Home Novel Thriller/Aksi Kultus Ibrahim
Kultus Ibrahim
DK Sarah
1/7/2019 01:25:46
12,558
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5
Mustafa.


Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan juga  di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka. Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda, Aamiin ya Rabbal Aalamin.” Mustafa mengakhiri doa mereka setelah mengimami solat Asar berjemaah.

 

Jemaah di villa itu beransur keluar dari ruangan solat sementara Mustafa masih duduk berzikir di tikar sejadahnya. Dia melafazkan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) berkali-kali.

 

Didalam kesyahduannya berzikir itu, pandangan Mustafa terhala ke arah kipas angin yang diletakkan dihadapan kedudukan imam sebentar tadi. Kipas itu berpusing, perlahan-lahan… putarannya semakin perlahan… sehingga menjadi kabur dan akhirnya hanya bunyi kipas yang kedengaran. Dia memandang ke siling, putaran kipas di kelas Chempaka yang perlahan… krik… krik… beritma bunyinya. Suara kanak-kanak riuh rendah kedengaran memenuhi ruang vakum yang kosong. Fikirannya melayang kembali ke dua puluh tahun yang lalu… ketika masih di bangku sekolah.


Saat itu, barangkali hari yang paling bahagia buat dirinya, hanya kedua selepas peristiwa ibunya memberikan hadiah tabung gajah.

 

Seorang budak perempuan menemaninya bermain selepas dia dimalukan pelajar lain kerana tidak memakai stokin di sekolah. Jika ada didalam kelas itu watak pelajar sekolah yang sering diejek dan dibuli maka itulah dia Mustafa. Satu-satunya rakan yang bersamanya adalah budak perempuan itu. Sudah tentu Mustafa tidak bisa menggambarkan apakah perasaan sebenarnya pada ketika itu. Yang pasti dia merasa bebas, lapang seolah-olah berada didunia fauna yang penuh dengan kasih sayang. Dan, senyuman budak perempuan itulah ubatnya. Senyuman biasa amat bermakna buat mereka yang jarang merasa bahagia dan serba kekurangan.

 

Namun tempoh mereka bermain bersama tidaklah lama, cuma setengah tahun sahaja. Setelah itu, keluarga budak perempuan itu berpindah dan Mustafa tidak mendengar lagi apa-apa mengenai mereka. Bagaimanapun, sehingga sekarang Mustafa masih menyimpan hadiah loket berbentuk rama-rama yang tertulis perkataan Nabila… sebagai kenangan.


Kipas angin yang berputar-putar tadi kembali beransur jelas pada pandangan Mustafa. Bunyinya semakin kuat kedengaran. Sehingga Mustafa tersedar dari lamunannya. Bunyi itu berubah menjadi bunyi enjin yang ganas diluar. Angin semakin kuat bertiup kencang.

 

“Ohh rupanya bunyi rotor helikopter.” Keganjilan yang dirasainya sebentar tadi terjawab apabila dia melihat keluar tingkap.

 

Mustafa turun untuk turut serta bersama mereka keluar ke halaman rumah. Mereka berenam termasuk Pg Matusin berada diluar untuk menyambut kedatangan anak-anaknya. Setelah mendarat, Bu Leha dan Pa’ Tasan tukang kebun bergegas mengangkat bagasi anak-anak Pg Matusin. “Enggang, pipit terbang tak sama tinggi, kita naik speedboat, mereka naik heli.” Mustafa berpantun dengan nada puitis dan perlahan penuh sindiran. Suaranya hanya didengari oleh Fahmi.

 

Tiada apa yang patut digambarkan mengenai keluarga Pg Matusin, melainkan…

 

“Sempurna.” kata Sophia dengan suara yang halus menggoda tatkala matanya memandang tepat ke arah anak sulung Pg Matusin, Pg Daniel.

 

Entah kenapa denyutan jantungnya meningkat dan darahnya mengalir deras disaat menatap wajah Daniel dari jauh. Dan tatkala Daniel lalu dihadapannya, “Ahh…” nafasnya menjadi kencang tetapi berjaya disembunyikan dari pengetahuan orang disekeliling terutamanya Fahmi. Sudah tentu dia tak mahu ditertawakan oleh Fahmi.

 

Bau laut menambahkan lagi ‘ketenangan’ Sophia yang sedang menikmati waktu cutinya. Sebenarnya itu bukanlah bau laut sebenar, tetapi bau Daniel yang mengenakan haruman Sel Marin ditubuhnya.

 

“Hai sweetie!” Sophia tersentak mendengar sapaan Pg Jeffri, anak bongsu Pg Matusin. Muka Sophia merah dara apabila bertentang wajah dengan Jeffri yang berkulit cerah dan berwajah keanak-anakan itu.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DK Sarah