Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,344
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2

Bella Rossa II, Pulau Perhentian

Dia berdiri tegak dan tergamam. Nama resort itu dibaca berkali-kali seakan tidak mahu percaya. Tetapi, walaupun hati cuba menidakkan kenyataan namun dia tahu nama itu tetap tidak berubah. Dan matanya ini masih belum buta lagi sehingga tidak kenal huruf apa yang sedang dibaca ketika ini.

Ya! Kenyataan masih tetap sama. Dia berada di Bella Rosa ketika ini. Cebisan kertas kecil yang berada di dalam poket jeansnya diseluk keluar. Sama. Dia pasti dia tidak tersilap tempat walaupun di kawasan persisiran pantai ini terdapat bermacam-macam jenis Chalet murah dan mahal. Pilih sahaja yang berkenan di hati dan poket sendiri.

Adakah ini bermakna...! Dzar menggeleng perlahan. Wajah yang cukup jarang tersenyum itu tewas juga dengan rasa gembira yang tidak semena-mena hadir dalam jiwa. Beg sandang lusuh berwarna hijau lumut itu kembali disangkutkan ke bahu. Dan dengan kekuatan yang tiba-tiba menghembus diri, dia kembali melangkah. Langit yang dirasakan kelam kembali memuntahkan cahaya.

Nun seratus meter di hadapan, dia dapat melihat figura seseorang. Dia kenal wajah itu. Tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun dalam keadaan terpejam mata sekalipun, dia pasti mengecam insan yang masih tidak menyedari kehadirannya ini. Sekali lagi langkahnya terhenti dan Dzar sedikit teragak-agak. Bagaimana jika kehadirannya tidak diterima? Bagaimana jika insan itu tidak mahu berjumpa dengannya lagi?

Dia teringatkan apa yang berlaku beberapa bulan yang lalu dan dengan penuh kekesalan Dzar menggeleng perlahan. Cukuplah! Dia tidak mahu menempuh perkara yang sama. Dia sudah bertekad tidak akan membiarkan dirinya terjerumus dalam penghinaan itu lagi. Cukuplah! Dia tidak perlu mengharapkan sesiapa lagi. Cukuplah hanya ada ALLAH sahaja yang mendengar rintihannya. Dzar membuat keputusan dan kakinya kembali mengundur ke belakang. Sesungguhnya ini lebih baik buat mereka semua.

“ Siapa tu kak?” Shera bertanya sambil menunjuk ke arah lelaki yang sedang membelakangi mereka. Yang dipanggil kakak itu mengangkat muka dan melihat arah yang ditunjukkan.

“ Siapa?” Soalnya kepada Shera yang masih ralit memerhati subjek yang sedang diperkatakan. Shera menjungkit bahu. Dia memang tidak mengenali lelaki itu.

“ Entahlah. Tadi rasanya macam nak ke sini tapi tiba-tiba dia patah balik,” terangnya sambil kembali menumpukan perhatian kepada fail-fail di tangan. Jenuh dia terpaksa keluar dari pejabat mencari Adni semata-mata untuk mendapatkan tandatangan untuk menyiapkan cek yang perlu disegerakan. Wajah yang sedang dilawan bercakap itu berkerut dan merenung jauh ke hadapan.

Shera yang tidak memikirkan apa-apa terus sahaja membuat tugasnya. Cek dan invois yang sudah ditandatangani segera dimasukkan semula ke dalam fail. Dan dia terus khusyuk begitu sehinggalah dirasakan dia hanya sendirian di situ. Shera memangku wajah dan sedikit terpinga-pinga. Bayang Adni semakin jauh dari pandangan mata. Ke mana pula kak Adni hendak pergi? Dan dia semakin disuntik rasa ingin tahu apabila melihat Adni sudah berlari-lari anak mengejar lelaki yang tidak dikenali itu. Siapa?

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh