Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
92,966
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 8

Bab 8

Kampung Telaga

Tahun 1712


TAMAR baru sahaja tersedar, terpisat-pisat matanya memandang suasana persekitaran. Ternyata dia bukan berada di pondoknya. Dia cuba untuk bangun tetapi kesakitan masih jelas terasa di dadanya. Tamar terkejut apabila melihat di dadanya sudah terbalut dengan kain kapas putih.

“Siapakah yang merawat aku?” Tamar berbisik sendirian.

“Abang Tamar dah sedar? Bapak... bapak, Abang Tamar dah terjaga!” Tiba-tiba muncul Melur di sebalik langsir pintu kamar. Terkejut Tamar dibuatnya.

“Melur? Di mana Abang sekarang?” Tamar mencuba sedaya upaya untuk bangun dan Melur membantunya dengan perlahan-lahan.

“Abang ada di rumah Melur,” jawab Melur dengan bersahaja. Wajahnya kelihatan ceria setelah melihat Tamar sudah terjaga.

“Rumah Melur?” Tamar kehairanan.

“Tamar, kau tak apa-apa?” Penghulu Jantan menyapa dari muka pintu kemudian dia masuk ke dalam bilik di mana Tamar sedang dirawat.

“Tuk Penghulu, maafkan saya kalau menyusahkan Tuk sekeluarga...” Tamar cuba untuk bangun bersalam dengan Penghulu Jantan, tetapi ditegah oleh Penghulu Jantan yang risau akan kesihatannya.

“Berehatlah seketika di rumah Tuk, bila sembuh nanti baru boleh pulang ya... buat sementara waktu ini, Tamar tinggalah di sini.” Ujar Penghulu Jantan. Misainya yang tebal bergerak-gerak ketika dia tersenyum.

“Terima kasih Tuk,” Tamar terharu dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh Penghulu Jantan.

“Melur, buat apa tersenyum-senyum di sini. Pergi ke dapur tolong ibu apa yang patut.” Arah Penghulu Jantan kepada anak daranya.

“Ala... Melur nak jaga Abang Tamar.” Melur memuncungkan bibirnya tanda membantah.

“Bapak ada, biar bapak sahaja yang jaga Tamar.” Tegas Penghulu Jantan dan disambut senyuman sinis dari Tamar terhadap Melur.

“Bapak memang...!” Marah Melur seraya meninggalkan bilik tidur dengan menghentak-hentakkan kakinya. Lagaknya tidak ubah seperti kanak-kanak yang merajuk dengan ayahnya sahaja, walaupun usianya kini sudah boleh disunting untuk menjadi isteri orang.

“Hai, susah hendak menjaga anak perempuan. Kalau diberikan tiga anak lelaki Tuk taklah bersusah-payah hendak menjaganya. Ini baru seorang anak perempuan, itupun sudah buat kepala Tuk naik pening.” Seloroh Penghulu Jantan dan disambut ketawa dari Tamar.

“Tamar, sebenarnya apa yang telah terjadi? Melur yang jumpa Tamar tidak sedarkan diri di depan pondok Tamar.” Penghulu Jantan melabuhkan punggungnya ke sebuah kerusi kayu di tepi katil Tamar.

“Panjang ceritanya Tuk, kalau saya ceritakan mesti Tuk tidak percaya.” Ujar Tamar.

“Tamar ceritalah dahulu, kemudian barulah Tuk putuskan untuk percaya atau tidak,” Penghulu Jantan berseloroh lagi. Dia bermuka bengis tetapi kuat bercanda kalau diajak berbicara.

Tamar hanya tersenyum. Baru sahaja Tamar ingin memulakan cerita, Melur tiba dengan membawa dua gelas air kelapa dan sepiring pisang salai yang diletakkannya di dalam dulang kayu. Tamar sempat melirik kepada Melur dan dibalas satu senyuman manis oleh Melur. Aksi bisu mereka disedari oleh Penghulu Jantan yang sengaja tidak mengendahkan apa yang telah terjadi. Setelah Melur berlalu barulah Tamar memulakan ceritanya dengan perlahan-lahan.


