Byron dah buat pada awak?"

"Dia kata dia nak lakukan sesuatu pada diri saya. Sesuatu yang akan menjadikan diri saya luar biasa. Dia janjikan dengan macam-macam benda. Saya terlalu naif masa tu. Semua saya percaya."

"Awak ada DNA sesumpah?" Soalan telus Amir menyebabkan Kamelia tertawa kecil.

"Saya pun fikir macam tu juga masa mula-mula. Ada pekerja makmal terangkan kepada saya. Saya berkebolehan mengawal pigmentasi setiap bahagian tubuh mengikut keadaan sekeliling. Sama macam sesumpah. Tapi nasib baik saya tak memiliki ciri-ciri sesumpah." Kamelia berbicara tanpa melihat wajah Amir.

"Macam Aquilar? Manusia dengan ciri-ciri kelawar yang ketara?" Komen Amir dibalas dengan anggukan Kamelia.

"Awak rasa kita akan berjaya?" Kamelia akhirnya memandang wajah Amir.

"Entahlah. Tapi setakat ini semua berjalan lancar. Saya pun hairan dengan sistem sekuriti Gen-X. Teknologi makmalnya canggih, tapi kawalannya tak berapa rapi."

"Awak rasa spesis kami boleh diterima masyarakat?" Soalan Kamelia membuatkan Amir tergamam.

"Susah saya nak jawab soalan tu." Amir buntu.

"Saya rasa manusia bukan mutan tentu susah nak terima kami. Sedangkan perbezaan warna kulit pun boleh menyebabkan diskriminasi dan perkauman. Perang yang berlaku dulu pun disebabkan perbezaan agama. Apatah lagi dalam keadaan kami yang berbeza ini." Kamelia meluahkan apa yang berbuku di dadanya.

"Tapi manusia adalah spesis yang mampu belajar daripada kesilapan. Awak lihat bagaimana keadaan mereka di zaman hamba abdi dan zaman amalan dasar Apartheid. Tapi sekarang semua itu sudah dimansuhkan. Manusia bersedia untuk berubah. Hanya masa yang dapat menentukan." Amir cuba menenangkan perasaan Kamelia.

"Tapi persoalannya bila? Adakah lepas kaum kami terpaksa menerima penindasan yang hebat? Setelah banyak nyawa terpaksa dikorbankan demi perjuangan mendapat hak sama rata seperti orang lain?"

Amir terdiam. Dia tidak dapat memberi jawapan yang dikehendaki oleh Kamelia. Sejarah telah membuktikan itulah yang akan berlaku sebelum hak sama rata diberikan.

"Mana Halim?" Amir menukar topik.

"Pada masa macam ni dia biasanya berada di kawasan Kawah Maut."

"Apa dia buat di sana?"

"Entahlah. Pergilah cari dia." Kata Kamelia sebelum dia beredar meninggalkan Amir.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.