Home Cerpen Seram/Misteri PARASIT
PARASIT
Pero D. Zoref
31/7/2016 21:22:46
1,558
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

                                                               PARASIT

     BAMMM!!! Pak Sood menghempas pintu rumahnya. Berang betul dia, seekor lagi kambingnya dicuri orang. Minggu lepas dia sudah kehilangan 2 ekor kambing dan hari ini hilang lagi seekor. Pelbagai cara sudah dia ikhtiarkan untuk mencari kambingnya, namun segala usahanya menemui jalan buntu.

     “Bang, kenapa ni mengamuk tak tentu pasal” Mak Temah mula risau dengan keadaan suaminya itu, bagai kerasukan hantu mengamuk tak tentu hala.

     “Kambing aku hilang lagi, malaun mane punya kerja ni. Kalau aku dapat tangkap siap aku kerjakan” Ujar Pak Sood sambil mengetap giginya, kemarahannya kian meruap-ruap.

     “Bang, saya rase awak tak boleh nak harapkan si Jali dangan si Najib je yang tengokkan kambing awak tu,” Ujar Mak Temah seraya menghidangkan secawan kopi di atas meja makan . Pak Sood segera duduk lalu mencapai secawan kopi yang dihidangkan Mak Temah itu. Selapas kecurian kambingnya yang kedua, Pak Sood tekad untuk mengupah dua pemuda kampung untuk menjaga kambingnya. Namun usahanya mengupah Jali dan Najib tetap tidak dapat menyelamatkan kambingnya dari terus dicuri.

     “Ermm betul kata kamu Mah, entah-entah budak dua ekor tu yang berpakat dengan pencuri” Tuduh Pak Sood.

     “Takkanlah bang, budak dua orang tu saya rase tak lah sampai tahap tu, mungkin budak-budak tu tertidur mase kambing abang tu kene ambil”

      Pak Sood hanya mengeluh, amarahnya kian berkurang. Dia perlu mengambil langkah yang lebih agresif, jika diharapkan kepada Najib dan Jali entah-entah esok lusa dengan kandang kambing pun lesap diangkut orang. Dia menghirup kopi panas, benaknya ligat mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kecurian kambingnya itu.

     “Mah! Mane Pali? Tidur ke petang-petang begini?” Tanya Pak Sood akan perihal anak lelaki tunggalnye itu kepada Mak Temah.

     “Ada di dalam bilik agaknya, tengok DVD lah tu. Saya Nampak dia balik dari rumah kawan dia si Bobo tu tadi bawak DVD”Beritahu Mak Temah, tangannya sibuk memotong sayuran untuk hidangan makan malam mereka sekeluarga.

     “Tengok DVD? Kamu ni Mah, cubelah tengokan apa yang Pali tu buat. Budak sekarang ni bukan boleh percaya, entah DVD apa ditengoknya” Pak Sood segera bangun lantas melangkah menuju ke bilik anak tunggalnya itu.

     “Allahuakbar,cerita apa yang kamu tengok ni Pali,macam tak elok je ayah tengok” Suara Pak Sood membuatkan Pali yang kusyuk menonton filem di komputernya tersentak. Pali segera menekan button pause seraya berpaling memandang ayahnya.

     “Cerita jepun ni ayah, pali pun baru tengok..cerita alien kot” Jelas Pali untuk menyangkal persepsi negetif ayahnya terhadap diriya.

     “Ermm kamu ni tak ajak ayah, tengok sorang-sorang ..cerita apa kamu tengok?” Soal Pak Sood, dia menghampiri anaknya itu.

     “Tajuk dia Parasyte ayah, cerita makhluk asing agaknya sebab pali tengok makhluk pelik2 saja” Terang Pali. Pak Sood membelek-belek sampul dvd filem yang ditonton anaknya itu. Gambar makhluk-makhluk pelik memenuhi sampul dvd itu.

     “Huh! Tak minatlah ayah cerita macam ni, ni ape ni tangan macam sotong,gigi tajam, mate pula tersembul. Sudahlah pergi mandi, malam ni kita pergi berjaga di kandang kambing ayah”Arah Pak Sood.

     “Abang Najib dengan Abang Jali kan ada jaga kambing”Pali tidak mahu tidur di kandang, sudah serik terpaksa berperang dengan nyamuk lagipun dia sayang nak meninggalkan filem yang baru separuh ditonton olehnya.

     “Kamu ni! Dengar sajalah cakap ayah,lepas maghrib nanti ayah nak tengok kamu dah bersiap ye..kalau tak ayah yang siapkan kamu” Kecut perut Pali mendengarkan amaran daripada ayahnya itu. Pak Sood memang terkenal dengan sikap panas barannya. Pernah sahaja dia menumbuk muka cikgu sekolah Pali sampai berdarah kerana memulas telinga Pali disebabkan Pali tidak siap kerja sekolah.

                                                                          *****

     Pali melihat jam tangannya, Pukul 12.30 tengah malam, matanya benar-benar mengantuk ,sekali sekala dia tersengguk. Pali berpaling memandang ayahnya yang berdiri merenung keluar jendela pondok, meninjau kawasan sekeliling kadang kambing yang tidak jauh dari pondok mereka bermalam.

