Home Cerpen Seram/Misteri SERAM : MISTERI
SERAM : MISTERI
Ninie Othman
30/7/2016 22:35:23
3,575
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“Hujung minggu ni kita nak buat apa ye?” Liesa bertanya. Jemarinya bermain-main dengan sudu kecil di dalam mug.

Fiqah yang dipanggil dengan panggilan Oshin mengerling ke arah Anna. Pandangan mata keduanya bertemu. Oshin mengangkat-angkat keningnya. Dia sudah ada idea!

“Aku tau nak buat apa Sabtu ni. Kau orang nak join ke kalau aku cakap?” Oshin memulakan misi memujuk rakan-rakannya. Pasti ia akan menjadi kenangan ‘manis’ Liesa dan Anna sampai bila-bila.

“Nak pergi mana?” soal Liesa penuh curiga. Dia yang sedikit penakut mula merasa tidak senang hati. Oshin kan suka mengajak mereka ke tempat-tempat yang keras. Berhantu la senang cerita.

“Jap, aku nak call Iddia,” Oshin mendail nombor telefon rakan lelaki mereka. Iddia Hasmat, seorang pemuda yang begitu menggilai dunia paranormal. Ingin ke kawasan-kawasan yang penuh mistik? Beritahu sahaja, pasti dia akan membawa sesiapa yang ingin ke sana.

Liesa terkebil-kebil. Eh gilalah! Takkanlah betul-betul mahu ke tempat berpuaka?

Anna pula sekadar tersenyum pahit. Dia tidak menolak jika mereka benar-benar akan melawat kawasan keras. Sempat dia memandang Liesa yang sudah pucat.

Iddia berhenti mengunyah kuih karipap apabila mendapat panggilan telefon dari Oshin. Panggilan itu dijawab malas, “Ye Oshin?”


“Kau bawak kitorang ke muzium lama hari Sabtu ni…”

“Aik tiba-tiba aje?”

“Yelah, kau nak bawak tak ni?”

“Beres! Nanti aku ke rumah korang pukul 9 pagi Sabtu ni…”


Oshin mematikan talian dengan mulut tersenyum lebar. Tidak lama kemudian, Liesa datang sambil mencuit lengannya. Wajah rakannya nampak bengang.

“Oi Shin! Memandai-mandai je kau ye? Apa kejadah nak ke muzium lama pulak ni?” Liesa bertanya marah. Merah padam mukanya. Rasa mahu sekeh-sekeh saja si Oshin ini.

“Ala, kau nak takut apa Liesa? Muzium je kot..” Anna mengusik rakannya.

“Muzium je kot? Wei, itu muzium lama! Muzium berhantu kau tau tak??” marah betul Liesa. Tawa Anna dan Oshin berderai. Liesa memang penakut..

“Kau percaya ke muzium tu berhantu? Kisah dongeng je semua tu,” Anna berkata yakin. Oshin mengangguk setuju.

Liesa mengeluh.


Sabtu.

Iddia membunyi-bunyikan hon kereta di hadapan rumah tiga sekawan itu. Dia tiba di situ tepat pukul 9 pagi. Bersemangat betul dia mahu menghabiskan masa di muzium berpuaka.

Oshin, Anna dan Liesa beriringan keluar dari rumah. Bergegas masuk ke kereta Iddia. Agak lama juga lelaki ini menunggu di luar tadi. Al-maklumlah orang perempuan apabila berhias memang mengambil masa yang boleh tahan lama.

“Nak ke muzium berhantu pun pakai mekap?” sindir Iddia. Dia tersenyum sinis.

“Ala biasalah orang perempuan. Kau apa tau?” Oshin membuat serangan balas. Dia mencebikkan bibir.

Liesa hanya membisu seribu bahasa di belakang. Dia tiada mood untuk bergurau senda. Sudahlah terpaksa mengekori rakan-rakannya ke muzium berpuaka! Ada-ada sajalah plan hujung minggu manusia-manusia ini. Hish, macam tak ada tempat lain nak pergi! Bebelnya dalam hati.

