Home Novel Thriller/Aksi ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
kenhendri
13/6/2021 16:44:33
11,126
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 3

16 May 2024
Masjidil Haram, Mekah.

Ibadah haji terhenti. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa mereka tidak akan menerima lagi jemaah dari luar negara. Untung kepada mereka yang berada di tanah Arab ini termasuklah aku kerana masih boleh mengerjakan rukun Islam kelima itu. Sebab utama kerajaan Arab tidak menerima masuk jemaah dari luar negara disebabkan stesen penerbangan dunia sudah dirasai tidak selamat untuk melakukan apa-apa penerbangan disebabkan kemunculan Karnivor Bersayap yang menyerang salah sebuah kapal terbang dari Kanada dan juga Mesir.

Lantas insiden itu membuatkan aku, salah seorang jemaah haji dari Malaysia kekal buat sementara di tanah Arab. Kami bagaikan ditaja oleh negara sendiri untuk ‘tinggal’ di tanah Arab dengan pelbagai kemudahan serta keselesaan. Aku bersyukur kerana keadaan di tanah air sudah kembali aman setelah beberapa siri peperangan dan penyerangan daripada Karnivor.

Namun, aku tidak membazir peluang ini sekadar untuk bersuka ria di tanah suci yang penuh keberkatan ini. Aku seorang yang sangat cinta akan ibadah haji. Sudah menjadi impian dan harapan aku untuk terus melihat Kaabah. Mungkin, Allah telah memakbulkan doaku untuk menetap di sini buat sementara sehingga aktiviti penerbangan berjalan semula.

Memasuki bulan haji, selalunya Mekah akan dikunjungi oleh berpuluh ribu jemaah dari luar negara namun pada tahun ini nampak kuyu. Bahkan sejak pandemik CoViD-19 muncul lagi telah nampak perubahan di Mekah. Ianya tidak seperti selalu. Jemaah haji pada tahun ini nampak berkurang daripada tahun sebelumnya. Tanah Arab akan kesunyian jika keadaan ini berterusan.

Ketika sedang kusyuk melakukan tawaf, telinga aku terdengar suatu suara lantang disusuli dengan pertengkaran. Ingin sahaja aku berpaling melihat persetua itu tetapi akalku berkata, tawafku akan terbatal jika aku berpaling. Aku takut jika bahuku beralih daripada Kaabah jadi aku menghiraukannya.

Aku menganggap bahawa pertengkaran sesama jemaah itu sudah berakhir tetapi belum. Keadaan menjadi bertambah tegang sehingga ada adegan tumbuk-menumbuk. Entah bagaimana ianya bermula tetapi melihat kejadian itu, hatiku berasa masyghul. Sesama Islam, sesama saudara mereka berani berbalah di Tanah Suci, di hadapan Kaabah.

Perbalahan itu menjadi semakin parah apabila semakin ramai yang mempertahankan sebelah pihak yang lain. Pengawal keselamatan dan polis tidak dapat meredakan keadaan sehingga ada yang tercedera. Pertempuran itu merebak ke luar masjid. Mereka yang tidak memihak kepada mana-mana belah pihak pula terpaksa pulang ke hotel masing-masing. Namun, ramai juga yang sudah bergerak ke Madinah. Bagaikan sudah berpindah tempat ke sana kerana tidak tahan akan keadaan yang berlaku di Mekah.

Pada malam itu, pertempuran di Masjidil Haram mula reda. Tetapi, punca berlakuknya pergaduhan tersebut masih misteri. Tetapi, sudah tersebar khabar angin dalam kalangan kami (jemaah) dari Malaysia akan punca peristwa itu. Ada yang mengatakan bahawa punca berlakunya pergaduhan disebabkan oleh beberapa orang jemaah secara tiba-tiba menjerit dan menumbuk jemaah yang lain.

Masih bingung kenapa dia berbuat demikian namun ada pula yang mengatakan jemaah yang mencetuskan keadaan tersebut ialah orang Yahudi yang menyamar sebagai jemaah haji. Mereka sengaja mencetuskan huru-hara di Masjidil Haram untuk membuatkan orang Islam bergaduh sesama sendiri. Entah benar ataupun tidak akan khabar angin itu.

Beberapa hari kemudian, gempar di kota Madinah akan suatu berita. Berita yang tidak patut didengar oleh kami dari luar negara. Mungkin akan menimbulkan kekeliruan kerana kami bukanlah penduduk asal tanah Arab. Berlaku perbalahan antara tiga putera Arab setelah ayahanda mereka kembali ke rahmatullah pada seminggu yang lalu. Aku tidak pasti apa yang telah berlaku di sana tetapi sudah jelas perbalahan itu soal jawatan dan tahta.