     “Ayah, mana Abang Jali dengan Abang Najib ye..tak nampak pun” Soal Pali apabila dia sedar akan ketiadaan dua orang pekerja ayahnya itu.

     “Ayah suruh budak dua ekor tu balik, membazir duit saja upah diaorang”Jawab Pak Sood, matanya masih meninjau persekitaran kawasan kandang kambing mereka. Pali mengeluh, ayahnya itu selalu sahaja mengambil tindakan terburu-buru tanpa berfikir panjang dahulu. Alangkah bagusnya kalau ada Jali dan Najib, sudah tentu dia boleh tidur dan tak perlu berjaga menemani ayahnya.

     Tiba-tiba Pak Sood ternampak satu kelibat hitam bergerak dengan pantas masuk ke dalam kandang kambingnya. Pak Sood segera mencapai senapangnya, dia memeriksa peluru senapangnya kalau-kalau belum diisi. Kemudian dia mencapai lampu suluh yang di letakkan olehnya di atas meja.

     “Ayah! Nanti! Ayah nak ke mana?” Langkah Pak Sood terhenti di muka pintu pondok, dia berpaling.

     “Ada orang nak curi kambing aku, siap dia malam ni” Ujar Pak Sood,

     “Ayah nak tembak orang ke?”

     “Ayah gertak sahaja, sudah cepat ikut ayah!”Pak Sood mula berang dengan soalan-soalan dari anaknya, dia khuatir pencuri kambingnya itu akan terlepas lagi.

     “s..saya takut, ayah pergilah”Jawab Pali. Pak Sood merengus kecil seraya menapak pantas keluar dari pondok , dia malas nak melayan karenah anaknya itu lagi. Kalau dilayan makin lambat, nanti terlepas pula pencuri itu.

     Jarak antara pondok dan kandang kambingnya kira-kira 100 meter, melangkah laju membuatkan Pak Sood mengah. Nafasnya kencang ,letih bercampur dengan amarahnya membuatkan dada Pak Sood terasa sesak. Sedang dia menapak menuju ke kandang kambingnya satu kelibat hitam dengan susuk tubuh manusia melompat keluar dari kandang kambingnya dan berlari menuju ke arah hutan.

     BAMMMM!! Kedengaran bunyi senapang Pak Sood memecah keheningan malam,Pak Sood menembak ke langit. Kelibat hitam itu berhenti bergerak.

     “Woi! Jangan lari kalau tidak bersepai kepala kamu aku tembak” Jerkah Pak Sood seraya melangkah merapati kelibat itu.

     “Ya Allah!” Pak Sood terkejut,berbekalkan cahaya daripada lampu suluhnya dia dapat melihat jelas di hadapannya kini bukanlah manusia tetapi makhluk hodoh yang menyerupai susuk manusia. Makhluk itu memikul seekor kambing Pak Sood, jadi sudah semestinya dia yang dikehendaki Pak Sood selama ini. Pak Sood mengacukan senapang patahnya kepada makhluk itu.

     “Kau ni hantu ke jin?”Pak Sood beranikan diri untuk bertanya. Rupa makhluk itu memang menakutkan, matanya kemerahan dan giginya yang tajam cukup menambah rasa gerun buat Pak Sood. Warna kulitnya kelabu dan kusam seperti mayat,tubuh badannya penuh parut seolah-olah setiap anggotanya dicantum-cantum. Makhluk itu menyeringai, dia meletakkan kambing yang dipikulnya tadi di atas tanah. Ternyata kambing itu sudah tidak lagi bernyawa. Pak Sood masih lagi kaku memerhatikan tingkah perbuatan makhluk itu.

     Tiba-tiba makhluk itu menerkam ke arah Pak Sood, Pak Sood Mula kaget. Dia segera menarik picu senapangnya. Bunyi senapang Pak Sood sekali lagi memecah keheningan malam itu. Makhluk itu rebah di hadapan Pak Sood. Bidikan Pak Sood tepat menembusi kepala makhluk itu, Pak sood hanya melihat makhluk itu mengelupur kesakitan. Apabila makhluk itu tidak lagi bergerak, Pak Sood menguis-nguis jasad makhluk itu dengan kakinya untuk memastikan makhluk itu tidak lagi bernyawa. Pak Sood menghela nafas lega, dia berpaling untuk kembali ke pondok. Jasad makhluk aneh itu harus ditanam.

      ZASSSS!!! Sesuatu merodok menembusi abdomen Pak Sood secara tiba-tiba. Darah memercik di sekitar tubuh dan muka Pak Sood. Dalam kepayahan menahan kesakitan Pak Sood cuba berpaling melihat gerangan yang menyerangnya.

     “Manusia kau terlalu lemah untuk tewaskan kami”bisik makhluk yang baru sahaja ditembak oleh Pak Sood sebentar tadi. Darah mengalir dengan pantas keluar dari luka tikaman tangan makhluk aneh itu. Pak Sood semakin lemah, dia banyak kehilangan darah. Pak Sood menutup mata, degup jantung nya kian lemah. Makhluk aneh itu menarik tangannya yang menembusi tubuh Pak Sood dan membiarkan Pak Sood rebah ke bumi.

