Home Novel Thriller/Aksi Kultus Ibrahim
Kultus Ibrahim
DK Sarah
1/7/2019 01:25:46
12,553
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Tahun 2014.

 

Ketika itu Fahmi diundang oleh Pg Matusin untuk bercuti selama tiga hari di villanya. Villa itu terletak di utara Sabah di penghujung daerah Kudat. Di sebuah pulau indah yang tak berpenghuni. Sememangnya mudah sahaja untuk Pg Matusin memiliki pulau itu kerana beliau adalah seorang hartawan yang mewarisi perniagaan serta harta keluarganya, terutama di bidang hartanah… dan banyak lagi pelaburan keluarga mereka didalam industri strategik yang lain. Hanya sanya beliau menolak untuk diberikan anugerah yang membawa gelaran Tan Sri kerana ingin mengekalkan status ‘low profilenya’.

 

Anehnya tentang Pg Matusin ini, beliau seolah-olah dapat meramal masa hadapan berbanding pengusaha-pengusaha bumiputera yang lain… selama 30 tahun memimpin konglomeratnya, empayar beliau menerajui industri-industri utama di Sabah dengan portfolio perniagaan yang berdaya maju. Keluarga beliau adalah yang pertama menjalankan perusahaan daging mentah terproses. Selain menguasai pasaran di industri pelancongan dan pelbagai lagi perusahaan di Sabah. Kesemua ini telah diusahakan sejak turun temurun ketika pengusaha lain belum dapat melihat potensinya lagi.


Ini dikuatkan lagi dengan pemilikan hartanah di tempat-tempat strategik di Negeri Sabah. Seolah-olah beliau tahu nilai hartanah itu akan meningkat dan membelinya sebelum kerajaan mengumumkan projek-projek mega disekitar kawasan itu. Sehingga sampai ke suatu tahap, Fahmi pernah juga terfikir jikalau Pg Matusin ini menggunakan khidmat ‘khadam’ dan penilik nasib didalam urusan perniagaan beliau. “Takpun, mesin masa…” Fahmi berimaginasi menggunakan otak kanannya.

 

Meskipun demikian, tidak dapat dinafikan Pg Matusin sebenarnya memang layak mengepalai konglomerat keluarga Morni. Beliau adalah seorang yang sangat teliti dan undangan raya ini salah satunya juga bertujuan untuk mendapatkan dan memahami situasi terkini perniagaannya dari sudut pandangan seorang pegawai bank. Kiranya tiga hari adalah tempoh yang optima untuk membantu beliau merumuskan situasi syarikat setelah berakhir penggal ketiga tahun kewangan syarikatnya.


Kembali ke villa Pg Matusin, ia sememangnya sangat besar dan indah, seperti sebuah resort mini. Terletak ditengah-tengah Pulau Dahau. Sebuah pulau terpencil yang hanya diketahui penduduk kampung berdekatan dan teman-teman rapat Pg Matusin. Hanya satu peratus daripada golongan hartawan di Sabah ini yang berkemampuan untuk memiliki sebuah pulau. Dan orang itu adalah Pg Matusin. Sudah tentu perkara ini tidak ada yang menghebohkannya kerana cuma sebilangan golongan berada sahaja yang mengetahuinya. Sementara bagi penduduk kampung disitu pula, mereka telah lama dimomokkan dengan cerita hantu yang menghantui pulau itu. Ia dipanggil Pulau Dahau kerana dikatakan pulau itu adalah tempat duduknya hantu Kelindahau yang suka menyembunyikan mangsa sehingga tak dijumpai sampai bila-bila ataupun mati. Pada waktu-waktu tertentu, laungan demi laungan manusia akan kedengaran dari pulau itu. Oleh itu, tidak ada seorang pun yang berani ke pulau itu.

 

Sebaliknya bagi Pg Matusin, Pulau ini hanyalah tempat biasa untuk beliau dan keluarganya beristirehat. Dan juga bagi menjamu serta menghargai confidante atau orang kepercayaan ‘terdekatnya’. Atas sebab itulah, Fahmi tidak ingin melepaskan peluang undangan ke pulau ini biarpun dimomokkan dengan cerita hantu Kelindahau.


Bagaimanapun, bukan Fahmi seorang sahaja tetamu istimewa Pg Matusin… Fahmi yang baru sahaja sampai ke penghujung Daerah Kudat, menuju ke jeti. Kelihatan cahaya berkelip-berkelip hasil pancaran kristal Swarovski dari tudung bawal ekslusif yang dipakai oleh seorang gadis moden. Di sebelahnya, dua orang lelaki berkopiah ala-ala Raihan (seorang agak berumur dan seorang agak sebaya dengannya), dan seorang lelaki segak berkemeja putih berlengan panjang berumur dalam lingkungan hujung 30’an. Mereka lebih awal sampai kesana untuk bertolak ke Pulau Dahau dan sedang menunggu Fahmi.

 

 



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DK Sarah