Home Novel Thriller/Aksi KAD LIAR
KAD LIAR
#mystrill
21/11/2019 19:41:19
25,062
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1
[Collusion]

Hujan mulai turun renyai-renyai dengan kilat yang masih sabung-menyabung sejak tadi. Guruh berdetum hebat di langit menggegarkan seluruh isi langit, cukup menggerunkan. Angin yang bertiup perlahan menambahkan lagi kesejukan yang sudah sememangnya sudah sebati dengan udara. Sejuknya terasa hingga mencucuk tulang hitam. Sesungguhnya suasana malam itu cukup suram dan sunyi sekali. Hanya sesekali kedengaran salakan anjing dari kejauhan menambahkan sedikit kemeriahan malam dan memecahkan kesunyian itu. Juga suara-suara kucing berderam bergaduh sesama sendiri. Dan apabila salakan itu tamat di situ, yang kedengaran hanyalah deruan nafas yang menderu laju melepasi kerongkong. Dengupan jantung yang berdetap bagai nak gila itu menambahkan rentak pada derap lariannya yang laju. Tubuhnya menggigil hebat. Otaknya tidak berfungsi dengan baik saat itu, cuma apa yang difikirkannya hanyalah satu. Keinginan untuk terus hidup.

    Seorang lelaki berlari memasuki ke satu lorong yang cukup panjang. Bau busuk dan mendap yang terkumpul di lorong itu menusuk lubang hidungnya. Cukup memualkan. Tapi keadaan itu tidak akan dapat menghalangnya dari melaluinya malah tidak dihiraukannya. Nafasnya mula berasa singkat dan lariannya semakin perlahan. Terasa bagaikan dadanya dijerut dari dalam. Cukup menyesakkan. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding bangunan, melepaskan lelah. Perlahan-lahan dia meletakkan tangannya ke dada sambil dia menarik nafas dalam-dalam. Disekanya peluh dan air hujan yang membasahi dahinya dengan belakang tangan. ‘Tolonglah! Janganlah dorang jumpa aku kat sini.’ Getusnya dalam hati.

    Tiba-tiba kedengaran deruman enjin motorsikal berkuasa besar tidak jauh darinya. Dia tersentak. Jantung berdegup makin menggila. ‘Ya Tuhan, aku tak nak mati lagi! Bukan kat sini! Tolonglah, bukan sekarang.’ Bisiknya dalam hati. Kedua-dua belah tangannya dirapatkan ke dada seolah-olah sedang berdoa. Lumrah manusia mengingati Tuhan hanya di waktu terdesak, saat maut makin menghampiri. Dia dapat mendengar dengan jelas suara orang sedang galak ketawa. Saling bertingkah dengan deruman enjin motorsikal yang semakin mendekati tempat persembunyiannya. Dia meneguk liur yang berasa kelat dengan susah-payah, terasa tersekat-sekat. Hujan yang turun semakin lebat itu membasahi bajunya.

    Baru saja dia mahu berkira-kira untuk meneruskan lariannya, langkahnya serta-merta mati apabila dua buah motorsikal muncul di hadapannya. Lampu motor itu dihalakan tepat ke mukanya membuatkan pandangannya sedikit berpinar-pinar. Jelas pada pendengarannya suara penunggang-penunggang itu yang ketawa mengejek. Cukup galak dan menyesakkan dada.

    “Hehe… Kat sini rupanya kau. Dah penat?” soal salah seorang dari mereka dengan nada menyindir. Dapat dia rasakan pandangan mata mereka yang merenung tajam ke arahnya dari balik visor helmet mereka.

    “Tolonglah lepaskan aku.” Rayunya sambil kedua-dua belah tangannya digenggam erat, tanda dia sedang merayu. Dia memandang mereka, cuba memohon simpati namun rayuannya itu hanya disambut dengan hilai tawa yang menggila.

    “Alololo… kesiannya dia. Serius aku bersimpati, ‘doh.” Ujar salah seorang dari mereka lagi dengan nada sedih yang sengaja dibuat-buat. Dia memandang temannya yang hanya menganggukkan kepala – seolah-olah bersetuju dengan kenyataannya itu. Mereka ketawa lagi.
    “Aku okey je. Tapi, apa kata kau tanya dorang dulu?” sambungnya lagi. Serentak dengan itu kedengaran bunyi enjin motorsikal berderam kuat di belakangnya. Sengaja enjin motorsikal mereka dibesar-besarkan bunyinya.

