Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
365
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2

"KENAPA nak kena guard papa?" soal Eve dengan pelik. Dia sudah tidak dapat menahan rasa ingin tahunya di sebalik rancangan Rayyan.

"Sebab..." Rayyan memasukkan tangannya ke dalam kocek seluar.

"Key point keberjayaan kau menang tender tu ada pada Dato'," jawabnya.

"Hah? I... I tak faham," ujar Eve dengan muka berkerut.

Seketika, dia juga berpaling ke arah Grace, Ren Hau dan Syafiq untuk meminta penjelasan. Namun, reaksi tiga orang bodyguard itu juga sama sepertinya. Masing-masing kelihatan terpinga-pinga dek tidak mengetahui pucuk pangkal arahan tersebut dikeluarkan. Mereka juga pelik!

"Hibiscus Tower Projek tu asalnya memang milik syarikat kita. Dato' sendiri yang bagi buah fikiran dan kembangkan idea tersebut kepada Perdana Menteri masa sesi berbincangan idea pelaburan bersama kementerian ekonomi." Rayyan berjeda.

"Tapi, ada pengkhianat dalam syarikat kita yang bocorkan rahsia sulit ni kepada syarikat lain. Bila dah bocor, kau tahu-tahu ajelah macam mana," terangnya lagi.

Mendengar penjelasan tersebut, Eve mengangguk faham. Seketika, dia terdiam seribu bahasa dek maklumat yang baru diterimanya. Jadi, selama ini dia berjuang habis-habisan hanyalah untuk merebut kembali projek pembinaan yang memang pada asalnya milik Campbell Corporation.

Kelakar. Itu yang dirasakan olehnya sekarang. Memang dasar hati hitam betullah pesaing-pesaing bisnesnya. Kedudukannya bagaikan anak ikan paus yang dikelilingi bapa jerung. Serius, hanya perasaan geram dan tidak puas hati sahaja mengelabui hati dan fikirannya ketika ini.

"I dijadikan target luaran, tapi papa dijadikan sasaran sebenarnya. Kelakar..." Eve tergelak sendiri. Marah!

"Jadi, sebab itulah kita perlu guard Dato' Campbell. Ace dan May, urusan ni kau berdua handle." Rayyan terus memberikan arahan kepada Ren dan Grace.

"Falcon. Macam biasa, kau tolong mereka berdua dengan kepakaran kau." Arahan seterusnya pula diberikan kepada Syafiq.

"Aku pula akan guard Eve." Rayyan akhirnya menyudahkan taklimatnya.

Kenapa dia menyerahkan tugas melindungi Dato' Campbell kepada Ren Hau dan Grace sedangkan dia tahu, dua orang stafnya itu takkan mampu melawan musuh jika diserang hendap nanti? Sebenarnya, sengaja dia berbuat demikian supaya musuh di dalam selimut syarikat mereka keluar dari tempat persembunyian.

Dalam dunia korporat, perkara biasa bagi sesebuah syarikat untuk meletakkan orang mereka ke dalam syarikat pesaing. Sudah banyak Rayyan menjumpai kes seperti ini di luar negara dan Campbell Corporation juga turut tidak terlepas daripada menerima nasib yang sama.

Kerana itulah juga Rayyan meminta supaya ditempatkan dalam Jabatan Sumber Manusia. Dia bukannya apa, senang nak pantau dan kasi masuk kubur saja pembelot syarikat. Selagi mampu, dia akan berusaha menghalang siapa-siapa saja yang berniat buruk terhadap syarikat ini.

'Pembelot memang takkan terlepas!' azam Rayyan dalam hati.


*****


REN HAU dan Grace mengambil tempat di bahagian hadapan kereta, manakala Dato' Campbell pula dengan diiringi oleh pembantu peribadinya mengambil tempat belakang. Setelah mendapat lampu hijau daripada Syafiq, terus Ren menghidupkan enjin kereta lalu memandu keluar dari parkir bawah tanah.