Ramai jemaah yang ke Madinah sebelum ini, pulang semula ke Mekah kerana tidak tahan dengan kempen daripada tiga parti politik yang berbeza. Tanah Arab yang dahulunya tersohor dengan lahirnya Nabi Akhir Zaman, tempat tersebarnya Islam, tempat pemerintahan kerajaan Khulafa Ar’ Rasyidin kini sudah menjadi tempat perbalahan untuk merebut tahta mayapada yang fana.

Apakan daya, inilah penyakit akhir zaman. Penyakit yang menimpa hati tanpa membunuh jasad. Penyakit yang tidak dapat dikesan oleh mana-mana saintis melalui kajian moden berteknologi tinggi. Penyakit yang sudah lama wujud dalam diri umat manusia tetapi tidak diiktiraf sebagai pandemik. Penyakit terlalu cinta akan dunia dan takut mati.

Jika dunia ini boleh dibawa ke akhirat, Qarun yang kaya akan kekal kaya selama-lamanya. Namrud yang berkuasa akan kekal berkuasa selama-lamanya. Firuan yang hebat dengan pangkat ‘Tuhan’ akan menjadi ‘Tuhan’ selama-lamanya. Tetapi, dunia ini hanya sementara. Pejam celik pejam celik sudah tua. Hanya menunggu jemputan Malaikatul Maut. Tempat tidur yang selesa bakal bertukar menjadi tanah yang datar, dikambus dan dipijak-pijak oleh manusia.

Tetapi, ramai sahaja yang buta. Masih kabur pandangan mata mereka dengan pangkat dan dusta. Sudah hampir semua tanda-tanda kiamat kecil muncul tetapi ada sahaja yang buat-buat lupa. Mungkin mereka tidak tahu atau mereka alpa dengan fatamorgana cinta. Bila tiba hari kebangkitan kelak, barulah mereka sedar bahawa dunia hanya mimpi dan akhirat ialah nyata. Semuanya hanya sementara.

Sedangkan Empayar Rom yang gah itu pun sudah tumbang. Sedangkan Empayar Parsi yang hebat itu sudahpun runtuh. Apatah lagi Kerajaan Nabi Sulaiman yang menjangkau hampir keseluruhan dunia. Apatah lagi Empayar Islam Uthmaniyah yang menjangkau tiga benua. Semuanya sudah lenyap ditelan sejarah. Kisah-kisah dan kehebatan mereka hanya menjadi penceritaan buku sejarah. Inikan pula manusia kerdil yang berpangkat sejengkal.

Dunia ini sudah tua. Akhir zaman yang disebutkan Nabi Muhammad SAW terbahagi kepada lima fasa. Fasa pertama ialah fasa kelahiran dan kerasulan baginda. Fasa kedua pula fasa kekhalifahan para sahabat iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar ibn Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib. Fasa ketiga pula fasa kerajaan ‘menggigit’ di mana tahta kepimpinan diserahkan kepada putera-putera raja. Ianya zaman kerajaan Umaiyah, kerajaan Abbasiyah dan kerajaan Uthmaniyah.

Fasa yang keempat ialah fasa fitnah di mana umat Islam ditindas dan darah umat Islam dimain-mainkan di tangan musuh. Inilah zamannya. Di zaman ini juga bakal menyaksikan pelbagai kemusnahan dan siri peperangan. Imam Mahdi akan muncul, Dajjal akan keluar dan Nabi Isa akan turun di Menara Putih. Semuanya bakal terjadi di fasa ini dan aku takut jika ianya berlaku, aku tidak sempat bertaubat kepada Allah.

Hari ini nampak tenang jika dibandingkan dengan semalam. Masjidil Haram sudah reda setelah pertengkaran sebelum ini berlaku. Namun apa yang peliknya, punca dan pelakunya masih belum ditangkap. Mungkin pihak polis tidak menemui si pelaku tetapi dari mana datangnya khabar angin yang mengatakan pelakunya ialah orang Yahudi? Adakah ianya benar?

Baru sahaja ingin melakukan solat sunat, riuh terdengar dari belakang akan suara-suara yang tidak ku faham. Ianya bahasa Arab? Tetapi tatkala aku berpaling, aku terlihat sekumpulan pemuda beruniform tentera menerjah masuk ke Masjidil Haram melalui pintu utama. Pada tangan-tangan mereka dipegang panji-panji hitam yang tertulis ucapan syahadah. Mereka lengkap bersenjata seakan-akan mengawal seorang lagi pemuda berjubah putih menuju ke arah Kaabah. Apabila disekat oleh pengawal mereka mengucapkan syahadah sebelum menolak jaga. Para jemaah mula bingung. Pengawal keselamatan pula laju membuat panggilan kecemasan.

Segerombolan pasukan panji hitam itu menghalau jemaah yang sedang melakukan tawaf dengan mengacukan senjata sehingga jalan-jalan dibuka ke arah Kaabah. Keadaan mula kecoh. Ada yang melarikan diri tetapi mereka dihalang oleh beberapa orang tentera panji hitam. Pengawal keselamatan yang cuba menghalang, mati ditembak. Darahnya mengalir membasahi lantai. Seraya senjata diangkat, seorang tentera mengangkat tangan seorang lelaki berjubah putih bersamanya tadi lalu mengucapkan sebuah ucapan yang tidak aku faham. Tetapi, salah seorang rakanku dari Malaysia menterjemahkannya.

“Wahai penduduk Mekah! Sudah terjadi perbalahan tiga putera di Madinah! Sudah terjadi pergaduhan di Mekah! Tidakkah kamu mengetahui maksudnya? Sudah tiba waktunya untuk ‘Sang Penyelamat’ muncul! Inilah dia Imam Mahdi yang kita nanti-nantikan! Namanya Muhammad bin Abdullah! Dia akan memusnahkan semua empayar kejahatan dan memenuhi dunia ini dengan keadilan! Aku ingin kamu semua membai’ah insan ini! Dialah Imam Mahdi!”

Setelah aku mendengar ucapan yang diterjemahkan oleh rakanku, aku bagaikan mati akal. Sudah jelas, orang yang berada di hadapan kami bukanlah Imam Mahdi yang sebenar melainkan orang-orang yang sesat dan jahil tanpa ilmu dan adab. Dari mana dia mendapat keberanian untuk mengaku bahawa orang disebelahnya ialah Imam Mahdi? Tidakkah dia mengetahui yang Imam Mahdi hanya diakui oleh para ulama yang hebat dari Syria? Dan Imam Mahdi takkan mengaku bahawa dialah Imam Mahdi yang sebenar sehingga para ulama membai’ahnya.

Jelas, orang yang berada di hadapan kami ialah pendusta. Tetapi, apa yang patut kami lakukan sekarang? Hampir semua pengawal keselamatan yang cuba menghalang, mati ditembak. Pintu keluar dari masjid ditutup dan dijaga oleh mereka. Apa yang patut kami buat? Berpura-pura menerima bahawa dialah Imam Mahdi? Tidak! Aku tidak akan menjual agama untuk dunia semata-mata!

Beberapa minit kemudian, tidak ada walau seorangpun yang maju untuk mengakui bahawa orang di hadapan mereka ialah Imam Mahdi. Dalam fikiran mereka sudah mengerti, orang di hadapan mereka tidak lain tidak bukan hanyalah seorang pendusta. Lagipun, perkara seperti ini sudah terjadi pada tahun 1979. Waktu itu juga sama seperti sekarang, musim haji. Entah dari mana muncul militan yang menyerang dan mengambil alih Masjidil Haram.

Kumpulan pengganas itu diketuai oleh seorang lelaki bernama Juhaiman bin Muhammad yang ingin umat Islam mengaku bahawa abang iparnya iaitu Muhammad bin Abdullah al Qahtani sebagai Imam Mahdi. Sudah berpusu-pusu pasukan tentera khas daripada Arab Saudi cuba memecah masuk pintu masjid dengan pelbagai cara termasuklah kereta kebal tetapi tidak berjaya.

Ketika itu juga, Menteri Pertahanan Arab Saudi meminta bantuan ketenteraan daripada Pakistan. General Zia Ul Haq telah mengarahkan tenteranya untuk memberi bantuan dan mereka berjaya menawan semula masjid. Sebaik sahaja masuk ke dalam masjid, mata mereka terlopong. Musyahadatun mereka hanya tertumpu kepada mayat-mayat jemaah haji yang mati dibunuh.

Itulah peristiwa hitam yang pernah berlaku di Tanah Suci ini. Adakah ianya akan berulang kembali? Tentera panji hitam yang ada dihadapan kami sekarang bersenjata sedangkan kami tidak ada apa-apa. Bahkan, pakaian kami pula hanya ihram. Tidak ada apa-apa yang mampu kami buat melainkan menunggu bantuan dari luar.