JALUK dan Ajak sedang menikmati air nira di sebuah warung. Di samping mereka kelihatan dua pemuda yang bertubuh tegap dan kekar. Mereka sebenarnya sedang mengadakan sedikit perbincangan, perbincangan yang menjuruskan kepada satu pakatan jahat.

“Aku dengar si Tamar kena serang, kau tahu siapa yang menyerangnya?” Jaluk bertanya kepada Ajak.

“Aku kurang periksa, tetapi dia sekarang ada di rumah Tuk Penghulu. Dia sedang dirawat di sana. Aku dengar khabar, kecederaannya boleh tahan teruk juga.” Ajak bercerita dengan bersungguh-sungguh.

“Ha ha ha... ini memudahkan urusan kita, lepas ini nama Tamar akan tidak dsebut-sebut lagi di kampung ini.” Jaluk tertawa, dia gembira dengan perkhabaran yang disampaikan oleh Ajak kepadanya.

“Bila kita mahu bunuh budak itu?” lelaki yang bertubuh kekar bertanya, wajahnya bengis sekali.

“Sabar Darus, kita tunggu dia kembali ke hutan mencari rotan. Waktu itu barulah kita tamatkan riwayatnya.” Jaluk menerangkan rancangan jahatnya kepada Darus.

“Aku dengar si Tamar tu memang pandai bersilat. Lagipun dia kuat orangnya.” Getus Ajak. Ada jalur-jalur kerisauan terukir di wajahnya.

“Kau takut? Aku tak pernah takut dengan sesiapa pun, marilah tuk guru Tamar sekali pun aku tak gentar.” Sela Juragas lelaki yang tegap dan berotot dengan angkuh. Dia dan Darus merupakan adik beradik yang berhati busuk.

“Kau yakin dapat tumpaskan Tamar?” giliran Jaluk pula yang bertanya.

“Ini Juragas, tiada siapa yang berani berlawan satu sama satu dengan aku.” Juragas menepuk-nepuk dadanya. Rasa riak dan bangga menular di seluruh urat sarafnya.

Jaluk tertawa, dia turut bangga kerana memiliki orang-orang yang hebat di sampingnya. Rancangan untuk menghapuskan Tamar akan berjalan dengan jayanya. Dia yakin lelaki yang bernama Tamar akan lenyap dari muka bumi. Dan dia juga pasti Melur gadis tercantik di kampungnya akan jatuh ke dalam genggaman.

Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu

Tahun 2012

LOKMAN kini dirawat di tingkat empat di hospital milik kerajaan sepenuhnya ini. Kecederaannya semakin pulih. Cuma dia kelihatan ketakutan dan setiap kali dia terjaga dari tidurnya, Lokman akan meracau-racau sehinggakan doktor terpaksa memberikan suntikan ubat penenang.

Mayat rakannya Shuib, hilang tanpa dapat dikesan. Pihak berkuasa telah menutup kawasan Sungai Cicir buat sementara waktu. Serangan binatang misteri terus menjadi-jadi, ini membimbangkan pihak pengurusan dan pelancongan Tasik Kenyir.

Puas pihak polis dan wartawan bertanya binatang apakah yang menyerang Lokman dan Shuib, tetapi langsung tidak dilayan oleh Lokman. Dia hanya tunduk membisu tatkala ada orang datang melawat. Lokman langsung tidak mahu bercakap walaupun pihak hospital meminta alamat rumah dan nombor telefon ahli keluarga, agar mudah menghubungi mereka bagi menyatakan perkara yang berlaku.

Tekanan yang dialami Lokman begitu membimbangkan, setiap kali malam menjelma dia akan menangis teresak-esak sehingga matanya terlelap. Dan apabila dia terjaga, dia akan kembali meracau dengan tidak tentu hala. Mulutnya tidak habis-habis memekik dengan menyebut hantu berkali-kali. Wajahnya jelas sekali menggambarkan tekanan yang begitu memberat minda dan pemikirannya. Jika berterusan, Lokman mungkin akan menghabiskan sisa-sia hidupnya di rumah sakit jiwa.

