Home Novelet Seram/Misteri HARIMAU JADIAN BANGLADESH MARI
HARIMAU JADIAN BANGLADESH MARI
Pero D. Zoref
2/8/2016 00:08:45
2,895
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
EP 1- HANTU CERMIN HITAM-

                                    -HARIMAU JADIAN BANGLADESH MARI-

                                                               EPISOD 1

                                                  -HANTU CERMIN HITAM

     

     Rembulan mengambang penuh, sinarnya tersimbah di kotaraya sesak dengan manusia. Bunyi hon kereta membingit. Semua sedang berkejaran untuk pulang ke rumah setelah seharian penat membanting tulang dan memerah keringat bekerja. Nahi , mengayuh basikal fixie berwarna kuning membelah kesibukan kotaraya.

     

     Kasi murah kalkulator Encik Tabo,

     Nih Pak Leman tak meleter, yay mau tabur!,

     Kangaroo patahkan shin guard Amar,

     Walaupun wat budaya tak bayar, amma!,

     Geli, Mat!,

     Geli, Mat Mat Mat Mat......

      

     Ke laut, nyanyian Nahi ternyata sumbang mambang, tapi dia tidak peduli semua itu janji hatinya terhibur. Biarlah apa orang nak kata mengenai dirinya, dia sudah lali dicerca dan dihina. Nahi atau nama penuhnya Nahi Mungkar seorang pemuda rajin bekerja, meskipun dia perantau, biarpun malaysia ini bukan bumi tumpah darahnya tetapi dia sangat pandai menyesuaikan diri. Sudah 2 tahun lamanya dia menetap di sini, dia fasih berbahasa melayu, mungkinlah ada sedikit kesilapan tetapi masih boleh difahami.

     Kadang-kadang dia terkenang keluarganya di Bangladesh, apalah perkhabaran mereka semua sudah sekian lama dia tidak menjenguk mereka di sana. Hanya wang belanja dihantar sebagai ganti dirinya untuk meringankan beban keluarganya di Bangladesh. Tetapi berapalah sangat yang mampu untuk dia kirimkan ke sana, gajinya sebagai pengawal keselamatan tidaklah sebesar mana. Ditambah pula dengan tuntutan kos kehidupan yang kian meningkat di bumi malaysia ini. GSTlah, kos perubatanlah,harga hantaran meningkatlah dan macam-macam kos lagi membebankan insan seperti Nahi. Basikal Fixie kuning yang dia naik sekarang pun bayar 3 kali. Nahi mengeluh sendirian mengenangkan hal itu. Tiada lagi kedengaran lagu geli mat meniti di bibirnya, hatinya pilu mengenangkan kesusahan diri.

     Nahi bukannya tidak pandai dalam pelajaran, otaknya bergeliga, pintar, cekap, bijak, genius dan lain-lain lagi. Tetapi ketika dia sedang menyambung pelajaran di Universiti of Cambrige dalam jurusan kejuruteraan kimia, ayahnya meninggal dunia kerana disambar petir ketika sedang leka bercanda asmara dengan jiran sebelah rumahnya. Kepiluan hati Nahi ditambah pula dengan kematian mengejut ibunya yang diserang angin ahmar sebaik sahaja mengetahui ayahnya telah pun berkahwin dengan jirannya itu bahkan sudah memiliki sepasang cahaya mata. Disebabkan kehilangan dua insan yang dikasihinya dalam sekelip mata, Nahi mengalami tekanan jiwa dan tidak dapat meneruskan pengajian. Nahi pulang ke tanah airnya, tempat tumpah darahnya. Dia menjaga dua adik barunya dan ibu tirinya yang dulunya merangkap jiran dan madu arwah ibunya. Kemudian dia…

   “Hey! Tukang cirita! sampai bila kamu mahu cirita kisah hidup saiya? Ini kisah seram meysteri, bukan kisah sedeyh” Nahi menengadah ke langit, kaki kanannya menongkat ke bumi. Senyap, Nahi hanya berteriak keseorangan. Mata-mata di sekelilingnya memerhati gelagatnya yang persis orang gila itu. Nahi mempersetankan sahaja pandangan orang sekitarnya, dia terus sahaja menyambung kayuhannya menuju destinasi yang perlu ditujuinya kini, Hospital. Bukan kerana disebabkan dia hendak mendapatkan rawatan atau menziarahi taulan yang sedang sakit tetapi kerana tanggungjawabnya menjaga keamanan dan ketenteraman di fasiliti perubatan itu.

     Basikal fixie kuning ditongkatnya menyendeng ke tepi tiang lalu dia lingkarkan dengan rantai besi sebesar ibu jari ke tiang itu. Zaman sekarang, zaman ekonomi gawat semua benda jadi berharga waima basikal fixie Nahi itu. Peluh yang terembes di dahinya segera dilapkannya dengan sapu tangan berwarna pink. Nahi tidak pernah tertinggal sapu tangan azimat itu, itulah pemberian terakhir ibunya sebelum ibunya itu meninggal dunia.

     Dia berdiri tegak menghadap cermin tingkap bangunan jabatan dietetik hospital itu. Dek kerana di sebalik tingkap itu gelap tak bercahaya, Nahi dapat melihat imejnya terpamer di tangkap. Dia menyisir rambutnya dengan jemarinya sahaja, memang dia tidak pernah menggunakan sikat pun. Baju uniformnya diperkemaskan agar tampak segak dan bergaya. Sekali dipandang wajahnya seiras Amir khan tapi pandangan kedua,ketiga dan seterusnya ada iras-iras belacan. Nahi merapatkan hidungnya yang mancung itu ke ketiaknya yang basah dek peluh. Busuk! Bau bawang! Nahi segera menarik beg sandang yang tersangkut dibahunya sejak tadi lagi, lalu direntapnya zip beg itu. Tangannya menyeluk ke dasar perut beg sandangnya, berkelintaran jemarinya mencari sesuatu.

     “Ini dia saiya punya deodorant! Nivea for men, adaa ini..saiya tedaa bau bawang” Nahi mengekek seorang diri memikirkan kenapa pula orang tidak menyukai bau bawang sedangkan mereka semua makan bawang. Nahi segera memulas penutup deodorant itu hingga terpisah dari badannya. Kemudiannya dia suakan bebola pada deadorant itu ke dalam baju dan digoleknya ke kedua ketiaknya segolek dua.

    TOK! TOK! TOK! Nahi tersentak, bunyi ketukan itu datang dari cermin gelap di hadapannya. Nahi menelan air liur kelat. Deodorant disimpannya ke dalam beg sandang semula . Nahi bergerak merapati cermin itu dan meneliti cermin jendela itu. Terlalu gelap, tiada apa yang terlihat disebalik cermin itu.

     “Mungkin tikus, main ketuk-ketuk sama saiya” Nahi membuat telahan di dalam hati. Dia berpaling untuk menyulung langkah ke pondok pengawal keselamatan.

     TOK! TOK! TOK! Nahi segera berpusing memandang cermin itu, dadanya kian berdebar. Di saat itu jugalah dia teringat filem-filem seram ditontonnya sebelum ini, Nahi melangkah perlahan merapati cermin itu sekali lagi. Dia membongkokkan tubuhnya merenung ke dalam tingkap gelap itu.

     “Woi Nahi! Kau mengintai ye?” Terkujat Nahi, terasa jantungnya seperti hendak luluh disergah sebegitu.

     “Mana ada Tuan Sadiq..saiya tengok saja..tadi ada bunyi tok..tok..tok dari dalam sana..saiya rasa ada hantulah” Nahi menjuihkan bibir bawahnya dan perut jari telunjuknya diletakkan di bibirnya yang terjuih itu. Tuan Sadiq menjegilkan matanya mendengarkan bicara Nahi itu. Tangannya dicekakkan ke pinggang menampakkan lagi struktur perutnya yang memboroi itu.

