Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
92,987
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 7

Bab 7

Bukit Pantai, Kuala Lumpur


ADI PUTRA baru sahaja selesai menaip dua bab untuk novel mutakhirnya, setiap satu bab novelnya, Adi Putra akan mencoretkan bait kata-kata dan jalan cerita dalam lapan hingga sepuluh muka surat kesemuanya. Mukadimah yang baik perlu digarapnya sebelum menjengah ke bahagian isi utama.

Tetapi pada ketika mindanya mula terasa beku, Adi Putra mengambil keputusan untuk melayari internet buat seketika. Ini adalah caranya kalau dia sudah kehabisan idea dalam menggarap novelnya. Kadang-kadang Adi Putra akan menonton filem atau mendengar lagu-lagu bagi memberi kesegaran kembali kepada mindanya. Lain orang lain cara mereka bekerja. Adi Putra lebih selesa bekerja sambil berhibur. Tiada tekanan saat dia menggarap sesebuah jalan cerita yang menarik dan menghiburkan.

Adi Putra melayari laman sosial Facebooknya buat seketika. Dia tertarik kepada seseorang, seorang yang telah membuat hatinya gembira dan tenang selalu. Dan pada lewat malam ini Adi Putra terasa rindu pula untuk berbual-bual dengan gadis tersebut di dalam kotak pesanan Facebooknya.

“Hm... mesti dia dah tidur. Tak apalah, esok mesti dia akan balas mesej aku.” Gumam Adi Putra sendirian.

Assalamualaikum Milo, Adi harap Milo sihat sejahtera. Adi tengok Milo sudah lama tidak online, adakah Milo tidak sihat? Milo, Adi ada buat cerita baru tau. Adi harap Milo suka karya Adi yang lepas. Manuskrip Adi yang ke dua sudah Adi hantar. Mungkin lima bulan lagi karya Adi akan diterbitkan.

Sekarang ini Adi sedang buat sedikit kajian untuk novel ke tiga Adi, baru sekejap tadi Adi siapkan beberapa bab untuk novel ke tiga ini. Isi tak cukup kuat lagi, Adi ingat nak pergi Terengganu dalam beberapa hari, Adi nak cari infomasi dan sedikit rujukan untuk novel terbaru Adi. Adi tak mahu pembaca novel Adi ingat Adi buat cerita pakai hentam keromo sahaja.

Oh ya, Adi ada rakam lagu yang baru Adi cipta. Nanti kalau Milo free Milo tengok-tengoklah emel Milo ya. Adi rakam guna henfon sahaja. Kalau suara dan petikan gitar Adi tu sumbang, Adi harap Milo maafkanlah ya. Adi suka berkongsi dengan Milo sebab Milo suka dengar celoteh Adi dan petikan gitar Adi.

Tapi kalau Milo sibuk, Adi minta maaf. Adi suka berkawan dengan Milo, harap Milo juga begitu. Kalau dah nak makan nasi minyak jangan lupa jemput Adi tau. Bertuah kekasih Milo kerana dapat Milo. He he he... Adi bergurau sahaja. Adi sendiri tidak tahu bilakah akan menamatkan zaman bujang Adi. Rasa rindu dan sayang masih lagi kuat buat Rahayu Azlan, walaupun dia kini sudah bahagia dengan suamiya.

Okeylah ada masa, rezeki dan panjang umur, Adi akan mesej lagi ke Facebook Milo. Adi mintak maaf seandainya selama kita berkawan Adi asyik menyebut nama bekas kekasih Adi sahaja. Dah jadi tabiat kot. Ha ha ha... Salam dan semoga berbahagia selalu.

Oh ya, lagu baru tu sebenarnya khas untuk Milo. Bye.

Adi Putra menghantar pesanan ke dalam kotak mesej rakan Facebooknya yang menggunakan nama samaran Milo Ais. Sesekali Adi Putra melihat gambar Milo Ais, Adi akan tersenyum. Rakan Facebooknya ini jarang benar menggunakan gambarnya sendiri, malah apabila diberitahu tentang nama penuhnya pun Milo Ais tidak akan dedahkan, apatah lagi kalau diminta nombor telefon, Milo Ais pasti akan mengelak.

Adi Putra tahu Milo Ais sudah berpunya dan bukan niat dia untuk mengganggu hubungan cinta orang lain. Adi Putra hanya mahu berkawan itu sahaja. Semenjak kehilangan cintanya, Rahayu Razlan, Adi Putra telah nekad untuk berhenti kerja sebagai pereka Grafik dan memilih bidang penulisan sebagai kerjaya barunya. Terlalu sukar untuk mencari orang yang mampu menggetarkan hatinya seperti Rahayu Razlan.

Adi Putra mahu hidup sendirian, tidak mahu bercampur dengan dunia luar, hanya di laman sosial sahaja dia mempunyai teman, dan Milo Ais adalah salah satu daripada teman yang rapat dengan Adi Putra. Apa yang penting Adi Putra merasa tenang setiap kali berbual dan berbalas-balas mesej di dalam laman sosial ini.

Sedikit-sebanyak kemunculan gadis yang bernama samaran Milo Ais membuatkan hati Adi Putra sentiasa berbunga-bunga harapan. Kemajuan teknologi terkini membuatkan setiap insan mampu berhubung tidak kira jauh atau dekatnya jarak di antara mereka. Dan tanpa kita sedari teknologi moden ini juga mampu menyatukan perasaan sang Adam dan Hawa. Hanya ketakdiran itu sahaja yang akan menentukan pertemuan mereka.

“Bagaimanalah agaknya rupa budak Milo Ais ni ya?” Adi Putra bertanya kepada dirinya sendiri, satu pertanyaan yang tidak mungkin akan terjawab.

“Hish... jangan ganggu kekasih oranglah, nanti buruk padahnya.” Adi Putra menasihati dirinya sendiri, mungkin ada suara halus telah menyanyi-nyanyi di dalam hatinya ketika ini. Adi Putra tersenyum sendirian. Seperti ada jari-jemari yang sedang menggaru-garu di pangkal hatinya.

Kemudian dia membalas beberapa pesanan dan komentar di dinding laman sosialnya itu, ramai di antara kenalan laman sosialnya itu adalah peminat-peminat novel seramnya. Kemudian dia ingin pergi ke laman seorang lagi rakan Facebooknya. Dia sudah lama mengenali gadis ini, sebelum terjun ke dalam dunia penulisan lagi.

“Nur Azura, apa khabar kau sekarang?”

Adi Putra berkata-kata di hadapan laman muka buku milik Nur Azura. Adi Putra melihat-lihat wajah gadis berkaca mata dan bertudung itu lama-lama. Sesekali dia melihat biodata milik Nur Azura yang tertulis ‘In relationship’. Adi Putra mengeluh seraya tersenyum hambar.

“Semoga Zura bahagia.” Ucap Adi Putra. Kemudian dia mengalih ke rakan-rakannya yang lain pula. Hatinya terasa sedih tatkala melihat wajah Nur Azura.

Selepas terasa bosan, Adi Putra mengambil keputusan untuk keluar dari laman sosialnya dan kembali menumpukan perhatiannya pada novel ke tiganya. Semangat yang ada pada Adi Putra untuk berkarya tidak pernah luntur, walaupun cerita terbarunya ini masih lagi belum mencukupi isi-isi dalamannya, Adi Putra bijak menggarap dengan perlahan-lahan agar tidak lari dari kisah yang ingin disampaikan.

Seketika selepas penat dia menaip, Adi Putra mengeluh sendirian. Dia tersandar ke kerusinya sambil meraup mukanya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Kemudian dia meneguk air kopi pra campur yang sudah dingin. Dilihatnya pada jam di tangan kirinya, waktu sudah menunjukkan hampir ke pukul tiga pagi.

“Ya ALLAH... patutlah rasa berat sangat mata ni. Tidurlah sekejap, nanti nak bangun solat Subuh pula.” Adi Putra mengomel di hadapan skrin komputernya.

Usai menutup komputernya, Adi Putra terus ke bilik air untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah melipat sejadah dan menyangkutnya di penyidai Adi Putra terus menghenyakkan tubuhnya ke katil. Satu keluhan penuh kelegaan dilepaskan. Adi Putra mengambil gitar akustiknya dan dia memetik dengan perlahan, sesekali dia menyanyi-nyanyi kecil, kedengaran sayu dan romantis. Lagu terakhir yang dimainkan kedengaran sedang menyebut nama seseorang. Adi Putra menyanyi dengan penuh penghayatan.

