Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
107,752
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 11

Bilik mesyuarat itu sudah mula dipenuhi dengan staf. Namun, masih ada lagi yang belum masuk. Barangkali ada keperluan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Zairi melihat jam tangannya. Mesyuarat sepatutnya bermula pada jam 4.00 petang. Ada lebih kurang seminit lagi.

Zairi langsung tak pedulikan sekeliling. Fikirannya menerawang. Sebenarnya dia sedang termenung. Sesekali dia mengeluh. Fikirannya rasa terganggu. Entahlah... sukar dia nak jelaskan apa yang mengeruhkan fikirannya. Seharian ini, dia lebih banyak termenung. Membuatkan kerjanya sedikit terganggu.

Dia berpura-pura menulis sesuatu yang penting di buku nota. Sedangkan sebenarnya dia menulis lirik lagu yangkini bermain di fikiran. Lagu yang bertajuk ‘The Lazy Song’.

Sedang dia asyik menulis, ekor matanya menangkap kedatangan seseorang. Dia menoleh. Kelihatan Julie melabuhkan duduk di kerusi bersebelahannya. Dia sekadar menyimpulkan senyuman.

“Encik Zairi...” Julie memanggil sambil menolak sehelai kertas ke arah lelaki itu. “Minit mesyuarat last week.”

“Oh... terima kasih.” Zairi melihat staf lain turut menerima kertas yang sama.

Ketika itu matanya terpandang beberapa orang staf perempuan sedang berbual-bual sambil sesekali mengerlingnya. Walau dengan ekor mata, dia masih tahu yang mereka mencuri-curi pandang ke arahnya. Dan dia perasan mereka tersenyum-senyum. Jangan-jangan mereka bercakap pasal aku.

“Dia orang tu excited tengok Encik Zairi,” beritahu Julie tanpa memandang staf-staf perempuan tersebut.

Zairi menoleh ke arah Julie. Dia ni macam tahu-tahu aje apa yang aku tengah fikir. 

Julie antara pegawai yang selalu bertemu dengannya. Dia lebih selesa berbual dengan gadis itu. Mungkin kerana Julie peramah dan mudah tersenyum.

“Mesti dia orang curi-curi ambil gambar Encik Zairi,” beritahu Julie lagi.

Zairi memandang ke arah staf-staf perempuan itu. Ya, masing-masing memegang telefon bimbit. Tapi tak tahulah sama ada mereka mengambil gambarnya ataupun tidak.

“Dia orang kata Encik Zairi handsome.”

Tergelak Zairi perlahan. Tergeleng-geleng dia. Dipandang lagi sekumpulan staf perempuan itu yang tersenyum-senyum memandangnya. Dia kembali fokus pada buku notanya.

“Tak sangka Encik Zairi yang paling popular dalam kalangan staf perempuan sekarang ni. Dahlah staf perempuan ramai yang masih bujang. Untunglah...”

Zairi menyimpul senyuman malu. “Awak ni suka mereka-reka cerita eh?”

Julie ketawa. “Apa salahnya dia orang jadi peminat Encik Zairi? Biar rajin sikit dia orang buat kerja.”

Terangkat kening Zairi. Maknanya, memang betullah apa yang Julie cakap tadi? Aku jadi tumpuan staf perempuan kat sini? Meluap-luap perasaan malu dalam dirinya. Tapi dalam masa yang sama, rasa glamor pula.

Dan ketika ini Razak muncul di dalam bilik mesyuarat. Bilik mesyuarat yang tadi kedengaran agak bising terus jadi senyap.

Zairi yang memandang Razak berjalan menuju ke arah kerusi di kepala meja berdekatan dengannya, sempat melihat pandangan staf-staf perempuan itu. Dia dapat menangkap aksi salah seorang daripada mereka sedang menghalakan telefon bimbit ke arahnya.

Rasanya memang betul apa yang Julie beritahu tadi. Mereka curi-curi mengambil gambarnya. Tak apalah... bukannya luak pun. Tapi entah kenapa, hatinya rasa kembang pula.

 

 

Dahlia baru saja keluar dari bilik air. Dan pada ketika itu telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej yang masuk. Pasti Zairi yang menghantarnya.

Telefon bimbit yang diletakkan diatas katil diambil. Di birai katil dia melabuhkan duduk. Betul sangkaannya. Zairi yang menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp. Dibaca mesej itu.

 

Abang balik lambat lagi hari nimacam semalam.

 

Balik lambat lagi? Dahlia mengeluh. Dia terfikir-fikir. Rasanya tak perlu dia masak hari ni kalau semata-mata untuk makan seorang. Tengah hari tadi pun dia makan nasi goreng pagi yang masih banyak.

Untuk makan malam nanti rasanya biarlah dia beli di kedai saja. Zairi pernah beritahu ada food court di seberang jalan kondominium ni. Boleh dia jalan-jalan melihat kawasan sekitar. 

Jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Lebih baik dia keluar sekarang. Boleh bersiar lama sikit. Sebelum maghrib dia akan pulang ke rumah semula.

Lantas, dia terus bersiap-siap. Disarungkan blaus bercorak bunga lengan panjang warna merah jambu dan seluar jeans. Selendang hitam dililit ringkas.

Dengan menggalas beg tangan, dia keluar dari rumah. Pintu dan jeriji dikunci, lalu dia berlalu ke arah lif. Pintu lif terbuka setelah menunggu seketika. Tiada sesiapa di dalam lif. Dia melangkah masuk dan menekan butang G. Pintu mula tertutup perlahan-lahan.

Tiba-tiba terjulur tangan dari celah pintu yang hampir tertutup rapat itu.

Dahlia tersentak hingga terundur ke belakang. Bulat matanya kerana terperanjat.

Seketika, pintu lif terbuka semula. Kelihatan di hadapannya adalah wanita yang ditegurnya semalam. Yang mengetuk pintu rumahnya tanpa henti. Jiran yang berwajah menyeramkan. Dia tergamam.

Wanita itu merenungnya tajam. Wajahnya masam mencuka. Dahlia teragak-agak sama ada mahu senyum atau tidak. Dadanya berdebar. Beberapa ketika, barulah wanita itu melangkah masuk ke dalam lif. Wajahnya masih serius. Dia membelakangkan Dahlia. Daun pintu tertutup semula.

Dahlia menelan liur. Terasa sempit kerongkongnya. Dari belakang, diperhatikan wanita itu. Masih selekeh seperti semalam. Berbaju T dan berseluar paras bawah lutut. Rambut kerinting paras bahu itu kelihatan kusut. Wanita itu bagaikan tak peduli dengan penampilannya.

Dahlia rasa bersalah pula tak menegur jiran sendiri. Nak tegur, tapi wanita itu kelihatan dingin. Menyeramkan pulak tu! Sedangkan melihat dari belakang pun sudah cuak, apatah lagi kalau melihat wajahnya. Muka yang disuntik dengan botox bagai tak menjadi itu kelihatan bengkak.

Wanita itu menolehkan muka ke sisi Dahlia. Dahlia bertambah cuak. Berderau dadanya. Sehingga dia rasa mukanya tak berdarah. Walaupun wanita itu tak memandangnya, melihat muka itu dari sisi saja pun dia dah terasa tubuhnya menggeletar. Dia dengar ke apa yang aku cakap pasal dia dalam hati tadi?

Lif yang sedang bergerak terasa lama benar mahu sampai ke tingkat bawah. Mujur wanita itu memandang ke hadapan semula.

Dahlia memejam mata sambil menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, ada rasa lega itu buat masa ini.

Dan akhirnya lif tiba di tingkat G. Pintu terbuka. Dahlia mahu membiarkan wanita itu keluar dulu. Namun, wanita itu tidak berganjak.

Dahlia menelan liur sekali lagi. Teragak-agak sama ada mahu keluar dulu. Tapi dia tak berani lalu di sebelah wanita itu untuk keluar dari situ.

Wanita itu berpaling ke sisi seperti tadi.

Dahlia memaut kuat beg tangannya. Seperti mencari kekuatan dan bersedia jika wanita itu mahu mengapa-apakannya.

“Nak tinggal kat sini... hati-hati.” Wanita itu bersuara, agak garau dengan nada perlahan.

Terkaku Dahlia memerhati wanita itu keluar dari lif tanpa menoleh ke arahnya. Dia turut keluar dengan langkah longlai. Di hadapan lif, dia berdiri memandang wanita itu melangkah pergi sehingga hilang dari pandangan.

Hati-hati? Hati-hati pada siapa?

Bingung dia memikirkannya. Atau sebenarnya wanita itu tahu tentang rumah yang dia diami sekarang? Mungkin wanita itu sedang menyuruhnya berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan perkara buruk yang bakal berlaku.

Serta-merta dadanya berderau. Meremang bulu romanya.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.