"Kamu yakin dengan pelan ni, Ace?" Tiba-tiba, Dato' Campbell melontarkan soalan.

"Ya, Dato'," jawab Ren penuh yakin.

Melalui cermin pandang belakang, figura tokoh korporat itu dikerling sekilas kiraan dua saat. Lagak Dato' Campbell nampak tenang, tetapi dia tahu bahawasanya hati orang tua itu tidaklah setenang air di kali. Dalam riak bersahajanya, sudah pasti hatinya itu sedang libang-libu.

"Ace, Checkpoint 1, clear." Grace meneliti tablet di tangannya.

"Good," balas Ren seraya memperlahankan kereta lalu membelok ke jalan sebelah kiri.

"Dalam dua kilometer, buat u-turn dan pergi ke Checkpoint 2." Grace memberitahu lagi.

Tanpa menyahut kata-kata Grace, Ren hanya mengangguk perlahan tanda memahami arahan tersebut. Ketika ini, apa yang terzahir di fikirannya hanyalah misinya membawa Dato' Campbell ke Dewan Persidangan Makmur dengan selamat tanpa ada sedikit pun ancaman.

Namun begitu, harapan hanya tinggal harapan sajalah kerana jauh di belakang, empat buah kereta berwarna hitam dari jenis Mitsubishi Outlander masing-masing mengekori. Ren geram tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. Melalui hujung mata, dia mengerling kepada Grace turut sama berwajah geram sepertinya.

"Aku rasa nak tibai orang. Ace, on tak on?" Grace mengepal penumbuk lalu meninju angin.

"Tak on, amoi," gelak Ren.

Terhibur dia dengan gelagat teman wanitanya. Kalaulah ibunya melihat aksi ganas Grace, rasa-rasanya terus reject jadi menantu. Maklumlah, ibunya seorang wanita elegan yang sukakan kelembutan. Kasar-kasar, mohon angkat kaki awal-awal sebelum dia menibainya dengan batang colok.

"Ish! Aku geram ni!" balas Grace.

"Ehem. Behave, okey?" Ren mengisyaratkan kepada Grace supaya menghormati Dato' Campbell di belakang.

Melihat itu, Grace membuat isyarat zip mulut. Geramlah dia, tetapi nak buat macam mana? Rayyan langsung tak bagi peluang untuk mereka memberhentikan kereta walau apa jua pun keadaan yang berlaku. Katanya, bahaya besar! Katanya juga, nanti dia akan menghantar Aariz Iktizar sebagai backup.

Aariz Iktizar merupakan ejen perisikan yang ditugaskan untuk membantu Rayyan menyelesaikan kes The Great Father. Kehadirannya sebagai bodyguard baharu di Campbell Corporation adalah atas arahan DSP Haireen yang secara khusus memohon bantuan badan perisikan elit dalam negara yang menaunginya agar membantu pihak polis menjejaki ketua penjenayah itu.

"Ace, hati-hati di selekoh dalam kiraan 500 meter dari kedudukan sekarang." Dari earbud Ren, suara Syafiq bergema di talian.

"Noted," jawab Ren.

"Kita ada halangan di depan. Dato', bersedialah," beritahu Ren kepada tokoh korporat tersebut.

Dato' Campbell tidak menyahut bahkan terus memakai tali pinggang keledar. Safety first, dia pun tahu betapa pentingnya kegunaan tali pinggang keledar bahagian penumpang belakang. Hatinya berdebar tetapi demi syarikat, dia tidak boleh mengalah walaupun bahaya sedang menanti.

"Mereka semakin dekatlah Ace," kata Grace sambil melihat cermin pandang sisi.

"Aku tahu," jawab Ace.

Lantas, dia menekan pedal minyak sehingga ke kelajuan maksimum. Untung sekarang bukan waktu puncak jadi kereta tidaklah banyak merayap di atas jalan raya. Lalu, dengan penuh lagak profesional, Ren memecut deras keretanya bagaikan dia sedang membawa kereta lumba di dalam litar.

Vrom!

Berdecit tayar kereta, hangit bau enjin. Tetapi, apa dia kisah? Setiap hujung minggu, dia sudah terbiasa melepak di litar lumba bersama dengan Grace dan rakan-rakan lumbanya. Dalam dia menghabiskan masa di situ untuk test skil berlumba, dia belajar juga pengendalian komponen kereta. Jadi, setakat hangit macam ini, tiada hallah.

"Gilalah Ace!" Syafiq di talian menjerit kagum.

Haruslah, dia sedang menikmati visual perlumbaan kereta antara Mercedes-Benz dengan Mitsubishi Outlander melalui CCTV jalan. Jika diikutkan logik, pastilah Ren Hau akan kalah kerana dikejar oleh empat buah kereta yang memang direka khas untuk kegunaan lasak. Tetapi, boleh pula Ren Hau memandu kereta Mercedes-Benz bagaikan kereta lasak.

"Ace, exit path di bangunan CardiPhoto," arah Syafiq lagi.

Dejavunya dirasakan kini. Teringat dia ketika Rayyan dan Eve turut mengambil bangunan kedai foto lama tersebut sebagai exit path ketika dalam perjalanan untuk ke Wisma Ajmain, iaitu tempat di mana majlis pembidaan projek usahasama dengan Kerajaan Vietnam berlangsung tidak lama dahulu.

"Okey," jawab Ren.

Arahan daripada Syafiq dihadam sebaik mungkin. Dia juga berasa dejavu, tetapi dalam masa yang sama dia turut berasa teruja. Kepada Grace, dia menghadiahkan senyuman bermaknanya sebelum perlahan-lahan, dia bersiul-siul kecil. Serius hatinya berasa gembira mengenangkan apa yang bakal berlaku sekejap lagi.


*****


"YOU yakin ke papa I akan okey, Boss?" soal Eve dengan gusar.

"Insya-Allah," jawab Rayyan.

Dia dan Eve kini telah memasuki bangunan Dewan Persidangan Makmur. Para hartawan, ahli perniagaan dan tokoh korporat sudah pun membanjiri lobi utama dewan tersebut. Para wartawan juga kelihatan bersesak-sesak di pintu masuk dek kemaraan mereka dihadang oleh pegawai sekuriti.

"Rasa dejavulah." Eve membuang pandang ke arah lautan wartawan yang sedang berkumpul.

Kata-kata Eve menusuk masuk ke dalam hati Rayyan, tetapi dia hanya berdiam diri. Tidak mengiakan, tetapi tidak juga menidakkan. Sungguh, dia pun berasa dejavu kerana suasana ini lebih kurang saja dengan keadaan ketika proses pembidaan projek bernilai RM 500 juta lepas berlangsung. Cuma saja, tempatnya berlainan.

"Tiba-tiba aje aku rasa takut," beritahu Eve.

Mendengar ayat Eve, Rayyan mengerutkan dahi. Kenapa perlu takut? Biasanya, Eve Campbell tak pernah takut dalam merebut kembali haknya. Tengoklah macam mana dia menjentik jauh musuh-musuh bisnesnya termasuklah adiknya sekali, Natalie Campbell. Memang teruk dibaginya sampaikan terkehel semuanya.

"Kenapa?" soal Rayyan.

"You perasan tak, macam senang aje kita sampai ke sini," bisik pula Eve. Kemudian, dia meramas-ramas tangannya yang dirasakan berpeluh.

"It's okay. Jangan risau." Dua ayat, Rayyan menjawab yakin.

Dia yakin dengan pelan yang dirangkanya bersama Syafiq. Ren Hau dan Grace sekalipun tidak mengetahui rancangannya yang satu ini. Bukannya apa, dia risau kalau pengkhianat syarikat dapat mengetahui rahsianya. Lagipun, lagi ramai yang tahu, lagilah tidak selamat pelannya.

"Kan baik kalau Kak Yong ada kat sini. Harapkan you, Boss. It's okay, jangan risau. Hish!" cebik Eve.

"Okey apa?" gelak Rayyan.

Teringat dia akan Hana Mikayla. Pegawai polis itu sangat sibuk kebelakangan ini. Nak buat macam mana, memang kes jenayah yang berlaku semakin bertambah-tambah. Itu pun, tidak dikira lagi dengan kes kematian doktor forensik yang membuat bedah siasat ke atas mayat-mayat "zombi" yang ditemui terapung di sebuah lombong. Macam "sesuatu" sangat kes ini. Jadi, pihak polis terpaksa berusaha lebih gigih untuk menyelesaikan kes.

Berkhidmat untuk negara. Jiwa gadis kesayangannya sangat patriotik dalam mempertahankan negara tercinta daripada ancaman musuh durjana. Baguslah, dia menyokong sepenuhnya usaha murni My Darling Cik Tunangnya dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan Malaysia.

Tit... tit...

Getaran telefon di dalam poket seluar serta-merta menghapuskan ingatan Rayyan terhadap Hana. Nama yang terlakar di skrin ditatap dengan senyuman sebelum ikon terima panggilan diselak laju. Seketika, Eve di sisinya dikerling sekilas sebelum pertanyaan orang di talian sana dijawab dengan penuh yakin.

"Semestinya," jawab Rayyan.

"Tak, tak. Kau semua settle dulu hal Dato'." Rayyan melihat pula ke arah pintu dewan yang masih tertutup rapat.

"Ya. Masa ada lagi dalam lima minit. Pastikan semuanya beres sebelum aku masuk ke dalam," pesan Rayyan lagi.

"Okay, thanks." Rayyan memutuskan talian seraya memusatkan perhatiannya ke wajah gelisah Eve.

Seketika, dia menggeleng melihat ulah gelabah Minah Salleh di hadapannya. Kenapalah takut sangat dengan persidangan kali ini? Lagipun, bapanya akan turut serta sekali. Jadi, buat apa nak gelabah kalau penyokong tegar dan tulang belakangnya turut hadir di sisi?

"Boss," panggil Eve.

"CEO HR Holding ada sekalilah," ujarnya pula sambil menjuihkan bibir ke satu arah.

Mendengar itu, Rayyan melihat ke arah sekumpulan lelaki lengkap bersut putih yang berada di penjuru luar dewan. Benar, Sir Alfred Tyson dan orang-orang kuatnya pun turut hadir ke sini hari ini. Namun, dia sudah menjangkakan perkara tersebut akan berlaku.

Projek mega berprofil tinggi, syarikat mana saja yang tidak mahu mencuba nasib? Dalam keramaian para ahli korporat itu juga, Rayyan ternampak seseorang yang membuatkan bibirnya segera mengukir senyuman manis tanpa sedar.

Sir Almo Walmart, satu-satunya mentor yang dia percayai dalam dunia perniagaan yang penuh tipu muslihat ini sedang duduk bersama dengan beberapa orang tokoh korporat di barisan hadapan. Lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu merupakan orang yang amat dihormati oleh Rayyan. Jasanya dalam mengajar Rayyan selok-belok hal perniagaan amat besar dan tidak ternilai harganya.

"Biarkan dia. Yang penting kau bersedia," balas Rayyan.

Matanya masih tertancap kepada Sir Almo. Fikirnya, selepas selesai acara ini, dia akan pergi menegur mentornya itu. Bukan senang Sir Almo nak datang ke Malaysia. Jadi, memang rahmat besar buat Rayyan apabila lelaki tua itu hadir ke sini hari ini. Ibarat bulan jatuh ke riba.

"Ingat apa aku cakap tadi? Faith makes great. Percaya diri kau boleh, maka kau akan dapat buat yang terbaik," ujarnya pula. Kali ini, senyuman menyakinkan diberi kepada Eve.

"Yalah." Eve menarik nafas panjang. Bertenang!


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.