“Papa!
papa!”
Termengah-mengah
Iman berlari dan menempa ke betis Ihsan. Tubuh kecil itu diangkat. Dijulang
beberapa kali. Anak comel dengan pipi gebu itu mengekeh-ngekeh, keriangan. Dahi
mulus itu dikucup berkali-kali. Iman menghulurkan kedua-dua tangan, menolak
bahu Ihsan. Ada ruang di antara tubuh kedua-dua beranak itu. Ihsan merapatkan
hidung ke pipi Iman. Menggesel-gesel, sayang. Namun, kanak-kanak itu memalingkan
muka. Mengelak. Telapak tangan kecil itu menolak pelipis papanya. Sakit bila
kulit nipis pipinya ditujah oleh bulu-bulu misai yang baru tumbuh.
“Papa...
Iman nak ikut,” minta Iman. Mata jernih itu kembali memandang Ihsan. Mengharap
simpati.
“Papa
nak ke kebun kejap, papa nak kerja. Kat sana... banyak pacat, macam ni dia
panjat betis Iman. Hisap darah Iman, tak takut?” gurau Ihsan, jari telunjuk dan
jari hantu digerak-gerakkan ke betis Iman. Merengek sedikit anak kecil itu. Mukanya ditutup dengan kedua-dua belah tangan.
“Iman
sayang nenek tak?” Tanya Ihsan, lembut.
Kanak-kanak
itu mengangguk. Kemudian, dia berpaling ke arah Mak Lela yang asyik memerhati
keletah dua beranak itu.
“Kalau
sayang, Iman kena tinggal kat rumah. Kena jaga nenek tau. Nanti kalau Iman
ikut, nenek tinggal seorang. Tiada orang yang jaga. Okey?” pujuk Ihsan,
bibirnya mengulum senyum. Iman yang masih bertenggek di atas lengan kanan itu
mengangguk-angguk. Setuju.
Tubuh
kecil itu mula meronta-ronta. Minta diturunkan. Ihsan seperti memahami
permintaan anak perempuannya itu perlahan-lahan menurunkan Iman. Diletakkan
kembali ke atas lantai papan yang diselubungi tikar getah bercorak kotak-kotak.
Mak Lela sudah pun menghampiri Iman dan Ihsan. Bahu kiri Iman dipegang. Lembut.
“Iman
kan dah besar, mana nenek larat nak gendong lagi...” tegur Mak Lela apabila
Iman berpusing menghadapnya. Menghulurkan kedua-dua tangan.
Ihsan
senyum-senyum. Geleng-geleng melihat keletah Iman. Anak kecil yang agak kecewa
kerana kemahuannya tidak kecapaian itu merebahkan punggung. Duduk congok di
atas riba Mak Lela setelah neneknya itu merebahkan diri dan bersandar rehat di
sofa.
“Jangan
paksa diri sangat, buat apa yang mampu aje,” nasihat Mak Lela.
Ihsan
mengangguk. Kaki melangkah ke bendul. Dicapai kasut but yang berada di tepi kiri
tangga simen. Diterbalikkan satu-satu. Dihentak-hentak di tepi tangga.
Berhamburan debu dan daun-daun kering keluar.
“Iman...
jangan usik, tu bekal papa…” tegah Mak Lela, memegang tangan Iman yang cuba
menjangkau mangkuk tingkat yang diletakkan Mak Lela tadi di atas meja.
Iman
menarik balik tangan kecil yang baru hendak menjamah mangkuk tingkat rona perak
itu. Meloncat-loncat. Kemudian dia berlari menghampiri neneknya. Dicium pipi
neneknya itu berkali-kali. Mulut kecil itu asyik mengulang-ulang;
“Hmmm...
sayanggg… nenek,” kedua-dua belah tangannya pula kejat memeluk kepala Mak Lela.
Ditarik ke hidung.
Ihsan
mengekeh-ngekeh. Senang hati melihat keletah puteri kesayangan, rambut seperti
mayang mengurai. Bentuk hidung laksana jambu air dibelah dua tetapi tinggi
sedikit. Muka bujur sirih. Rona kulit kuning langsat. Wajah ada sedikit mirip roman
muka mamanya.
Mamanya?
Ihsan terkaku seketika. Tiba-tiba sahaja gerimis mengundang di hatinya. Entah
mengapa, setiap kali teringatkan Azza, hati akan disapa sayu. Rindu. Ah! Bermacam-macam perasaan yang
sukar digambarkan. Memang sukar untuknya melupakan Azza. Perasaan itu semakin
bercelaru apabila melihat Iman membesar tanpa pelukan dan belaian seorang mama.
‘Mampukah aku, membesarkan Iman tanpa
Azza. Mampukah Azza, mengharungi hidupnya setiap hari tanpa Iman?’ benaknya
mula berdiskusi, mula mengambil berat pasal Iman. Pasal masa depan Iman.
Dia
mendengus perlahan-lahan. Galau di hati yang mengasak itu cuba disembunyikan.
Takut-takut dapat dihidu oleh emaknya. Dia telah nekad untuk menjadi seorang
anak yang baik. Dia mahu merubah kembali segala yang telah dilakukannya dahulu.
Dia tidak mahu mengecewakan harapan emaknya lagi. Dia mahu emaknya berbangga
dan ketawa hidup bersamanya. Dalam diam, dia berterima kasih kepada Azza kerana
tidak membawa pergi Iman yang menjadi penyeri hidup dia dan emaknya. Dia tahu,
Azza tentu juga merindui anaknya ini.
“Eh...
eh Ihsan! Kenapa tak ambil bekal tu,” tegur Mak Lela sebaik sahaja dilihat anak
bongsunya itu mencapai golok bersarung. Menyarung kaki ke dalam kasut but hitam.
Dan mula melangkah turun.
Langkah
Ihsan terhenti. Dipalingkan muka ke muka emaknya sambil tersengih. Tangan kanan
dihulur. Menyambut mangkuk tingkat dan termos kelabu yang diunjuk oleh emaknya
itu. Sebelum dia melangkah turun menghampiri motosikal, sempat dia mencium
tangan emaknya. Memohon doa restu yang tidak pernah kering untuknya. Mencubit
pipi gebu dan menggosok ubun-ubun Iman.
Mangkuk
tingkat dan termos itu diletakkan ke dalam raga motosikal. Golok pula diselitkan
di celah besi raga yang agak luas sedikit. Diangkat kaki kanan. Tinggi.
Melepasi kusyen motosikal. Sebaik sahaja punggung mencecah kusyen, kaki
kanannya menendang ke belakang penghidup enjin. Berderum bunyi enjin Honda 70
itu. Tuil gear ditekan. Tuil minyak dipilin, berkepul-kepul asap keluar dari
ekzos. Iman melambai dan meloncat-loncat. Mulutnya pula becok dengan teriakan ,
bye... bye... sambil dibalas oleh Ihsan. Motosikal hitam yang tidak segagah bunyi
enjinnya itu meluru keluar ke jalan berturap. Meninggalkan Mak Lela dan Iman
yang masih berdiri di bendul rumah kayu itu.
*****
Bagaikan
harimau lapar, Honda 70 itu mengaum-ngaum. Mendaki beberapa bukit tanah merah dengan
meninggalkan debu-debu berterbangan. Beberapa minit mendaki. Menuruni
bukit-bukit kecil di tengah-tengah rimba. Motosikal yang udah banyak jasa bakti
itu dibelokkan ke kiri. Denai yang berlekuk-lekak itu diselusuri dengan
berhati-hati. Ada ketika tayar motosikal terselulur. Cepat-cepat dia
menghulurkan kaki ke tanah. Mengawal keseimbangan badan. Kaki kanan diangkat, pedal brek ditekan
sehingga habis. Menggelongsor tayar belakang di atas rumput. Terhuyung-hayang
motosikal ke kiri dan ke kanan.
Dari
jauh, kelihatan sebatang pokok manggis tua berdiri megah. Batangnya sebesar satu
pemeluk Ihsan. Ia masih galak berbuah. Pokok manggis itulah yang menjadi
penanda. Sempadan lot tanah kebunnya. Sudah bertahun-tahun pokok manggis tua
itu berbakti kepada keluarganya. Buah manggis itu amat manis dan menyejukkan
badan. Sesekali, Ihsan tersenyum. Dia terkenangkan zaman kanak-kanak. Dia
selalu memanjat pokok manggis itu. Mengutip buah yang semua berada di hujung
julai. Dahannya liat, susah patah. Jadi, Ihsan dapat berpaut dengan penuh
yakin. Buah-buah manggis itu akan diisi di dalam raga lusuh. Diturunkan oleh
Ihsan menggunakan tali yang panjang. Buah manggis kalau dijatuhkan ke tanah
tanpa disambut, akan merosakkan isinya. Ia akan menjadi lembam, kesan hentakan.
Ia tidak boleh disimpan sehingga esok. Itu pesan arwah ayahnya. Kakak-kakaknya pula
akan menjerit-jerit. Meminta Ihsan mengambil buah yang separuh masak. Buah yang
kulit baru hendak bertukar ke warna ungu. Kakak-kakaknya suka makan buah
manggis yang belum masak sepenuhnya. Kulit manggis dituris sekeliling. Kadangkala terkena ke atas isi. Dicungkil isi
lalu dimakan. Kelat getah manggis yang melekat di tangan jelas terasa. Namun,
sikap kanak-kanak. Berwarna-warni. Banyak ragam. Banyak kerenahnya. Sukar untuk
dijangkakan.
Di
bawah pokok manggis. Di situ dahulu menjadi tempat parkir motosikal arwah
ayahnya. Bakti pokok manggis itu tidak pernah dilupakan. Ihsan masih memarkir
motosikal di situ. Di bawah pokok manggis, bersebelahan dengan dangau yang baru
dibinanya bulan lepas.
Ihsan
menghela nafas. Kesan peluh mula nampak di belakangnya yang berbungkus dengan
baju kemeja hijau kain tebal. Lengan baju panjang. Dan berkocek tampal. Seluar
panjang hitam pula berkocek tebuk kiri dan kanan. Kocek tampal, dua di belakang
dan dua di paha kiri dan paha kanan. Kaki seluar dimasukkan ke dalam kasut but
hitam kurang tiga potong jari di bawah lutut.
Dia
menarik golok yang masih bersarung. Lalu diikat kemas-kemas ke pinggang. Sebelum
dia bangkit dari kusyen, tempat bertenggek di atas motosikal, bibirnya
bergerak-gerak. Membaca beberapa patah ayat al-Quran. Sebagai pelindung semasa
berada di dalam hutan. Itu yang selalu dilihat, arwah ayah dan emaknya lakukan.
Mangkuk
tingkat dan termos yang berada di dalam raga motosikal itu dicapai. Diatur langkah
dengan berhati-hati. Suasana sekeliling sepi sekali. Derap kasut but di kakinya
jelas kedengaran. Matanya ditalakan ke arah
dangau. Pondok kecil yang dibina dari batang-batang pokok hutan. Atapnya pula
dari daun-daun pisang dan pelbagai spesies daun-daun lebar. Semua itu sudah memadai
bagi menyekat tempias cahaya panas mentari.
