Home Novel Thriller/Aksi ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
kenhendri
13/6/2021 16:44:33
11,189
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2

4 Januari 2025

Hari ini, sudah masuk tahun ketiga aku berada di pulau misteri. Dengan peralatan yang ada, aku cuba bertahan hidup. Ya, aku. Hanya aku seorang diri. Musyahadatun aku hanyalah lautan yang ombaknya kadang tenang kadang ganas. Walaupun aku sudah jauh daripada peradaban dunia, aku tetap bersangka baik dengan takdir. Suatu hari nanti akan datang seseorang ke sini akan menyelamatkan aku. Memang aku metu setiap kali menulis diari ini tetapi apakan daya, inilah satu-satunya cara aku untuk meluangkan waktu di bawah terbenamnya mentari.

Buah kelapa, ikan dan ketam menjadi makanan harian aku. Kadang-kadang, panah yang aku cipta ini mengena sotong kurita yang bermain-main di teluk. Bukannya selalu mengisi perut ini dengan tangkapan yang banyak. Ada kalanya, hanya air kelapa dan isi sahaja. Ada kalanya aku terpaksa berpuasa dan berpenat lelah mencari makanan untuk dijadikan juadah berbuka.

Jika aku ditakdirkan mati di sini, aku berharap akan ada manusia yang menemui jasad dan sanggup menguruskan jenazahku seperti jenazah seorang muslim yang lain. Aku juga berharap agak mereka mafhum dengan segala diari perjalanan hidup yang aku tulis pada kulit dan daun-daun pokok ini. Mungkin ianya bakal rapuh. Mungkin juga ianya bakal lenyap. Tetapi, itu sekadar doa dan permintaan aku sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Tidak ada siapa yang perlu aku rindui. Ibu dan bapaku sudah lama pergi menghadap Illahi. Aku juga masih bujang, belum beranak isteri. Semua rakan sekerja dan seperjuanganku, masih belum nampak batang hidungnya. Mungkin, mereka juga telah hanyut dan tenggelam ke dasar laut. Aku masih ingat waktu itu. Hari di mana semuanya terjadi. Ianya dalam sekelip mata.

Aku merupakan seorang anggota keselamatan. Seorang tentera laut yang baru sahaja dua tahun berkhidmat. Tetapi, aku sudah dihantar ke laut disebabkan isu dan pencerobohan kapal-kapal perang dari Amerika Syarikat, Perancis dan China. Sudah sekian lama isu Laut China Selatan menjadi perbalahan kuasa-kuasa besar dunia itu. Kami, negara kecil yang masih bergantung ekonominya pada negara-negara besar, hanya mampu melihat.

Saban hari semakin banyak kapal perang mula menapak di Laut China Selatan. Kawalan sempadan Filipina pula dipertingkatkan. Takut juga jika berlaku perkara yang tidak diingini. Waktu itu, kapal kami hanya mampu payar-memayar. Selagi ianya tidak memasuki sempadan Malaysia, kami akan selamat.

Selang beberapa hari, aku masih ingat dengan jelas akan persetua itu. Ianya berlaku pada bulan Februari tahun 2022. Kapal-kapal perang, kapal selam nuklear dan kapal pengangkut yang membawa jet pejuang serta helikopter daripada negara-negara kuasa besar mula memenuhi Laut China Selatan. Aku nampak dengan jelas. Hati aku berkata keadaan akan bertambah tegang sekiranya kapal-kapal perang ini memasuki Laut China Selatan.

Ternyata benar. Di bawah bulan purnama, aku dan anak kapal yang lain dikejutkan dengan bunyi helikopter. Tidak sempat kami bangun, laut bergelora. Aku yakin pada malam itu tiada rebut mahupun hujan. Ianya seakan-akan ada makhluk besar sedang bergerak di bawah kapal kami. Adakah ianya ikan paus?

Tatkala kami berlari keluar, keluar seekor makhluk aneh dari laut. Rupanya seperti seekor jerung bergigi tajam tetapi kepalanya seperti seekor biawak yang ganas. Akal kami mati. Seorang anak kapal cuba menghubungi ibu pejabat mengenai kejadian tersebut. Kami tidak tahu makhluk apa yang sedang kami lihat tetapi otak aku hanya mendapat satu jawapan. Ianya mungkin Karnivor dari laut. Ianya mungkin dikawal oleh seseorang dari helikopter.

Pada masa sama, di bawah cahaya bulan yang terang, aku terlihat sebuah kapal dari jauh sedang bergerak laju ke arah kami. Satu cahaya jingga kekuning-kuningan keluar. Ianya semakin lama semakin besar. Ianya semakin lama semakin dekat. Barulah aku tahu bahawa kami diserang. Lantang aku menjerit kepada anak-anak kapal dan kapten sambil terjun dari kapal. Tetapi, sebaik sahaja aku melompat, kapal kami meledak.

Setelah kejadian itu, aku tidak ingat apa-apa. Apa yang aku tahu, selepas aku terjun daripada kapal, aku sempat berpaut pada serpihan badan kapal yang sudah meletup. Aku hanyut entah berapa hari. Serpihan badan kapal itu membawa aku ke sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Bahkan, aku sendiri tidak tahu di mana aku berada. Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada rakan-rakan aku yang lain. Tetapi, tidak mungkin ada yang terselamat daripada serangan mengejut itu.

Mungkin, itu permulaan bagi ‘Perang Kuasa-Kuasa Besar?’ Aku tidak tahu apa yang terjadi selepas itu. Adakah Laut China Selatan sudah berperang? Adakah dunia sudah berperang? Aku tidak tahu. Aku hanya berada di sini. Seorang diri. Kesunyian tanpa peneman. Bahkan, selama tiga tahun aku berada di sini, aku tidak pernah melihat ataupun mendengar bunyi-bunyi kapal laut dan kapal terbang melintasi pulau ini.

Entah sampai bila aku harus berada di sini. Mungkin aku patut membina sebuah perahu, mencari sebuah peradaban yang terdekat. Tetapi, apa sahaja yang ada di sini? Aku hanya mampu membuat peralatan hidup daripada kayu dan batu. Di pulau yang tidak seberapa besar ini, dipenuhi dengan semak-samun dan reptilia tanpa kaki. Walau bagaimanapun, aku cuba sedaya upaya untuk meneruskan hidup.

Setelah sehari aku berada di pulau misteri, aku cuba melihat-lihat kawasan sehingga ke hujung pulau sana. Banyak juga buah yang boleh dimakan. Ingin sahaja melabuhkan bokong di atas seketul batu besar, aku dikejutkan dengan kemunculan seseorang. Dia berkerudung hitam, bertongkat. Wajah dan kakinya tidak kelihatan. Tetapi, dia nampak sudah tua. Pada mulanya aku terkejut tetapi aku menarik nafas lega kerana menganggap yang pulau ini berpenghuni.

Aku membuka mulut untuk bertanya, “tok … tok ni ketua di sini ke? Ada orang lain lagi ke di sini? Boleh saya tahu saya ada di mana?”

Orang misteri itu tidak menjawab. Walaupun wajah dan matanya tidak kelihatan tetapi aku yakin bahawa perhatiannya hanya ke laut. Aku mula menelan air liur sendiri. Hampir beberapa minit dia tidak bersuara. Kesunyian antara kami diisi dengan bunyi ombak sebelum dia mula bersuara. Suaranya agak nyaring dan kasar. Terdengar seperti suara orang muda. Atau tua? Aku tidak pasti bahkan aku pelik dengan soalan yang ditanya.

“Adakah kamu solat wahai anak Adam?”

Dengan keliru aku membalas, “kadang-kadang aku solat. Kadang-kadang, kalau aku sibuk dan tidak sempat.”

“Apa yang menyebabkan kamu sibuk?”

“Kerja.”

“Adakah kerja itu lebih penting daripada solatmu?”

Aku terkelu.

“Wahai umat Muhammad, apakah namamu?”

“Muhammad Firdaus.”

“Sanggupkah kamu memakai nama ‘Muhammad’ sedangkan solatmu masih tidak terurus? Adakah kerja dunia berjam-jam itu membuatkanmu tidak mampu melakukan kerja akhirat walau lima minit? Seingat aku, Muhammad itu taat orangnya. Adakah ketaatan dan kemuliaan Muhammad itu tidak dimanfaatkan oleh umatnya?”

Aku terkelu lagi sebelum membalas, “ibu aku yang letak nama aku.”

“Ibumu seorang yang mengerti akan maksud namamu. Wahai anak Adam, jika Al-Masih Dajjal keluar menabur fitnah, adakah kamu akan mengikutinya?”

“Sudah tentu tidak! Semua orang tahu yang Dajjal tu kaki fitnah terbesar akhir zaman! Mustahil aku akan ikut!”

“Sudah berapa ramai yang berkata sepertimu. Tapi, belum terlepas lagi ikatan Dajjal, sudah ramai anak Adam yang tersesat dengan fitnah-fitnah akhir zaman. Lihatlah, sudah berapa ramai yang terpedaya dengan fitnah muzik yang aku bawa sejak zaman Qabil lagi. Tetapi, ada sahaja utusan Allah bernama Syit itu cuba menggangu kerja-kerjaku. Wahai anak Adam, sedarlah. Ramai bahkan terlalu ramai yang berkata-kata sepertimu tetapi ianya hanyalah omongan semata-mata. Mereka tidak akan mampu melawan fitnah Dajjal.”

“Aku orang Islam, sudah tentu aku tahu siapa itu Dajjal. Dengan sekali pandang aku sudah tahu lelaki buta sebelah mata itu!”

“Jika solatmu tidak terjaga bagaimana kamu akan menjaga diri daripada fitnah dunia? Bagaimana kamu akan melindungi diri daripada neraka di akhirat pula?”

Sekali lagi lidah aku terpaku.

“Tidakkah kamu tahu tentang Azazil yang dilaknat kerana tidak sujud pada Adam? Dia dilaknat dan dibuang dari syurga sedangkan dialah yang pernah menjadi imam para malaikat. Dia juga pernah berada di darjat tertinggi. Hanya disebabkan satu sujud, dia dibenci Tuhan. Itu hanya sekadar sujud pada Adam sebagai hormat kepada makhluk baru ciptaan-Nya. Bagaimana pula dengan kamu? Kau meninggalkan sujud pada Tuhan, bukannya makhluk. Adakah kamu masih berasa tenang?”

Ketika itu, barulah aku sedar. Benar juga kata-katanya.

“Wahai anak Adam, dunia ini sudah tua. Sejak lahirnya Muhammad, dunia telah memasuki akhir zaman. Dari zaman Muhammad ke zaman Khalifah. Dari zaman Khalifah, ke zaman kegemilangan. Dari zaman kegemilangan, ke zaman kejatuhan dan fitnah. Aku sudah tidak ada waktu untuk menunaikan janji aku pada Tuhan. Sampai masa, aku akan bergerak bersama dengan manusia yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Ketika itu, aku akan cuba sedaya upaya untuk menyesatkan umat Muhammad kerana itulah janji aku pada Allah. Aku lebih mulia daripada manusia.”

Mendengar kata-kata itu membuatkan aku seram sejuk. Perlahan-lahan aku mengambil segenggam pasir seraya bertanya, “kau ni siapa?”

“Aku adalah Iblis.”

Laju tangan aku bertindak seraya gigi diketap rapat. Pasir dibaling ke arahnya seraya mataku terpejam. Apabila aku membuka mata dengan perlahan-lahan, dia sudah tiada. Mataku meliar ke kiri dan ke kanan, mencari susuk tubuh tadi tetapi dia sudah hilang. Tapak kakinya juga tiada. Aku menarik nafas lega. Tetapi akalku bagaikan diserang pelbagai soalan. Adakah dia benar-benar Iblis yang menyamar menjadi lelaki tua? Jika ianya benar, aku patut berhati-hati. Bukan berhati-hati dari segi keselamatan tetapi hati.

Selepas daripada peristiwa itu, hampir setiap hari aku mencari orang tua yang mengaku dirinya sebagai Iblis. Tetapi, aku tidak menemui walaupun satu pondok pun di pulau. Ketika itulah aku sedar, aku bertemu dengan Iblis yang cuba menyesatkan aku dengan omongan tentang Dajjal. Tetapi, ini semua takdir yang ditulis oleh Allah. Sejak hari itu, aku menjaga solat bahkan cuba menunaikan solat sunat yang lain. Setiap hari aku berdoa agar Allah mengampuniku.

Aku tidak minta lebih daripada itu selain diampunkan dosa yang lalu serta dimatikan dalam keadaan beriman kepada-Nya. Aku juga berharap agar orang-orang di luar sana faham dan sedar dengan catatan atau diari yang aku tulis ini. Benar, inilah akhir zaman. Dunia sudah berada di penghujungnya. Gempa dan bencana di mana-mana. Semuanya disebabkan tangan-tangan manusia.

Itu sahaja yang mampu aku tulis untuk hari ini. Sebuah catatan kehidupan yang jauh dari peradaban. Jika hari esok masih ada untukku, aku berharap agar seseorang menemuiku di sini. Aku ingin menceritakan segalanya kepada mereka agar mereka sedar walaupun al-Quran dan Hadis sudah lama menceritakannya. Cerita tentang fitnah Al-Masih dan tipu daya Iblis.























Untuk membaca ketiga-tiga novel daripada Trilogi Distopia secara lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.