Home Novel Thriller/Aksi CATUR
CATUR
#mystrill
21/11/2019 21:23:18
17,606
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6

KELAS yang sepatutnya habis pada pukul 8.00 malam berlanjutan sehingga kepukul 10.00. Terkocoh-kocoh Syafiqa keluar dari kelas sebaik sahaja sesi pembelajaran tamat. Laju kakinya menuju ke tandas baru yang terletak di hujung bangunan. Sudah lama sangat dia menahan keinginan untuk melepaskan ‘hajat’. Disebabkan dirinya tidak mahu tertinggal sebarang isi penting yang perlu dicatat dalam kelas. Maka, bertahanlah dia sehingga kelas tamat. Syafiqa bukan jenis yang suka meminjam nota daripada rakan-rakan kuliahnya. Kecuali jika keadaan benar-benar memaksanya untuk berbuat demikian.

“Nak aku temankan?” laung Yatie yang sudah berdiri di hadapan pintu bilik kuliah. Tubuhnya terus tertolak ke hadapan tatkala pelajar lain mula berasak-asak keluar dari bilik kuliah.

“Tepi sikit! Orang nak keluar ni!” sergah salah seorang dari mereka yang turut dipersetujui pelajar lain.

Yatie menjeling tajam. Siapa yang tak marah kalau kena sound! Siap tinggikan suara lagi. Dia pun satu. Siapa suruh berdiri dekat tengah jalan macam tiang lampu!

“Tak payah! Kau balik dulu,” balas Syafiqa. Suaranya kedengaran tenggelam timbul dari dalam tandas.

“Wei, serius ke dia tak nak kita temankan? Sekarang ni, bukan masalah hantu aje yang tengah menyerang kolej kita. Tetapi, orang pun bahaya juga,” sampuk Amy. Sempat lagi jari-jemari gadis itu bermain-main dengan hujung rambutnya.

“Habis tu, kau nak aku buat apa? Dah Iqa tak nak. Jomlah gerak dulu. Dah lewat sangat ni,” ajak Yatie sambil kepalanya terpusing-pusing memandang sekeliling. Betullah cerita seperti yang dia dengar sebelum ini. Keadaan bangunan fakulti mereka pada waktu malam nampak lebih menyeramkan Nampak ‘usang’ betul! Padahal bangunan tersebut tidaklah lama mana didirikan jika dibandingkan dengan bangunan lain.

“Okey,”balas Amy ringkas.

Seperti biasa, Syafiqa lebih suka memilih tandas di bahagian tengah berbanding dua lagi tandas lain. Ruang di dalam tandas tersebut tidaklah sebesar mana. Namun, perasaan takut tetap ada. Dia memang seorang yang penakut pun!

Perlahan-lahan Syafiqa menapak ke bahagian singki untuk mencuci tangan. Melalui lirikan ekor matanya, pintu tandas di bahagian sebelah kiri berada dalam keadaan tertutup rapat. Air paip turut kedengaran mencurah-curah keluar dari tandas itu. Ada oranglah, bisiknya dalam hati.

Syafiqa tersenyum lega. Namun, perasaan itu tidak bertahan lama. Tiba-tiba seluruh lampu tandas terpadam. Tidak ada cahaya langsung yang kelihatan di mana-mana. Sudah cukup membuatkan jantung Syafiqa berdegup kencang. Terasa seperti ingin tercabut pun ada.

‘Tap! Tap!’ Jelas kedengaran bunyi tapak kaki melangkah masuk ke dalam bilik air lalu berhenti betul-betul di belakangnya.

Dahi Syafiqa mula berkerut-kerut. Dia tidak berani langsung untuk memandang ke arah cermin tandas. Walaupun gelap, dia tetap boleh melihat imej seseorang di cermin melalui bantuan cahaya bulan dariarah tingkap.

Berpandukan cahaya dari telefon bimbit, cepat-cepat Syafiqa melangkah keluar dari situ. Tak sanggup nak tunggu lama-lama. Sepanjang laluan menuju kepintu keluar, sempat lagi dia menjeling ke sebelah kiri. Mana tahu ‘pengguna’ tandas tadi masih berada di dalam. Takut sangat nak keluar. Sampai terkaku tak boleh bergerak. Boleh juga dia tolong apayang patut.

Helo, ada sesiapa dekat dalam tak?” panggil Syafiqa. Tak tahulah orang dekat dalam tu dengar ke tidak. Sebab suara Syafiqa perlahan sangat! Takut punya pasal.

Mata Syafiqa mula membuntang luas. Seluruh tubuhnya menjadi kaku tiba-tiba. Setelah diamati betul-betul, pintu tandas tersebut rupa-rupanya berada dalam keadaan terbuka. Seolah-olah tidak pernah digunakan. Mustahil orang tersebut boleh menghilang sepantas kilat. Dalam keadaan gelap begini!

“Tak mustahil kalau dia bukan orang!” ngomel Syafiqa perlahan.

Orang tu dah keluar kot, fikirnya lagi sekadar menyedapkan hati.

Syafiqa tersenyum kelat. Yep! Dia dah keluar. Tanpa disedari, ada sepasang mata merah sedang memerhatinya dari jauh. Mata yang penuh dengan perasaan dendam…

Sekali lagi, ada bunyi tapak kaki kedengaran semakin jelas menghampirinya. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Hampir sahaja ayunan pisau tersebut mengenai dadanya. Namun, Syafiqa sempat menghalang dengan menggunakan beg sandangnya. Hujung mata pisau tersebut terus menembusi buku nota Syafiqa yang tersimpan di dalam.

Queen? Aku juga queen,”bisik perempuan yang memakai penutup muka itu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill