Home Novel Seram/Misteri Rahsia bukan rahsia
Rahsia bukan rahsia
Maryani Zailani
14/2/2024 00:27:17
18,835
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6
Hilmi menilik foto dalam galeri telefon, dirinya bersama seorang wanita ketika berada dalam usia awal 20-an. Ketika tahun pertama menuntut di sebuah universiti. Rindu? Sebenarnya lebih kepada rasa bersalah. Betapa jahatnya dia dahulu. Berpura-pura menyatakan cinta walhal sebaliknya sedang berlaku. Dia tahu wanita itu bijak dan tersangat berusaha keras dalam pelajaran serta sanggup berkorban apa sahaja demi orang tersayang. 

 Hilmi mengesat air mata yang gugur. Tragis mengenangkan kematian wanita itu. Diletakkan telefon pintar ke atas meja. Dia membuang pandangan sejenak ke arah luar. 

 “Sudah senja.”

Wajahnya disirami cahaya jingga. Hilmi mahu menutup tingkap. Namun, dia terpandangkan sekuntum mawar merah terselit elok pada cermin tingkap. Diperhatikan halaman rumah. Tidak pula mereka suami isteri menanam bunga. Dari mana datangnya? 

“Buang jelah!” Dibaling jauh ke tanah. Sempat dia menghidu baunya. Wangian misteri yang sukar dijelaskan. Tapi, dia seperti pernah menghidunya dahulu. Cuma, di mana?

Semasa dia menutup tingkap, dia terdengar senandung misteri. Tidak jelas patah kata namun nadanya sayu. Terus dia merinding. 

Melihat jarum jam hampir menunjukkan masuknya waktu maghrib, dia bercadang untuk mengambil wuduk siap-siap. Entah macam mana, ekor matanya mengesan pergerakan laju wanita berambut panjang memakai baju putih lusuh. 

Hilmi sudah berpeluh. Kaku. Tidak berani bergerak kecuali bola matanya. 

Bum! Bunyi pintu terhempas memeranjatkannya. Spontan menjerit.

“Kenapa awak ni?” Raudhah menutup pintu. “Angin kuat tadi. Tak sempat saya tahan, pintu dah terhempas. Nak hujan agaknya. Gelap je langit.”

Hilmi mengurut dada. Terkejutnya masih belum habis. 


Hlimi membuka mata. Bingkas bangun. Aneh. Bagaimana dia yang sedang nyenyak tidur di bilik tidur tiba-tiba berada di sebuah bangku kayu taman bunga? 

 Belum sempat menghadam situasi semasa, seseorang menghulurkan sekuntum bunga mawar kepadanya. Hilmi bagai terpukau. Dia menyambutnya. Senyuman seseorang itu memang manis. Ceria. Benar-benar ikhlas air muka menzahirkan bahagia dalam hati. Tiba-tiba hatinya dibaluti kerinduan yang tidak mampu dibendung.

 “Benar awak cintakan saya?” Seseorang itu bertanya. Kemudian mengajaknya menari di tengah taman bunga. 

 “Benar.” Hilmi jujur. 

 “Dusta.” 

 “Saya tak bohong.”

 Mereka berhenti menari. Senyuman perempuan itu mati. Murung. Muram. 

 “Awak memilih dia.”

 Hilmi bagai ditampar realiti. Seseorang mulai berjalan merapati. Manakala Hilmi berundur beberapa tapak.

 “Awak biarkan saya mati!” 

 “Tak!”

 “Awak tahu apa yang berlaku semasa hari kejadian!”

 “Tak!” Hilmi menekup telinga.

 “Awak bersubahat!”

 “Tak!”

 “Awak tak benarkan saya dihantar ke hospital!”

 “Tak!”


Hilmi menjerit sekuat hatinya lantas berjaga dari mimpi. 

“Awak… kenapa ni?” Raudhah menegur sang suami. Raudhah menggosok-gosok kelopak mata. Terkejut mendengar sang suami menjerit-jerit.

“Huh, tak ada apa.” Hilmi tidak bersedia untuk berkongsi. Dia cuba berbaring kembali. 

 Kini, mereka saling membelakangi. Sudah lama mereka tidak saling berhadapan semasa tidur. Hubungan mereka dingin. Mata mereka terkebil-kebil tidak mahu pejam. 

 Raudhah tidak mahu bertanya kepada sang suami bahawa tadi dia mendengar Hilmi menyebut nama Maisarah berulang kali. Cemburu. Walaupun perempuan itu sudah lama meninggal dunia, dia masih bertakhta di hati sang suami. Raudhah tahu itu!

 “Huh!” Raudhah merungut agak kuat. Menarik gebar sehingga tubuh sang suami terdedah.

 Hilmi tidak mempeduli langsung sang isteri. Tahu-tahu air matanya gugur. Terbayang-bayang Maisarah ketawa riang. Malangnya, tawa itu tidak akan terwujud lagi di dunia nyata.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.