                                                                     *****

     Pali bersembunyi di sebalik kandang kambing memerhati kejadian yang menimpa ayahnya. Dia terlalu takut untuk membantu ayahnya. Dia hanya mampu melihat makhluk itu berlalu selepas membunuh ayahnya. Pali beranikan diri untuk keluar dari persembunyiannya. Dia melangkah mendekati jasad ayahnya yang tidak lagi bernyawa. Air matanya mengalir pantas, mengenangkan kelemahan dirinya yang tidak mampu menyelamatkan ayahnya. Jasad ayahnnya harus dikebumikan dan perihal makhluk pembunuh ayahnya harus disampaikan kepada orang kampung dan pihak polis. Dengan berbekalkan sisa-sisa semangat yang tinggal Pali melangkah pulang. Orang pertama yang mesti diberitahu mengenai kejadian tragis yang menimpa ayahnya ini adalah ibunya.

     Tanpa memberi salam, Pali terus sahaja menerpa masuk ke dalam rumah. Matanya melilau mencari ibunya itu. Dia melangkah ke dapur apabila terdengar suara ibunya rancak berborak dengan seseorang.

     “ibu!..” Suaranya tersekat, hasratnya untuk menceritakan kejadian yang menimpa ayahnya terbantut tatkala melihat insan yang sedang berborak dengan ibunya kini adalah AYAHNYA!!. Pali mula dihambat kebingungan, baru sebentar tadi dengan matanya sendiri dia melihat ayahnya rebah dibunuh makhluk aneh.

     “Ayah, bila ayah balik? Tadi Pali tengok Ayah….”

     “Kan tadi ayah suruh kamu tunggu di pondok, Ayah balik ambil peluru senapang” Beritahu Pak Sood. Pali bertambah bingung, adakah segala kejadian yang belaku di hadapan matanya sebentar tadi adalah mimpi semata-mata? Atau segala yang berlaku tadi hanya ilusi akibat terlalu taksub menonton DVD filem yang dipinjamnya dari Bobo.

     “Sudah Pali kamu jangan nak buat muka di situ lagi,pergi masuk tidur..ayah pun dah penat nak berjaga, esok malam sahajalah kita berjaga semula di kandang kambing tu”Kata Pak Sood lagi kepada anaknya itu. Pali hanya mengangguk lemah, dia masih diganggu kebingungan dengan apa yang berlaku. Pali melangkah longlai masuk ke dalam biliknya dan terus menghempas tubuh di atas katilnya. Matanya terkebil-kebil menerawang memandang siling rumahnya, segala ingatannya masih berkisarkan kejadian di kandang kambing tadi.

     AHHHHHHH! Jeritan suara Mak Temah membuatkan Pali tersentak. Pali bingkas bangun dari perbaringannya dan meluru pergi ke dapur untuk mendapatkan ibunya. Pali tergamam, sesampai sahaja di dapur dia melihat percikan darah memenuhi di dinding dapur rumahnya. Jasab ibunya terbaring tak benyawa di atas lantai. Pak Sood hanya berdiri dan tersenyum kepada Pali, badannya di basahi darah yang masih segar. Pali menggeletar ketakutan, terasa dua lututnya berlaga. Dia terpaku, kakinya terasa terlalu lemah untuk melangkah. Pak Sood melangkah mendekati anak kesayangannya itu.

     “K..k..kau siapa?”suara Pali tersekat-sekat di kerongkongnya.

     “Aku?kamu tak perlu tahu..” Pak Sood menyeringai. “Aku tak punya jasad seperti kamu manusia..jadi aku perlukannya”ujar Pak Sood lagi yang seperti kerasukan hantu itu.

    “Tolong la, jangan bunuh aku, aku muda lagi..kan dah banyak kambing kau orang curi, kau pakai badan kambing sahajalah.”Pali benar-benar dicengkam ketakutan.

     “Hahaha.. bodoh! aku curi kambing untuk makanan tubuh baru aku..” Pak Sood menjegilkan matanya. “otak manusia pintar..dan aku perlukannya..”Pak Sood membalik-balikkan kedua tangannya. Matanya memandang tangannya yang digerakkan dengan cara aneh itu. Sangat selesa, tubuh manusia hidup. Jika dibandingkan dengan mayat yang dicantum-cantum,Pergerakannya lebih kemas dan lancar.

     “Badan kau lebih muda dan bertenaga tentu lebih bagus..” Pak Sood tersenyum lebar penuh kejahatan merenung Pali tersandar ke dinding. Pali meneguk air liurnya sendiri, terasa kesat melewati kerongkongnya.

     “Sekarang masa kau telah tamat”Tubuh Pak Sood yang dikawal makhluk itu meluru pantas ke arah Pali. Terlalu pantas untuk Pali menduga pergerakan Pak Sood ketika itu. Darah segar terpercik ke dinding. Jeritan Pali kedengaran dan kian sayup ditelan kegelapan malam.

                                                             

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.