Home Novelet Fantasi Hikayat Autharsia
Hikayat Autharsia
Pero D. Zoref
23/9/2017 12:37:02
12,689
Kategori: Novelet
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 2-1

Sepanjang perjalanan Zaref hanya berdiam diri, fikirannya berkecamuk. Perihal buku yang dijual oleh Razhar itu sudah dapat diterima olehnya, ada rasionalnya juga apa yang diperkatakan oleh Razhar tentang keselamatannya. Tentang hal itu dia mula berlapang dada, namun kejadian di dalam toko jamu usang itu sering terbayang di mindanya. Segalanya terlalu nyata dan begitu jelas. Masakan semua itu sekadar mimpi.

"Hoi! Mengelamun kau ini." Razhar menepuk belakang Zaref, membuatkan lamunannya berderaian.

"Tak adalah mengelamun tidak tentu hala, aku fikirkan tentang perjalanan kita ni, macam mana agaknya keadaan di dalam hutan Darunaja itu," Zaref cuba untuk melupakan peristiwa di dalam toko jamu itu.

Razhar mengurut dagunya beberapa kali, dia memikirkan penerangan yang tepat untuk dia perihalkan mengenai hutan Darujana itu kepada Zaref.

"Kau tahu bukan, hutan itu bukan satunya laluan yang kita boleh lalui jika mahu ke Atrun?"

Zaref mengangguk. "Aku tahu, ada lagi laluan lain boleh kita lalu, tapi sengaja aku pilih laluan ini, kata orang yang di kota, laluan ini paling selamat, jika melalui Mantraloka kita perlu menempuh gurun Tandusia selepasnya, sukar untuk kita mengembara melalui gurun setandus itu, jadi aku pilih laluan ini,"

"Wah! Sempat kau kaji dulu ya, patutnya nenek tak perlu risaukan kau. " Razhar menepuk-nepuk bahu Zaref. Sedang Zaref pula hanya membalas dengan senyuman tawar sahaja.

Sambil menghayun langkahan, Zaref mengamati panorama indah di kiri dan kanan jalan. Padang ragut yang menghijau terbentang luas, bebiri dan lembu ternakan dilihat asyik meragut rumput segar. Sang gembala tertidur di bawah pohonan rendang. Terlalu asyik diulit bayu pagi yang dingin, mungkin.

Zaref tersenyum sendirian, jika dilihat secara luarannya, keadaan di kota ini begitu permai. Namun, kenyataan di sebalik semua keindahan ini cukup perih. Lihatkan sahaja pengembala itu, jika dilihat dia seakan bersenang lenang, namun hakikatnya, hidup di kota ini sangat menjerut. Cukai yang dikenakan wizurai dari kerajaan Atrun sangat tinggi, ditambah muncul pula bangsawan yang mengambil kesempatan atas kelemahan ekonomi selepas perang. Penduduk miskin menjadi mangsa, yang kaya terus bermandikan harta.

"Kita dah semakin hampir dengan pintu keluar kota, di sebalik gerbang besar itulah hutan Darujana." Beritahu Razhar sebaik sahaja mereka semakin hampir dengan pintu gerbang besar yang dijaga beberapa orang Laskar Atrun lengkap bersenjata.

"Nanti," Razhar memaut bahu Zaref untuk mematikan langkahannya. "Kau tunggu di sini, biar aku uruskan selanjutnya." arah Razhar dalam nada berbisik.

Zaref hanya menuruti arahan Razhar tadi.

Razhar terus melangkah menuju pos pengawal di pintu gerbang itu. Dia bertemu salah seorang laskar yang berkawal di situ.

Zaref duduk bertinggung, beg galas di letaknya di atas tanah. Dia melakar-lakar gambar orang lidi di atas tanah menggunakan ranting kayu yang dikutipnya di tepi jalan. Bosan, terlalu lama baginya untuk terus menunggu Razhar menyelesaikan urusan keluar dari pintu gerbang itu. Apa yang terlalu sulit sangat, sampai Razhar perlu berlamaan di situ. Zaref menghela keluhan.

Beberapa ketika kemudian, Razhar kembali semula. Wajahnya kelihatan sugul.

"Lama betul, bosan aku tunggu," Rungut Zaref sebaik sahaja Razhar berhenti menapak di hadapannya.

"Kita ada masalah, kau tak ada pas keluar, jadi mereka tak benarkan kau keluar dari Buanasatwa." Ujar Razhar, dahinya berkerut.

"Habis tu macam mana? Aku tak akan berpatah arah, "tegas Zaref.

"Jangan risau, sekejap saja lagi, penyelesaian akan tiba." Razhar tersenyum sinis.

BOOOMMMM!

Bunyi letupan bergema ke seluruh kawasan itu sebaik sahaja Razhar menghabiskan bicaranya. Unggas hutan kelihatan berterbangan. Pos pengawal di pintu gerbang itu dijilat api yang begitu marak. Beberapa tubuh kaku laskar Atrun bergelimpangan di atas tanah.

Zaref terpaku melihat keadaan itu, matanya tidak berkedip. Belum pun sempat dia berkata apa-apa, bahunya direntap keras oleh Razhar.

"Cepat! ini peluang kita, sebelum yang lain tiba," kata Razhar sebelum dia berlari menuju ke arah pintu gerbang itu semula.

"Pemberontak! Mereka pemberontak! Jangan lepaskan mereka! Mereka letupkan pos pengawal! " kedengaran suara pekikan dari arah kota.

Mata Zaref terbeliak tatkala melihat segerombolan laskar Atrun menghambat ke arahnya. Tanpa terus berfikir dengan lebih panjang, Zaref segera mengikut jejak Razhar.

"Woi! gila! Apa kau buat ni?!" laung Zaref, dia berlari sekencang mungkin.

"Lari sajalah!, jangan tertangkap, kalau tak kau akan mati." balas Razhar.

Mereka berlari melepasi pintu gerbang itu dan terus masuk ke hutan Darujana. Beberapa orang laskar Atrun turut mengikut jejak langkah mereka.Laskar Atrun melepaskan panahan ke arah mereka berdua, namun tiada yang mengena sasaran.

Mereka terus berlari hingga tiba di satu tebing jurang besar. Langkahan mereka terhenti, Razhar berpaling ke belakang. Beberapa orang laskar Atrun dilihat semakin menghampiri mereka.

"Nampaknya terpaksa juga aku kotorkan tanganku." Razhar menarik keluar pedang panjangnya dari sarung. Zaref semakin gelisah melihatkan keadaan menjadi semakin genting.

Lapan orang laskar Atrun bertindak mengepung Zaref dan Razhar. Mereka lengkap berbaju perisai dan pedang. Peluh mula merembes di seluruh tubuh Zaref, dia tidak sukakan keadaan sebegini. Penyelesaian secara aman adalah cara yang terbaik baginya. Namun, di saat begini rundingan tidak akan dapat mengubah apa-apa lagi. Mereka sudah dianggap sebagai pemberontak terhadap pemerintahan kerajaan Atrun.

"Serah diri sahaja, lebih senang, jika melawan sekalipun, kau berdua tetap tidak punya peluang." Salah seorang laskar Atrun itu bersuara. Di antara mereka semua dia kelihatan seperti seorang ketua. Pemakaiannya sedikit berbeza dari yang lainnya. Simbol singa hitam yang menjadi kebanggaan bangsa Atrun terpahat pada dada baju perisainya.

Razhar tersenyum sinis, seolah tiada secalit pun rasa gentar di hatinya. Berbeza dengan Zaref, seluruh tubuhnya bergoncangan ketakutan.

"Razhar, kita serah diri sajalah, melawan pun tiada guna, mungkin ini pengakhiran kita." bisik Zaref.

"Jangan menyerah andai belum berjuang, kau tak percayakan keupayaanku?" balas Razhar. Dia membuka langkah kaki kanannya. Ulu pedang digenggamnya dengan kemas. Nafasnya diatur, tenaga batin ditumpu sepenuhnya. Bibirnya terkumat-kamit mengalun mantra tempur. Dedaun kering di sekitar mereka berada perlahan-lahan mengapung.

Memperlihatkan keadaan itu, kesemua Laskar Atrun itu terundur sedikit ke belakang. Ketua Laskar itu merenung tajam memandang Razhar, medan pertarungan tenaga batin itu mula menekan setiap jiwa yang berada di situ.

"Jadi kau pilih untuk melawan? Aku akan hantar kau berdua ke neraka!" Jerkah ketua laskar itu sebelum dia melompat ke udara. Pedang besarnya diangkat menghala ke langit. Ke semua laskar yang lainnya turut bertindak menyerbu ke arah Razhar dan Zaref. Keadaan mereka berdua semakin tersepit.

"Hunuskan pedangmu, Zaref!" tempik Razhar, sebelum dia mara untuk berdepan kesemua Laskar Atrun yang membengis itu.


Previous: Bab 1-4
Next: Bab 2-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.