Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
93,265
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 10

Bab 10


Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu

HARI ini Lokman menerima dua orang pelawat yang datang semata-mata ingin bertanyakan tentang kejadian yang berlaku di hutan Tasik Kenyir tempoh hari. Adi Putra dan Razman perlahan-lahan menyapa Lokman yang sedang berbaring mengiring dan melontarkan pandangannya jauh ke luar tingkap hospital.

“Assalamualaikum, nama saya Adi.”

Adi Putra memperkenalkan dirinya seraya menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Lokman. Tetapi Lokman tetap diam membisu dan langsung tidak melayan kedatangan Adi Putra dan Razman.

“Er, ini kawan saya. Namanya Razman.” Adi Putra mencuba sekali lagi dengan memperkenalkan Razman kepada Lokman.

Tetapi jawapannya tetap sama, Lokman langsung tidak berkalih pandang pada Adi Putra dan juga pada Razman, malah apabila tangan dihulur untuk berjabat salam juga tidak diendahkan. Matanya tetap memandang ke luar tingkap, wajahnya kelihatan kosong tanpa perasaan.

“Macam mana ni Adi, dia macam dah tak betul sahaja...” Razman berbisik ke telinga Adi Putra.

“Sabar, insya-ALLAH dia akan kembali kepada dirinya.” Adi Putra tersenyum, riak wajahnya yang tenang membuatkan Razman terdiam seketika.

Kadang-kadang terfikir juga oleh Razman tentang maksud Adi Putra terhadap Lokman. Adakah Lokman sedang berkhayal ketika ini ataupun dia masih lagi berada di dalam keadaan tidak sedar dengan sepenuhnya.

“Adi, aku rasa esok sahajalah kita datang jenguk dia. Mungkin esok dia dah boleh cakap seperti biasa.” Razman berbisik lagi, dia tidak mahu Lokman terdengar kata-katanya.

“Jangan khuatir, dia akan jawab setiap apa yang aku tanyakan nanti.” Adi Putra tersenyum memandang wajah Razman.

“Kau ni macam bomoh pulak, kau buatlah sampai dia bercakap, aku nak tengok.” Razman mencabar Adi Putra dan disambut senyuman tipis oleh lelaki bertubuh tegap dari Kuala Lumpur itu.

Adi Putra berjalan perlahan-lahan dan dia kini sedang menunduk sambil mengadap wajah Lokman. Lokman memandang wajah Adi Putra seketika. Kemudian dia tersenyum. Adi Putra membalas senyuman Lokman dengan seadanya.

“Kalau tak salah saya, encik ini bernama Lokman, bukan?” Adi Putra bertanya.

“Ya, nama saya Lokman.” Jawab Lokman seperti biasa. Razman kelihatan terkejut apabila Lokman menjawab pertanyaan Adi Putra.

“Saya nampak di kaki katil awak ada papan nama pesakit yang tertulis nama Lokman, jadi saya fikir tentu itu nama awak. Nama saya Adi, salam perkenalan.”

Adi Putra menghulurkan tangannya buat kali kedua dan kali ini Lokman menyambutnya dengan tenang. Penulis itu menggunakan pendekatan psikologi.

Adi Putra tersenyum kerana berhasil membuat Lokman berkomunikasi dengannya. Adi Putra duduk di kerusi yang telah disediakan oleh pihak hospital. Lokman pula bangun perlahan-lahan dan duduk menyandar, wajahnya kelihatan tenang ketika ini. Razman masih terdiam, di dalam hatinya tercetus rasa kagum terhadap Adi Putra kerana berjaya mempengaruhi Lokman agar berbicara dengannya.

“Encik Lokman bagaimana sekarang ini, maksud saya kecederaan yang dialami?” Adi Putra berhati-hati ketika menuturkan kata-katanya.

“Saya... saya tak tahu,” wajah Lokman kosong.

“Maaf kalau saya bertanya lagi, encik Lokman nampak binatang apakah yang menyerang encik Lokman dan kawan encik?” kali ini Adi Putra memberanikan dirinya dengan terus bertanyakan soalan yang menjuruskan kepada tujuan utama pertemuan ini.

Lokman diam seketika, dia tunduk memandang jari-jemarinya. Badannya kelihatan bergoyang-goyang seperti orang sedang meratib sahaja. Razman memberi isyarat bisu dengan menggerak-gerakan tubuhnya kepada Adi Putra, dia risau melihat perubahan Lokman yang seakan mula tidak waras. Adi Putra memberi isyarat agar Razman bertenang, dia tahu apa yang perlu dia buat seandainya Lokman hilang kawalan.

“Hantu...” terdengar suara Lokman menyebut satu perkataan dengan perlahan-lahan.

“Encik Lokman nampak rupa dan bentuk... er, hantu itu?” Adi Putra bertanya.

Dia pandai mengikut rentak Lokman. Seandainya ingin mendayung sampan janganlah kita menongkah arus yang kuat, ikutlah aliran air yang mengalir agar tidak binasa jiwa. Itulah yang selalu dipegang oleh Adi Putra.

“Macam orang, tapi tinggi...” cerita Lokman sambil mendongak memandang wajah Adi Putra.

“Tinggi? Tinggi macam mana?” soal Adi Putra lagi.

“Tinggi tapi kurus, lebih tinggi dari Adi. Mukanya bengis, matanya menyala-nyala. Dia... dia bunuh Shuib,” Lokman tertunduk lagi, badannya mula menggeletar seperti kesejukan. Sesekali terdengar suaranya terngongoi kecil.

Adi Putra terdiam, gambaran yang dikatakan oleh Lokman terhadap rupa dan bentuk makhluk misteri tersebut kini bermain-main di mindanya. Dia mengeluarkan sekeping nota kecil, lekas-lekas dia mencatat sesuatu.

“Dia takut api...” Lokman yang terdiam menyambung ceritanya.

“Takut api? Er... hantu itu takut pada api?” berkerut wajah Adi Putra memandang Lokman.

“Dia sakit bila terkena api, mukanya terbakar sedikit selepas saya pukul dengan puntung kayu yang ada api.” Cerita Lokman dengan bersungguh-sungguh.

“Lepas tu?” Razman mencelah tanpa diminta, dia teruja mendengar cerita Lokman.

Lokman berkalih pandang pada Razman, renungannya membuatkan Razman terdiam. Kemudian Lokman memandang semula ke wajah Adi Putra. Entah kenapa Lokman terasa tenang tatkala memandang wajah Adi Putra.

“Boleh Lokman ceritakan semula tentang kejadian malam itu?” Adi Putra bertanya dengan lemah-lembut agar tidak membuat Lokman tertekan.

Dia tahu bagaimana perasaan Lokman sekarang ini, pendekatan psikologi amat penting sekali pada waktu ini. Terutama sekali kepada individu yang mengalami tekanan perasaan yang amat hebat.


Imbas Kembali

LOKMAN terkejut apabila Margas menerkam ke arahnya, tanpa disengajakan, Lokman telah melibas puntung kayu yang masih menyala tepat ke muka makhluk Margas. Libasan itu menyebabkan Margas bertempik kesakitan, wajahnya terbakar separuh. Margas menghilangkan dirinya di dalam kegelapan malam.

Dikesempatan itu, Lokman merangkak mendapatkan Shuib yang tertiarap tidak bernyawa. Lokman menggerak-gerakkan tubuh Shuib, di dalam keadaan yang genting itu, Lokman tidak menyedari bahawa Shuib sudah tiada lagi. Lokman terdengar suara Margas yang menderam di sebalik pokok kayu yang berhampiran.

Lekas-lekas Lokman merangkak ke unggun api, dia kini menggeletar ketakutan. Suara garau Margas masih kedengaran tetapi kelibatnya tidak kelihatan.

“Pergi kau dari sini, jangan ganggu aku!” dalam gentar masih lagi ada sisa keberanian di dalam hati Lokman. Dia mengacu-acu puntung kayu berapi itu ke setiap arah.

Seketika kemudian Lokman terpandang di hadapan matanya sesusuk tubuh seperti manusia berdiri dalam beberapa meter sahaja di hadapannya. Lembaga itu adalah Margas, wajahnya yang menyeringai menampakkan barisan giginya yang jarang tetapi bergerigis. Tangannya pula memanjang ke bawah seperti tangan Orang Utan tetapi berotot dan berkuku panjang dan tajam.

Lokman melihat kepala Margas yang terbakar separuh kesan akibat dari libasannya tadi. Margas tidak berambut, hidung yang mancung, dagu yang panjang dan telinga yang tajam mengingatkan Lokman kepada satu watak penjahat di dalam cerita Lord Of The Rings. Tiba-tiba Margas membuka mulutnya dan meraung seperti seekor harimau tetapi raungannya lebih menakutkan lagi.

Margas melompat seperti seekor harimau, dia menerkam dengan ganas ke arah Lokman. Lokman terjatuh kepalanya terhentak ke tanah menyebabkan Lokman terus tidak sedarkan diri. Manakala Margas menggelupur kerana terkena api pada kayu yang Lokman pegang.

Tubuhnya terbakar tetapi lekas-lekas dia berguling memadamkan api yang menyala. Setelah terpadamnya api di badannya, Margas merangkak mendapatkan mayat Shuib. Gerakannya tidak sepantas tadi lagi, kecederaan yang dialaminya membuatkan Margas mengambil keputusan untuk melarikan diri, kembali ke guanya.

Margas hanya sempat mengambil jasad Shuib sahaja, manakala Lokman dibiarkan oleh Margas, ini kerana unggun api yang menyala di sisi Lokman menakutkan Margas. Sesekali Margas menderam, ingin sahaja dia membawa Lokman sekali ke dalam guanya, tetapi kerana rasa sakit akibat terkena api membuatkan binatang aneh itu teragak-agak lantas mengambil keputusan untuk membawa mayat Shuib sahaja.

Keesokan harinya barulah Lokman tersedar, dia bangun dengan wajah yang terpinga-pinga. Lokman mencari-cari jasad Shuib, tetapi gagal, akhirnya dia mengambil keputusan untuk bergerak meminta pertolongan. Lokman berjalan dengan lemah dan tidak berdaya. Agak lama juga dia meredah hutan, mujur juga dia masih ingat laluan yang pernah dilaluinya. Kini dia sudah berada di tebing Sungai Cicir. Lokman terus berjalan dengan wajah yang pucat dan longlai. Nasib Lokman baik, mujur jugalah dia bertemu dengan beberapa orang pemancing yang kebetulan memancing berdekatan di kawasan itu dan Lokman terus diselamatkan.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.