Home Novel Thriller/Aksi SETIAP DETIK NAFASKU
SETIAP DETIK NAFASKU
27/12/2012 15:33:23
57,359
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1

1

2014

Penjara Sungai Buloh

Pintu itu kembali tertutup rapat. Pandangannya terbatas pada batu-batu tinggi yang menjadi tembok yang memisahkan dia dengan tempat yang menjadi dunianya semenjak 7 tahun yang lalu. Jika dulu dia bersama-sama mereka namun kini dunia mereka kembali terpisah dan terasing. Dia di luar dan mereka masih kekal di dalam menanti hari dan ketika apabila mereka juga akan dibebaskan dari tirai besi itu.

Dia mendongak merenung biru langit yang kelihatan tenang dan sepi. Sepi dan kosong seperti apa yang dirasakannya ketika ini. Matanya sedikit berasa pedih dengan terik mentari namun untuk seketika dia hanya membiarkan tubuh menyerap seluruh tenaga dan kepanasan Sang Suria. Untuk pertama kali setelah tujuh tahun dia berasa bebas.

Satu perasaan yang sudah lama tidak dirasainya. Alhamdulillah Ya ALLAH....aku masih berpeluang untuk terus menikmati udara sekali gus menjadi manusia yang lepas dari kongkongan dan hukuman.

“ Dzar...nak ke mana? Jom saya hantarkan?” Tegur satu suara sambil menepuk bahunya. Dzar berpaling dan melihat Warden Nordin yang menegurnya itu. Dzar senyum nipis sekadar menyapa lelaki yang amat dihormatinya itu.

“ Tak apa. Saya boleh jalan.” Dia menolak lembut. Tidak mahu menyusahkan lelaki baik ini dan juga tidak mahu lelaki itu tahu dilema yang sedang dihadapinya ketika ini.

“ Nak jalan lama mana baru sampai. Awak nak balik Taiping kan? Jom saya hantar ke stesen bas.” Bersungguh-sungguh Nordin mempelawa. Dari tadi dia melihat dan memerhatikan Dzar Thalha. Dia hanya berdiri tegak sahaja tanpa menunjukkan gaya hendak beredar dari situ. Dia tahu ada sesuatu yang membelenggu jiwa lelaki yang dikenalinya semenjak tujuh tahun yang lalu.

“ Tak apa, tuan. Saya pergi sendiri.” Sama seperti tadi. Dzar berterusan menolak. Nordin diam. Lama dia memerhati wajah di hadapannya. Cuba membaca fikiran anak muda itu namun sehingga kini dia masih gagal menelah apa yang bersarang di dalam kepala lelaki bernama Dzar Thalha ini.

“ Awak tak ada tempat nak pulang?” Soalnya lembut dan perlahan. Dia faham. Situasi yang normal yang kerap kali dirasai oleh setiap insan yang memegang gelaran bekas banduan. Hendak pulang kepada ke mana? Siapakah yang dapat menerima kepulangan mereka dengan tangan terbuka?

Dzar tidak menjawab. Dia tidak mahu menjawab dan dia tidak perlu memberikan jawapan. Dia sudah menjadi manusia yang bebas. Dia tidak perlu menjawab sebarang pertanyaan dan memberikan penjelasan lagi.

“ Awak tak nak balik Taiping? Jumpa keluarga...mak adik awak?” Tanyanya lagi namun seperti tadi, Dzar langsung tidak mahu membuka mulut.

“ Oh!” Nordin jadi faham sendiri. Apatahlagi melihat wajah Dzar menjadi bertambah mendung apabila perihal ibu dan adiknya disebut. Akhirnya dia mengerti. Barulah dia tahu kenapa Dzar begini. Lelaki itu memang tidak berniat untuk pulang kepangkuan keluarganya.

“ Saya pergi dulu.” Dzar akhirnya bersuara. Tanpa menunggu jawapan, dia berpusing dan mahu melangkah pergi namun suara Nordin mematikan langkahnya. Dzar tegak berdiri namun dia tidak berpaling.

“ Tak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan. Peluang tetap ada untuk insan yang mahu berubah. Awak lelaki yang baik, Dzar. Saya harap awak sedar dan tahu perkara tu. Keluarga awak tentu juga sedang menunggu. Pulanglah!”

Rahangnya bergerak namun tidak suara yang keluar untuk membalas kata-kata lelaki itu. Dia hanya mampu menggeleng perlahan. Mereka tidak pernah faham dan mengerti. Peluang sudah tertutup rapat buat lelaki sepertinya. Dzar kembali melangkah. Pesanan kejap yang diterima tiga bulan lepas kembali tersemat dalam hati.

“ Datang cari aku, Dzar. Aku tunggu.”




Daniel and Kuljeet

Solicitors dan Advocate, Kuala Lumpur

Daniel membuka pintu biliknya. Tubuh yang terasa melekit dengan kepanasan di luar menjadi sedikit lega apabila dingin penyaman udara membaluti tubuhnya. Tidak cukup dengan itu, tali leher yang sedia dilonggarkan ketika keluar dari mahkamah, ditarik keluar dari leher. Perutnya juga sudah berkeroncong hebat dan dia tidak sabar untuk menjamah makanan yang dibeli oleh pembantunya. Manakan tidak, sedari pagi sehingga jam tiga ini, hanya sekeping roti sahaja yang masuk ke perut. Kalau dibuat selalu, mahu gastriknya menyerang semula.

