Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
79,774
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 13

Berhari-hari Dahlia makan hati. Zairi pagi-pagi lagi dah keluar. Balik kerja pula bila dah larut malam. Setiap hari! Nak berbincang dengan Zairi pun tak ada masa. Banyak yang dia nak luahkan sebenarnya. Tapi kalau nak bercakap pun tak sempat, bila dia nak luahkan apa yang terbuku dalam hati?

Namun hari ni, dia nekad! Dia tetap nak berbincang juga dengan Zairi. Dia menunggu Zairi yang sedang mandi di dalam bilik air. Di birai katil dia duduk sambil menahan perasaan yang bergelora.

Sepuluh minit kemudian, barulah Zairi keluar dari bilik air. Terkejut dia apabila melihat Dahlia duduk bersila di atas katil sambil merenung tajam ke arahnya. Terdiam kaku dia di hadapan pintu bilik air itu.

Dahlia diam merenung Zairi yang hanya bertuala sambil berpeluk tubuh. Ada rasa geram, merajuk, sakit hati... semuanya bercampur baur dalam hati.

Zairi tertelan liur. Dia cuba berlagak seperti biasa. Tuala kecil di bahu digosok-gosokkan ke rambut yang basah. Dia beredar ke meja solek. Dari ekor mata, dia tahu Dahlia masih merenungnya.

“Hari Ahad pun kerja jugak ke?” Dahlia memecah kesunyian antara mereka.

Zairi memandang Dahlia sekilas.“Err... ha’ah... kerja.”

“Hari Ahad, bang. Takkan kerja jugak? Buat kerja apa hari cuti? Bank pun tutup.” Suara Dahlia naik satu oktaf.

“Tapi ofis buka.” Zairi melepaskan nafas panjang. “Saya kan baru masuk kerja. Baru naik pangkat. Banyak benda saya kena buat, kena belajar. Tolonglah faham.” Dia bersuara lemah. Tak nak bergaduh sebenarnya.

“Saya aje ke yang nak kena faham abang? Tapi abang, ada faham perasaan saya?”

Zairi diam. Diam kerana tak mahu bertekak pagi-pagi begini. Diambil sikat lalu merapikan rambutnya.

“Saya nak balik rumah kita semula.”

Terhenti Zairi menyikat rambut. Ditoleh ke arah Dahlia. “Jangan merepeklah.”

“Saya tak peduli. Saya kata nak pindah, nak pindah jugak!” Dahlia turun dari katil dan berdiri berdepan dengan Zairi.

“Saya kerja kat sini. Takkan nak duduk jauh kat Kelantan tu!”

“Abang nak tinggal kat sini, abang duduk sorang-sorang. Saya nak balik tinggal kat rumah kita,” tekad Dahlia.

“Rumah kita tu dah ada orang sewa. Dia dah bayar sewa untuk tiga bulan. Takkan nak halau dia keluar. Dah banyak kali saya bagi tahu awak, kan? Takkan tak faham-faham lagi? Janganlah pentingkan diri sendiri.”

“Siapa yang pentingkan diri? Saya atau abang?” Bulat mata Dahlia merenung Zairi yang berwajah monyok memandang ke arah lain.

“Memang saya pentingkan diri. Sebab saya dah tak tahan duduk kat rumah ni. Setiap hari, macam-macam yang jadi. Ada abang pedulikan saya?”

Tergeleng-geleng Zairi. Tak habis-habis Dahlia dengan benda yang tak masuk akal. “Jangan cakap merepek boleh tak?”

“Apa yang saya cakap, abang kata merepek.  Sepanjang hari duduk kat rumah, saya yang alami macam-macam gangguan. Saya, bang! Saya!” Dahlia menepuk-nepuk dadanya.

“Gangguan?” Berkerut dahi Zairi. Antara percaya dengan tidak. Masih susah nak percaya. “Gangguan apa?”

“Dalam rumah ni, macam-macam bunyi saya dengar. Semua yang pelik-pelik saya dengar setiap malam. Sampai saya tak boleh nak tidur. Saya jadi takut, jadi tak tentu arah kat rumah ni.” Nada suara Dahlia kedengaran hiba mahu menangis.

“Bunyi? Malam-malam? Saya tak pernah dengar apa-apa pun.” Zairi masih susah nak percaya.

“Abang tu tidur mati! Balik kerja aje terus tidur. Mana nak dengar apa-apa.” Tak jadi Dahlia nak menangis. Rasa nak marah pula. Sakit hatinya kerana Zairi masih tak mahu dengar dan percaya apa yang dia cakap.

“Tapi saya bukannya pekak sampai tak boleh nak dengar kalau ada bunyi dalam rumah ni!” Entah kenapa, Zairi juga rasa nak marah. Dia semakin tak boleh nak terima setiap apa yang Dahlia cakap.

“Jangan nak berdalihlah, bang.” Dahlia ketawa sinis. “Abang pekakkan telinga, abang butakan mata. Semua sebab abang ego! Abang dah buat keputusan yang salah. Abang pindah rumah ni tanpa bincang dengan saya. Semua yang abang buat serba tak kena. Abang dah mula gila dengan kuasa bila jadi assistant manager. Tapi abang ego tak nak terima apa yang saya cakap!”

“Dahlia!” Zairi terjerit. Apabila tersedar yang dia tak mampu mengawal diri, dia menarik nafas dalam-dalam sambil memejam mata. Mahu bertenang seketika.

“Okey, okey...” Zairi membuka mata dan memandang Dahlia sambil cuba menenangkan isterinya itu.

“Kita baru duduk kat rumah ni seminggu. Mungkin awak tak biasa lagi duduk kat KL. Tu yang awak stress.”

Mendengar Zairi berkata begitu, mendadak panas darah Dahlia. “Abang! Cukuplah!”

Dijarakkan diri dari Zairi. Direnung suaminya dengan perasaan marah yang membuak-buak.

“Saya muak dengan perangai abang ni. Sudah-sudahlah berlakon macam kat rumah ni tak pernah jadi apa-apa. Abang dah tahu, tapi masih nak berpura-pura. Sebab abang ego!”

“Dahlia...” panggil Zairi sambil cuba mengawal nada suaranya. “Jangan tuduh saya yang bukan-bukan.”

“Habis tu, siapa yang angkat saya masuk bilik masa saya pengsan kat dapur malam hari tu? Saya pengsan sebab jatuh masa terkejut nampak lembaga hitam nak terkam saya. Siapa yang angkat saya, kalau bukan abang?”

“Pengsan?” Tergeleng-geleng Zairi tak faham. Makin berkerut mukanya keliru. “Malam bila awak pengsan? Sumpah saya tak tahu.”

“Main sumpah-sumpah pulak.” Dahlia ketawa mengejek. Sungguh, dia tahu Zairi sekadar berpura-pura terkejut dan berpura-pura tak tahu apa-apa.

“Dahlia... saya memang tak tahu. Saya tak pernah nampak awak pengsan kat dapur. Tak pernah angkat awak masuk bilik. Tak pernah! Malam bila yang awak cakap ni? Awak tidur sebelah saya tiap-tiap malam!”

“Masih nak berlakon?” cemik Dahlia. Dia mula rasa menyampah dengan Zairi yang penuh dengan keegoan.

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, makin menggelegak amarah Zairi.

“Okey! Nak sangat balik Kelantan, kan? Pergi balik sana sorang-sorang. Pergi! Biar saya aje tinggal kat sini dengan segala hantu yang ada. Puas?!”

Zairi terus mencapai baju kemeja dan seluar slack yang tergantung di dalam almari dengan kasar, lalu keluar dari bilik. Pintu dihempas kuat.

Terasa longlai tubuh Dahlia. Wajahnya berubah sayu dengan genangan air mata yang meluruh lesu ke pipi. Terduduk dia di birai katil itu semula. Fikirannya buntu. 

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.