Home Novel Thriller/Aksi ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
kenhendri
13/6/2021 16:44:33
11,164
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

1 FEBRUARI 2025

Hari ini, genap tiga tahun aku berada di tanah yang hancur. Tanah yang dahulunya padat dengan rumah. Tanah yang dahulunya penuh dengan jalan. Kini sudah menjadi tanah rata yang hanya dipenuhi oleh sisa-sisa runtuhan. Di tanah inilah lahirnya manusia-manusia terbaik dunia. Di tanah ini juga lahirnya anak-anak syurga. Tetapi, kenapa mereka diperlakukan seperti ini?

Saat pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini, jiwa aku gentar, kaki aku ketar, kepala aku putar. Ianya jauh sekali berbeza dengan permandangan yang selalu aku lihat ketika berada di Malaysia. Negara pelbagai bangsa itu patut bersyukur dengan permandangan harian mereka. Tetapi, ketika aku di sana, isu politik sudah menjadi kebiasaan telinga.

Bukan ingin menghina negara sendiri tetapi itulah realitinya. Sekejap yang di sana melompat ke situ. Sekejap yang di situ melompat ke sini. Sudah seperti katak yang berpindah tempurung. Disebabkan kekuasaan dan pangkat serta kekayaan dan jawatan, mereka sanggup bertikam lidah, berkhutbah, menabur janji demi memancing kepercayaan. Tetapi, hakikatnya janji hanya tinggal janji.

Disebabkan kegilaan dan kehausan pangkat inilah yang menyebabkan kes CoViD-19 pada tahun 2021 meningkat secara mendadak. Padahal, kami sudah hampir menang. Sudah berada di puncak kejayaan tetapi disebabkan kelalaian para pemimpin mengadakan pilihanraya, rakyat menjadi mangsa keadaan. Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan pula hanya tinggal perkataan.

Isu sosial pula apatah lagi. Lihat sahaja waktu PKP dijalankan. Rakyat mungkin terlalu bijak mencari kesalahan pemimpin tetapi mereka tidak terlalu bijak menyembunyikan kesalahan sendiri. Mereka mungkin marah apabila kes semakin naik tetapi yang keluar merentas negeri pulang ke kampung semasa Aidilfitri itu siapa? Sampai sesak jalan. Aku yang melaporkan keadaan itu hanya mampu menepuk dahi.

Selepas isu CoViD-19, muncul pula virus baharu yang dikenali sebagai CWD-Rabies pada penghujung tahun 2021. Virus ini telah menelan virus Korona sehingga ianya lenyap dari bumi secara tiba-tiba. Namun, di Amerika Syarikat sudah kecoh dengan kemunculan makhluk peranakan virus ini. Ianya ialah Karnivor. Ketika itu, aku sedar yang penghujung dunia sudah dekat.

Walaupun aku sudah tersentak sejak negara haram Israel melancarkan serangan ke atas rakyat Palestin yang ingin solat Terawih pada penghujung Ramadan 2021. Sejak daripada peristiwa itu, Israel dan Palestin berperang. Tentera Palestin yang diwakili pasukan tentera khas HAMAS menjadi perisai bagi rakyat Palestin.

Seluruh dunia menyedari bahawa tentera Zionis ialah pengganas yang sebenar tetapi negara Israel dan Amerika Syarikat telah meracuni media mereka untuk menunjukkan yang Palestin ialah pengganas. Setiap tahun sejak penapakan orang-orang Yahudi-Zionis pada tahun 1948, mereka telah mengikis tanah-tanah penduduk Palestin. Kanak-kanak, pemuda, wanita, orang tua, telah dibunuh. Adakah itu dikira menjaga keselamatan? Adakah kanak-kanak mengancam keselamatan mereka?

Bagi mereka yang celik minda, aku tidak memaksa kamu memeluk agama Islam untuk mengasihani rakyat yang tidak berdosa di Palestin. Cukuplah sekadar menjadi manusia yang sihat akal untuk mengasihani mereka. Seingat aku, setelah seminggu peperangan itu berlaku, sudah ratusan nyawa rakyat Palestin terkorban dan sedikit bahkan tidak sampai sepuluh orang rakyat Israel yang meninggal dunia. Jadi, siapa pengganas yang sebenar?

Seluruh dunia telah mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengadakan rundingan akan isu tersebut namun, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu menggunakan kuasa veto untuk tidak campur tangan. Padahal merekalah yang telah menaja pembelian senjata sebanyak 725 juta USD ke Israel untuk meratah daging-daging rakyat Palestin. Jadi, apa gunanya PBB yang bertujuan menjaga keamanan dunia? Adakah ianya telah bertukar menjadi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bangsat?

OIC iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam atau Pertubuhan Persidangan Islam pula hanya mendiamkan diri. Malaysia pula yang terpaksa bersuara untuk menyentak para-para pemimpin OIC agar sedar daripada lena yang panjang. Nama sahaja Islam tetapi apabila saudara mereka diratah dengan rakus oleh musuh, mereka hanya melihat. Itukah saudara?

Presiden Turki, Recep Erdogan pada masa itu yang paling menonjol. Sejak hari pertama rumah ibadat Islam diserang, dialah yang pertama menghubungi pemimpin-pemimpin dunia untuk mengkritik tindakan itu. Malah, dia juga yang paling berani mengkritik Presiden Amerika Syarikat tentang transaksi senjata ke Israel. Tidak pernah lagi aku melihat pemimpin Islam yang seberani beliau semasa zaman hidup aku. Aku tahu, bukan senang untuk bersuara apabila musuh-musuh Islam terutamanya daripada negara kuasa besar mula bertindak ganas.

Semasa aku di belakang tabir, ketika aku masih berada di Malaysia, ramai yang bertanya kenapa Arab Saudi langsung tidak campur tangan tentang isu Palestin? Sebagai seorang pemuda yang bekerja dalam bidang ini, aku sudah tahu yang pihak media tidak akan menggembar-gemburkan 'teori konspirasi'. Aku bukanlah seseorang yang mempercayai sesuatu perkara kalau ianya belum sahih.

Namun, mengikut pengetahuan dan maklumat yang aku dapat, Arab Saudi sangat rapat dengan Amerika Syarikat. Mungkin, negara Arab itu sudah menjadi penjilat 'kaki' USA. Tidak hairanlah jika ianya benar kerana Arab Saudi juga pernah menghantar tentera ke Iran untuk menyerang kem 'pengganas' yang kononnya dituduh oleh Amerika Syarikat. Padahal, itu hanya alasan USA untuk mendapatkan minyak.

Kalau dilihat dalam peta, negara Palestin dikelilingi oleh negara-negara Islam. Syria, Jordan, Mesir, Arab Saudi, Lubnan, tetapi kenapa mereka diam? Mungkin aku tidak boleh mengatakan yang Syria diam saat Palestin dijajah kerana negara mereka juga sudah lumpuh diserang fitnah Israel dan Amerika Syarikat. Lubnan dan Jordan pula sudah mula bergerak sejak peristiwa itu. Mereka juga mengkritik negara Israel. Namun, Arab Saudi hanya diam bagai patung boneka yang hanya bergerak jika ada tangan yang menggerakkannya.

Sebulan demi sebulan, akhirnya rusuhan demi rusuhan berlaku. Ianya berpunca daripada perang Israel-Palestin. Ramai penduduk di seluruh dunia 'melawan' kerajaan mereka yang diam akan isu tersebut. Turki, Rusia beberapa negara lain termasuk Malaysia sudah bersepakat untuk menghentikan serangan berterusan Israel. Namun, Amerika Syarikat pula campur tangan dengan memunculkan Karnivor dan virus CWD-Rabies. Mungkin ini agenda mereka secara senyap untuk melawan dunia ataupun ianya mungkin hanya uji kaji makmal yang gagal?

Sebelum Karnivor semakin banyak dan virus jahat ini tersebar luas, pada awal bulan Februari 2022, aku secara sukarela ke bumi Palestin untuk menjalankan perkhidmatan terakhir sebelum aku meletakkan jawatan. Aku bersama dengan pasukan bantuan kemanusian Aman Palestin tiba di tanah perang. Namun, kami disambut dengan bedilan roket daripada pesawat udara Israel. Kami bernasib baik kerana terselamat.

Jauh ke kem pelarian, kami disambut meriah oleh mangsa perang. Kebanyakan daripada mereka ialah kanak-kanak. Liar aku memandang sekeliling, aku melihat ada daripada kalangan mereka yang sudah cacat. Ada yang tidak mampu berjalan, ada yang pekak, bisu dan tiada kaki. Sayu aku melihat keadaan mereka. Namun, entah kenapa saat kami tiba, mereka menyambut kami dengan nada gembira seraya menyebut nama negara kami, Malaysia.

Waktu itu, entah mengapa penglihatan aku kabur. Mata aku berkaca. Terasa ingin menangis. Mungkin kerana mereka sudah kehilangan tempat tinggal. Mungkin mereka sudah kehilangan ibu dan ayah. Mungkin juga mereka sudah kehilangan anak. Mungkin juga mereka sudah kehilangan sebahagian daripada anggota badan. Tetapi, mereka tetap meneruskan hidup walaupun negara mereka dibom dan dijajah.

