Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 9

Reykal dan Tenku berjalan di sekitar hospital. Telah hampir setengah jam mereka berdua meronda kawasan hospital tersebut tetapi bayangan kantin masih tidak jua kelihatan. Masing-masing masih mencari sambil menahan rasa lapar dan dahaga. Tenku kadangkala merungut-rungut kecil tentang fasaliti di hospital tersebut yang baginya amat menyusahkan. Sementara Reykal kelihatan lebih tenang meskipun dia juga bersependapat sedemikian. Cuma tidak diluahkan melalui kata-kata. Hanya bergumam di hati semata-mata.

“Kantin tak jumpa water cooler pun jadilah.”ujar Tenku seraya menekan butang memancurkan air dan meneguk sepuasnya. Terasa kesejukan air mengalir ke tekak menghilangkan rasa dahaga.

Selepas Tenku, Reykal mengambil peluang tersebut meneguk air sepuas-puasnya. Tubuh yang tadi terasa lemah kini mula berasa segar. Setelah sudah mereka berdua berjalan meronda kawasan hospital itu lagi.

“Hospital ni setahu aku dah lama beroperasi. Sejak dari zaman tentera Jepun lagi.”getus suara Tenku secara tiba-tiba.

“Mana kau tahu? Pandai-pandai saja kau buat cerita.”ujar Reykal acuh tak acuh.

“Aku tahu lah. Sebab tadi aku terbaca bingkai gambar yang memaparkan sejarah hospital ni.”jawab Tenku.

“Masa bila kau baca? Aku tak perasan pun.”ujar Reykal kehairanan. Tenku hanya tersengih-sengih.

Reykal mendengus kecil. ‘Kalau dah dasar ulat buku, pergi mana pun bahan bacaan juga yang dicarinya.’gumam hati kecil Reykal. Kemudian dia tertawa sendiri dengan sikap dan perangai Tenku yang sememangnya tidak boleh diubah itu.

“Hmm. Sebab dah lama beroperasi fasaliti yang berada dalam hospital ni agak usang. Kau tengok sendiri betapa susah kita nak cari kantin. Satu penunjuk arah pun tak ada. Lagi satu yang aku agak kurang senang dengan mana-mana hospital adalah dari segi layanan. Baik dari petugas biasa sehinggalah ke doktor. Kadangkala cakap kasar bukan main. Muka pulak kelat macam tertelan buah peria. Bukan payah lagi nak bagi senyuman. Sebab itu orang lebih kerap ke hospital swasta. Walaupun mahal tetapi servis yang mereka bagi bagus. Tetapi aku tak maksudkan semua petugas hospital macam tu sebab ada jugak yang baik.”Tenku berceloteh.

Reykal hanya menjadi pendengar setia. Sesekali dia mengangguk setuju dengan kata-kata Tenku itu.

“Aku komen ni bukan apa. Untuk kebaikan juga. Macam mana kalau pelancong asing datang ke Malaysia menggunakan khidmat rawatan di hospital yang menyediakan layanan yang teruk? Kau dapat bayang tak bagaimana imej Malaysia di mata dunia? Hancur beb! Ini baru sahaja aku sentuh bab perkhidmatan hospital. Belum lagi aku cakap tentang hal perkhidmatan lain.”tokok Tenku lagi.

“Negara kita perlukan satu anjakan dalam memangkin cita-cita Tun M dalam merealisasikan Wawasan 2020. Kalau dari segi infrastruktur aku rasa tidak perlu dicakap lagi sebab bagi aku segala bentuk pembangunan berada pada tahap yang terbaik. Tetapi kita perlu satu perubahan dari aspek mentaliti. Mentaliti masyarakat kita bagi aku boleh dikategorikan dalam kelas ketiga. Terlalu pasif dan adakalanya tidak berkembang. Tiada disiplin diri dan suka sangat berfikiran negatif.”lanjut Tenku lagi.

Reykal kagum dengan kepetahan Tenku berkata-kata tentang hal-hal sedemikian rupa. Kalau diikutkan lelaki ini tidaklah berpelajaran tinggi sangat cuma di peringkat STPM sahaja, tetapi pengetahuannya tentang hal-hal semasa sangat dipuji. Mungkin ini berkat kerajinannya membaca buku sepanjang masa, akur Reykal di dalam dirinya sendirinya. Tetapi dalam masa yang sama lelaki itu tetap berprinsip bahawa buku tidak mampu menjelaskan semua yang berada dalam dunia ini.

“Cuba kau tengok masyarakat Jepun. Aku bukan nak bandingkan tapi bagi aku masyarakat di negara sana sangat menjaga adab dan tatasusila. Bahkan mereka sangat berdisiplin dalam apa-apa hal sekalipun.”ujar Tenku lagi. Ternyata lelaki ini benar-benar tidak berpuas hati dengan sikap masyarakat di negara ini.

Reykal termenung panjang memikirkan kata-kata Tenku. Terdapat kebenaran dalam kata-katanya itu. Reykal mengakui perkara tersebut. Baginya Jepun wajar dijadikan contoh dalam aspek pembangunan mentaliti masyarakat. Dia teringat sewaktu Jepun dilanda bencana alam dahulu. Walaupun kekurangan makanan dan terpaksa menginap di kem penempatan sementara tetapi saat bantuan makanan tiba mereka tidak berebut-rebut. Bahkan sikap mereka sopan dan sanggup beratur menerima bantuan makanan tersebut. Kenapa perkara yang sama tidak boleh dipraktikkan di negara ini? Reykal mengeluh sendirian.



Penat berjalan mereka duduk di salah sebuah kerusi yang tersedia. Kini mereka berdua berada di dalam kawasan taman bunga. Kawasan taman tersebut sedikit terdedah, namun suasana langit yang agak redup ditambah dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan diri terasa nyaman. Berada di situ membuatkan kedua-dua diam mengunci bicara. Masing-masing melayani perasaan sendiri terutamanya Reykal.

Berada di kawasan sebegitu tidak semena-mena menggamit rindunya terhadap Ayu Emelda. Meskipun bibir melafazkan kebencian tetapi hatinya masih sayang terhadap wanita itu. Reykal mengeluh berat. Dahulu sewaktu zaman bahagia bersama wanita itu, Reykal rajin mengajaknya bersiar-siar di taman bunga seperti itu. Dan wanita itu sering kali tertawa bahagia saat Reykal berkata-kata puitis dan madah-madah cinta. Saat itu dunia terasa seperti milik mereka berdua. Namun semuanya kini hanya tinggal kenangan.

Tetapi Reykal tidak berasa menyesal cuma terkilan kerana janji yang pernah diungkap bersama telah hancur berkecai. Semuanya hanyalah janji palsu semata-mata. Meskipun hati masih sayang tetapi untuk berpatah balik buat kali kedua kepada Ayu Emelda tidak sama sekali. Bukan prinsip hidupnya. Sekali dia meludah, dia tidak akan menjilat balik ludahan tersebut.

Reykal menyeluk poket seluarnya. Jarinya mencari-cari telefon bimbit tetapi tidak terdapat di dalam poketnya itu. Reykal meraba-raba di poket yang lain dan juga bajunya. Ternyata telefon bimbitnya tiada. Reykal mengetap bibir.

“Mesti jatuh masa kemalangan tadi.”bisik Reykal perlahan.

Dia mengeluh. Telefon bimbit itu adalah telefon bimbit yang dibeli bersama dengan Ayu Emelda. Hanya itu satu-satunya kenangan yang tinggal sebab lain-lain barang telah dibuang olehnya saat mengetahui wanita itu curang. Dan kini kenangan yang satu itu turut hilang sepertimana dia kehilangan Ayu Emelda.

“Kau cari apa?”tegur Tenku yang melihat Reykal tercari-cari akan sesuatu.

“Aku cari handphone aku. Hilang. Maybe jatuh masa accident tadi kut.”jawab Reykal.

Serentak itu, Tenku turut mencari-cari telefon bimbitnya. Tetapi ternyata dia senasib dengan Reykal apabila telefon bimbitnya turut hilang.

“Hmm.. Kita senasib. Telefon aku pun dah hilang.”keluh Tenku.

“Alamatnya habis duit gaji kita bulan ni beli telefon baru.”rungut Reykal pula.

Dan masing-masing akhirnya mengeluh. Tetapi tidak lama apabila Tenku kembali bersuara.

“Aku baru teringatkan sesuatu.”cetus Tenku secara tiba-tiba.

“Apa dia yang kau teringat sangat tu?”tanya Reykal.

“Tak ada lar. Tadi kan kita cakap pasal sejarah hospital ni. Aku baru teringat satu fakta penting yang kau mesti tertarik punya.”ujar Tenku sambil tersengih-sengih.

Reykal mengangkat keningnya sebagai bahasa isyarat menyuruh Tenku menyampaikan fakta itu kepadanya.

“Sebenarnya ada yang cerita bahawa belakang hospital ini dulu ada kubur askar Jepun yang mati dalam berperang.”tokok Tenku lagi.

“Habis apa masalahnya kalau ada pun?”celah Reykal.

“Kubur askar Jepun selalunya berhantu sebab roh mereka tak tenteram.”jelas Tenku bersungguh-sungguh.

“Merepek saja lah kau ni, Tenku. Aku tak percaya semua tu.”sanggah Reykal.

“Aku cerita ni bukan suruh kau percaya pun. Sekadar info semata-mata. Lagi pun aku teringat cerita hospital berhantu kau tadi tu.”balas Tenku dengan nada mengendur.

Reykal mengangguk-angguk kecil mendengar kata-kata Tenku.

“Kau nak dengar satu kisah seram tak pasal hantu tentera Jepun ni?”

“Cerita tentang apa?”tanya Reykal.

“Tentang kisah hantu tentera Jepun lar. Ini kisah benar. Aku dengar dari kawan aku dulu.”balas Tenku bersungguh-sungguh.

“Hmm.. Macam menarik jugak. Ceritalah aku nak dengar jugak.”balas Reykal.

Selajur itu, Tenku membuka bicara menceritakan kisah tersebut. Reykal mendengar dengan penuh berminat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.