Home Novel Seram/Misteri UMMU SIBYAN
UMMU SIBYAN
Ninie Othman
31/5/2017 11:40:34
25,642
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

BAB 1

 

SAKA

 

AMAR yang lesu dipandang penuh minat.Sejak tadi asyik merenung meja dan air teh yang dipesan tidak bersentuh. Leman menepuk belakang Amar kuat-kuat. Mujur buku lima lelaki itu tidak naik ke muka Leman. Kalau tidak, mahu lebam biji mata si Leman.

“Fikir pasal awek ke? Jauh betul menung engkau,” tegur Leman lalu menghenyakkan punggung di kerusi sebelah Amar. Dia datang bersama rakan karibnya, si Berahim.

Amar melepaskan satu keluhan berat. Pertanyaan Leman hanya dibalas dengan gelengan kepalanya sahaja. Tiada mood untuk membuka mulut. Lagipun siapa yang tidak kenal dengan dua pemuda ini, kuat loyar buruk. Penakut pun iya juga.

“Kau ada masalah ke Am? Semacam aje kitaorang tengok kau hari ni. Nak kata putus cinta, sejak bila pulak kau ada makwe?” Berahim menyoal sambil mulutnya ligat mengunyah kuih karipap berinti kentang.

“Mana kau tau dia takde makwe? Yang takde makwe tu engkau.” Leman mengusik Berahim. Dia kenal sangatlah dengan Berahim ni. Takutkan perempuan lebih dari takutkan hantu. Dah macam kena demam kura-kura bila berhadapan dengan perempuan. Teruk betul sifat pemalunya tu.

Amar bangun dari duduknya. Dia mahu pulang ke rumah tanpa menjamah air teh di dalam cawan. Dia hanya memesan tetapi langsung tidak menyentuhnya. Batang tengkuknya digosok beberapa kali.Perbuatannya menarik perhatian dua sahabat itu. Macam tidak berapa sihat sahaja si Amar?

“Nak ke mana?” Kening Leman terangkat.Hairan melihat perlakuan Amar yang baginya agak pelik pada hari itu.

“Balik.” Ringkas jawapan Amar. Wajahnya masam mencuka. Dia berlalu ke motosikalnya yang terparkir di hadapan warung Pak Abu dan memecut pergi sejurus selepas itu. Leman dan Berahim terpinga-pinga.

Leman merenung cawan yang berisi air teh suam itu dengan kening terangkat.

“Si Amar tu kenapa?” tanya Berahim.

Soalan Berahim sekadar dibalas dengan jongketan di bahu Leman. Dia sendiripun tidak tahu apa yang sedang bersarang dikepala si Amar. Entah apa yang telah membuatkan lelaki itu tiada mood seperti itu. Dia malas mahu masuk campur. Akhirnya dia dengan Berahim memesan air teh o beng untuk dimakan bersama dua bungkus nasi lemak.

 

LEHER yang sakit diurut-urut.Terpejam-pejam matanya menahan perit ketika lehernya disentuh. Sudah seminggu dia diserang sakit di bahagian leher tetapi kesakitannya semakin teruk sejak dua hari ini. Apa masalah sebenarpun dia tidak tahu. Klinik? Sudah habis klinik di pekan itu dia pergi tetapi semuanya tidak dapat mengesan apa sebenarnya yang berlaku pada lehernya. Mahu kata terseliuh, seingat-ingatnya dia tidak pernah melakukan apa-apa sehingga membuat lehernya terseliuh.

Tubuh badannya juga selalu di dalam keadaan lesu sehingga membuatkan dia tidak bertenaga di tempat kerja. Jika dia menghidap penyakit berbahaya, pasti sahaja doktor sudah dapat mengesannya semasa melakukan pemeriksaan air kencing dan darah pada tempoh hari. Ah, dia benar-benar bingung!

Nombor telefon kakaknya didail pantas.Suara wanita itu kedengaran di hujung talian tidak lama selepas itu.

“Kau dah ke klinik untuk checkup?”

“Dah habis klinik aku pergi tapi doktor cakap semua okey.”

“Baik kau ke hospital pulak. Kat situ peralatannya lebih lengkap dari klinik,” usul wanita yang bernama Aina itu.

Dia yang kini menetap di Sabah bersama keluarganya berasa risau dengan apa yang sedang menimpa Amar. Adiknya itu pernah mengadu kesakitan yang ditanggungnya beberapa hari yang lepas. Jarak yang memisahkan mereka juga membuatkan Aina tidak dapat melihat keadaan Amar dikampung. Lagipun dia baru pulang minggu lepas kerana kematian nenek mereka. Arwahlah yang telah membesarkan mereka selepas kematian ibu bapa sejak mereka kecil lagi.

“Aku siap check darah dengan air kencing lagi kak. Memang takde apa-apa.”

“Pergi buat checkup kat hospital dulu. Apa-apa keputusan kau bagitau akak. Insya-ALLAH minggu depan akak ambil cuti.”

Kening Amar berkerut, “Cuti? Nak kemana?”

“Nak balik kampunglah, tengok kau. Harini pergi hospital. Malam nanti akak call kau balik.” Aina mengakhiri perbualan telefon itu.

Amar merenung telefon bimbitnya buat beberapa saat sebelum meletaknya ke atas meja. Sejak arwah nenek mereka meninggal dunia, dia duduk berseorangan di rumah itu. Sebelum meninggal, arwah sudah sakit selama berbulan-bulan dan hanya terbaring di atas katil. Tidak mampu melakukan apa-apa. Apa yang dia perasan, arwah sudah benar-benar nazak tetapi rohnya seolah-olah susah untuk berpisah dengan jasadnya.

Dia menggeleng-geleng. Suka betul berfikir yang bukan-bukan.

“Aduh…” Dia mengaduh kesakitan. Lehernya bagaikan disiat-siat dengan pisau. Dia berlari ke bilik tidurnya dan duduk di depan cermin.

Posisi diubah kepada duduk mengiring. Cuba mengesan apa-apa lebam atau luka di lehernya. Tidak puas hati, dia berdiri membongkok lalu meneliti keadaan di lehernya itu. Memang tiada apa-apapun disitu. Tiada apa-apa perbezaanpun tetapi pedih bukan main. Hatinya semakin merusuh.

Apa yang tidak kena ni?

Di atas saranan kakaknya, dia pergi membuat checkup di hospital. Sebenarnya dia bimbang dengan apa yang sedang berlaku ke atas dirinya. Sejak kebelakangan ini hidupnya berubah 360 darjah. Keceriaan sudah tidak wujud dalam kamus hidupnya lagi. Apa yang dia buat semuanya serba tidak kena. Fikirannya sangat bercelaru. Moodnya tidak menentu dan adakalanya dia akan melenting tidak tentu pasal. Sesungguhnya dia bingung dengan semua perubahan yang berlaku pada dirinya.

Ketika menanti nombornya dipanggil,keresahan jelas terlukis pada riak wajahnya. Manusia-manusia lain yang turut berada di situ merimaskannya. Sejak akhir-akhir ini dia memang tidak selesa bergaul dengan masyarakat. Sebelum ini dia tidak begitu. Seluruh penduduk kampungnya mengetahui bahawa dia kerap menyertai aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan sebagainya.

Tidak lama selepas itu, perasaannya terganggu dengan tangisan seorang kanak-kanak yang berumur dalam linkungan empat tahun. Renungannya tajam meratah wajah kanak-kanak lelaki itu. Bising! Melalak sampai sakit telinga aku!

Entah kenapa semakin lama tangisan itu semakin kuat dan membingitkan. Amar mengetap bibir dan giginya dikancing penuh kemarahan. Ketika mata mereka bertemu, tangisan kanak-kanak itu berhenti serta-merta. Bagaikan ada sesuatu yang membuatkan kanak-kanak itu terkedu.Tidak terzahir keluar suaranya tatkala menatap mata Amar.

Tanpa disedari ada sejalur senyuman sinis di pangkal bibir lelaki itu. Dia segera bangun setelah nombor gilirannya dipanggil. Meninggalkan kanak-kanak lelaki yang masih memandangnya dengan penuh ketakutan. Apa yang pasti ia telah mengundang rasa pelik dalam hati ibunya. Menangis bagai nak rak dan diam secara tiba-tiba. Memang ajaib.

 

LEMAN masih melepak di warung Pak Abu dengan Berahim. Sejak tadi bersembang sambil masing-masing menghabiskan segelas air teh o beng. Boraknya berjam-jam tetapi banyak itu sahajalah air minumannya. Begitulah rutin harian dua anak muda itu jika tidak sibuk dengan kerja-kerja dikebun.

“Aik selalu ada si Samad?” Pak Abu bertanya setelah warungnya sudah mulai lengang kerana hari yang mula menjengah ke tengahari. Dia melabuhkan duduk di salah sebuah kerusi yang letaknya berhampiran dengan dua sahabat itu.

“Alah si Samad sekarang dah ada girlfriend Pak Abu,” balas si Berahim.

Sepasang kening beruban Pak Abu bergerak-gerak, “Dengan siapa?”

“Milah,” ujar Leman pula,tersengih-sengih.

Pak Abu mengangguk-angguk. Milah janda beranak satu itu memang cantik manis budaknya. Muda-muda sudah diceraikan suami. Tidak tahu pula dia yang Milah sedang bercinta dengan Samad. Baguslah kalau begitu, ada juga yang akan menjaga Milah dengan anaknya nanti.

“Samad kan dah lama syok dengan Milah tu Pak Abu. Sejak Milah anak dara lagi kut.”

Kata-kata Leman dibiarkan tidak berbalas. Orang tua itu hanya tertunduk merenung kaki meja. Siapa yang tidak tahu tentang cinta Samad pada Milah. Dia sering ternampak kelibat Samad di luar rumah Milah bersama beberapa beg plastik di tangannya. Pastinya lauk-pauk untuk janda muda itu. Samad pun bagus budaknya. Memang eloklah dia mengisi kekosongan dalam hati wanita itu.

“Kamu pulak, takde girlfriend ke?”

Pertanyaan Pak Abu menimbulkan senyuman malu-malu di wajah Leman. Berahim tersengih. Biar dia yang bantu jawab untuk rakannya ini.

“Si Leman ni mana ada awek Pak Abu.Tidur pun bawah ketiak mak lagi.” Berahim menyindir lalu ketawa gelihati. Beberapa pelanggan yang turut ada di situ menahan tawa.

“Hoi, bila masa aku tidur bawah ketiak mak aku? Kau jangan cuba fitnah aku Him! Kang benjol kepala kau hari ni kang!” marah Leman. Cuba menafikan realiti.

Pak Abu tergelak. Memang beginilah fi’il budak berdua ini. Tidak habis-habis bercakaran macam kucing jantan. Si Berahim dengan Samadlah yang suka menyakat si Leman. Sudahnya pemuda itu membebel macam mak nenek. Tidak padan dengan lelaki.

“Kopi o satu!” Pesanan dari pelanggan yang baru masuk ke warung menghentikan sesi menyembang Pak Abu dengan dua sahabat itu. Dia bergegas menyiapkan air minuman yang dipesan sebentar tadi.


 

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.