Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
333
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 17

RAYYAN memerhati saja lagak rakan sebiliknya yang sama sepertinya; nerd. Wajah lelaki berusia dalam lingkungan pertengahan 30-an itu nampak lebam di sana sini. Pasti sebelum ini, lelaki itu yang menjadi mangsa Bojeng melepaskan geram.

Pada waktu itu, fikirannya segera melayang ke detik beberapa hari lepas, iaitu ketika Qarizh datang ke pejabatnya dan memberi data lelaki nerd itu. Katanya, lelaki itu merupakan salah seorang mangsa culik di bawah program High Intelligent Child.

Program High Intelligent Child merupakan program himpunan kanak-kanak pintar terpilih di seluruh Malaysia. Mereka dijanjikan dengan sokongan dan pembiayaan penuh dalam pengajian di salah sebuah universiti terkemuka dunia.

Pada mulanya, program yang mendapat liputan televisyen dan akhbar itu berjalan lancar. Tapi, siapa sangka yang selepas lima bulan perasmian program itu dilancarkan, seorang demi seorang kanak-kanak pintar itu hilang tanpa jejak.

Pihak polis mula membuka kertas siasatan dan siasatan penuh dilakukan terhadap penganjur program tersebut. Namun, mereka tidak menjumpai apa-apa bukti yang dapat mengaitkan sebarang kes jenayah dalaman dalam penganjuran program.

Kes diklasifikasikan sebagai kes penculikan berantai. Daripada 20 orang kanak-kanak pintar yang menyertai program tersebut, hanya 10 orang sahaja yang berjaya diselamatkan apabila orang ramai mendesak supaya program High Intelligent Child segera dibatalkan demi membendung kehilangan lebih ramai kanak-kanak pintar itu.

Pada mulanya, penganjur program itu tidak bersetuju. Namun, apabila menteri dan orang kanan kerajaan mula campur tangan, mereka terpaksa membatalkan program. Maka, selamatlah 10 orang kanak-kanak tersebut.

Cuma saja, kanak-kanak itu seperti sudah dibasuh bersih otak mereka. Mereka tidak mengingati apa pun berkenaan rakan-rakan mereka yang turut sama menyertai program tersebut. Pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa dan akhirnya, kes itu ditutup dan kehilangan 10 orang kanak-kanak itu menjadi cold case.

Sampai ke hari ini, tiada siapa tahu di mana keberadaan kanak-kanak itu. Entah hidup entah mati, hanya Tuhan yang tahu. Itu yang Qarizh beritakan kepadanya pada tempoh hari, sambil mulut lelaki itu tidak habis-habis menasihatinya supaya jangan buat kerja gila seorang diri.

'Sorry Qarizh, tapi aku terpaksa buat ni.' Rayyan melepaskan keluhan kasar. Janjinya kepada Qarizh agar menjaga diri terpaksa diingkar seketika.

Demi menumpaskan The Great Father, dia terpaksa mengambil risiko ini. Sungguh, dia berasa seperti mendapat rezeki terpijak pula apabila berjaya mengesan orang yang disebut oleh Qarizh. Jadi, memang taklah dia akan melepaskan peluang ini.

Lelaki itu... rakan satu selnya yang ralit melihatnya dengan wajah berkerut adalah orang yang bakal menjadi turning point baginya dalam melawan The Great Father. Tunggu sajalah, orang tua!

Ingatannya terarah pula kepada bagaimana Ren Hau memperoleh kepercayaan Tuan Long untuk menjadi ketua di situ. Bukan kerja mudah untuk mendapat kepercayaan lelaki itu. Memang panjang ceritanya sebelum penjenayah itu benar-benar percaya kepada Ren Hau.

Mengikut siasatan Syafiq melalui lalat pengintip dan Grace yang sentiasa mengekori Tuan Long dari jauh, lelaki berusia dalam lingkungan akhir 40-an itu sebenarnya tidak tahu bergasak pun. Kerana itulah dia ada ramai anak buah yang setia mengikutnya ke mana-mana.

Kesempatan itu diambil oleh Grace dengan cuba mengapa-apakan Tuan Long melalui cara menyondol belakang kereta yang dinaiki oleh lelaki itu. Tidak cukup dengan itu, Grace keluar dari kereta lalu berdepan dengan geng Tuan Long.