Adi Putra mengeluh tatkala menghabiskan bait-bait kata pada lagu yang dinyanyikannya itu. Itulah lagu ciptaannya yang pernah dinyanyikan kepada bekas kekasihnya Rahayu Razlan. Adi Putra menyandarkan gitarnya di sebelah meja komputer.

Kemudian dia kembali berbaring. Sesekali dia bermain-main dengan cincin perak di jari manisnya. Adi Putra lebih banyak bermain dengan perasaannya ketika ini. Matanya terkebil-kebil melihat ke siling rumah sewanya, kipas siling terus berputar dengan kadar kelajuan yang sederhana tetapi tetap memberikan rasa dingin yang selesa. Dia kini sedang cuba menghilangkan rasa sedih dan rindunya dengan membayangkan wajah Milo Ais.

Adakah dia cantik bak permaisuri atau gemuk dan tembam? Adi Putra tersengih-sengih, hatinya mula nakal berbisik, dia kini di dalam alam khayalan ciptaan mindanya sendiri. Sekurang-kurangnya Adi Putra dapat menghilangkan rasa sakitnya.

“Mesti cantik orangnya, tapi kenapa dia tak letak gambar dia sendiri? Ramai juga orang yang pelik-pelik di luar sana, ada gambar diri sendiri, tapi letak gambar orang lain, ada nama betul, tetapi menyamar dengan nama yang aneh-aneh.” Adi Putra bermonolog sendirian.

Pelik juga nama yang diguna oleh rakan laman sosialnya itu, kemudian guna gambar Hamster pula. Misteri sungguh. Tapi budak Nurul Farhana tu cantik dan manis juga orangnya, tapi umurnya berbeza sepuluh tahun dari aku, hish... apa yang aku mengarut ni?

Hai siapalah yang pandang penulis picisan seperti aku ini. Umur pulak dah tiga puluh lebih, tapi tak juga kahwin. Nasiblah kau Adi, membujang sampai tualah jawabnya. Hati Adi Putra bagaikan mengeluh seraya matanya terkebil-kebil memandang siling rumahnya.

Puas dia mengelamun, matanya mula terkatup dengan perlahan-lahan dan akhirnya Adi Putra terlelap jua. Putaran angin yang menderu dari bilah-bilah kipas di siling, menambah kedinginan sekujur tubuh yang sedang lena dibuai mimpi.

Perasaan nyaman mula menyelinap ke seluruh reroma tubuh Adi Putra. Dengkuran halus mula kedengaran tanda tubuhnya mengalami kepenatan yang tidak terhingga. Adi Putra kini sudah melangkah ke alam rohani, ke alam mimpi.

Machang, Kelantan

SETELAH pulang dari Kemaman, Shazzuana mengambil keputusan untuk meminta pertolongan dari Fazlun mencari seorang pemburu yang mahir dalam selok-belok di dalam hutan. Dia tetap mahu ke hutan Kenyir hujung minggu ini, walaupun Fazlun berkeras agar serahkan segala urusan kepada pihak berkuasa sahaja. Selepas habis sahaja kuliah pagi, Shazzuana singgah sebentar ke bilik ICT, di situ Shazzuana akan melayari internet buat seketika.

Shazzuana masih menyimpan telefon bimbit Ezuan, ke mana sahaja dia pergi, telefon pintar milik kekasihnya itu akan dibawanya. Dia masih tercari-cari, binatang apakah yang menyerang Ezuan dan rakan-rakannya. Shazzuana yakin dan pasti, bayang-bayang yang melintasi di belakang khemah Ezuan itu adalah bayang-bayang binatang yang menyerang Ezuan dan rakan-rakannya. Jikalau dilihat kepada bayang-bayang yang melintasi belakang khemah Ezuan, bentuk binatang yang menyerang kekasihnya itu sedikit menyerupai susuk tubuh manusia.

Shazzuana menyambung telefon bimbit Ezuan kepada komputer di bilik ICT. Dari skrin yang lebih besar, Shazzuana dapat melihat dengan jelas kelibat bayang-bayang tersebut. Berkali-kali dia melihat rakaman itu, dan apabila tiba di saat kelibat itu muncul, Shazzuana terus menekan pause.

“Binatang apakah yang bertubuh kurus melengkung dan tinggi ini? Macam manusia pun ada...” Shazzuana bergumam sendirian di hadapan skrin komputer.

Setelah puas meneliti rakaman tersebut, Shazzuana mengeluh panjang. Di mindanya kini langsung tidak tercatat maklumat tentang bentuk tubuh kelibat yang melintasi khemah Ezuan. Perasaannya kini mula berkecamuk. Dia tidak tahu untuk berbuat apa. Tiba-tiba dia teringat tentang laman sosialnya. Mungkin dengan melayari laman sosial seperti Twitter dan Facebook hatinya akan kembali tenang. Dia benar-benar kekusutan.

Shazzuana membalas setakat yang mampu sahaja ketika berada di laman sosialnya, setelah bosan di laman Twitter, Shazzuana pergi pula ke laman Facebook. Shazzuana melepaskan keluhan yang memberat. Mindanya sarat dengan pelbagai masalah ketika ini. Permasalahan yang bermula dari hati dan perasaan. Entah kenapa apabila berhadapan dengan laman sosial Facebook hati Shazzuana semakin tidak keruan, seperti ada sesuatu yang mengganggunya.

Tidak sampai pun sejam di bilik ICT, Shazzuana terus ke bilik Fazlun yang terletak di puncak bukit. Di situ kolej untuk pelajar perempuan ditempatkan. Shazzuana terpaksa mendaki anak-anak tangga untuk menuju ke puncak bukit tersebut, ini kerana bas untuk ke setiap kolej terlalu penuh dengan pelajar-pelajar. Mahu tidak mahu, Shazzuana terpaksa menapak. Gadis cantik berasal dari Besut ini cukup kuat, terutama semangatnya. Jika dia tidak dapat apa yang dia inginkan, dia akan tetap usaha sampai berhasil.

Ketibaan Shazzuana disambut dengan senyuman yang ceria dari Fazlun, tetapi tidak pula Shazzuana, senyuman yang terukir dari bibir mongel gadis berkulit putih ini hambar dan tidak ceria seperti kebiasaanya. Tanpa berlengah, Shazzuana terus menyatakan tujuannya datang ke bilik Fazlun.

“Ana, apa kata ibu dan ayah kau nanti? Kalau diorang tahu kau nak ke Kenyir mesti diorang tak akan lepaskan. Kau kena ingat Ana, kita sekarang ni di tahun akhir.” Fazlun masih cuba sedaya-upaya menghalang hasrat Shazzuana.

“Faz, aku mesti pergi juga cari Ewan, kau tolonglah aku. Aku merayu pada kau, naluri aku tetap menyatakan Ewan masih hidup. Tolonglah aku, Faz...” Shazzuana merayu-rayu. Air matanya bergenang di takungan.

“Tapi...” Fazlun mula dilanda keresahan.

“Fasal ibu dan ayah aku, biar aku yang uruskan. Yang penting aku mesti pergi ke Tasik Kenyir juga, kalau boleh Sabtu ini.” Nekad Shazzuana. Fazlun terdiam seketika.

“Baiklah, tapi aku tolong kau untuk kali ini sahaja.” Fazlun melepaskan satu keluhan, dia akur dengan desakan Shazzuana.

“Terima kasih Faz, kau tolonglah carikan seorang yang mahir dengan selok-belok hutan. Aku betul-betul nekad hendak cari Wan.” Ujar Shazzuana bersungguh-sungguh.

“Pakcik aku seorang pemburu dan bekas tentera, dia biasa masuk hutan. Mungkin aku boleh minta pertolongan darinya.” Terang Fazlun dengan muka yang tidak bermaya. Dia buat semua ini semata-mata kerana Shazzuana.

“Kalau begitu sekarang juga kita hubungi pakcik kau, please Faz...” Shazzuana melonjak riang seraya merayu lagi.

“Yelah-yelah, nanti aku hubungi dia. Kalau dia ada di rumah petang nanti kita pergi ke rumah dia di Tanah Merah.” Kata Fazlun yang berasal dari Kelantan.

“Terima kasih Faz!”

Shazzuana melompat kegirangan, lantas dipeluknya Fazlun seerat yang mungkin. Fazlun sekadar tersengih-sengih, dia tidak tahu untuk berbuat apa kecuali membalas pelukan itu dengan seadanya sahaja.

Hajat pertama sudah berjaya dilaksanakan, kini yang tinggal adalah hajat ke dua pula, iaitu ingin membawa pulang Ezuan hidup-hidup. Shazzuana percaya cintanya itu masih lagi bernyawa dan dia sendiri yang akan membawa pulang kekasihnya itu kembali ke sisi keluarga Ezuan dan ke sisinya. Begitu kuat naluri dan semangat Shazzuana, sekuat cintanya terhadap Ezuan.

Kuala Lumpur

ADI PUTRA baru sahaja selesai mengemas pakaian dan barang-barang keperluannya. Destinasi yang akan ditujunya kini sudah ditetapkan, dia nekad dan rasa terujanya mengatasi risiko yang bakal mengancam dirinya, di Tasik Kenyir. Semalam dia baru sahaja selesai membuat beberapa kajian tentang Tasik Kenyir. Tasik buatan manusia itu merupakan tasik buatan yang terbesar di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara. Keluasannya kira-kira 209 199 hektar. Mempunyai 340 pulau-pulau kecil, di mana kesemua pulau-pulau kecil itu asalnya puncak-puncak bukit dan tanah tinggi.

Selain itu di Tasik Kenyir terdapat 14 air terjun, sungai dan lurah. Juga di Kenyir ni terdapat beberapa bukit dan tujuh buah gunung. Antaranya Gunung Gagau, Gunung tembat, Gunung Chergau dan banyak lagi. Hutan di Tasik Kenyir yang juga dikenali sebagai hutan hujan dan merupakan hutan hujan tropikal yang tertua di dunia. Kewujudannya telah dicatat lebih kira-kira 130 juta tahun yang lalu.

Di Kenyir juga terdapat banyak gua batu kapur. Antara yang paling menjadi sebutan adalah Gua Bewah dan Gua Taat yang terletak di puncak bukit Limestone. Misteri gua-gua ini masih lagi belum dapat dirungkaikan. Dan dipercayai ada peninggalan dari 3000 sebelum masihi lagi di dalamnya. Para pengkaji yakin misteri gua di Tasik Kenyir pasti akan dirungkaikan apabila sampai waktu dan ketikanya.

Di Tasik Kenyir ada 14 air terjun dan aliran-aliran sungai dan lurah yang menjadi destinasi kepada para pemancing tegar kerana Tasik Kenyir kaya dengan ikan air tawar, malah di hutan Kenyir juga kaya dengan flora dan fauna yang unik dan menarik. Antara ikan air tawar yang sentiasa menjadi buruan pemancing di Tasik Kenyir ini adalah seperti Kelah, Toman, Sebarau, Belida, Baung dan banyak lagi.

Bagi penggemar bunga-bunga liar dan serangga, di Kenyir terdapat 8000 jenis bunga, 2500 jenis pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan. Ada 800 jenis orkid hutan, lebih 300 fungus, 1000 jenis rama-rama, 370 jenis burung-burung, lebih 200 jenis binatang-binatang liar seperti, harimau belang, harimau bintang, gajah, beruang, kancil dan beratus ekor ular dan serangga.

Kesemuanya telah Adi Putra catatkan ke dalam buku notanya. Sememangnya kajian ini amat penting bagi Adi Putra. Sedikit sebanyak dia telah mengenali sisi kecil hutan Kenyir. Selebihnya dia perlu merasai sendiri pengalaman berada di hutan yang penuh dengan seribu misteri itu.

Adi Putra sempat menghubungi sahabatnya yang berada di Terengganu untuk menyatakan hasratnya ke Tasik Kenyir. Ini bukan kali pertama dia ke Terengganu, malah dia pernah bekerja di Terengganu beberapa tahun yang lepas. Kerana minatnya dalam dunia penulisan, Adi Putra kembali ke Kuala Lumpur mencari rezeki di tempat kelahirannya sendiri.

Setibanya di Hentian Putra, Adi Putra terus mengambil tempat di bahagian menunggu. Bas ekspressnya masih lagi belum tiba. Adi Putra sengaja bertolak awal dari rumah sewanya kerana bimbang dengan kesesakan jalan raya.

Sementara menanti ketibaan bas ekspressnya, Adi sempat membaca sebuah novel garapan seorang penulis barat yang amat diminatinya, Stephen King’s. Kebanyakan novel yang dihasilkan oleh penulis ini sudahpun diadaptasikan ke layar perak. Contohnya seperti It,Rose Red, Misery dan banyak lagi. Tetapi yang paling diingati oleh Adi Putra adalah karya The Window. Dilakonkan oleh pelakon terkenal Hollywood, Johnny Depp.Garapan yang seram dan ada unsur-unsur thriller menarik minat Adi Putra untuk mengikut jejak langkah idolanya itu.

Dalam keasyikannya membaca, Adi Putra dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Apabila diperhatikan nama pemanggil yang tertera, wajah Adi Putra serta-merta berubah. Tetapi dia tetap menjawabnya, walaupun terasa berat.

“Ya, nak apa?” Adi Putra terus mengeluarkan satu pertanyaan kepada pemanggil tersebut. Nada suara Adi Putra jelas tidak gembira.

“Abang apa khabar?” pertanyaan Adi Putra dijawab dengan satu soalan oleh seorang pemanggil wanita.

“Abang sihat, ada apa Ayu call abang?” serius Adi Putra bertanya.

“Ayu hanya hendak bertanyakan khabar sahaja, kalau Ayu mengganggu tak apalah...” Rahayu Razlan mengendurkan suaranya. Dia terasa terkilan dengan layanan dingin dari Adi Putra.

“Ayu, Ayu kena ingat. Ayu dah jadi isteri orang. Abang tak mahu Ayu berbalah dengan Sham kerana abang. Abang redha dengan ketentuan ALLAH terhadap hubungan cinta kita. Ayu berhentilah dari terus hubungi abang.” Adi Putra tenang ketika berbicara, walaupun pahit mulai terasa.

“Ayu hanya nak berkawan dengan abang itu sahaja, janganlah abang terus buang Ayu dari hidup abang.” Kata Rahayu Razlan.

“Abang tak pernah buang Ayu, tapi Ayu yang buang abang. Ayu, abang lepaskan Ayu kerana Ayu yang minta. Abang tahu abang tak sekaya Sham, kerja pun tak tentu. Abang korbankan rasa cinta abang pada Ayu, semata-mata ingin melihat Ayu bahagia.”

Adi Putra masih dapat menahan gelojak perasaannya ketika ini. Kenangan dengan Rahayu Razlan begitu utuh dalam pemikirannya.

“Ayu tahu Ayu tersilap, Ayu tahu Ayu terlalu ikutkan perasaan. Tetapi berilah peluang untuk Ayu tebus kesilapan Ayu pada abang.” Rahayu Razlan mula mengaku akan kesilapannya.

“Tebus kesilapan? Ayu nak tebus dengan apa? Sudahlah, abang tak mahu apa-apa dari Ayu. Simpanlah semua kenangan kita dahulu. Ayu berhentilah dari terus hubungi abang. Mungkin itulah jalan yang terbaik.” Rahayu Razlan terdiam mendengar kata-kata Adi Putra.

“Setialah pada Sham, dia suami Ayu sekarang ini. Jagalah hati dia dan jangan hancurkan hatinya sepertimana Ayu menghancurkan hati abang. Assalamualaikum Rahayu Razlan.” Adi Putra kemudiannya terus memutuskan talian.

Adi Putra menghela keluhan yang panjang. Dia termenung seketika, kilauan cincin perak Rahayu Razlan berkilauan di jari manisnya, matanya sayu sahaja memandang pemberian Rahyu Razlan itu. hatinya mula terasa sebak tatkala mendengar suara lunak Rahayu Razlan.

Rindunya pada Rahayu Razlan terus menerjah-nerjah ke dalam jiwanya. Ingin sahaja dia terus bercakap dengan mantan kekasihnya itu, dan ingin sahaja dia meluahkan rasa sayangnya yang masih tersisa, tetapi batasnya hanya setakat itu sahaja. Dia tidak akan sesekali menghancurkan rumah tangga orang lain. Biarlah pengorbanannya tidak dipandang dan dihargai, asalkan cinta hatinya itu berbahagia dirangkulan lelaki lain. Adi Putra pasrah.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.