     “Sudah kau jangan nak mengarut!” Jerkah Tuan Sadiq yang juga merangkap chief pengawal keselamatan di hospital itu. Menikus Nahi dijerkahi Tuan Sadiq “Dasar bangla pemalas, banyak alasan kau ni..”

     Terguris hati Nahi, tiada niat dia hendak menipu. Dia hanya berkata benar, tiada yang benar melainkan benar belaka. Tetapi di perlakukan sedemikian oleh Tuan Sadiq. Nahi pun menghayun langkah longlai beredar meninggalkan Tuan Sadiq yang bongkak itu.

    “Berlagaak punya worang, saiya doa Tuan Sadiq kina makan sama itu hantu curmin.. puiih!” Nahi meludah ke dalam longkang. Air liurnya jatuh ke dalam air busuk yang mengalir dari dapur jabatan dietetik.

     TOK! TOK! TOK! langkah Tuan Sadiq untuk meninggalkan perkarangan bangunan jabatan dietetik itu terhenti.

     “Nahi kau jangan main-main dengan aku..” Tuan Sadiq berpaling ke belakang, melilau dia mencari batang tubuh Nahi yang difikirnya segaja ingin memperdajalkannya. Namun tiada tanda-tanda Nahi masih di situ. “hishh! Perasaan aku je agaknya..” ujar Tuan Sadi sendirian. Dia memutarkan kayu cotanya persis gerakan Bruce lee seraya kembali menyambung langkah. Perutnya kelihatan bergegar ketika dia berbuat demikian.

     TOK! TOK! TOK! kali ini kemarahan Tuan Sadiq meletus, wajahnya membengis. Langkahnya deras menghampiri cermin gelap itu. “Woi! Nahi keluar kau! Kau main-main dengan aku..cepaattt!! keluar!!” Tuan Sadiq mengamuk. Dia mengetuk-ngetuk kayu cotanya ke cermin tingkap itu.

     Tiba-tiba Tuan Sadiq terhenti dari terus menurus mengetuk cermin tingkap itu, matanya terpaku memandang cermin gelap likat itu. Sepasang tangan berdarah dengan kuku meruncing terpacul keluar dari cermin itu lalu mencekak leher Tuan Sadiq yang terpukau itu. Puas Tuan Sadiq mengerah kudrat bertarung melepaskan diri dari cengkaman tangan berdarah itu. Seluruh sendi Tuan Sadiq bagai terbius, dia gagal mengerakkan walau seulas jari. Suaranya juga tersekat di kerongkongnya. Tangan berdarah itu menarik Tuan Sadiq merapati cermin hitam itu. Tuan Sadiq tidak dapat berbuat apa lagi. Menyesal timbul dihatinya memperolokkan Nahi tadi. Tuan Sadiq turus ditarik ke dalam cermin hitam itu sehingga seluruh tubuhnya hilang diratah cermin berhantu itu.

     “Nahi kamu punchcard sudah?” Aldi Yuliadi mengangkat kening double jerk. Menganjinglah tu! Mentang-mentang aku lambat. Bentak hati kecil Nahi. Dia mengendahkan sahaja pertanyaan Aldi Yuliadi itu. Dia segera masuk ke dalam pondok pengawal keselamatan. Aldi Yuliadi berlalu meninggalkan Nahi keseorangan di pondok itu, usikannya tidak disambut baik oleh Nahi. Aldi Yuliadi tahu, wrong timing! Untuk dia bergurau.

     “Kalaulaa saiya sama macam zizang dalam cirita werewolf dari bangladesh itu, sudah lama saiya kasi flying kick pada Tuan Sadiq” Nahi merenung bulan pernama yang diselimut kepul-kepul awan tipis, dia terpesona dengan kecantikan rembulan yang bersinar itu….

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.