Cepat saja lelaki itu berpaling ke belakangnya. Dia meneguk liur sebutir-sebutir tatkala terpandangkan lapan buah motorsikal berkuasa besar yang sudah tiba berhampiran mereka. Bulu romanya meremang – tegak berdiri. Tanah tempat dia berdiri tidak terasa, kakinya berasa longlai dan spontan dia jatuh terjelepuk di situ.

Kumpulan itu berhenti tidak jauh darinya dan salah seorang dari kumpulan itu melompat turun dari motorsikalnya. Perlahan-lahan penunggang itu melangkah mendekatinya yang jelas sedang menggigil ketakutan dan kesejukan. Beberapa kali penunggang itu berjalan mengelilinginya sambil memandang ke arahnya. Dapat dia rasakan pandangan mata sinis dari penunggang itu walaupun dia tidak membuka topi keledarnya.

“Bro, dia mintak kita lepaskan dia. Kesian dia, ‘doh. Kau bagilah can sikit.” Beritahu penunggang-penunggang tadi. Seperti tadi dia mengunakan nada sedih yang sengaja dibuat-buat tapi cukup menjengkelkan sesiapa saja yang mendengarnya.

“Ahh… betul ke? Korang ni jahatlah buli dia sampai macam tu sekali.” Balas teman mereka itu pula. Suaranya kedengaran cukup dalam dan garau. Mata lelaki itu masih memandang tepat ke arah penunggang itu yang tiba-tiba saja berdiri betul-betul di hadapannya. Penunggang itu pula terus saja mencangkung di hadapannya sambil menepuk-nepuk bahunya beberapa kali.
“Chill, dude! Sebelum kau blah tu, main-mainlah dengan kitorang dulu. Tak seronoklah kalau kau nak blah terus.” Beritahu penunggang itu separuh berbisik – sedikit mengejek.

“Tolonglah. Lepaskan aku. Korang cakap apa yang korang nak, aku boleh bagi semuanya. Tapi tolonglah… lepaskan aku.” Rayunya sambil dia mengangkat muka, memandang penunggang itu yang masih mencangkung di hadapannya. Perlahan saja suaranya. Namun rayuannya itu disambut dengan hilai tawa – perlahan.

“Ala… macam mana ni ek?” soal penunggang itu sendirian sambil dia perlahan-lahan berdiri. Penunggang itu memandangnya agak lama sebelum memandang teman-temannya seorang demi seorang. Kedengaran dia mengeluh – perlahan. Lambat-lambat penunggang itu melangkah ke arah sebuah tong sampah yang tersadai di belakang bangunan itu.
“Apa saja yang kitorang nak, eh? Menarik bunyinya. Boleh dipertimbangkan. Tapi…” Balasnya, perlahan. Kepalanya diangguk-anggukkan. Agak lama perkataan ‘tapi’ itu dibiarkan tergantung tidak dihabiskan. Entah apa yang bermain di fikirannya tatkala dia dengan selamba membuka penutup tong sampah itu lalu menjengah ke dalamnya yang sudah mengeluarkan bau yang sangat memualkan sebelum menutup tong itu kembali.

Penunggang itu berpaling, memandangnya sekilas sebelum dengan kasar penunggang itu menyepak tong sampah tersebut dengan kuat hingga terpelanting hampir mengenai tubuhnya. Kedengaran suara kumpulan itu bersorak gembira apabila melihat dia terkejut besar kerana tong sampah yang melayang itu. Sampah yang terkumpul di dalam tong itu bertaburan di atas jalan.

“Kau boleh simpan harta busuk kau tu.” Beritahu penunggang itu separuh menjerit. Suaranya sedikit bergema di situ. Rakan-rakannya yang asyik bersorak terdiam serta merta. Jantungnya pula terasa bagaikan direntap tatkala mendengar suara penunggang itu yang meninggi.

Suasana menjadi sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi enjin motorsikal dan rintik hujan yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Deru nafasnya semakin laju tanda dia keresahan. Dia hanya mampu memandang penunggang itu yang berdiri membelakanginya. Penunggang itu menundukkan kepalanya dan dengan perlahan-lahan dia membuka topi keledar yang dipakainya. Penunggang itu mengatur langkah ke arah teman-temannya sebelum berdiri di hadapan mereka. Topi keledarnya diserahkan kepada salah seorang dari mereka.