Tiba-tiba, seorang jemaah ditarik. Dia dipegang seraya senjata dihala pada kepala. Salah seorang tentera panji hitam itu mengugut jemaah lain untuk mengaku lelaki di sebelahnya sebagai Imam Mahdi. Para jemaah mula kalut. Perasaan dan jiwa mereka berbelah bahagi tetapi jemaah yang menjadi tebusan itu melaungkan takbir sebelum mengucap dua kalimah syahadat dengan lantang sebagai tanda bahawa dia tidak takut dan langsung tidak gentar jika mati dibunuh.

Pada masa yang sama juga, terdengar tembakan dan kekecohan dari pintu masuk masjid. Pasukan polis dan tentera sudah tiba dan mereka berjaya menerjah masuk ke dalam masjid. Aku bersyukur tetapi terlalu awal untuk menarik nafas lega. Tatkala pasukan polis dan tentera Arab Saudi menerjah masuk, mangsa yang menjadi tebusan tadi mati ditembak di bahagian kepala.

Lantas laungan takbir bergema daripada para jemaah sebelum mereka mula bertindak menyerang tentera panji hitam. Mereka sedar, di belakang mereka sudah tiba pasukan polis dan tentera tetapi sudah tentu tentera panji hitam tidak akan berdiam diri. Mereka tentu akan membunuh para jemaah dan peperangan antara mereka dengan pasukan polis dan tentera mungkin akan berlaku. Jadi, sudah tiada pilihan lain bagi jemaah. Kematian mereka mungkin sudah tertulis di sini termasuklah aku.

Seorang demi seorang jemaah mati ditembak. Terdengar juga bunyi ledakan bom yang dilempar ke arah mereka. Jasad mereka hancur berkecai. Darah-darah mereka mengalir memenuhi ruangan masjid. Mereka tidak takut mati. Mereka berani mati kerana syahid yang dijanjikan Tuhan akan mendapat balasan syurga. Tatkala melihat semua kejadian ini, tubuhku bergetar. Kakiku terpaku.

Aku tidak dapat melakukan apa-apa. Pasukan polis dan tentera sudah melepaskan tembakan ke arah tentera panji-panji hitam dibantu oleh jemaah haji. Tetapi, ini kali pertama buat aku melihat manusia mati dibunuh beramai-ramai. Aku tidak pernah melihat dan alami kejadian seperti ini. Apa yang patut aku buat? Melarikan diri? Adakah aku takut mati?

Tiba-tiba, pandangan aku beralih ke arah rakanku. Jelas wajahnya ketakutan dan pucat. Air matanya mengalir kerana tubuh dan jiwa diserang kejutan. Namun, kakinya yang kaku perlahan-lahan bergerak. Dia bergerak, berlari ke arah seorang tentera panji hitam seraya melaungkan takbir dengan penuh lantang. Tetapi, dia tumbang. Tidak sempat menyentuh tubuh musuh, darah dari jasad yang tidak bernyawa itu sudah mengalir.

Dia takut. Ya, dia juga takut tetapi dalam hatinya berniat untuk berjuang. Jika dia terlepas peluang ini, bagaimana lagi dia ingin ke syurga? Mungkin, inilah sebab kenapa Allah membatalkan penerbangan kami. Mungkin, inilah sebab kenapa Allah memberikan kami lebih waktu untuk tinggal di Tanah Suci ini. Mungkin, sebab inilah Allah masih memberikan kami nyawa. Dia mahu kami syahid.

Aku tidak perlu takut. Aku tahu ramai lagi yang merasa seperti aku. Mereka sebenarnya ketakutan, mereka sebenarnya mati akal tetapi sekilas datangnya janji Allah dalam hati kami, kami berani. Perlahan-lahan kakiku bergerak. Aku menarik nafas dalam sebelum berlari ke arah seorang tentera panji hitam dengan laungan takbir yang panjang.

Ya Allah, aku tidak peduli lagi akan hartaku. Aku tidak peduli lagi akan pangkat dan kedudukan aku. Aku tidak peduli lagi kesenangan dunia yang Kau beri. Apa yang aku inginkan hanyalah kematian yang dicemburui. Biar ramai yang mencemburui kematian kami agar mereka sedar bahawa nikmat dan rezeki yang Kau beri. Ya Allah, aku sudah berjuang di jalanMu.

Peluru itu menembusi dada. Tubuh longlai jatuh ke lantai. Pendengaran mula perlahan. Bunyi tembakan mula hilang. Aku jatuh di atas darah rakanku. Mataku kabur melihat seorang demi seorang jemaah dan tentera panji hitam tumbang. Adakah pasukan polis dan tentera Arab Saudi sudah membantai mereka? Sudahlah. Ini mungkin tatapan terakhir aku. Tamat sudah perjuangan aku, Adn bin Naim.




















Untuk membaca ketiga-tiga novel Trilogi Distopia secara lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.