Mangkuk
tingkat dan termos di tangan itu diletakkan ke atas lantai dangau. Lantai yang
dibuat dari batang-batang kayu hutan. Disusun dengan jarak sebatang jari. Topi
tikar yang tergantung di tiang dangau itu dijangkau. Disarung terus ke kepala. Batang
cangkul yang berada di atas dangau itu ditarik. Diletakkan ke atas bahu. Persis langkah pendekar yang baru
tamat tempoh perguruan dia menapak. Berjalan
menuju ke kawasan yang telah terang ditebasnya sebulan lalu. Matanya melilau.
Liar memerhati sekeliling kawasan kebun yang masih jenuh dengan semak-samun. Tiba-tiba dadanya berdebar. Jantung berdegup
kencang.
Cangkul
di bahu cepat-cepat dihempaskan ke tanah. Terkocoh-kocoh dia berlari.
Menghampiri ke barisan anak-anak pisang
yang baru separas pinggang itu. Semua dilihatnya patah. Ada yang sudah
terbongkas. Dia terduduk sambil menggeleng-geleng. Belum sempat dia mengeluh,
matanya terpandang pula kepada batas-batas ubi kayu. Darahnya menyirap lagi.
Batang-batang ubi kayu yang tengah berceding, berdaun dan ada yang sudah
setinggi lutut turut terbongkas. Dia melepaskan keluhan yang amat berat. Payah
untuk dilepaskan. Matanya bagaikan kemasukan habuk. Mula bergenang dengan air mata.
Mencurah laju ke pipi. Dirinya mula bermain dengan perasaan. Sungguh pedih.
Menyakitkan hati. Perasaan sayu yang teramat sangat semakin mencengkam jiwa. Dia
berisytighfar.
Ihsan
berteleku sebentar. Dagu diletakkan ke atas kedua-dua lutut. Tiba-tiba dia teringatkan
kata-kata Haji Rokiman. Tentang musuh-musuh yang akan mengganggu tanamannya. Juga
teringatkan nasihat Haji Rokiman yang meminta dirinya bersabar. Bersabar dalam
semua perkara. Dia teringatkan ‘kerbau kaki pendek’ yang dikatakan oleh Haji
Rokiman. Dia mencebik bibir. Dahi dikerutkan.
“Huh!
Tentu semua ni mesti kerja kerbau kaki pendek,” tuntasnya separuh merungut,
seorang diri.
“Sebulan
aku usahakan… kau kerjakan sehari aje, hish...” omelnya dengan nada marah.
Asyik
dia merenung tanaman yang punah itu. Sehinggalah kupingnya menangkap bunyi
deruman motosikal memasuki kawasan kebunnya. Dia bangkit berdiri. Berpaling ke
belakang. Didongakkan kepala. Leher pula ditegangkan macam angsa betina tengah
marah.
“Kenapa
Ihsan?” sapa Haji Rokiman yang muncul tiba-tiba. Susuk tubuhnya semakin menghampiri.
Langkah kakinya diayun perlahan-lahan. Kepalanya yang botak itu sentiasa
tersarung dengan ketayap putih.
“Ooo…
ni semua perkara biasa dalam bercucuk tanam. Ni kira belum teruk lagi. Ada lagi
dugaan yang amat berat,” belum sempat Ihsan bersuara, Haji Rokiman telah
memberikan kesimpulannya.
“Tak
usah risau... tak payah nak cepat putus asa. Kalau kau usaha... insya-Allah
akan berjaya,” Haji Rokiman terus membakar semangat juang Ihsan, tangan
kanannya mengelap peluh yang bermanik di dahi.
“Tapi
Ihsan... kau kena baiki pagar tu dulu. Buat kukuh-kukuh. Kalau tak disondolnya
lagi. Dekat dangau bapak tu ada dua gulung dawai mata punai yang udah terpakai.
Menantu bapak yang bagi. Kau ambiklah,” nasihat Haji Rokiman setelah meninjau
sekeliling kebun dengan lontaran pandangannya. Mulut dengan bibir tebal itu pula
dimuncung. Diangkat tinggi menghala ke arah tanah kebunnya.
“Tak
apalah, pak cik… nanti Ihsan guna kayu aje,” tolak Ihsan, malu-malu.
“Hish...
kau ni, ambik aje… lagi pun bapak bukan guna, udah lama terperuk kat situ.
Daripada rosak di situ baik kau ambik. Mana yang boleh pakai, kau ambik aje,”
tegas lelaki warga emas itu lagi.
“Iya...
iyalah... terima kasih pak cik.”
“Haaa…
tu, kat dangau kau tu. Bapak ada bawak banyak benih. Ada keladi... badak... keledek.
Kau tanam… Anak-anak pisang, nanti kau pergi ambik kat kebun bapak. Kalau bapak
tak ada pun, kau ambik aje,” pesan Haji Rokiman sebelum berpaling mengayun
langkah kembali ke motosikal.
“Ingat
tu... kau baiki pagar tu dulu Ihsan. Baiki kukuh-kukuh. Ingat... banyakkan
sabar. Tu baru permulaan. Nanti bila tanaman kau udah besar, banyak lagi yang berkenan.
Apa yang penting, kau tahu cara nak atasi. Insya-Allah... nanti bapak ajar kau
caranya.” Laung Haji Rokiman mengulangi nasihatnya sambil meneruskan langkah
yang terhenti tadi.
“Ya
lah! terima kasih banyak-banyak pak cik,” balas Ihsan, lantang. Supaya didengar
oleh Haji Rokiman yang telah pun berada jauh dari tempatnya berdiri. Matanya masih
mengekori tubuh Haji Rokiman hingga ke motosikalnya.
Deruman
enjin motosikal Haji Rokiman kedengaran sayup-sayup meninggalkan kawasan kebun
Ihsan.
“Alhamdulillah...!”
Ihsan meneguk liur. Menadah kedua-dua belah tangan ke langit. Dia bersyukur. Sekurang-kurangnya
masih ada orang yang mengambil tahu akan keperitan hidupnya. Dia kagum dengan
sikap Haji Rokiman. Sentiasa tenang dan tidak mudah melatah. Kerap membantu
orang-orang yang dalam kepayahan. Walaupun susuk tubuh dan kulitnya tidak
semacam 25 tahun dahulu, tetapi hati budinya tetap sama seperti Pak cik Rokiman
yang dia kenal dahulu.
Memanglah
dua gulung dawai mata punai tidak mencukupi untuk melingkari sekeliling penuh
tanah kebun itu. Tanah yang seluas tiga ekar. Namun, sekurang-kurangnya dua
gulung dawai mata punai itu dapat juga menutup mana-mana kayu pagar yang udah
patah. Punah diredah oleh babi hutan.
Sebelum
Ihsan berpaling dan melangkah ke arah pagar yang udah rosak. Matanya sempat meneropong
ke arah longgokan benih-benih ubi di atas dangau. Hatinya mula berbisik, sendirian.
‘Pasal anak benih, aku dah tak perlu risau. Allah dah beri jalan penyelesaian.
Allah dah kirim Pak cik Rokiman untukku. Oh...! terima kasih Allah. Kau telah
permudahkan segala urusanku.’
Dia
memeritkan mata. Melilau. Berpusing-pusing memandang keliling. Di dalam kotak kepalanya
mula tergambar apa yang diimpikannya. Dia cuba membayangkan keadaan semak-samun
itu bertukar menjadi pokok-pokok pisang, betik, ubi kayu dan berbagai tanaman
renek yang lain. Dia tersengih sendirian. Sekurang-kurangnya, dia sudah nampak
misi kerjanya. Biar pun sekadar ilusi. Namun, itulah cita-citanya. Dia berazam.
Dia udah nekad. Ilusi itu akan dijadikan realiti.
“Anak-anak
benih sudah ada. Apa yang tinggal... dan... yang penting sekarang... kemahuan,
kegigihan, kesabaran dan ketaqwaan,” dia cuba membangkitkan semangat sendirian.
Berlagak bagai seorang pakar motivasi. Menggepal jari-jemari tangan kanan.
Wajahnya
mula berseri-seri semula. Bibir kering itu menguntum senyum. Dadanya terasa
lapang. Luas bagai samudera. Semangat yang kendur tadi mula tegang semula.
“Abang
akan sahut cabaran Azza…” bisiknya perlahan-lahan, lalu dia membuka langkah.
Langkah seorang pendekar yang baru hendak memulakan pertarungan di dalam
gelanggang.
*****
Mentari
sudah berdiri tegak di atas kepala. Terikan cahayanya menggigit-gigit kulit
walaupun dibungkus dengan lapisan kain tebal. Amat merengsakan. Angin hilang. Entah
bersembunyi di mana. Pokok-pokok kayu terbiar sepi tanpa disapa. Seluruh badan
Ihsan sudah lencun dengan peluh. Namun, dia masih lagi terbongkok-bongkok. Memasang
dawai mata punai. Selang 15 minit, dia akan bangkit. Membetul-betulkan sendi pinggangnya.
Pemuda
yang baru mencecah 32 tahun usianya itu memegang kiri kanan pinggang dengan
kedua-dua belah tangan. Kemudian, dia melentikkan badan ke belakang.
Mengendurkan urat-urat yang regang. Ketinggian badan yang melebihi 167
sentimeter itu cukup serasi dengan saiz badannya. Sungguhpun tubuhnya lanjai
tetapi sasa. Mungkin sudah sebulan dia bekerja keras. Membersihkan kebun itu.
Dia
merenung lama-lama ke arah pagar yang baru dipasangnya itu. Dawai mata punai
yang melekat di beberapa batang kayu hutan sebesar paha orang dewasa itu
ditolak-tolak. Kuat.
“Hah...!
agaknya dah kuat. Kira okey la, tak kendur sangat,” omelnya sendirian.
Dia
mula mencongak-congak. Jari telunjuk diangkat dan dijatuhkan. Mukanya yang ada
iras-iras Ustaz Akhil Hayy itu kelihatan teduh sebentar. Dahi digaru-garu
dengan jari telunjuk.
“Hai,
nak betulkan pagar saja… mungkin ambik masa lebih kurang tiga minggu ni,” rungutnya,
cuba mengagak.
“Sabar...
ya sabar. Apa-apa pun mesti sabar...”getusnya. Telapak tangan kanan dilurutkan
ke dada. Nafas dihela perlahan-lahan.
Dia
kemudian menapak longlai ke dangau. Rongkongannya terasa terlalu kering. Termos
kelabu dicapai. Penutup dipilin. Perlahan. Bibirnya yang udah kering itu berkumat-kamit
membaca bismillah. Air sirap merah
dari dalam termos itu melompat dan berasak-asak ke dalam perutnya. Sejuk.
Nyaman. Terus sahaja menyerap ke setiap inci badan.
Ihsan
tercungap-cungap. Ditanggalkan baju yang sudah lencun itu. Disidaikan ke atas
sebatang kayu yang dipaku melintang di antara dua tiang dangau. Dia melabuhkan
punggung ke atas lantai dangau. Lantai yang setinggi separas pinggangnya dari
aras bumi. Air sirap dicapai. Diteguk lagi. Bergulung-gulung melalui rongkong
ke perut. Pada ketika seluruh tubuh berbahang sebegini, air yang lebih
diutamakan. Kepalanya terasa berpusing-pusing.
Sebelum
badan lanjai itu dihempaskan. Tiba-tiba sahaja angin datang. Menderu. Seolah-olah
menyatakan tanda simpati. Mengusap-ngusap seluruh tubuh Ihsan. Dia terlentang
beberapa ketika. Walaupun mata terkebil-kebil memandang kepada daun-daun atap
dangau yang sudah kering itu. Benaknya terlepas bebas. Bebas terbang tinggi ke
angkasa. Bagaikan sebuah satelit, meneropong jauh ke masa silamnya.
“Ayah
tahu, Ihsan anak yang baik,” ucap ayahnya. Dan seperti biasa pipi Ihsan itu
akan digoyang-goyang dengan tapak tangan. Ubun-ubunnya akan dicium lama-lama.
“Ta...
tapi ayah... Ihsan dah lakukan satu kesalahan besar…”
“Allah
taala itu Maha Pengampun, janji... kita bertaubat.”
“Ta...
tapi ayah, Ihsan dan Azza sudah pun bercerai…”
“Jodoh
pertemuan di tangan Allah.”
“Ta...
tapi ayah, Ihsan dah hilang kerja…”
“Rezeki
Allah luas... ada di mana-mana, janji... kita berusaha.”
“Ta...
tapi ayah…”
“Ayah
tahu, Ihsan boleh...”
“Ta...
tapi ayah…”
“Ayah
tahu, Ihsan kuat...”
“Ta...
tapi, ayah…”
“Ayah!
ayah! ayah…”
“Allahuakhbar…”
cepat-cepat Ihsan membuka mata dan terus bangkit dengan kakinya masih
terjuntai. Dia melingar ke sana-sini. Menenyeh-nenyeh kedua-dua belah mata
dengan menggunakan kedua-dua telapak tangan. Bibirnya terus berisytighfar.
Panjang-panjang.
Dia
masih tercungap-cungap. Termangu seketika. Oh! Di sinilah dia sering
menghabiskan masa pada hari-hari cuti sekolah. Arwah ayahnya akan membawa dia
bersama-sama. Kadangkala kedua-dua kakaknya juga ikut sama. Lebih-lebih lagi
apabila emaknya juga datang bersama.
Emaknya
akan tanak nasi seperiuk. Dia dan kakak-kakaknya akan memancing di anak sungai dekat
bawah sana, bersempadan dengan kebun Haji Rokiman. Kakak-kakaknya akan
terjerit-jerit bila limbat menelan mata pancing mereka. Arwah ayahnya akan
berlari-lari datang menolong. Emaknya pula akan bakar limbat, haruan dan
kadangkala belut dari hasil tangkapan mereka. Arwah ayahnya akan getus
terung-terung muda di pokok. Lalu dibakar segar-segar. Bangkit bau manisnya
menusuk-nusuk ke rongga hidung. Kemudian, arwah ayahnya menggetus kacang botol
muda dari pokok yang meragas di tepi pagar kebun.
Pada
waktu makan, dia dahulu yang meratah limbat bakar. Berebut-rebut
menenyeh-nenyeh ke dalam piring sambal belacan. Arwah ayah dan emaknya banyak
makan terung muda bakar dan kacang botol. Mereka hanya memerhati semasa dia dan
kakak-kakaknya makan. Kadang-kadang terdengar suara arwah ayah berpesan.
“Makan
tu... perlahan sikit, banyak tulang tu.”
Pada
waktu petang sebelum pulang, sempat lagi emaknya membakar ubi kayu, ubi keledek
dan ubi keladi. Arwah ayahnya akan makan panas-panas. Kunyah tidak menggunakan
gigi tetapi menggunakan bibir. Berkepul-kepul asap keluar melalui mulut.
Ihsan
tersenyum. Tangan kanan menyelongkar ke dalam kocek seluar. Sebuah telefon
bimbit berwarna hitam dikeluarkan.
“Ya
Allah! sudah pukul dua petang,” terkocoh-kocoh dia mengemas. Baju yang tersidai
itu disarung kembali. Beberapa minit kemudian, kedengaran Honda 70 peninggalan
arwah ayahnya itu menderu memanjat bukit-bukit. Besok pagi, belantara ini perlu
ditawan lagi.