Home Novel Thriller/Aksi PROJEK KUROAKI
PROJEK KUROAKI
painarena
24/2/2022 17:58:43
6,845
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
1-Bab 1

[DESA ILMU, SAMARAHAN – WAKTU IMSAK]

SUHU pada pagi itu cukup rendah hingga mencengkam ke tulang hitam. Terlalu sejuk kerana baru selepas hujan, lagi-lagi dengan kipas siling yang dipasang penuh ke nombor 5.

Aki menarik selimut hingga menutup seluruh tubuh. Huh, selesa. Sungguh! Bantal di kepala baru nak ditarik peluk sebelum membingit pula deringan alarm ke lubang telinga. Tangannya memanjang, nak mendapatkan Oppo di hujung katil. Diraba-raba. Tiada, namun Pop Shuvit masih memekak dengan Dangerous.

"Asncasfafv..." Dengan otak mamai, dia merungut. Tangan dipanjangkan, mata masih terpejam, dan handphone cuba dicari dengan menggunakan deria sentuh dan tuah semata. Ah, jumpa. Alarm dimatikan dan memo yang dah diset bersama alarm dibaca sepintas lalu.

NASI LEMAK CORAL

Wajah ayu gadis Bidayuh itu memasuki ruang kepala macam wap memudar. Nasi lemak... nasi lemak apa? Coral buatkan nasi lemak? Ah, malasnya ya Tuhan.... Handphone dilontar kemudian selimut terus ditarik melepasi kepala. Tidur lagi syok!

Tak lama kemudian, azan subuh dari masjid terdekat berkumandang, memantul di seluruh ruang bilik yang sempit. Automatik matanya mencerlang. Baru teringat janjinya untuk sediakan nasi lemak untuk 35 perut mahasiswa bagi festival keusahawanan di UNiMAS hari ini!

Sekali loncat, lelaki berkulit cerah itu berpindah ke lantai. Insan yang tidur di lantai berhampar toto dilihat sekilas, lalu sebiji penendang melayang ke belakang rakan yang masih merengkok di dalam selimut.

"Bangun la setan! Subuh!"

Kuro memanjangkan tangan ke belakang badan, menggosok bahagian tendangan. Denyut itu akhirnya dibiarkan kerana terlalu mengantuk. Setiap sendi tubuh berkarat nak bangun. Selimut ditarik menutup kepala, enggan peduli seruan si kawan.

Aki pula tidak menunggu. Selimut dilipat sepantas kilat dan katil dikemas sesuka hati. Asalkan nampak macam kemas pun boleh. Lantas, dia bergerak keluar dari bilik dan bergerak ke dapur.

Selesai menyediakan bahan untuk sambal sotong, lelaki berkulit cerah itu kembali ke biliknya lagi. Kuro, si teman serumah masih berselimut. Langsung tidak berdengkur. Entah masih nyenyak dibelai mimpi atau sudah sedar namun terlalu malas untuk bangun. Subuh dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membangunkan Kuro hingga benar-benar bangun.

Aki kembali ke dapur. Apron kuning cair kosong yang tergantung di sebelah peti sejuk dicapai, dipasangkan pada tubuh. Sambal sotong lalu ditumis.

Eye of The World dinyanyikan sambil melakukan kerja. Aki tenggelam dalam kerja dapur. Bila terhidu masam air liur basi, dia menoleh. Lelaki berkulit sawo matang itu ada di belakangnya, sedang memanjangkan leher di sebalik bahu. Aki menjauhkan kepala.

"Pergi berus gigi la bodo." Pernafasan ditapis.

Pedulikan Aki, Kuro terus menghidu-hidu macam anjing. "Macam sedap bau sambal kau." Tubuh yang lebih kurus darinya itu ditolak ke tepi dan jari kelinking mencuit sedikit sambal yang masih mendidih dalam kuali. Dikulum. Hm. Si kawan yang tengah memberi jeling, dipandang. "Kau nak tau? Kalau aku tak kenal kau, maybe aku ingat kau bekas graduan kulinari." Sudu dicapai, cuba mencari sotong dalam sambal.

"Diam la kau. Dah solat ke belum?" Kuali ditutup, dibiarkan sambal mendidih. Dia beralih ke singki, nak mencuci beras di dalam periuk yang menanti dibilas.

"Dah..." Sotong dimasukkan ke dalam mulut. Em, kenyal. Sedap. Satu lagi sotong diambil.

"Naper tak berus gigi lagi?" Air cucian beras, dibuang.

"Malas."

"Bilik aku dah kemas?" Air dibuang dan kuantiti air diperlukan dikenalpasti.

Kuro menjeling. "Kecah la kau. Nak berlagak bising macam bini aku pun, fikir la sikit attitude kau tu macammana," juihnya, mendekati Aki dan sudu diletakkan ke dalam singki. "Lepas ni kalau nak bangunkan aku, panggil la aku lembut sikit. Kuro, bangun... subuh...." Bahu Aki ditunjal-tunjal dengan telunjuk.

"Haram jadah." Tangan itu ditepis. Periuk berisi beras dan air diangkut ke rice cooker. Bawah periuk dikeringkan dengan kain kering dahulu sebelum diletakkan ke dalam mesin automatik itu.

Tergelak si kawan. Piring pula dicapai dan sambal panas di dalam kuali dimasukkan ke dalam piring. "Kenapa masak awal sangat pagi ni?" Jam baru lepas pukul enam pagi. Sememangnya sangat awal, kerana Subuh di daerah selatan Borneo ini seawal pukul lima pagi.

Dah boleh faham kenapa liat sangat nak bangun pagi?

"Coral mintak. Nak jual untuk festival dia, remember?"

"Aha. Pandai dia pilih tukang masak. Kalau aku tak cari bini lekas, sampai bila-bila aku terbiasa degan air tangan engkau saje," sengihnya, beralih ke meja. Telur rebus sudah ada di bawah tudung saji. Diambil satu dan dicecah dengan sambal, dijadikan pembuka selera di pagi hari. Sedap.

"Aku lupa nak letak daun pandan!!"

Terperanjat Kuro, spontan menoleh. Aki nampak kelam kabut di medan pertarungannya itu. Rakannya itu dikenali sejak tahun pertama di Maktab Tentera Diraja, MTD. Seterusnya mereka menjalani latihan ketenteraan bersama-sama dan menyambung pembelajaran jarak jauh bersama-sama, hinggalah berlaku suatu peristiwa yang menyebabkan mereka disumbat ke dalam penjara. Perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia turut diberhentikan.

Selepas keluar sebagai banduan, mereka bekerja di sana-sini, turun naik di mana-mana, mencuba nasib di seluruh tempat namun tiadalah tuah yang berbaki. Sampailah ilham turun dari langit yang menyeru mereka terbang ke tanah Sarawak demi mencari nafas baru di tempat baru di negeri yang bahasanya tidak difahami kedua-duanya.

Redah!

Bermula dengan kerja tukang jaga di sekolah menengah, mereka dibuang kerana mengganggu pelajar perempuan. Kemudian cuba untuk berniaga dan menjual pisang goreng, gagal jua kerana tiada sambutan. Aki dan Kuro cuba berpisah dengan mengambil kerja berasingan. Aki di gerai makan manakala Kuro di bengkel kereta. Sepanjang tempoh perkenalan bertahun-tahun itu, dia tidak pernah tahu skil memasak rakannya itu cukup tinggi hinggalah sekarang.

"Sejak bila kau reti memasak, Aki?" soalnya ingin tahu.

Aki yang meletakkan daun pandan ke dalam rice cooker, menoleh sekilas. "Sejak mak aku meninggal." Rice cooker dihidupkan.

Kepala diangguk. Maklum bahawasanya ibu si kawan meninggal semasa melahirkan. "Kira kau dah memasak sejak lahir. Tragik."

"Nak buat macammana. Dah nasib."

Lidah menjilat gigi, cuba mencungkil putih telur yang melekat di gigi. Piring diangkut ke singki kemudian. "Tentu bapak kau cuba nak besarkan kau jadi macam perempuan kan? Dah la kulit putih. Gebu licin macam perempuan. Pandai memasak, pandai mengemas, pandai menjahit... suara kau tu yang buatkan usaha dia fail." Garau dan dalam sekali. Bak kata kawan lama mereka, macam Darth Vader. Langsung tak ngam dengan muka feminin yang dimiliki.

Piring basah dipindahkan ke rak pinggan. Tahi gigi kemudian dikikis dengan kuku sambil dia berpaling mengadap si kawan berkulit cerah itu. Nyata tengah memberinya renungan tajam. "Kalau rambut kau ejas-ejas sikit kiri kanan, potong slope sikit, ha... ala-ala GD gitu."

"Greenday?" Pelik.

"G-Dragon la bongok. K-Pop."

Aki menjungkit kening. "Kau tahu K-Pop?"

"Duh. Boyband industry. Benda tu dah macam top priority kalau nak pikat awek." Kepala diangguk, mengiakan kata-kata sendiri.

Aki mencemik. "Farha tak."

"Ah, Farha tu minat muka jantan macho macam aku, bukan muka jambu K-Pop tapi suara makhluk dasar laut macam kau. Separa gay, perangai macam dara melayu 90-an. Entah-entah dia tahu ke tidak kau pernah kena kejar mamat gay."

Laju penendang Aki naik, laju juga Kuro bertahan dengan lengan sasanya, siap memasang kekuda supaya lebih stabil. Mereka bertukar renungan tajam, melihat siapa yang nak menyerang dahulu, dan semua kemungkinan pertahanan yang akan diberikan pada serangan pihak lawan.


DESA Ilmu ialah sebuah pekan kecil di dalam daerah Samarahan. Tempat ini, selain menempatkan rumah kedai untuk keperluan penduduk, terdapat juga banyak kediaman kosong, dimana sasarannya untuk penduduk Samarahan ataupun pelajar-pelajar di universiti tempatan seperti UNiMAS ataupun UiTM. Bilangan kependudukan tidaklah padat seperti di Kuching, jauh sekali Kuala Lumpur. Maka, suasana perumahan masih lengang walaupun dah pukul lapan pagi.

Suhu yang masih terasa rendah dan mampu membuat matanya melayan lelap ketika ini. Mungkin kerana dia cuma mengenakan T-shirt Pagoda di tubuh sasa, maka suhu itu tiada segan silu nak memeluk.

Kuro menggigit bibir, mengelap enjin Saga 86' miliknya. Saga hitam second hand itu dibeli setelah setahun hidup di Samarahan dan ditauliahkan dengan nama Baby selepas Kuro jatuh cinta teruk. Walaupun dah macam kereta datuk pada era Neuralink ini, kereta yang dijaga dengan baik masih mampu memberi makna sentimental setelah dipandu bertahun-tahun.

"Fuh. Berkilat."

Kuro menoleh, melihat sengih ceria Coral di sebelahnya. Coral, atau nama penuhnya Estee Coraline, seorang gadis Bidayuh, penuntut sarjana muda dalam jurusan akuatik di UNiMAS dan mengenali mereka kerana kerap kali bertembung di universiti tempatan itu. T-shirt oren yang berlogo Festival Keusahawanan dicetak di dada baju.

Coral menoleh padanya sebelum ternganga rendah. "Tu... kenapa?" Telunjuk dituding pada rahang yang dipenuhi jambang nipis itu.

Si lelaki mengerut dahi. "Apa?"

Coral menyentuh rahang sendiri, membuat lelaki itu menyentuh bawah dagunya. Tersentuh lebam dek ditendang Aki siang tadi. "Ooh, yang ni. Kekasih gelap kau sedekahkan pagi tadi."

"Hahah. Kenapa bagi sedekah sampai kuat sangat?"

"Sebab Aki kau tu hati tisu!" Kepala digeleng bersama ketawa kecil. "Sensitif macam perempuan! Marah merajuk takpa jugak. Sekali kena libas uppercut macam ni..." Serangan pada pagi tadi memang agak serius berbanding serangan-serangan fizikal sebelum ini, yang selalunya sekadar nak main-main. Tak kira dibaling ke dinding, dibaling ke sofa hingga sofa terbalik, atau dibaling ke almari hingga pecah kaca. Itu normal.

Coral tergelak nipis. Kasihan melihat lebam itu, tetapi haru juga mendengar ceritanya. "Kau buat apa je?"

"Aku usik Farha dia..." Bibir dimuncungkan ke atap bangunan rumah kedai yang nampak dari barisan rumah teres mereka, pada gadis yang diminati Aki yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan Arab. "Awek tu kan dah mula berikan perhatian kat dia lepas berbulan Aki ajak berkawan. Tu yang dia alah sangat kut aku ungkit sejarah dia dengan boyfriend dia sebelum ni."

"Aki pernah ada boyfriend?" Coral mengerut dahi.

"Kawan." Dibetulkan lekas. Mengusik Aki sebagai gay memang dah jadi habit Kuro, tapi selagi mampu sedar, dia tetap cuba untuk betulkan semula lawak kasarnya sebelum menjadi fitnah yang tak boleh dibaiki.

Si gadis mengangguk rendah. "Oh..." Kepala dipalingkan kembali ke bonet enjin itu. Berkilat sungguh, hingga cukup nampak imej wajah sendiri pada besi penyejuk enjin. "Aku selalu tengok orang cuci kereta, tapi ni pertama kali aku tengok orang bersihkan isi kereta sampai mantap gila macam ni..."

Kuro menunduk pada enjin Saga. "Kereta macam manusia jugak, Coral. Luar kena cantik, dalam kena bersih dan suci." Bonet ditutup sambil dia mengelap tangan yang kotor dengan minyak hitam. Si gadis yang berkerut dahi memandangnya diberi double jerk. "Kau datang sebab nak ambik nasi lemak Aki, kan?"

"Ha'ah. Dia ada kat rumah? Ke tengah layan rajuk dalam bilik, heheh." Pintu rumah yang bertutup, dipandang.

"Aki takda. Dia kerja." Kain yang digunakan untuk mengelap minyak hitam, dibaling ke dalam baldi yang terbengap tak bertutup di tengah laman. Tangan disabun dan dibasuh pada paip air sebelum bergerak ke pintu rumah.

"Ler. Dia cakap dia cuti hari ni." Coral ternganga. Langkah lelaki yang kotor dengan peluh dan minyak itu diekori.

"Cinta hati pengarang jantung dia mintak tolong shif... Aki pun apa lagi. Berdesut terus ke kedai makan tu dengan EX5 dia." Kepala digeleng. "Janji dia dengan aku pun dia boleh lepas tangan gitu je. Haram jadah betul..."

"Kau janji apa pulak dengan dia."

"Kemas rumah."

Gadis berambut lepas bebas itu terpaku seketika. "Wow." Imej dua lelaki mengemas rumah cuba dibayangkan di kepala. Kuro masuk ke rumah kemudian, dan Coral menjengul di sebalik pintu.

Lah. Terjawab kenapa Kuro bengang kerana Aki mengelak nak kemas rumah.

Rumah yang setahunya didiami dua orang jantan dah macam baru kena serang putting beliung. Sofa koyak-koyak. Majalah, surat khabar dan CD-CD bersepah di lantai. Kaca kabinet pecah. Lantai walaubagaimanapun dah bersih dari kaca.

"Apa jadi ni?" soalnya sambil melangkah masuk.

"Macam yang kau tengok la," balas si lelaki sambil mendapatkan periuk berisi nasi lemak, tray berisi sambal sotong dan bekas makanan berisi timun dan telur ada di atas meja kopi.

"Kena rompak ke?"

"Eh, tak. Aku dengan Aki nak buat inovasi interior designing baru, so kitorang musnahkan yang lama untuk bina sesuatu yang baru nanti." Sengih.

Coral merenung datar sambil menjungkit sebelah kening. Kuro turut memasang muka yang sama.

"Bila rumah kena rombak balik ni?" soalnya, mengikut rentak si lelaki.

"Dua hari semalam."

"Dah report polis?"

"Tak. Bagitau polis pun bukannya jadi apa. Dia datang, ambik report, pastu balik rumah peluk bini dia. Habis cerita," ujarnya malas macam mendengar manifesto menteri berkali-kali. Tak jadi apa.

Coral tersenyum kecil, menapak masuk ke dalam rumah. Bil-bil elektrik yang sepatutnya dikumpulkan pada laci kabinet kini berterabur di mana-mana. "Apa dia yang dia carik sampai buat kerosakan sampai macam ni?"

Kuro menoleh sekilas. "Well... CD klasik Linkin Park dengan My Chemical Romance Aki hilang. Semua kaset aku masih steady, alhamdulillah. Bilik aku yang paling teruk kena. PC-PC aku... gajet-gajet aku... hard drive aku pun hilang..." tuturnya rendah.

Coral mengerut dahi. "Hard drive kau? Kenapa orang nak curi hard drive kau yang penuh dengan Sasha Grey zaman jahiliah?" Kuro dipandang dengan sengih kelakar.

"That, mistress, is a billion dollar worth of question." Periuk nasi diangkat.

Si gadis mencekak pinggang, memandang isi rumah itu lagi. Kepala digeleng perlahan, tak percaya. "Siapa yang buat hal?" soalnya pada diri sendiri. Apa dia dalam rumah ni yang orang nak rompak sampai buat kerosakan teruk? Kuro dan Aki berjantina lelaki, hidup bersama dan mencari rezeki macam ayam kampung mengais tanah, pagi dan petang. Setahunya, tiada apa yang menarik di rumah ini.

Lainlah mereka menyimpan duit emas...

Kuro mendekati gadis bidayuh itu. "Nah." Periuk berisi dihulur. Si gadis menyambut. Mereka berpandangan seketika. "Festival keusahawanan kau tu kat mana?"

"DePutra."

Dewan besar UNiMAS. Kuro mengangguk, tahu lokasi dewan itu. "Kau nak bawak dengan apa?"

"Aku ingat nak minta tolong Aki..."

"Dia ada cakap pasal nak pinjam baby untuk tolong kau angkut hari ini. Pun bukannya aku ada kerja hari ni. Tapi in return... kau kena tolong kitorang kemas rumah. Bawak kawan kau sekali kalau boleh."

"Okay, takda masalah. Kawan aku memang berminat dengan kau."

"Geng-geng mahasiswi UNiMAS tak tahan tengok Inche Kuro dari jauh, la ni hehehh! Kau letak kat bonet Baby." Bibir dimuncungkan pada Saga yang baru mandi dan sedang menunggu di luar rumah. Coral menjungkit kening tanda bersetuju sebelum beralih. Kuro mengekori dengan tray sambal, tray ayam rempah, timun dan telur. 


[RESTORAN AL-MAJEED – 1500H]

SEBELUM Asar masuk, Aki mencuri masa menunaikan solat Zohor. Mencari waktu untuk solat nyata sangat sukar kerana pelanggan yang ramai. Entah macammana Farha buat kerja selama ini. Jika sebagai tukang masak di dapur, dia boleh menyelesaikan semua kerja memotong sayur mahupun memasak dengan banyak satu-satu masa. Tapi melayan kehendak pelanggan sepanjang masa?

Sebab itu shif itu penting!

Kedai Al-Majeed dimasuki dari pintu depan. Ternampak seorang pemuda dengan topi hitam lusuh dan sedang mengangkut beg daki gunung, sedang bertanya arah pada pelanggan yang sedang lepak-lepak. Daripada bahasa lidahnya, bukannya melayu Sarawak. Itu baku tulen.

"Saya nak cari rumah sewa. Boleh saya tau kat mana saya boleh tanyakan?"

Bantuan rumah sewa! Spontan sengih terlukis di muka Aki. Walaupun rumahnya kini dah macam rumah terbiar, tapi rasanya tak salah mengajak pemuda ini berkemas sama dan serahkan satu bilik untuknya tidur. Ini namanya hubungan persaudaraan di tanah Sarawak.

"Hei." Bahu pemuda berbaju hitam itu ditepuk. "Saya boleh tolong kalau encik nak."

Lelaki bertopi itu menoleh. "Tolong pasal..."

"Rumah sewa." Senyum. "Saya dengan sorang lagi kawan saya duduk dekat sini jugak. Something happen recently la tapi. Awak nak pindah bila? Urgent ka?"

Pemuda itu senyap. Wajah Aki dilihat tanpa kelip, macam merenung dinding kosong selepas penat belajar sepanjang hari. Penuh fokus. Hingga pada satu tahap, kerut mula terlukis di dahi.

Lelaki berkulit cerah itu menahan pelik. "Encik?"

"Kau Aki?"

Aki tidak beriak. Hairan menapak di hati bila nama pendek digunakan oleh insan yang tidak dikenali. Hanya orang yang rapat dengannya yang tahu nama panggilannya... itu yang sepatutnya...

"Muka putih macam snow white... suara Darth Vader... Seorang manusia je yang aku tau macam ni... hahah..." Ketawanya terlepas, panjang sekali. Matanya turut memancar sinar pada lelaki di hadapannya. "Betullah kau Aki?! Hahaha! Kau dah lain gila the last time kita jumpa." Dada Aki ditumbuk. Terbatuk dibuatnya. Lelaki itu masih tersengih-sengih ceria. "When was itSix... seven years agoMan, kau masih putih bersih suci murni macam dulu. Hahah."

Kerut menimbul di dahinya. Rias wajah berjambang dan bertopi hitam lusuh itu terus direnung setajam-tajamnya. Cuba diteliliti mana-mana insan yang pernah dikenali dahulu. "Kau siapa?"

"Aku Mior, your best friend. Lupa aku?" Sengih makin luas memanjang ke telinga.

Umpama kelapa dibaling ke muka, Aki berundur setapak dua ke belakang. Riak terkejut di muka gagal dinafikan. Tanpa sengaja, dia terlanggar meja kosong.

Mior pula mendekat. "Sedih. Kau sanggup lupakan aku lepas apa yang kau buat kat aku... aku masih bersedih tahu?" Setapak demi setapak langkah dibina

"Bila..." soalnya, tergagau.

Mior menjungkit bahu. "Bila... aku keluar penjara maksud kau? Hahah. Tak penting untuk kau tahu. Oh ya, kau masih ingat kau tinggalkan aku sengsorang dalam lokap?" Buku lima dikepal dan bang! Muka Aki ditumbuk sekuat hati. Impak jatuh menyebabkan meja di belakang terlanggar meja yang diduduki pelanggan yang lain. Jerit pekik mula bergema, bersahutan di seluruh ruang.

Snow white jantan itu mengaduh kesakitan. Mior pula menanggalkan begnya ke lantai. "Aku masih ingat sampai sekarang..." Nada suaranya tebal seperti tenggelam di anak tekak. Setiap sendi jari dipatah-patahkan tanda betapa dia bersedia melepaskan setiap dendam yang dikumpul setiap hari pada tahun-tahun dia dipenjarakan. "Aku tak pernah terfikir aku akan jumpa kau kat sini..."

"Aku pun." Aki mendengus, seraya melepaskan tendangan ke tulang betis Mior.

Raung sakit terlepas. Kakinya hilang kekuatan nak menampung berat badan buat seketika. Aki lekas mengambil peluang. Kaki ditujah naik, dilepaskan ke perut Mior. Giliran lelaki itu pula terpelanting ke belakang. Meja dan kerusi terperosok ke tepi. Pinggan kaca dan sudu besi berdeting bila jatuh ke lantai. Manusia di sekeliling menjauh spontan. Cemas, kerana jarang melihat perkelahian fizikal.

Mior menahan luka dan sakit. Lambat-lambat, gelaknya terlepas. "Hahaha... this is it... Aku happy aku jumpa kau Aki! Kau tak pernah gagal buat aku bosan! Aku takkan tinggalkan kau lagi lepas ni!!" Sambil menjerit dia meloncat bangun. Kaca kecil yang mencucuk daging sekadar disapu macam menyapu debu.

Aki pula berdiri tegak dengan lagak pendekar. Sedikit sengal di rahang sekadar dikesat dengan belakang tangan. Saat Mior mendekat laju bersama buku lima, kekudanya sudah terpasang.


Previous: TEASER
Next: 1-Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.