BAB 3

Kawasan hutan yang subur berubah secara beransur-ansur. Semakin lama pokok-pokok yang tumbuh semakin jarang hinggalah yang tinggal hanya rerumput yang tumbuh jarang-jarang di kawasan tandus. Seolah-olah kawasan itu baru mengalami kebakaran hutan yag dahsyat, dengan lekuk yang terbentuk seperti lereng bukit.

"Inilah Kawah Maut. Saya rasa awak adalah manusia biasa yang pertama lalu di sini." Kamelia menoleh ke belakang melihat Amir yang terpinga-pinga melihat lanskap yang cukup menggerunkan itu.

Dengan segera video di internet dan berita yang dia dengar tentang peristiwa bersejarah Perang antara Malaysia dan Amerika terlintas di fikiran. Semuanya berpunca daripada gerakan aktivitis yang mencetuskan semangat anti-Islam di seluruh dunia, hingga Malaysia juga telah menjadi sasaran.

Mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di sebuah kawasan lapang. Di tengah-tengah kawasan itu tersergam sebuah rumah besar yang kelihatan seperti mahligai walaupun ia sudah kelihatan usang dan berlumut.

"Di sinilah tempat kami tinggal sejak beberapa tahun lepas." Ujar Kamelia ketika mereka menyusuri jalan tar yang sudah peroi dimamah usia akibat hujan dan terik mentari.

"Makan minum macam mana? Kelengkapan lain dapat dari mana?" Soalan Amir menyebabkan Kamelia tersenyum sinis.

"Kami ada cara kami yang tersendiri," jawapan Kamelia seperti berteka-teki.

'Mungkin mereka mengumpul sumber dari bangunan yang ditinggalkan di sini.' Amir cuba membuat deduksi setelah gagal mendapatkan penjelasan daripada Kamelia.

Seorang lelaki dengan tubuh sasa dan tegap menyambut mereka. Di tangannya ada senjata seperti mesingan.

"Siapa dia ni?" Tanya lelaki itu. Wajahnya kelihatan pucat, seperti kehilangan darah.

"Jangan risau. Dia orang buruan Byron. Dia tahu tentang makmal ujikaji mutan." Jawapan Kamelia menyebabkan lelaki itu menurunkan senjata yang sudah sedia terhunus sebelum itu.

Amir menghampiri Kamelia. "Siapa dia tu?"

"Itulah Zombion."

'Zombion? Nama pun dah menyeramkan. Muka dahlah macam zombi.' Refleksi Amir dalam diam.

Suasana di dalam rumah agam itu agak suram tanpa tenaga elektrik. Hari sudah menjelang senja setelah mereka menapak dari tempat kemalangan bas. Hanya lampu yang boleh dicaj semula dengan tenaga kinetik dan solar sahaja yang mencerahkan ruang tertentu.

Seorang lelaki sedang tergantung pada palang di satu pojok gelap bangunan itu. Gayanya persis makhluk kelawar yang bertubuh manusia. Seorang wanita sedang duduk di satu sudut dengan gaya seksi dan menggoda. Renungan tajam matanya membuatkan Amir terasa seram sejuk. Rambutnya yang mengurai membuatkan dia kelihatan penuh misteri. Seorang wanita ayu dengan gaya yang penuh tanda tanya. Seorang lagi adalah pemuda yang hampir sebaya dengan Kamelia, mungkin lebih tua beberapa tahun.

Kamelia tidak menunggu Amir bertanya tentang mutan-mutan lain yang ada di situ. Riak wajahnya sudah cukup menunjukkan rasa gerun.

"Yang tergantung tu namanya Aquilar. Yang seksi tu namanya Seri Dewi. Mamat tu namanya Halim." Kamelia berbisik kepada Amir.

"Geng, ini Amir Firdaus. Dia ada maklumat tentang makmal rahsia ujikaji mutan. Sebab tu dia hampir-hampir jadi mangsa Byron." Suara lantang Kamelia.

Amir kecut perut ketika lelaki yang tergantung tadi menjatuhkan diri dan kemudian menebarkan sayap yang panjangnya hampir beberapa meter dari hujung ke hujung. Manusia kelawar yang mungkin akan membuatkan dirinya pengsan sekiranya terserempak pada waktu malam.

"Kau bukan mutan?" Tanya Aquilar setelah menghampiri Amir. Raut wajahnya ada iras Latino dengan loghat yang pekat. Mungkin dari Filipina atau Sepanyol.

Amir hilang suara. Dia hanya mampu menggeleng.

"Kenapa? Kau takut tengok kepak aku ni?" Usik Aquilar. Barisan giginya yang putih menampakkan kekacakan wajahnya dengan jambang dan misai. Persis Don Juan dengan legenda kasanova zaman dahulu.

"Apa yang kau tahu tentang makmal rahsia Gen-X?" Zombion tidak menunggu Amir menjawab soalan Aquilar.

"Makmal tu ada pintu dengan tulisan restricted access. Ada tangga turun ke bawah. Kawasannya dingin, macam bilik sejuk beku." Amir memberi penerangan.

"Apa lagi yang kau nampak?" Suara Seri Dewi, wanita persis seorang penggoda dan pembunuh upahan.

"Ada beberapa silinder kaca besar. Dalamnya ada mutan dengan rupa yang pelbagai."

"Ada berapa semuanya?" Tanya Zombion.

"Mungkin sepuluh. Mungkin lebih. Aku tak dapat cam sebab terpaksa tinggalkan tempat tu. Aku takut kena tangkap." Jawab Amir. Telus.

"Kau ada nampak adik aku?" Tanya Aquilar dengan nada mendesak.

Belum sempat Amir menjawab, Zombion terus memintas.

"Macam mana dia nak kenal adik kau?"

"Boleh tak kau jangan sibuk? Aku yang tanya dia. Kau menyampuk apasal?" Aquilar berang.

"Kita ada misi yang lebih besar. Kau tak habis-habis fikir pasal adik kau!" Tempelak Zombion.

Aquilar merapati Zombion hingga wajahnya hampir bertembung dengan lelaki sasa berkulit pucat itu. "Dia adik aku. Darah daging aku. Aku sanggup buat apa saja untuk selamatkan dia. Oh ya, aku terlupa. Dari dulu kau memang nak bunuh aku dan dia kan?"

Amir terasa cemas melihat pertelingkahan sengit kedua lelaki alpha itu. Seperti bilik yang dipenuhi gas mudah terbakar. Bila-bila sahaja akan meletup sekiranya ada percikan api.

"Sudah! Sudah! Kau berdua ni tak habis-habis bergaduh! Bila kita nak selesaikan misi kalau macam ni?" Seri Dewi menunjukkan sisi garang di sebalik penampilannya yang seksi.

Aquilar terus terbang dan hinggap di tempat asal dia bergantungan tadi. Amir rasa lega setelah kedua lelaki itu tidak jadi bergaduh.

"Mereka berdua memang macam tu. Buat tak tahu saja." Bisik Kamelia di sebelah Amir.

"Kita kena pergi selamatkan mereka." Seri Dewi memberi pendapat.

"Kau gila? Kita serba kekurangan. Lagipun aku syak ada yang tak kena dengan cara budak ni dapat maklumat tentang makmal rahsia tu. Aku kenal sangat dengan Byron. Aku syak ini satu perangkap." Zombion melahirkan rasa curiga.

"Habis kau nak buat apa? Duduk saja di Kawah Maut ni, sampai mati. Oh, aku terlupa lagi. Kau memang dah tak boleh mati pun." Sindiran sinis Aquilar dari siling.

Zombion hanya merenung tajam Aquilar.

"Kita kena bertindak. Takkan nak tunggu saja di sini macam bertahun-tahun yang lepas." Halim yang selama ini berdiam diri mula bersuara.

"Kalau Byron tahu kita gunakan budak ni, macam mana? Kalau dia tukar kod akses ke ruang terlarang tu?" Zombion masih ragu-ragu.

Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Aquilar untuk menyelar Zombion lagi. "Kalau aku tengok susuk tubuh kau ni, aku rasa kau seorang askar yang handal. Tapi mungkin kemahiran dan kejantanan kau tu dah hilang masa kau dihidupkan semula."

"Kalau kau rasa kau hebat sangat, apa yang kau nak buat?" Zombion rasa tercabar dengan sindiran Aquilar.

"Kita hantar dua orang untuk buat tinjauan. Amir dan seorang lagi." Cadang Aquilar.

"Kau sanggup?" Tanya Zombion dengan nada mencabar.

"Tolonglah. Aku dah bersedia sebelum aku beri cadangan lagi." Jawapan sarkastik Aquilar.

"Okey, kalau macam tu kita hantar pasukan esok pagi." Zombion memberi arahan persis seorang komander.

"Kenapa esok? Hantar malam ni lah. Kau lupa Aquilar berfungsi paling baik pada waktu malam?" Seri Dewi bersuara.

Zombion terdiam. Aquilar sudah tersenyum sinis.

'Ada sesuatu yang tak kena dengan Zombion ni. Gayanya memang macam komando, tapi dia seperti dilanda amnesia. Orang lain seperti bersedia menerimanya sebagai ketua. Tapi dia seperti kehilangan karisma. Kenapa ya?' Amir membuat refleksi dalam diam dengan apa yang sedang berlaku.

"Baiklah. Malam ni kau dan Amir pergi mengintip." Zombion akhirnya bersuara.

"Kau lapar?" Tanya Kamelia dan dibalas dengan anggukan Amir.

Kamelia memanaskan makanan dalam tin di atas unggun api di ruang dapur.

"Mana kau dapat makanan ni?" Amir bersuara dengan nada curiga.

"Kenapa? Kau takut makanan ni masih ada sisa radioaktif masa bom nuklear dulu?" Usik Kamelia. Amir diam tidak menjawab.

"Aku dak beritahu kau, kami ada cara yang tersendiri. Seri Dewi adalah pemburu yang hebat. Dia selalu bawa pulang haiwan dari hutan. Halim pandai sembelih. Aku dan Aquilar selalu ke bandar untuk dapatkan bahan bekalan. Aquilar tunggu aku di tempat tersembunyi masa aku ke kedai. Di sini banyak barang yang boleh digadai untuk dijadikan sumber wang. Ada juga wang yang ditinggalkan selepas ledakan bom dulu."

Amir puas hati dengan penerangan Kamelia.

"Kenapa Zombion macam tu?" Tanya Amir lagi.

"Dia masih mengalami krisis identiti. Dia masih mencari-cari siapa dirinya yang dulu. Kadang-kadang dia diganggu mimpi tentang bayangan silam. Ah, nanti kau tanyalah dia sendiri." Kamelia enggan berceloteh panjang tentang Zombion.

Usai makan, Kamelia menunjukkan tempat rehat Amir. Sebuah katil usang dengan sebuah sleeping bag. Kemudian Kamelia merawat luka di kepala Amir yang darahnya sudah pun kering.

"Kau berehatlah dulu sementara menunggu Aquilar. Dia mungkin agak bergerak tengah malam nanti."

Amir cuma melelapkan mata. Apa yang dialami hari ini menyebabkan keletihan menguasai dirinya. Namun matanya enggan dipejamkan. Hatinya berdebar menanti Aquilar memanggilnya untuk membuat intipan di makmal Gen-X.

'Entah apalah nasib aku lepas ni.' Hati Amir mengeluh dalam diam. Tanpa dia sedari, lena telah datang menjemputnya.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.