“Senyap je Liesa? Ala, jangan takut..Abang Iddia kan ada?” Iddia mengusik nakal. Oshin menyenggol rusuk lelaki itu.

Amboi gatal!


Iddia mematikan enjin kereta di hadapan muzium lama. Ia sudah lama terbiar. Sudah puluhan tahun tidak terjaga. Tiada siapa yang berani ke situ walaupun pada siang hari. Iddia tersenyum dan beredar keluar sambil berdiri menghadap ke muzium itu. Dia sudah tidak sabar mahu memulakan misi meneroka kawasan misteri itu.

“Jom masuk,” ajak Iddia lalu berjalan masuk.

Anna memaut lengan Liesa. Gadis itu masih ragu-ragu untuk masuk dan rela menanti di luar sahaja.

“Jomlah masuk. Kau berdiri kat luar ni, ingat selamat?” Anna mengugut.

Liesa menelan liur. Okey, ada betulnya kata-kata Anna itu. Tiada pilihan lain, dia terpaksa masuk ke kawasan muzium itu juga. Tidak semena-mena dia terjebak dengan rancangan berani mati ini.

Iddia berjalan beberapa langkah di hadapan. Dia teruja melihat potret-potret lama yang tergantung di dinding. Salah satu potret itu memeranjatkan Liesa. Dia menjerit ketakutan.

“Kenapa?” soal Oshin dan Anna serentak. Iddia pula sekadar menanti penjelasan dari Liesa.

“Potret tu bergerak!” Liesa menunjuk ke arah potret yang dimaksudkan.

Mata Iddia, Anna dan Oshin tertancap pada potret tersebut. Potret seorang remaja lelaki berumur 16 tahun berbangsa Inggeris. Bila dilihat, tiada apa-apa yang menarik pun. Hanya sebuah potret lama.

“Aku tengok dia jelir lidah tadi! Panjang kot lidah dia!”

Anna memandang Oshin. Tidak dinafikan bulu roma mereka sudah meremang. Namun Iddia sekadar mencebik dan tidak mempercayai Liesa. Baginya, Liesa sengaja mengada-adakan cerita supaya mereka boleh cepat-cepat pulang. Dia tidak akan termakan dengan permainan Liesa.

“Kita ke sebelah sana pulak,” ajak Iddia tanpa mengendahkan ketakutan yang sedang dirasai Liesa.

Liesa mengetap bibir. Dia bercakap benda yang betul! Memang potret itu terjelir-jelir memandang ke arah mereka. Okey, bulu roma semakin tegak berdiri. Kini kedudukannya betul-betul bersebelahan potret itu. Seperti ada benda yang bergerak-gerak sahaja. Dia tidak mahu menunggu lama, dia berlari mendapatkan rakan-rakannya yang sudah berada jauh di hadapan.


Oshin, Anna dan Liesa terlopong melihat dinding yang diconteng dengan ayat-ayat kuno yang mereka tidak faham apakah maksudnya. Seperti ayat-ayat pemujaan pun ada. Seriau mereka melihatnya.

“Weh, kita baliklah. Aku dah rasa semacam je,” Liesa berbisik. Sejujurnya ada sesuatu yang dilihatnya beberapa saat yang lepas.

“Awal lagi kot nak balik. Kita duduk sini dalam sejam dua lagi..” Iddia berkata tegas. Langsung tidak mempedulikan perasaan Liesa.

“Kita baliklah!” marah Liesa. Dia sudah tidak ingin berada di situ lama-lama!

Oshin dan Anna memujuk Liesa. Mereka bersimpati dengan Liesa yang sudah hilang kesabaran dengan perangai Iddia. Lelaki ini memang langsung tidak mengasihaninya.

“Didi, kita baliklah yek? Aku pun dah semacam dengan tempat ni,” Anna menyokong keputusan Liesa. Sebenarnya dia turut ternampak sesuatu yang dia tidak patut lihat.

“Penakutlah korang ni. Tu la, nak pergi sangat..” Iddia berkata mengejek. Jika dia tahu menjadi begini, sudah tentu awal-awal lagi dia tidak bersetuju dengan plan Oshin untuk ke situ.

“Kau nampak tak tadi?” Liesa bertanya. Anna mengangguk.

“Korang nampak apa?” tanya Oshin.

“Kain putih penuh darah kat balik dinding tu…” bisik Anna. Mata Oshin terbuntang. Biar betul?

“Kau tak cium ke bau hanyir sekarang ni?” tanya Anna lagi.

Oshin menarik nafas dan kemudian menghelanya perlahan. Ya, ada bau hanyir seperti darah. Tidak lama kemudian, bau busuk seperti bangkai pula menyerang rongga pernafasan mereka. Pantas mereka menutup hidung dengan tangan. Mahu termuntah!

“Di, jomlah balik. Aku pun rasa tak sedap hati ni,” Oshin memujuk Iddia.

“Ala lecehlah korang ni. Jom lah balik!” akhirnya lelaki itu mengalah. Dia mengajak para gadis itu pulang walaupun dia masih belum puas meneroka. Masih banyak lagi sudut yang dia ingin terokai.

“Eh, kat sini balik?” Oshin melilau memandang ke sekeliling. Mereka kembali ke tempat tadi.

“Rasanya dah agak jauh kita berjalan…” Iddia menggaru kepala.

Bunyi desiran di lantai simen menakutkan mereka. Semua mata tertumpu pada lantai di hadapan mereka. Sudut itu kelam sekali. Pandangan mereka sedikit terbatas. Ada kain putih yang terseret di situ. Makin lama makin panjang kainnnya. Ada kesan tompokan darah di situ.

Mereka bertempik hingga ke puncak suara. Berlari mencari jalan keluar walaupun mereka akan tetap kembali ke tempat yang sama. Selepas Anna, Liesa dan Oshin membaca ayat suci al-Quran, akhirnya mereka berjaya mencari jalan keluar. Di luar, langit jingga yang menyapa mereka. Oshin memeriksa jam di tangannya, sudah pukul 6:40 petang. Tidak lama lagi waktu maghrib akan tiba.

Padahal mereka berada di dalam tidak sampai dua jam. Sudah berapa lama sebenarnya mereka terperangkap di dalam?


“Iddia mana?” Anna bertanya cemas.

“Ya Allah! Dia terperangkap kat dalam kot?” Oshin juga panik.

Kedengaran suara Iddia menjerit-jerit meminta tolong dari dalam muzium. Mereka serbasalah. Mereka mesti menyelamatkan Iddia tetapi mereka tidak berani untuk kembali ke dalam. Jadi bagaimana??

Telefon Oshin berbunyi-bunyi.


“Hello?”

“Oshin! Kenapa baru angkat call?”

“Ni siapa?”

“Ni Iddia lah. Kau dah kenapa tak kenal dengan aku lagi?”

“Ha??”

“Aku dari pagi tadi call kau nak cakap yang hari ni aku ada hal kecemasan. Tak jadi ikut korang ke muzium tu. Next week okey?”


Oshin ternganga. Matanya memandang tepat ke wajah Liesa dan Anna.

“Kenapa Oshin? Siapa yang call?”

Kemudian Oshin memandang muzium tidak berkelip-kelip. Suara ‘Iddia’ masih lantang meminta tolong. Dan dia juga baru sedar yang kereta juga tiada di situ…

“Oshin, kenapa ni?” Liesa dan Anna menyoal Oshin bertubi-tubi.

Siapa yang bersama mereka sepanjang hari tadi? Itu bukan Iddia yang sebenarnya?


Kemudian matanya bertemu dengan ‘Iddia’ di pintu utama muzium. Dia sedang tersenyum sambil menghadap ke arah mereka tanpa bebola mata.



*TAMAT*



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.