Kuala Terengganu, Terengganu

ADI PUTRA baru tiba di negeri pantai timur ini. Wajahnya kelihatan ceria tatkala turun dari bas ekspress yang dinaikinya. Dipandangnya ke kiri dan ke kanan seolah mencari seseorang, kemudian dia mengukir senyuman dan melambai-lambai ke satu arah.

Adi Putra menghayunkan kakinya melangkah menuju ke seorang lelaki, lelaki tersebut juga turut melangkah mendapatkan Adi Putra.

“Assalamualaikum Man. Dah lama kau tunggu aku?” Adi Putra terus bertanya setelah menyapa sahabatnya itu.

“Waalaikumusalam, aku baru sahaja sampai lepas kau mesej aku tadi.” Jawab Razman dengan jujur. Mereka berdua bersalaman antara satu sama lain.

“Aku dengar kau dah bertunang, tahniah Man.” Ucap Adi Putra.

Adi Putra dan Razman merupakan rakan sepengajian di sebuah Universiti dahulu. Setelah tamat pengajian, masing-masing membawa hala tuju masing-masing. Hanya ketika Adi Putra bekerja di Terengganu barulah mereka akan bertemu. Kini Adi Putra sudah kembali ke Kuala Lumpur, tetapi tali persahabatan mereka masih erat seperti dahulu.

“Aku ada beli novel kau, Apabila Senja Menjelang, boleh tahan juga cerita hantu kau tu. Sampai naik seram bulu roma aku dibuatnya, takut aku nak baca.” Puji Razman.

Langsung tidak kedengaran loghat Terengganunya. Walaupun dia anak jati negeri bertuah itu.

“Kau ni puji lebih-lebih pulak, ke kau nak aku belanja kau makan?” tingkah Adi Putra seraya menepuk bahu sahabatnya itu berkali-kali.

“Eh, aku cakap betul. Cerita kau memang best, jarang ada penulis novel yang berani macam kau ni. Mana kau dapat cerita hantu macam tu?” Razman bertanya lagi sambil meletakkan beg pakaian Adi Putra ke dalam keretanya.

“Aku ada buat kajian sedikit, dan untuk pengetahuan kau, setiap apa yang aku tulis adalah kisah benar belaka. Cuma nama watak-wataknya sahaja yang aku reka. Selebihnya memang betul-betul terjadi.” Terang Adi Putra sambil mengukir senyuman.

Ketika ini dia dan Razman sudah berada di dalam kereta. Mereka berdua sedang menuju ke rumah Razman yang terletak tidak jauh dari Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya yang terkenal dengan jolokan Bandaraya Pesisir Air.

“Oh ya, hampir aku terlupa. Semalam berita di TV9 ada menyatakan tentang serangan binatang misteri itu lagi. Tetapi kali ini ada seorang mangsanya yang terselamat.” Cerita Razman dengan bersungguh-sungguh.

“Betulkah? Di mana dia sekarang?” Adi Putra kelihatan teruja sekali.

“Ada di hospital lagi agaknya. Kenapa?” tanya Razman pula.

“Kita pergi ke hospital sekarang, aku perlu berjumpa dengan dia!” Adi Putra menekan sedikit suaranya. Dia bagaikan tidak sabar untuk bersua dengan mangsa serangan binatang buas di Tasik Kenyir itu.

“Sekarang ke?” soal Razman kebingungan.

“Yelah, sekarang. Aku tak mahu terlepas peluang keemasan ini.” Jelas Adi Putra.

Razman akur dengan desakan Adi Putra, dia kenal benar dengan sahabatnya ini. Kalau ada yang mengujakan hatinya, Adi Putra akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan juga apa yang diinginkannya. Sebelum tiba di Terengganu lagi, Adi Putra telah bercerita kepada Razman tentang tujuannya ke sini. Negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya ini.

Sebagai sahabat, Razman akan tolong sedaya yang termampu. Kereta Proton Persona Razman melakukan pusingan U di satu persimpangan, arah tujuannya ketika ini sudah bertukar, dan kereta Proton Persona berwarna hitam meluncur laju menuju ke satu arah, Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.