“Maaflah, aku tak sengaja nak tinggikan suara aku tadi.” Beritahu penunggang itu sambil menggaru batang lehernya. Nada suaranya kembali normal. Dia berpaling memandangnya sekilas. Penunggang itu seolah-olah cuba menyembunyikan wajah dari pandangannya. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum dia berpaling lambat-lambat menghadap mangsanya yang masih kaku tidak berganjak. Masih lagi memandang tepat ke arahnya.

Penunggang misteri itu berdiri menghadapnya sambil bercekak pinggang. Cahaya lampu dari motorsikal di hadapannya cukup menyilaukan pandangan matanya, ditambah pula dengan hujan yang turun menyebabkan pandangannya sedikit terbatas. Lelaki itu mengecilkan matanya sedikit, cuba untuk mengecam wajah di hadapannya itu. Matanya serta merta terbuntang luas tatkala dia dapat melihat wajah itu dengan jelas. Penunggang itu menyeringai, menampakkan barisan giginya. Satu parut panjang jelas kelihatan dari hujung bibirnya hingga ke pipi, ditambah pula dengan kesan terbakar pada pipi kanannya itu menambahkan lagi kengerian pada wajahnya apabila penunggang itu menyeringai begitu.

“K…Kau?!” spontan dia mengangkat jari telunjuknya. Terketar-ketar jarinya saat dia menunjukkan ke arah penunggang itu. Penunggang itu pula mendepakan tangannya, bibirnya menguntum segaris senyuman sinis. Bangga.
“Tak mungkin! Kau dah mati! Aku sendiri yang jadi tengok macam mana kau mati.” Jeritnya bagaikan histeria.

Penunggang itu hanya ketawa mengejek sambil melangkah perlahan ke arahnya. Dia menggerakkan jari telunjuknya beberapa kali sambil mencebik. Matanya tetap merenung mangsanya yang kebingungan saat itu.

“Tak… tak! Kau silap sama sekali. Betul kau yang jadi saksi kematian aku. Infact, kaulah yang buang aku dalam gaung tu. Malangnya Tuhan belum nak cabut nyawa aku masa tu. Dia bagi aku peluang untuk terus hidup dan tengok kehancuran kau.” Balas penunggang itu, nadanya cukup perlahan. Cukup tenang.
“Dan kau tahu apa yang paling baik? Tuhan bagi aku peluang untuk balas balik apa yang kau dah lakukan pada aku.” Sambungnya lagi. Jelas kedengaran suaranya yang bangga.

Lelaki itu mengertap bibir. Dia tidak menyangka sama sekali lelaki yang cuba dia bunuh beberapa tahun lalu masih berdiri gagah di hadapannya. Dia mendongak memandang penunggang itu yang berjalan perlahan-lahan mengelilinginya. Beberapa kali pandangan mereka bertaut, dan dapat dia rasakan kebencian dan dendam dari pandangan mata penunggang itu membuatkan dia bungkam dan tunduk memandang jalan bertar.

“Guys, tell me… apa hukumannya untuk orang yang cuba bunuh kita tanpa sebab?” soal penunggang itu – tiba-tiba. Suaranya kedengaran jelas dan agak lantang. Tangannya didepakan sambil dia masih berjalan perlahan mengelilingi lelaki itu.

“Mati!” Jawab mereka – serentak. Penunggang itu tersenyum puas hati tatkala mendengarkan jawapan teman-temannya.

“Apa hukuman untuk orang yang rampas kebahagiaan kita hanya kerana cemburu?” Soalnya lagi. Kali ini tangannya mencapai sesuatu yang tersandang di belakangnya sejak tadi. Membulat mata mangsanya saat dia terpandangkan sebilah pedang panjang yang ditarik keluar dari sarungnya. ‘Tak… Tak mungkin!’ gerutu hatinya. Dia tahu apakah kesudahannya malam ini, apakah nasib yang sedang menunggunya. Namun, untuk dia menelan hakikat itu terasa cukup pahit.

“Mati!” Suara mereka semakin kuat. Menjawab soalan itu dengan cukup yakin dan bersemangat. Tubuh lelaki itu semakin hebat menggeletar.

Penunggang itu melibas-libaskan pedang di tangannya beberapa kali, membuatkan lelaki itu bertambah tidak keruan. Entah berapa kali dia meneguk air liurnya. Udara yang disedutnya tidak terasa, nafasnya benar-benar sesak kerana ketakutan yang memuncak. Lelaki itu hanya mampu memandang penunggang itu mengheret pedangnya di atas jalan dan mengeluarkan bunyi yang cukup menggerunkan.

