Home Cerpen Seram/Misteri DETIK PARANORMAL : KILANG LAMA
DETIK PARANORMAL : KILANG LAMA
Ninie Othman
21/1/2017 20:09:35
3,301
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“MALAM ni kita buat penyiasatan dekat tempat ni.” Azri menghalakan jari telunjuknya ke skrin laptop. Terpampang sebuah bangunan lama yang suasana di sekitarnya dipenuhi sampah dan semak-samun.

Shah, Rayyan dan Aaron menghampiri. Hm, boleh tahan juga seramnya.

“Kilang apa ni?” tanya Shah dengan kening terangkat.

“Kilang pemprosesan makanan sejuk beku.” Azri membalas.

Rayyan mengangguk-angguk. Kerusi plastik yang terletak di sebelah Azri ditarik dan dia melabuhkan duduk di situ. Dia tertarik dengan sejarah kilang terbiar itu.

“Kilang ditutup selepas kejadian ngeri yang berlaku 10 tahun lepas?” gumam Rayyan.

Azri mengangguk-angguk. Dia sudah membuat kajian tentang kilang ini sejak dua tiga hari yang lepas.

“5 orang pekerja mati lepas ditarik mesin pemprosesan daging. Mayat dia orang hancur macam kena gilis lori.”

Penerangan Azri menaikkan bulu roma rakan-rakannya. Terbayang-bayang pula di mata mereka bagaimana para mangsa terbunuh. Sangat mengerikan!

“Lepas tu apa jadi?” Aaron pula yang bertanya.

“Kilang ni dishut down lepas bisnes merudum lepas kejadian ngeri ni berlaku. Takde siapa yang berani nak makan makanan sejuk beku yang dikeluarkan kilang ni,” terang Azri.

“Err, aku pun tak berani nak makan kut.” Aaron berasa loya secara tiba-tiba.

Siapa yang mahu makan makanan dari mesin-mesin yang pernah menghancurkan daging manusia-manusia malang itu?

“Kematian ni berlaku dalam jangka masa berapa lama?” Shah merenung Azri.

“5 hari berturut-turut. Sehari seorang.”

Okey, bulu roma mereka semakin meremang. Sehari seorang? Ya ALLAH. Apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga mesin-mesin itu mengorbankan 5 orang mangsa?

“Aku dengar tempat kilang ni dibina, keras. Baru beroperasi setahun dah jadi macam ni,” ujar Azri lagi. Tidak dinafikan selama membuat kajian tentang kilang ini, bulu romanya merinding.

Beberapa saat selepas itu, Aaron bersin berkali-kali. Hidungnya berair dan kepalanya sedikit pening. Dia mencapai tisu yang terletak di atas meja lalu disapukan ke hidungnya.

“Kau demam ke Aaron?” Rayyan menyoal. Merah padam dilihatnya muka Aaron.

Aaron menjongket bahu. “Aku okey cuma hidung gatal-gatal sikit.”

“Kalau tak sihat, baik kau tak payah ikut malam ni. Bahaya,” nasihat Shah. Badan ketika sakit akan menjadi lemah. Khuatir jika berlaku apa-apa yang tidak elok ketika di sana nanti.

Aaron menggeleng-geleng, “Aku okeylah. Janganlah risau.”

KAKI dihayun dengan penuh hati-hati. Mereka memasuki kawasan kilang dengan hati yang berdebar-debar. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhatikan mereka. Azri dan yang lain meletakkan beg-beg berisi tools untuk penyiasatan ke meja yang ada di situ. Debu dikibas sehingga perabot itu bersih.

“Aku dengan Aaron pergi letak kamera-kamera ni kejap.” Shah dengan Aaron sudah bersedia dengan night vision camera di tangan.

Manakala Azri dan Rayyan pula menyusun beberapa buah komputer di atas meja di dalam bilik kecil yang akan digunakan sebagai nerve centre. Komputer-komputer itu akan digunakan untuk memantau sudut-sudut terpilih melalui lensa night vision camera.

“Tak sedap hati aku.” Rayyan tiba-tiba berkata.

“Kenapa?”

“Yalah, seram kut kisah 5 pekerja yang mati dimakan mesin tu.”

Azri sekadar tersenyum. Patutlah muka Rayyan berpeluh-peluh sejak melangkah masuk ke situ. Memang dia akui, kilang lama ini memang menyeramkan walaupun tirai malam belum lagi melabuhkan dirinya.

AARON tersentak semasa meletakkan kamera di satu sudut. Seperti ada seseorang yang melintas di sisi kirinya sebentar tadi.

“Shah!” panggilnya.

Tidak lama kemudian, kelibat Shah muncul dengan kamera di tangannya. Kamera itu kamera terakhir dan ia akan diletakkan ke sudut di mana mesin-mesin pemprosesan daging berada. Di situlah kejadian mengerikan itu pernah terjadi pada 10 tahun lalu.

“Ha ada apa?” Shah terpinga-pinga.

“Kau ke yang melintas kat situ tadi?” tanya Aaron sambil menghalakan telunjuknya ke kiri. Shah menggeleng.

“Bukan aku.”

“Hisy, kalau bukan kau… Jadi siapa?” Aaron menelan liur. Dia mula tidak sedap hati.

Shah merenung sisi kiri mereka. Keadaannya suram sekali. Mungkin bukan manusia?

“Kita settlekan kerja kita cepat lepastu balik ke nerve centre,” usul Shah. Kemudian dia bergegas meletakkan kamera ke sudut terakhir. Aaron mengekorinya dari belakang.

Ketika kamera terakhir diletakkan, bunyi ketukan di besi sebanyak 3 kali mengejutkan mereka. Seolah-olah ada jemari yang mengetuk-ngetuk salah satu mesin yang ada di situ. Torchlight kecil segera dikeluarkan dari kocek seluar. Kawasan di hadapan disuluh kerana suasana yang semakin kelam.

“Kau dengar tak?” tanya Shah dengan muka cemas.

Aaron mengangguk. Sebenarnya dia mendengar lebih dari itu.

“Kau dengar tak suara lelaki bersiul-siul sekarang?” Dia bertanya.

Shah mengerut kening. Dia tidak mendengar apa yang didengari Aaron.

“Tak.” Dia menjawab pendek.

Aaron menelan liur. Bulu romanya semakin tegak berdiri. Suasana yang semakin gelap membangkitkan rasa seramnya.

“Ada lelaki bersiul. Rasanya datang dari mesin-mesin kat depan tu.”

Shah berdebar-debar. Dia tahu Aaron sedang bercakap benar. Dia menyuluh mesin-mesin bersaiz gergasi yang sudah berkarat itu. Tiada apa-apa yang dapat dilihat di situ. Beberapa saat kemudian, bunyi siulan itu mula berdendang di telinganya.

“Aaron, kau okey tak ni?” Shah menyenggol lengan Aaron.

Rakannya itu sedang bersiul penuh perasaan.
Aaron menangis teresak-esak secara tiba-tiba. Shah panik.

AZRI dan Rayyan terdiam apabila nama mereka dipanggil dari luar. Ketika itu daun pintu terkuak separuh. Siapa yang memanggil mereka sebanyak 2 kali sebentar tadi? Bukan suara Shah atau Aaron.

Kegelapan di luar membataskan pandangan dua sahabat itu.
“EVP..” Azri meminta Rayyan mengambil EVP (Electronic Voice Phenomenon) yang terletak di hadapan Rayyan.

Setelah alat itu berada di tangannya, dia bangkit perlahan-lahan dari kerusi dan beredar ke pintu. Dia berdiri di ambang pintu dengan mata yang merenung ke hadapan. Gelap-gelita kerana jam sudah merangkak ke pukul 9:00 malam.

“Siapa tu?” tanya Azri dengan EVP yang terpasang.

“Cuba kau dengar ni,” ujarnya pada Rayyan selepas beberapa minit kemudian.

Rayyan mendekatkan telinganya ke EVP dan mendengar setiap patah perkataan yang dirakam.

“Tolong aku cari daging-daging aku….”

Rayyan pantas memandang Azri. Ya ALLAH, adakah itu suara mangsa yang mati 10 tahun lepas? Daging? Ya, mayat-mayat mereka hancur seperti daging cincang.