Saat mereka menyebut 'Malaysia' aku sebak pada waktu yang sama aku tertanya-tanya. Tiada bantuan daripada negara lainkah? Adakah selama ini hanya negara kami yang menghantar bantuan sehingga mereka sudah mengenal Malaysia? Jika hanya negara kami, memang patut aku menangis. Di saat manusia-manusia lain hidup senang, goyang kaki, ada yang menangis, terseksa dengan perang. Jika aku ada kuasa, ingin sahaja aku mencampak para pemimpin dunia ke medan perang, biar mereka mengerti perasaan rakyat Palestin. Tetapi, masih sahaja ada yang mengatakan mereka sebagai pengganas.

Sejak virus CWD-Rabies merebak, aku mendapat berita bahawa Malaysia sudah lumpuh. Kerajaan juga sudah bertukar. Entah bagaimana kerajaan yang baharu ini dapat mengekang Karnivor yang sangat dahsyat dan tidak pernah terbayang oleh akal aku. Setelah setahun aku berada di sini, dunia Islam sudah kehilangan seorang pemimpin. Perang saudara di Arab Saudi serta penumpahan darah di Mekah. Terjadi juga perang 'Karnivor' pula di Kuala Lumpur. Rusuhan juga di seluruh negara. Mungkin, inilah penghujung dunia?

Aku menjangka bahawa Perang Dunia Nuklear atau Perang Dunia Ketiga bakal meledak. Aku bukan meramal masa hadapan dengan mengatakan bahawa perang bakal meletus tetapi lihat sahaja keadaan dunia sekarang. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa ianya masih aman? Sudah tentu Perang Dunia Ketiga bakal meletus dan segala kecanggihan serta teknologi bakal digunakan kerana apabila terjadi Perang Dunia Keempat nanti, manusia akan berperang dengan busur, panah, pedang, ranting dan kayu.

Bukan aku yang berkata begitu tetapi manusia genius iaitu Albert Einstein. Beliau pernah berkata, "aku tidak tahu senjata apa yang akan digunakan dalam Perang Dunia Ketiga tetapi Perang Dunia Keempat akan menggunakan ranting dan kayu."

Sudah jelas yang Perang Dunia Ketiga bakal menyaksikan kemusnahan yang dahsyat dan jumlah kematian yang banyak. Mungkin perang itu tidak lama tetapi kerosakannya amatlah teruk sehingga teknologi musnah sepenuhnya. Adakah ianya terjadi di zaman kita? Jika ianya terjadi, di manakah tempat yang selamat untuk bersembunyi?

Beberapa hari yang lalu, aku mendapat berita yang pergolakan terjadi di Malaysia. Perdana Menteri kami mati ditembak. Serangan mengejut daripada jet pejuang Jerman yang datang dengan kapal pengangkut membuatkan keadaan dunia semakin kacau-bilau. Adakah Jerman akan menjadi pemula perang seperti Perang Dunia Pertama dan Kedua?

Jika perang bakal meletus, Palestin mungkin akan menjadi sasaran puak-puak Yahudi-Zionis dan serangan mereka mungkin akan menjadi lebih dahsyat kerana bagi penganut agama Islam, kami percaya yang Israel ingin membina istana bagi 'penyelamat' akhir zaman mereka, Dajjal laknatullah di Baitul Maqdis. Manusia terlaknat ini bakal mengaku diri sebagai 'The False Messiah' sebelum mengaku diri sebagai Tuhan. Bagi orang Islam dan Kristian, mereka tahu yang satu-satunya penyelamat ialah Nabi Isa A.S ataupun Jesus Christ yang diimani oleh penganut agama Kristian.

Apa-apapun yang bakal terjadi nanti, aku akan tetap berada di tanah ini. Aku akan berusaha menyebarkan keganasan dan ketidakadilan bangsa terlaknat ini di mata dunia. Biar ada yang menentang, biar ada yang membenci kerana yang baik selalu ditindas dan dibenci. Sejak pengeboman terhadap bangunan kewartawanan dan keganasan terhadap wartawan pada tahun 2021, aku tergerak hati untuk turun padang.

Nama aku ialah Fattah bin Jabar. Aku ialah seorang wartawan muda dari Malaysia yang akan memberitahu dunia tentang kekejaman dan keganasan Yahudi-Zionis dari tanah Palestin. Aku tidak ingin mati selagi tanah Palestin ini tidak merasai kebebasan.



















Untuk membaca ketiga-tiga novel Trilogi Distopia secara lengkap, boleh follow kenhendri wattpad di aplikasi wattpad. 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.