4,015
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
BAB 1

KAI merenung jauh ke arah kenderaan yang bersimpang-siur di jalanan. Dari tingkat dua puluh, dia dapat melihat kenderaan tersebut bagaikan kotak dan manusia yang berjalan di sekitarnya pula bagaikan semut-semut yang merayap

Jam menunjukkan waktu tiga petang. Aliran trafik pada waktu ini masih lagi lancar tanpa bunyi hon ataupun jerit pekik para pemandu. Tetapi, tunggulah dalam dua ke tiga jam lagi, rakyat Malaysia akan bertukar karakter.

Di bandar besar penuh canggih ini, akhlak dan perilaku penduduk sekitarnya tidaklah sebaik yang disangkakan. Walaupun sudah jenuh para ulama dan ilmuan berceramah di sana sini menekankan hablum minallah wa hablum minannas, tetap saja manusia adalah manusia.


Nun jauh di ufuk timur pula, tersergam megah sebuah bangunan berbentuk sfera. Bangunan tersebut dipagari dengan pepohon bunga kertas dalam bentuk segi empat tepat. Suasananya sangat indah, tetapi di situ jugalah tersimpannya sebuah memori pahit buat dirinya.

Dalam diam, Kai tersenyum tawar. Perlahan-lahan, tangannya dibawa ke dada lalu berhenti tepat di jantung. Syukur alhamdulillah dirinya terselamat daripada menjadi mangsa kekejaman Mixzof, tetapi hidupnya sendu tanpa ceria sejak ibu bapanya dibunuh dan adiknya pula diculik.

'Fraynne, di mana kau?' lirihnya pedih.

17 tahun telah berlalu sejak Profesor Dr. Imanuddin Han Abdullah dan isterinya Dr. Syazra al-Nisa berangkat ke alam barzakh, namun pemergian mereka masih belum mendapat pembelaan yang selayaknya. Entah salah siapa, pembunuh kedua-dua ibu bapanya gagal ditangkap sampai ke hari ini.

Walau bagaimanapun, Kai memahami situasi pihak berkuasa. Siapa saja yang berani melawan Mixzof tanpa mempunyai persiapan yang secukupnya? Tambahan pula, sudah tidak terbilang lagi betapa ramainya anggota keselamatan yang gugur di medan perang dek angkara sang durjana tersebut.

Dalam sibuk Kai melayan perasaan, tiba-tiba dirinya dikejutkan dengan satu tendangan kuat di muka pintu. Terperanjat dia dibuatnya, tetapi geramnya lebih mencanak naik apabila melihat gerangan si manusia tidak bertamadun yang masuk ke situ tanpa memberi salam.

"Apahal kau datang sini?" soal Kai dingin.

"Saja," balas si seterunya seraya tersenyum sinis.

"Puteri Rienna Raisyah," tekan Kai.

"Ya saya, Khairul Asyraf Han." Kekal dengan muka menjengkelkan, si seteru membalas pula dengan menyebut nama penuhnya.

"Psiko," tutur Kai perlahan lalu kembali membuang pandang ke arah deretan kenderaan di atas jalanraya.

Mengacau betullah seterunya ini. Dia yang mahu menikmati panorama petang sekejap sebelum menghadirkan diri ke mesyuarat sekejap lagi pun tak senang. Apa punya perempuanlah. Sepatutnya seorang puteri perlu berperangai elok, bukannya berperangai macam minta kaki.

Serius, baginya Puteri Rienna Raisyah dari Kerajaan Zonna itu sangatlah menyebalkan. Bukan kerana tidak pandai ataupun tidak cantik, tetapi perangainya itulah yang membuatkannya geram. Sejak hari pertama mereka ditakdirkan seunit, ada-ada saja ulah gadis itu yang membuatkan tekanan darahnya meninggi.

"Kau tak reti tengok jam ke? Sekarang dah pukul 3.15 petang. Profesor Helt nak jumpa." Rienna bertutur sinis seraya berdiri di sebelah Kai.

Lantas, pandangannya juga dibuang pandang ke arah yang ditenung oleh Kai. Hailah, Kai ini tak tahu erti bosan ke? Setiap hari kalau ada masa terluang, pasti tempat inilah yang sentiasa menjadi destinasinya melepaskan menungan. Macam tak ada life, tahu?

"Aku tahulah, minah." Tanpa protokol, dengan selamba Kai memanggil Rienna dengan panggilan 'minah'.

"Habis tu, kau nak susahkan aku?" Geram Rienna menyoal. Terus, tangannya dicekak ke pinggang.

Mendengar soalan tersebut, Kai berpaling kepada Rienna seraya menghadiahkannya senyuman menyakitkan hati. Nasiblah gadis itu menjadi partnernya di samping Vishvak dan Frezay. Jika seorang daripada mereka datang lambat, maka semuanya akan didenda oleh profesor tua tersebut.

"Bukan ke kau suka kena denda beri harimau makan?" ejek Kai lagi.

"Kai!" Panas hati, Rienna menapak ke hadapan mendekati Kai.

Serius, Kai sangat menyakitkan hatinya. Kenapalah manusia itu sangat sukar dikalahkan? Baik secara fizikal mahupun mental, selalu saja dia gagal mengenakan si mulut longkang itu. Selalunya, dia pula yang terkena balik jika dia yang memulakannya dahulu. Tapi, dia suka melihat wajah tegang Kai. Macam manakah itu?

"Dahlah, aku tak nak gaduh hari ni." Kai mengendurkan suaranya lalu berura-ura menapak keluar dari situ.

"Tapi, aku nak gaduh dengan kau!" Tetap tidak berpuas hati, Rienna berdegil.

Maaf, dia tidak sukalah Kai versi lemau macam ini. Entah kenapa, dia lagi sukakan Kai yang selalunya ada-ada saja ulahnya mahu membalas balik perbuatannya ataupun percakapannya. Kai versi 'baik' macam ini... agak tidak kena dengan personalitinya yang sentiasa tegang.

"Lain kali, okey?" pinta Kai perlahan.

Sumpah, dia pun benci dengan keadaannya sekarang. Tidak fasal-fasal, wajah sendu yang sentiasa ditutup dengan riak serius terzahir jelas pula di mata Rienna, si musuh ketatnya. Dia lelaki dan dia tidak suka gadis tersebut melihat sisi sedihnya. Jatuh macho, tahu?

"Kau... ada masalah?" Rienna akhirnya mengendurkan suaranya lalu tunak matanya menganalisis raut wajah lelaki yang sentiasa membulinya.

"Tak ada," dalih Kai lalu cepat-cepat memalingkan wajahnya ke arah lain.

15 February merupakan hari ulangtahun kesedihannya. Kebiasaannya pada tarikh ini, perasaannya akan menjadi tidak stabil. Sekejap sedih, sekejap nak marah. Kerana itulah, sedaya upaya dia menjauhkan diri daripada orang ramai bagi mengelakkan buku limanya hinggap ke pipi mereka.

Serius, dia tidak suka keadaannya kali ini. Ditambah pula dengan kehadiran Rienna yang seolah-olah mengambil berat akan halnya, ia menambahkan lagi walang jiwanya. Puteri Rienna Raisyah, si puteri di hati rakyat itu sudah kenapa? Macam pelik pula jika tiba-tiba menjadi baik. Ada udang di sebalik batu ke?

"Baguslah kalau kau okey. Eh, cepatlah ke dewan menyuarat. Kita dah lewat ni," gesa pula Rienna setelah berpuas hati dengan hasil tilikannya.

Dia yakin yang seterunya ini menyimpan rahsia. Pelik sangatlah keadaannya. Namun, apa benda yang dirahsiakannya, tidak pula dia mengetahuinya. Sudahnya, Rienna hanya menjongketkan bahu lalu dengan selambanya berjalan keluar tanpa menunggu Kai.

💠💠💠

SUASANA di dalam dewan mesyuarat Jabatan Zentrix hingar-bingar bagaikan keadaan di pasar basah. Walaupun masing-masing sudah besar panjang, tetap saja anggota yang bernaung di bawah jabatan tersebut berkelakuan sedemikian. Macam budak-budak.

"Diam!" sergah satu suara.

Sebaik sahaja suara halilintar tersebut menerjah gegendang telinga masing-masing, terus suasana riuh tadi bertukar 360 darjah. Kini, apa yang tinggal hanyalah bunyi desiran angin halus daripada alat pendingin hawa.

"Semua dah ada?" soal pula si pemilik suara halilintar kepada salah seorang petugas jabatan yang bertindak sebagai urusetia yang mencatat kehadiran unit Zentrical.

"Cukup, profesor," jawabnya.

Profesor Helt yang digelar singa dua benua oleh semua anggota Jabatan Zentrix mengangguk perlahan mendengarkan jawapan petugas berkenaan. Perasaannya turut lega apabila matanya sendiri menangkap keberadaan sekumpulan anggota yang sentiasa menghuru-harakan jiwa tuanya.

Zentrical Z5.

"Misi kali ini adalah mendapatkan relik berupa kepingan tablet tanah liat milik orang-orang Mesopotamia."

Tanpa mukadimah berbasa-basi, Profesor Helt terus menyampaikan taklimatnya. Seperti yang dijangka, berita tersebut menarik perhatian semua orang yang berada di situ. Sekelip mata, suasana tenang tadi kembali riuh-rendah dengan bisik-bisik halus yang sesekali disulami suara terjerit teruja.

"Semua anggota unit Zentrical Z1, Z2, Z3, Z4 dan Z5 akan menyertainya tanpa sebarang pengecualian."

Tidak mempedulikan suara-suara berdegung bagaikan lebah menghurung, Profesor Helt kembali menyambung taklimatnya. Dia tidak mahu membuang masa melayan ulah mereka semua dek sekejap lagi, dia perlu berjumpa dengan Ketua Pengarah Jabatan Zentrix.

"Oleh kerana ianyanya berformat pertandingan, maka kamu semua diberi masa seminggu untuk mencari dan membawa balik relik tersebut ke negara ini. Ingat, berhati-hati," kata Prof. Helt lagi.

"Ada soalan?" tanyanya pula sambil meliarkan pandangan ke wajah-wajah para anggota unit Zentrical.

Bagus. Tiada siapa yang mengangkat tangan mahupun memberi respon terhadap soalannya. Sepertinya, taklimat kemisian yang disampaikan oleh Profesor Mugen semalam difahami dengan baik. Dia berpuas hati dengan prestasi pelajarnya yang seorang itu dalam mengelola misi sebesar ini.

"Baiklah. 24 jam lagi, kamu semua akan bertolak ke Iraq. Selamat maju jaya." Prof. Helt mengakhiri taklimat ringkasnya dengan senyuman.

Serius, hatinya berasa lapang apabila anggota unit yang dijangka akan memberikan masalah kepadanya hanya diam sahaja hari ini. Walaupun pelik, dia mengabaikan sahaja perasaan tidak enaknya.

Sudahnya, setelah menutup fail, dia terus bergegas turun dari pentas. Namun, langkahnya terbejat apabila sebaik sahaja tangannya mencapai tombol pintu, satu suara laungan nyaring tiba-tiba kedengaran dari belakang dewan.

"Profesor, saya ada soalan."

Sebaik sahaja suara itu bergema memenuhi ruang, Prof. Helt melepaskan keluhan berat. Geram pun, ya juga. Tadi ketika dia membuka soalan, tidak pula si trouble maker Khairul Asyraf Han membuat onar!

'Dia mula dah...' Prof. Helt mengusap kasar kepala botaknya. Serabut!



> BERSAMBUNG
Previous: BLURB
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.