Belum sempat Azri bertanya soalan kedua, bau busuk seperti bangkai menusuk-nusuk ke dalam lubang hidung. Keduanya mahu termuntah.

“Kress, kress…..” Bunyi sesuatu mengesot di lantai simen menarik perhatian mereka.

Azri dan Rayyan beredar keluar selepas Rayyan mengambil night vision camera. Mereka akan memulakan penyiasatan. Mereka akan menghubungi Shah dan Aaron melalui walkie-talkie selepas ini.

“Sekejap!” Rayyan memegang bahu Azri. Langkah lelaki itu terhenti serta-merta.

“Kenapa?”

“Aku nampak something.”

“Kau nampak apa?”

“Orang.”

Azri terkedu. Dia mengajak Rayyan meneruskan langkah dan berhenti di hadapan salah satu bilik. Bilik itu pernah digunakan sebagai bilik penyimpanan dokumen-dokumen penting. Rasanya bunyi itu datangnya dari situ.

Azri menolak pintu.

“Syyh…” Rayyan meletakkan jari ke mulutnya. Dia mendengar bunyi sesuatu dan ia datangnya dari balik almari besi di dalam bilik tersebut.

“Aku dengar bunyi suara lelaki batuk-batuk. Kat belakang almari tu…” Rayyan berbisik.

Azri mendekati almari sambil diikuti oleh Rayyan dengan kamera di tangan.

“Siapa tu?” Azri menyoal.

SHAH semakin panik. Aaron kini terduduk di lantai. Tangisannya semakin kuat.

“Ya ALLAH Aaron. Kau okey tak ni?” Shah memegang bahu rakannya.

“Jangan pegang akulah bodoh!” Aaron bertempik. Matanya tajam merenung wajah Shah.

Shah berlari ke nerve centre. Dia mahu memanggil Azri dan Rayyan. Aaron seperti kerasukan! Malangnya dua lelaki itu tiada di situ. Argh, dia buntu.

Walkie-talkie disua ke mulut. Dia cuba menghubungi Azri dan Rayyan tetapi gagal. Ada gangguan di walkie-talkie itu.
Dia bergegas untuk mencari mereka berdua. Aaron tidak boleh dibiarkan lama-lama bersendirian. Khuatir ada bahaya yang menimpa. Setelah berpusing-pusing selama beberapa minit, kelibat dua lelaki itu akhirnya menyapa pandangan.

“Ri, Ray!” Dia memanggil-manggil.

Azri dan Rayyan memandang Shah dengan hairan. Lelaki itu termengah-mengah. Nafasnya turun naik.

“Aaron!”

“Kenapa dengan Aaron?” tanya Azri.

“Dia kena rasuk!”

“Haa??” Azri dan Rayyan ternganga.

AARON masih terduduk di lantai yang kotor berdebu. Sekejap ketawa sekejap menangis. Dia mengangkat wajahnya ketika Shah, Rayyan dan Azri menghampirinya.

“Aaron?” panggil Azri, lembut.

“Berambus! Kau buat apa dekat sini?!” jerkah Aaron.

Rakan-rakannya terdiam. Suara Aaron berlapis-lapis. Sungguh menakutkan. Mereka mula mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Mahu mengusir jembalang yang menghuni tubuh Aaron.

“Diamlah bodoh!!”

“YA ALLAH, mengucap Aaron.” Rayyan cuba menenangkan Aaron yang sedang marah. Rakan mereka itu merenung mereka tajam. Seperti mahu membaham mereka hidup-hidup.

“Apa mengucap-mengucap?!” Aaron menjerkah. Matanya berurat merah. Wajahnya berpeluh-peluh. Dia benar-benar marah.

“Macam mana ni Ri?” bisik Rayyan. Dia sudah buntu sebenarnya. Ini kali pertama dia berhadapan dengan perkara sebegini.

Sepatutnya Aaron berehat di rumah sahaja tadi. Tubuhnya panas dan dia sedang demam.

“Teruskan baca ayat suci.” Azri memberi arahan.

Rayyan mengangguk. Mulutnya terkumat-kamit mengalunkan ayat kursi. Bulu romanya merinding hebat. Suasana pula semakin dingin. Kesejukan menusuk sehingga ke tulang hitam. Dia menarik zip di baju sweaternya.

Shah memegang kamera dan menghalakannya ke Aaron yang sedang duduk bersila di atas lantai simen yang kotor berdebu. Tubuhnya bergerak ke kiri dan ke kanan seperti sedang membaca mentera. Suaranya berlapis-lapis. Memang aneh.

“Gulp…” Shah menelan liur apabila lirikan mata Aaron tepat mengenai lensa kamera yang dipegangnya. Hujung bibir Aaron terjongket ke atas. Ada senyuman sinis di bibirnya.

“Aku dengan kawan-kawan aku hancur dikisar mesin pengisar daging. Sakit? Memang sakit…” Aaron tiba-tiba berkata. Dia menggeleng-geleng penuh kesal.

Pandangan Azri, Rayyan dan Shah bertemu.

“On EVP,” suruh Azri kepada Rayyan. Rayyan mengangguk faham. Dia menghidupkan EVP secara perlahan-lahan.

“Kau mangsa mesin tu?” Azri bertanya. Dia mengambil kesempatan itu untuk berkomunikasi dengan roh si mati.
Aaron memandang Azri tidak berkelip-kelip.

“Apa yang menyebabkan kau bunuh diri?” soal Azri lagi.

Rayyan dan Shah hanya berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak berani membuka mulut. Biar Azri sahaja yang berkomunikasi.

“Kau ingat aku dengan kawan-kawan aku bunuh diri ke?!” Aaron menjerit penuh kemarahan. Suaranya parau membelah kesunyian malam.

“Habis tu?”

“Aku dibunuh! Kawan-kawan aku pun dibunuh! Ada iblis yang bunuh kami!”

Azri terdiam.

Aaron mula menggelepar di atas lantai. T-shirt hitamnya habis dikotori debu. Mulutnya berbuih-buih. Rakan-rakannya bergegas mendapatkannya dan memegangnya erat. Aaron di dalam kesakitan dan mereka harus segera menyelamatkannya. Azri membaca ayat kursi dan menghembuskannya ke wajah Aaron sebanyak tiga kali. Alhamdulillah, Aaron berhenti menggelepar.

“Apa dah jadi?” soalnya sejurus selepas itu. Dia terpinga-pinga memandang rakan-rakannya.

“Jom pergi dari sini,” arah Azri.

Aaron dipapah hingga ke nerve centre.

Di sebalik mesin-mesin pengisar daging, ada sesuatu yang berdiri di sebaliknya. Memerhatikan setiap pergerakan team Detik Paranormal. Nampaknya empat orang manusia ini begitu berani menjejakkan kaki ke kilang ini.

RAKAMAN suara di EVP dimainkan. Memang ada suara-suara lain selain suara Azri dan Aaron. Ketika Azri berkomunikasi dengan roh yang merasuk tubuh Aaron, bunyi hilai tawa begitu jelas kedengaran di dalam alat perakam ini. Sedangkan ketika di sana, tiada seorangpun yang mendengarnya.

“Kami datang….”

“Suara tu cakap kami datang!” Rayyan menekup mulut.

Belum sempat Shah dan Azri membuka bicara, tiba-tiba kedengaran sesuatu di luar bilik nerve centre. Bunyi tapak kaki.

“Syyh…” Shah meletakkan jari telunjuknya ke mulut.

Dia bergerak perlahan-lahan ke jendela yang bertirai lusuh. Dia mahu mengintai apa yang berada di luar bilik tersebut. Aaron yang sedang berehat pun turut berasa cemas.

“Ada apa-apa tak?” tanya Rayyan. Debaran semakin terasa.

Shah berlari mendapatkan mereka. Wajahnya pucat lesi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya di luar. Betul-betul menggerunkan! Nafasnya turun naik.

“Apa?” Rayyan mendesak.

“Aku rasa mangsa-mangsa tu kat luarlah.” Shah berbisik.

Suaranya bergetar.

“Mangsa-mangsa?” Kening Rayyan terangkat.

“Kau tengoklah sendiri!”

Rayyan mendekati jendela. Dia menyingkap tirai lusuh dengan tangan kanannya. Sejurus selepas itu dia kembali ke rakan-rakannya. Seperti Shah, wajahnya juga pucat dan nafasnya turun naik. Azri dan Aaron berasa pelik. Apa yang telah dilihat mereka di luar?

Tombol pintu bergerak-gerak. Mujur Shah sempat menguncinya.

“Kau orang nampak apa?” tanya Aaron. Dari duduk kini dia sudah berdiri memandang rakan-rakannya.

“Hancur.” Itu jawapan Shah. Aaron benar-benar tidak faham. Apa yang hancur?

“Badan dia orang hancur.” Shah menerangkan dengan lebih terperinci. Aaron terkedu.

Okay, ini betul-betul seram. Dia ingin melihat sendiri tetapi dia tiada kekuatan. Sudahlah badannya lemah ketika itu.

Azri mencapai Full Spectrum Still Photo Camera yang terletak di atas meja. Dia bergerak ke pintu.

“Kau nak buat apa Ri?” Rakan-rakannya menyoal cemas.

“Investigation.” Azri membalas pendek. Dia menyentuh tombol pintu. Dingin seperti ais!

“Bahaya!” Rayyan melarang keras perbuatan Azri.

“Kau orang nak ikut atau stay sini?” Azri tidak mahu bercakap banyak. Akhirnya tiga lagi rakannya mengekorinya hingga ke luar. Mereka harus menjalankan aktiviti penyiasatan ini. Rasa takut terpaksa diletak ke tepi.

Azri menangkap beberapa keping gambar. Mereka kembali ke tempat Aaron dirasuk tadi. Di situ, Azri menangkap gambar tanpa henti terutamanya di mesin-mesin pengisar daging.

“Kau tengok ni,” ujar Azri sambil menunjukkan hasil tangkapannya pada rakan-rakan.

“Gilalah….” Shah berkata spontan. Memang ada sesuatu di mesin-mesin itu.

Imej lima lelaki yang tubuhnya hancur di sana-sini berada di dalam semua gambar yang disnap Azri. Sebiji dengan apa yang dia dan Rayyan lihat ketika di nerve centre tadi. Meremang!

“Yang nilah kita orang nampak tadi.” Rayyan berkata.

“Er, aku tak sedap badanlah geng. Kita baliklah..” Aaron berkerut muka. Dia menggigil kesejukan. Macam mahu demam panas sahaja.

Azri mengangguk. Dia pun tidak mahu membahayakan nyawa Aaron dan rakan-rakannya yang lain. Lebih elok mereka balik sahaja dari meneruskan penyiasatan ini. Lagipun sudah banyak footage yang menarik untuk dipertontonkan nanti. Dia menepuk-nepuk bahu Aaron.

“Jom.”

BEG yang menyimpan alatan penyiasatan dimasukkan ke dalam kereta pacuan empat roda. Azri sudah menghidupkan enjin. Aaron tersandar di tempat duduk belakang dengan mata terpejam. Kepalanya berdenyut-denyut.

“Esok ke klinik,” ujar Azri.

Mereka menamatkan penyiasatan awal dari biasa. Suasana di luar gelap-gelita kerana subuh belum tiba. Setelah Rayyan masuk ke kereta, Azri terus memandu kereta pergi dari kilang lama yang berpuaka itu.

Memang satu pengalaman yang sangat berharga buat mereka. Benarlah, kilang itu sangat keras.

CUPING telinga Aaron bergerak-gerak. Ada suara-suara halus menusuk ke dalam telinganya. Dadanya berdebar-debar. Dia pantas membuka mata dan melilau memandang ke sekitar. Perbuatannya menerbitkan rasa hairan Shah yang duduk di sebelahnya.

“Kenapa Aaron?”

“Takde apa-apa.” Aaron menggelengkan kepala. Dia tidak mahu menakutkan rakan-rakannya. Dia kembali bersandar dan memejamkan mata.

Di luar tingkap kereta yang bertutup kemas, ada lima makhluk yang mengerikan sedang mengekori mereka. Pergerakan mereka bagaikan angin.

Mereka tidak akan pergi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.