“Guys, tell me again. Apa hukuman untuk orang yang kejam dan tak berperikemanusiaan?”

“Mati!” jawab mereka lagi.

Perkataan mati itu diulang beberapa kali dengan serentak membentuk satu irama yang harmoni tapi hakikatnya cukup menakutkan. Mantra yang takkan disukai oleh sesiapa pun. Mereka semakin bersemangat mengulang perkataan itu sambil menderum-derumkan enjin motorsikal masing-masing.

“Kau dah dengar jawapan dorang, kan?” soal penunggang itu perlahan separuh berbisik. Tapi masih jelas pada pendengaran lelaki itu. Penunggang itu berdiri di hadapannya. Hujung pedangnya diletakkan di bawah dagu lelaki itu, dan dia mengangkat sedikit pedang itu memaksa lelaki di hadapannya itu mendongak memandangnya. Lelaki itu hanya memandang penunggang itu pinta simpati. Air matanya mengalir perlahan.
“Saudara Nazmi.” Kedengaran namanya dipanggil. Jantung terasa bagaikan direntap tatkala mendengar namanya dipanggil. Pedang itu diangkat tinggi. Saat itu juga kilat memancar di langit, membiaskan cahaya pada hujung pedang itu.
“Dengan nama keadilan, aku jatuhkan hukuman mati ke atas engkau!” Serentak itu penunggang itu menghayun laju pedang itu mengenai batang leher lelaki itu. Darah memercik keluar dari batang leher yang sudah terpisah dengan kepala dengan deras hinggakan ada yang terpecik ke pipinya. Dengan tenang penunggang itu menyeka darah itu dengan hujung ibu jarinya. Matanya pula hanya memandang kosong mayat di hadapannya itu – tanpa perasaan. Bibirnya menguntum senyuman sinis.

*

Lorong yang selalunya sunyi dan agak terbiar itu berubah kecoh pagi itu. Wartawan daripada pelbagai stesen dan penerbitan mula berkampung di situ sejak berita itu diketahui mereka. Dan beberapa orang orang awam juga turut sama memeriahkan suasana di kawasan itu hanya untuk melihat apakah yang telah berlaku. Jalur kuning berbelang hitam yang jelas tertulis perkataan – ‘Caution! Police Line! Do not across!’ terikat di sekitar kawasan itu, menghalang pencerobohan dari orang awam dan sesiapa saja yang tak berkaitan. Di tengah-tengah lorong itu terbaring sekujur tubuh yang sudah berbalut dengan plastik hitam. Beberapa orang anggota polis yang berada di sekitar mayat itu tertunduk-tunduk seolah-olah mencari-cari sesuatu. Ada antara mereka yang sibuk mengambil foto di sekitar kawasan itu.

    Dari jauh kedengaran siren kereta polis yang memasuki lorong itu. Suasana yang sebentar tadi riuh rendah menjadi sunyi serta merta. Masing-masing berpaling melontarkan ke arah sebuah kereta polis yang sudah berhenti tidak jauh dari tempat kejadian. Seorang lelaki yang berpakaian kasual dan berves biru gelap dengan lambang polis melangkah keluar dari kereta itu. Dia membetulkan mask yang dipakainya sebelum dia mengatur langkah tenang ke arah pegawai-pegawainya yang sedang berkumpul.

    Tanpa menghiraukan pandangan mereka yang berada di situ, dia terus melangkah masuk ke dalam kawasan ‘larangan’ itu. Seorang dari pegawai polis yang berkawal di situ sempat mengangkat tangan ke dahi tanda tabik hormat. Tenang saja dia membalas tabik itu. Menyedari kehadirannya di kawasan itu, seorang anggota polis berpangkat sarjan terkocoh-kocoh mendapatkannya.

    “Selamat pagi, tuan.” Sapa sarjan itu, tenang. Lelaki itu hanya menganggukkan kepalanya dan dia terus saja melangkah ke arah mayat yang berbungkus itu. Sarjan itu pula hanya membontotinya dari belakang, sempat dia menyuakan sepasang sarung tangan getah kepada lelaki itu. Perlahan saja suara lelaki itu mengucapkan terima kasih saat dia menyambut sarung tangan tersebut lalu menyarungnya.

    Dia tunduk sebelum menyelak plastik hitam itu. Lama dia merenung mayat tanpa kepala itu sambil mengurut dagunya. Dia hanya mendiamkan diri – menganalisa mayat itu. Perlahan-lahan dia mengangkat muka, melontarkan pandangan kosong ke arah satu lagi plastik hitam tidak jauh dari tubuh itu. Melihat saja pada bentuknya dia pasti itu adalah kepala mangsa. Dia kembali memandang mayat di hadapannya itu.

    “Ada apa-apa barang yang ditemui pada mangsa?” soalnya – ringkas. Dia memandang sekilas sarjan itu yang masih setia di situ. Sepertinya sarjan itu juga sudah tunduk menghadap mayat itu.

    “Ada, tuan! Kami jumpa dompet dan beberapa ratus wang tunai dalam poket seluar mangsa.” Cepat dan jelas sarjan itu membalas. Lelaki itu menganggukkan kepalanya – mengerti. Dia pasti kini yang ini bukan kes rompakan, kalau tidak masakan semua barang berharga mangsa masih ada bersama dengannya.

    Matanya terpandangkan sesuatu dalam poket kemeja yang dipakai mangsa. Cepat saja dia menyentuh poket baju itu dan terasa seperti ada sesuatu yang kecil dan keras. Tanpa berfikir panjang dia menyeluk poket baju itu dan mengeluarkan sebiji buah catur berwarna hitam. Mereka saling berpandangan. Mata mereka membulat kerana terkejut.

    “Pawn?!” kata mereka hampir serentak.

    Dia menilik buah catur itu, dan matanya terpandangkan huruf ‘J’ yang terukir cantik dengan warna merah pada bahagian kepala buah catur itu. Dia mengangkat muka, memandang sarjan di hadapannya yang sudah berubah wajah. Wajahnya kekal sama walaupun dia sendiri berasa terkejut dengan penemuannya itu. Penemuan yang tidak dijangka.

    “Tuan… jangan-jangan…” kata-kata sarjan itu mati di situ apabila seorang anggota polis tiba-tiba muncul menyapa mereka. Wajahnya cukup serius. Mereka berdua terus berdiri. Buah catur di tangannya dimasukkan ke dalam beg plastik lut sinar yang disuakan oleh sarjan itu untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

    “Kenapa?”

    “Tuan, anggota polis trafik menemui sebuah kereta dipercayai milik mangsa. Tak jauh dari sini.” Balas anggota itu. Dia memandang mereka berdua silih berganti.

    “Baik! Kita ke sana sekarang.” Balas lelaki itu, memandang sarjan di sebelahnya. Tanpa  sebarang komen, sarjan itu hanya menganggukkan kepala. Patuh dengan arahan itu.    “Arahkan pegawai kita bawa mangsa untuk bedah siasat. Teruskan kawalan di sini untuk pastikan tidak ada yang menceroboh.” Sempat dia memberi arahan sebelum berlalu. Pegawai yang baru tiba itu hanya menganggukkan kepala. Sempat juga dia mengangkat tabik hormat saat kedua-dua orang pegawai atasannya itu bergegas melangkah meninggalkan mayat itu.

    Baru saja mereka berdua melangkah keluar dari kawasan ‘larangan’ itu, beberapa orang wartawan yang masih setia berkampung di situ terus saja menyerbu mereka. Pelbagai soalan yang diajukan oleh mereka. Mikrofon, telefon bimbit malah alat perakam dihalakan ke arah mereka. Kamera juga tidak ketinggalan merakam wajah mereka. Flash berkelip disekeliling mereka. Masing-masing kelihatan teruja dan tidak sabar untuk mendapatkan laporan untuk melariskan ‘jualan’ mereka untuk hari itu. Lelaki itu hanya mengangkat tangannya, tanda dia tiada jawapan untuk soalan-soalan mereka.

    “Buat masa sekarang, kami tidak akan memberi sebarang kenyataan sehingga bukti kukuh ditemui.” Balasnya tenang. Cepat-cepat mereka mendapatkan kereta polis yang sedia menunggu di situ. Enjin dihidupkan dan dengan pantas mereka meninggalkan kawasan itu, tidak mahu berlama-lama. Matanya sempat menjeling ke arah mayat itu yang sedang diangkat untuk dimasukkan ke dalam van polis. Déjà vu. Gerutunya dalam hati.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.