Alasannya berbuat begitu? Apa lagi kalau bukan kata Tuan Long berhutang dengannya sebanyak satu juta ringgit dan tak bayar hutang sampai ke hari ini. Tuan Long terpinga-pinga, tak faham sejak bila dia berhutang dengan Grace. Lelaki itu menafikan tapi Grace tetap berkeras.

Tindakan Grace menjadikan Tuan Long bengang. Sebagai orang yang mudah naik angin, pantas dia mengarahkan anak-anak buahnya supaya memukul Grace. Namun, sebaliknya pula yang berlaku.

Tak sempat pun dia berkelip mata, seorang demi seorang anak buahnya tumbang. Sama ada tersungkur mencium tar, terhumban ke kereta, atau melayang masuk ke dalam parit, semuanya dapat merasa "buah tangan" perempuan itu.

Sengaja Grace memilih jalan kampung sekali gus jalan yang selalu digunakan oleh Tuan Long untuk buat kerja jahatnya. Jalan itu tidak dilalui oleh ramai orang jadi susah untuk lelaki itu meminta bantuan kalau semua anak-anak buahnya tersungkur.

Grace berdiri di depan Tuan Long sambil mengheret bat besbol yang diperbuat daripada besi. Sengaja dia menyeret bat itu ke jalan tar bagi menimbulkan efek mencemaskan; Tuan Long akan fikir kepalanya akan pecah jika bat itu dihayun ke kepala.

Melihat kepada tindakan Grace yang semakin agresif, Tuan Long akhirnya merayu-rayu minta dilepaskan. Lelaki itu juga berjanji akan melangsaikan hutang walaupun memang dia tiada hutang pun dengan Grace. Namun, Grace tidak makan saman. Pantas bat itu dihayun ke kepala Tuan Long.

Pada saat Tuan Long berasa nyawanya akan hilang sesaat saja lagi, tiba-tiba datang seorang lelaki yang dengan pantas menyepak bat itu dan menendang Grace. Grace terdorong ke belakang namun kuda-kudanya masih utuh. Dia tidak jatuh malah cuba membalas serangan itu sekuat tenaga.

Sepak, tumbuk, tendang. Semua jurus serangan dia beri kepada lelaki itu tapi sayang serangannya tidak berkesan. Apa yang dia dapat hanyalah sepak angin, tumbuk udara, dan tendang kosong. Langsung tidak mengena! Malah, dia pula yang kena serang.

Skil lelaki itu terlalu hebat jika dibandingkan dengan dia. Akhirnya Grace terpaksa mengaku kalah dek terlampau penat dan sakit menerima jurus serangan yang tidak diduga. Lalu dengan memberi amaran kepada lelaki itu dan Tuan Long, cepat-cepat Grace berlalu ke keretanya dan memecut pergi dari situ.

Lelaki itu ialah Ren Hau.

Ren Hau kalau bab in-character, memang tiptop terus dia bagi. Tak kiralah dengan siapa dia berlakon, memang real punya dia buat. Nak lagi kalau tiba bahagian aksi, lagilah "best" dia beri. Sejenis yang tiada hati perut pedal melainkan orang kata, "Ren Hau, stop!"

Buktinya macam tadilah. Kalau ikutkan, Grace sudah lembik dek ditibai bertalu-talu oleh Ren Hau. Grace itu perempuan kesayangan Ren Hau tapi Ren Hau seperti lupa status Grace apabila sudah in-character. Nampak gayanya Grace kena buat sesuatu untuk balas balik perbuatan Ren kepadanya.

Beritahu Master Bai, mungkin? Tak pasal-pasal nanti si ibu Grace itu ganyang balik bakal menantunya.

Tapi asbab Ren Hau menyelamatkan nyawa Tuan Long, maka Tuan Long berminat untuk menjadikan Ren Hau sebagai orang kanannya sekali gus ketua penjaga makmal bawah tanah. Tuan Long telah menyaksikan sendiri kehebatan Ren Hau dan padanya, tiada seorang pun lagi anak-anak buahnya yang lain berjaya menandingi skil lelaki itu.

Adegan yang disaksikan secara percuma melalui drone yang diterbangkan oleh Syafiq pada hari itu membuatkan Rayyan berasa beruntung kerana ada anak buah yang cekap dalam melaksanakan sesuatu kerja yang diberi. Memang terbukti cara kerja Ren Hau, Grace dan Syafiq sangat efisien.

"Kenapa kau pandang aku macam tu?"