“ Baru balik, bos?” Tegur PAnya yang bernama Adah sebaik sahaja dia tiba di hadapan wanita itu.

“ Baru sampai, Adah,” balasnya sambil mengangkat kening penuh makna ke arah pembantunya.

" Beli apa hari ni?" soalnya seketika kemudian sambil menjenguk ke dalam pantri melihat apa yang dibelikan oleh Adah untuknya.

" Semalam kata nak makan nasi kerabu kan...jadi beli nasi kerabu ajelah." Adah balas selamba. Sudah menjadi kebiasan dia membeli makanan untuk bosnya itu setiap kali dia keluar makan tengah hari.

" Kahwinlah bos. Nanti ada orang yang boleh tolong masakkan." saran Adah yang simpati melihat majikannya yang memang selalu tidak tentu waktu makannya. Kadang-kadang dia sengaja membawa bekal lebih untuk diberikan kepada majikannya yang baik hati ini. Bukan niat mahu mengampu, tetapi lebih kepada menghargai budi baik Daniel yang memberinya peluang bekerja di situ. Sementelah Daniel sendiri agak rapat dengan suami dan anaknya, jadi dia fikir tidak salah dia membalas dengan cara itu.

" Tak ada orang nak, Adah. I nak pinang you, mahu Hakim pancung kepala I. I tunggu anak dara you besar sajalah ya." Mengekek Daniel apabila Adah melayangkan penumbuk buatnya.

" Ala...Kuljeet tu dah bertahun-tahun kahwin, makan luar jugak dia. Bini dia pun tak pernah masak agaknya. Hari-hari merungut kena makan kedai." Daniel ketawa mengenangkan partnernya yang berbangsa Singh itu. Untuk seminggu ini, hanya dia seorang yang tinggal kerana Kuljeet melawat keluarganya di India. Mujur kebanyakan kesnya sudah selesai. Jika tidak memang naya sahaja dia.

" Lagipun berkahwin ni bukan takat nak jaga makan minum je, Adah. Kalau tak kahwin pun boleh je I upah live in chef kalau sekadar makan nak sedap dan terurus kan? You dah kahwin dan ada anak, You tentu lebih tahu?" tambahnya meminta kepastian. Bukan mudah sebenarnya mahu memikul tanggungjawab. Segala-galanya akan terletak pada bahunya. Dan dengan kerjanya yang sering tidak tentu masa ini, dia sendiri takut mahu membuat komitmen walaupun keinginan itu ada. Adah hanya mengangguk. Memang betul pun cakap Daniel itu. Tak ada yang salahnya.

“ Tan Sri called tadi. Dia minta you call dia ASAP,” beritahu Adah lagi sambil mengekori majukannya ke dalam pantri. Langkah Daniel terhenti. Sekali lagi keningnya terangkat. Seleranya yang menggebu-gebu menjadi tumpul mendengar perkhabaran yang dibawa itu. Apa sahaja berita yang berkait rapat dengan Tan Sri yang bengis itu sememangnya selalu membuatkan moodnya menjunam jatuh.

“ Fasal kes Dzar Thalha?” Daniel meneka dan sepantas kilat itu juga Adah mengangguk.

“ Dia tahu?”

“ Dia telefon dalam keadaan mengamuk. Jadi, I yakin dia dah tahu fasal perkara tu.” Adah menjelaskan. Dia sememangnya trauma setiap kali menerima panggilan daripada lelaki itu. Selalunya dia berurusan dengan pembantu Tan Sri itu, namun kali ini bayangkan betapa terperanjatnya dia apabila mendengar suara lelaki itu sendiri. Mujurlah dia tidak datang sendiri ke pejabat ini. Kalau tidak mahu ada yang pengsan nanti.

Daniel memejam matanya seketika. Sebuah keluhan panjang terbit dari mulutnya. Dalam keadaan begini, dia masih belum bersedia untuk memberi laporan mahupun penjelasan kepada orang tua itu. Tetapi dia juga tahu, manusia itu juga tidak suka menunggu lama.

“ You nak I cakap apa kalau dia telefon lagi?”

“ You beritahu I ada kes lagi dekat mahkamah. Lepas maghrib nanti I pergi rumah dia. Sekarang I nak makan. Nasi kerabu tu dah memanggil-manggil dari tadi.” Pantas dia membuat keputusan. Bersemuka lebih elok daripada bercakap ditelefon. Dan dia tahu tindakan ini akan membuatkan Tan Sri itu bertambah ‘murka’ kerana terpaksa menunggu lebih lama.

Orait bos.” Adah menahan diri dari memberi tabik hormat apabila nada suara Daniel menjadi tegas begitu. Dia kenal sangat Daniel. Sudah lebih lima tahun dia menjadi pembantu kepada Daniel dan dia tahu bila mana lelaki itu serius ataupun tidak. Dia keluar dari pantri untuk kembali ke meja namun suara Daniel mematikan langkahnya. Adah menoleh dan menunggu.

Make sure you call PA dia. Jangan murah hati sangat nak offer diri untuk disembur Tan Sri. Just be brief and make sure she gets the message.” Dan dia menahan rasa mahu ketawa melihat wajah Adah yang mula berubah.

Previous: Prolog II
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh