Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
107,626
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 17

Hari demi hari berlalu. Hubungan Dahlia dengan Zairi masih dingin. Dahlia terus-terusan melancarkan rajuknya. Sengaja dia monyokkan muka. Dengan harapan agar Zairi mengalah dan memujuk.

Dia mahu suaminya itu sanggup jatuhkan ego dan percaya apa yang dia kata selama ini. Kalaulah Zairi faham keadaannya, tentu Zairi tak sampai hati biarkan dia begini.

Tapi harapannya bagai samar-samar. Zairi tetap pulang lewat malam setiap hari. Pagi-pagi lagi sudah keluar ke pejabat. Langsung tak hiraukannya. Pandang wajahnya pun nak tak nak. Apatah lagi nak menyapa. Nak dia yang tegur Zairi dulu? Memang taklah! Dia betul-betul merajuk dengan Zairi. Dia tetap nak Zairi yang mengalah dulu.

Sebenarnya, dia dah tak mampu bertahan lagi tinggal di rumah itu. Setiap malam tidurnya tak pernah lena. Macam-macam bunyi yang dia dengar. Macam-macam benda pelik yang jadi. Adakala dia rasa ada ‘benda’ lain yang tinggal bersamanya.Terasa ada sesuatu yang mengekorinya di dalam rumah itu.

Dahlia duduk bertinggung memeluk lutut di atas kerusi di balkoni. Termenung dia di situ merenung jauh ke arah bangunan-bangunan yang tegak berdiri. Jauh menungannya dengan riak wajah lusuh dan kosong. Kelihatan lingkaran hitam di sekitar mata. Keadaannya seolah-olah tak terurus.

Lama dia termenung di situ. Dia dengar bunyi sesuatu di dalam rumah. Bunyi seakan ada benda diseret di atas lantai. Dibiarkan saja. Dipekakkan telinga. Padahal dadanya berdebar bergemuruh. Sumpah, dia takut sebenarnya.

Prang!

Serentak kepala Dahlia berpaling. Matanya membulat. Jantung bagaikan berhenti berdegup. Dia tak pasti apa yang jadi. Tapi rasanya ada benda jatuh berderai ke lantai. Dan rasanya bunyi itu datang dari dapur.

Dia bingkas berdiri. Berhati-hati dia melangkah masuk ke dalam rumah. Rumah itu sunyi sepi. Diperhatikan sekeliling. Tiada apa-apa. Bunyi sesuatu diseret yang dia dengar tadi juga lenyap.

Dia melangkah ke dapur pula. Debaran di dada membuatkan dia menggeletar. Setiap kali nak ke dapur, ada perasaan seriau menerpa diri. Banyak kali kejadian aneh berlaku di situ.

Walau rasa gentar, dipaksakan diri untuk menjengah juga. Lambat-lambat dia menjengukkan kepala. Tiada apa-apa di situ. Tatkala dia menunduk, ada kaca pecah di lantai!

Berkerut dahinya. Dia tak tahu dari mana datangnya kaca itu. Mustahil kaca itu boleh jatuh sendiri ke tengah-tengah lantai!

Lantas dia masuk ke dalam bilik. Bergegas dia bersiap lebih kurang. Kelam-kabut pergerakannya. Bagaikan tak menyabar lagi. Dia dah tak betah duduk di dalam rumah itu. Sebelum dia semakin seriau, lebih baik dia tenangkan diri di luar rumah.

Selendang dililit ringkas. Kunci rumah segera dicapai. Selesai mengunci jeriji pintu, dia memandang ke pintu jiran sebelah. Tertutup rapat.

 

 

Dahlia bagaikan hilang punca. Dia merayau-rayau di sekitar kawasan kondominium itu tanpa tujuan. Sedangkan fikirannya melayang-layang entah ke mana. Macam-macam yang dia fikir. Tentang Zairi. Tentang rumah sewa mereka. Juga tentang jirannya yang sangat misteri.

Saat itu pandangan matanya menangkap sekujur tubuh seseorang. Mata dibeliakkan. Sah! Dia tak salah orang.

Lalu dia berlari laju dan terus menerkam wanita yang sedang duduk di sebuah kerusi rekreasi berhampiran kolam renang. Membuatkan mereka berdua jatuh ke tanah.

“Arghhh...” Wanita itu mengaduh. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit.

Dahlia juga terasa badannya sakit, tapi tak dilepaskan cengkaman di kedua-dua bahu wanita itu. Ditahan rasa sakitnya.

Nampak dengan jelas muka wanita itu sedang terkejut melihat Dahlia. “Hei, lepaskan aku!”

“Saya takkan lepaskan akak kali ni.”

Wanita itu mula meronta mahu melepaskan diri. Cengkaman tangan Dahlia makin kuat. Kali ini, dia takkan biarkan wanita itu terlepas.

“Kau ni dah kenapa? Lepaskan akulah!” Wanita itu menderam geram.

“Saya datang rumah akak. Saya tekan loceng, ketuk pintu, saya panggil-panggil... tapi akak langsung tak buka pintu. Kenapa akak layan saya macam ni? Saya ni jiran akak.” Dahlia melepaskan perasaan yang terbuku di hati.

“Aku tak ada kat rumahlah, bodoh!”

“Tipu!” jerkah Dahlia dengan berani.

“Saya dengar bunyi dalam rumah akak. Saya nampak ada orang masuk dalam rumah akak.”

Wanita itu berhenti meronta. “Apa yang kau merepek ni? Aku kata aku tak ada kat rumah, tak adalah! Kau tu yang dah gila. Nampak yang bukan-bukan, lepas tu kau tuduh aku macam-macam.” Dia kemudian mencarut-carutkan Dahlia. Marah benar dia.

Dahlia terdiam. Tangannya yang mencengkam wanita itu mula lerai sedikit. Aku salah dengar ke hari tu? Habis tu, bunyi berdentum tu bunyi apa? Perasaan aku aje ke nampak sesusuk tubuh serba hitam masuk ke dalam rumah perempuan ni?

“Tepilah!” Wanita itu menolak Dahlia ke tepi. Membuatkan Dahlia melepaskannya.

“Gila,” cemuhnya sambil cuba berdiri.

“Tapi kak...” Dahlia cuba menahan. Dipandang wanita itu penuh mengharap.

Wanita itu menoleh dengan riak muka garang yang menggerunkan.

“Saya ada sesuatu nak cakap dengan akak. Please...” Dahlia bersuara dengan nada merayu.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.