Ingatan terhadap Ren Hau, Tuan Long dan Grace terus bersepai. Pantas Rayyan melemparkan senyuman kepada lelaki nerd di depannya.

"Muka kau," jawab Rayyan. Dia menyentuh pipinya sendiri sebagai isyarat tanda lebam di muka lelaki itu.

"Oh, ni. Macam biasalah kalau nak survive," kata lelaki itu.

Rayyan mengangguk faham. Ren Hau kata, Bojeng selalu mentargetkan mangsa yang bersifat nerd untuk buat sesuatu. Budak nerd dijadikan orang suruhan utama kerana mereka tidak pandai melawan. Tak nak buat? Tunggu ajelah hukuman singgah di tubuh. Seronok buli budak nerd, katanya Bojeng.

"Nama kau apa? Dah lama ke kau kat sini?" tanya Rayyan pula.

"Aku Noh. Lama tu tak adalah lama sangat tapi bulan ni, cukup empat bulan," jawab Noh. Suaranya pasrah.

"Hebatnya kau! Aku dengar tak ramai yang boleh survive. Paling lama pun dua minggu aje." Rayyan buat-buat terkejut.

"Untuk hidup lama, aku terpaksa kerja keras. Kesilapan tidak dibenarkan. Tak boleh buat silap. Nanti kau akan tahu maksud aku bila kau masuk makmal esok," kata Noh seraya melepaskan keluhan berat.

"Aku ingatkan aku akan bahagia bila dapat kerja. Tak sangka ini bahagia yang aku dapat." Rayyan turut meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Sinar matanya redup.

"Aku pun macam kau juga. Hari-hari hitung detik mati." Noh mengeluh lagi.

Suasana di dalam bilik itu berubah hening. Masing-masing diam tidak berbicara walau sepatah. Hanya deru nafas berkandung keluh dan lelah sahaja memenuhi suasana.

"Kau tak cuba lari?" Rayyan kembali bertanya.

"Aku tak berani. Aku nampak mereka tembak mana-mana orang yang cuba lari. Sedangkan aku pula, aku masih berharap suatu hari nanti aku dapat keluar dan jumpa mak aku," jawab Noh.

Sekali lagi suasana menjadi hening.

"Aku hampir kena pukul dengan Bojeng tadi," beritahu Rayyan. Sengaja beritahu walaupun Noh tidak bertanya.

"Aku nampak bibir kau pecah. Nah, ubat." Noh melemparkan ubat luka dalam bentuk tiub kepada Rayyan. Rayyan menyambutnya dengan kemas.

"Orang nerd macam kau dan aku memang selalu jadi mangsa Bojeng. Aku nasihatkan kau ikut aje cakap dia," kata Noh lagi.

"Tapi bibir aku berdarah ni bukan sebab Bojeng, tapi ketua baru. Ah Cheng namanya," balas Rayyan.

"Ah Cheng? Betul ke? Aku macam tak percaya dia tumbuk kau. Tak pernah lagi dia buli kami. Yang betul-betul jahatnya si Bojeng itulah," kata Noh.

"Betul, dia tumbuk aku," tekan Rayyan.

"Mesti ada sebab dia tumbuk kau." Noh mengusap dagu. Berfikir dalam kenapa Ah Cheng tumbuk budak baharu.

"Sebab aku provok dia tadi kot? Aku pun reti marah juga. Siapa suruh dia culik aku?" Rayyan mendengus kasar.

"Hari first lagi kau dah cari gaduh dengan mereka? Kau memang berani." Bulat mata Noh. Terkejut dengan keberanian Rayyan cari pasal dengan anggota sindiket itu.

Rayyan tersengih. Masih terasa ya efek tumbukan Ren Hau tadi. Berdenyut-denyut rasanya. Pedih tak usah cakaplah. Tumbukan Ren Hau memang padu!

"Bagusnya kau. Berani pertahankan diri even muka nampak macam nerd. Aku cemburu, sumpah cemburu," kata Noh. Sayu matanya menatap figura Rayyan.

"Tapi masalahnya, pasti esok lagi teruk aku kena dengan mereka," balas Rayyan. Muka pasrah sengaja ditunjuk kepada Noh.

Giliran Noh pula tersenyum pasrah. Ada betulnya kata-kata teman sebiliknya itu. Dia tidak berani melawan kerana takut dibunuh. Itu masalah utama yang sampai sekarang dia tidak mampu atasi. Kerana itu dia selalu stay low dan ikut saja arahan orang.

Hidupnya tak ubah bagai lembu dicucuk hidung.

"Okeylah aku nak tidur ni. Dah pukul 12 tengah malam. Esok pukul 6 pagi mereka buka pintu bilik kita. Jadi, kau kena siap-siap awal kalau tak nak kena balun," ujar Noh sekali gus memberi nasihat berupa peraturan di sini.

"Okey. Oh ya, lupa cakap kat kau. Nama aku Izzat. Panggil aje Ijat," beritahu Rayyan.

"Okey, Ijat. Selamat malam," ujar Noh.

Figura Noh yang perlahan-lahan berbaring dilihat dengan senyuman kecil tersembunyi di celah bibir. Kali ini dia puji Ren Hau yang berjaya menekan Be Mat supaya meletakkan dia sekali dengan Noh di dalam satu bilik.

Noh itulah penyebab Rayyan rela masuk ke sini. Ada sesuatu pada lelaki itu yang membuatkan Rayyan cuba sedaya upaya untuk mendekatinya. Manusia bernama Noh di depannya ini bukanlah biasa-biasa orangnya.

"Wan Noh Akbar," gumam Rayyan.

Menurut siasatan Qarizh, ketua sebenar di sebalik program High Intelligent Child adalah Father, atau sebenarnya The Great Father. Qarizh tahu perkara itu kerana memorinya samar-samar mengingati apa yang tidak sepatutnya dia ingati.

Dia ingat sebelum dilepaskan kepada pihak polis, dia dan sembilan orang kanak-kanak lagi dicucuk dengan sejenis cecair berwarna biru. Setelah itu, mereka semua langsung tidak ingat apa-apa berkaitan sepanjang berada dalam program tersebut.

Namun, Qarizh yang memiliki IQ paling tinggi di situ tetap ingat juga sedikit-sedikit fragmen-fragmen kejadian yang berlaku. Namun, dia bertindak bijak dengan tidak membocorkan rahsia tersebut kepada siapa-siapa walaupun kepada pihak polis.

Dia bertindak begitu kerana kesangsiannya terhadap polis yang bernama Inspektor Azman. Baginya, ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu. Kerana itulah dia pendamkan sahaja ingatannya sampailah setelah 20 tahun berlalu dan kebetulan, kes orang hilang yang semuanya orang bijak pandai mulai timbul secara mendadak.

Qarizh yakin yang memorinya tidak salah. Firasatnya kuat mengatakan yang kes kehilangan orang pandai itu adalah angkara The Great Father.

Dia yakin yang The Great Father tetap mengikuti rapat perkembangan mangsa culiknya walaupun telah 20 tahun kejadian itu berlaku. Ini kerana, separuh daripada orang yang hilang itu merupakan kanak-kanak yang diselamatkan daripada program High Intelligent Child.

Ternyata lelaki tua itu sejenis yang tidak berputus asa ingin mendapatkan "otak" manusia pintar demi ambisi gilanya yang ingin menguasai dunia. Buktinya, sekali lagi Noh menjadi mangsa culik tapi kali ini, termasuk dalam perangkap penipuan kerja.

'Noh, Noh.' Rayyan menggeleng kesal.

Buat seketika, dia berkeadaan begitu sebelum perlahan-lahan, senyuman senget terukir di hujung bibirnya. Tunggu sajalah, Noh. Jika sebelum ini lelaki itu menjadi mangsa The Great Father, kali ini Noh akan menjadi mangsanya pula.

Tiada yang mustahil bagi seorang Rayyan Razien.

Puas berkeadaan begitu, Rayyan segera bangun lalu menapak ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Solat zuhur, asar, dan maghrib yang ditinggalkan tanpa sengaja tadi harus diganti semula.

Usai bersiap, sebelum keluar dari bilik air, dia merenung cermin besar di dinding bilik air. Cermin itu terus merefleksikan wajahnya yang dihiasi senyuman menenangkan, setenang hatinya yang sejuk setelah berwuduk.

"Aku akan musnahkan formula Blue Rose Baharu kau, Noh." Senyuman manisnya terlakar di cermin.


>>>> UNTUK MEMBACA SAMBUNGAN BLAZE BODYGUARD, BOLEH DAPATKAN NOVEL INI DI KEDAI BUKU SELURUH MALAYSIA, SHOPEE DAN TIKTOK SHOP. HARGA: RM 28 (SM)| RM 31 (SS). 

Terima kasih.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.