Home Cerpen Kisah Hidup Ini semua mimpi!
Ini semua mimpi!
Maryani Zailani
11/11/2022 12:59:56
2,704
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

Seperti biasa, waktu petang begini aku akan menghadap komputer ribaku untuk menaip sesuatu terbuku dalam hatiku. Tanganku ligat menaip. Setelah selesai, aku tersenyum.


☆☆☆☆☆


Oh, hari ini merupakan hari yang amat gembira sekali bagiku. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke air terjun Serendah, Hulu Selangor bersempena dengan perkhemahan yang diadakan oleh sekolahku.


Setelah penat berjalan menuju ke tapak perkhemahan, aku mengelap manik-manik peluh yang mulai menitik. Tangan kananku mencapai botol mineral lalu kuteguk kandungannya.


"Semua pelajar sila berkumpul di sini sekarang!" Laung guru bimbingan kami.


"Setelah siap memasang khemah nanti, kamu semua dibenarkan mandi di kawasan air terjun," kata guruku itu lagi.


Setelah lima minit guru bimbingan kami memberi taklimat, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Selang beberapa saat kemudian, namaku dipanggil. Aku melangkah malas menuju ke tempat kumpulan yang telah cikgu aturkan. Kulihat ahli kumpulan lain sibuk mahu mendirikan khemah.


Satu jelingan tajam dihadiahkan kepadaku. Aku kenal mata siapa yang menjelingku itu. Oh, sunggu aku berasa malang sekali! Mengapa aku mesti satu kumpulan dengannya? Mengapa?


Sofea, satu nama yang tidak asing lagi dalam kalangan pelajar di sekolahku. Sofea yang cantik, yang manis, yang pandai dan macam-macam lagi pujian yang diberikan kepadanya. Naik meluat pula dengannya. Silap hari bulan boleh muntah hijau!


Semua maklum bahawa aku dengan dia memang tidak boleh bertemu. Bagai air dengan minyak pula, bila entah agaknya boleh bersatu hati. Kalau bertemu pun pasti akan bergaduh seperti anjing dan kucing.


Hmmm, aku cuba mengingati peristiwa yang lepas. Peristiwa yang menyebabkan aku dengan dia bermusuhan. Tak silapku, peristiwa itu berlaku setahun yang lalu.


☆☆☆☆☆


IMBAS KEMBALI


SETAHUN YANG LALU


Aku seperti biasa akan berjalan sendirian menuju ke kantin. Memang begitu sikapku. Suka bersendirian. Hanya aku dan duniaku.


Hakimi, seorang jejak yang kukira boleh termasuk dalam kategori lelaki tertampan di sekolah, tiba-tiba menahan pergerakanku. Dia mendepakan tangannya, kulihat tangan kanannya memegang sejambak mawar merah.


Aku memandang kiri kanan. Huh, selamat. Tiada siapa yang melihat situasi ketika ini. Aku memandang Hakimi dengan pandangan pelik bercampur marah. Sakit betul hatiku kerana dia membejatkan langkahku untuk ke kantin. Perutku mulai menyanyikan lagu keroncong tanda diminta untuk diisi. Aku memegang perutku sambil berkata dalam hati, 'Alahai perut...sabar sajalah!'


Oh, aku kaget kerana tampannya dia ketika menyisir rambut menggunakan jari. Aku cepat-cepat beristighfar apabila aku terkenangkan kata-kata ustaz bahawa jika lelaki dan perempuan berdua, pasti akan ada yang ketiga.


"Ini untuk kau," katanya, memecahkan kesunyian.


"Ha?" Terperanjatku dibuatnya. Biar betul dia ni. Hampir sepuluh saat aku terpempan.


"Untuk ibu Nadiya. Tersalah cakap tadi," katanya sambil tersengih-sengih menampakkan gigi putihnya.


"Takkan kau tak tahu aku ni saudara kau? Lupa?" Katanya lagi sambil menjongketkan kening.


"Oh," kataku, ringkas. Aku baru teringat ketika itu tentang hubungan persaudaraan kami, saudara yang sudah lama tidak bertemu.


"Ibu Nadiya kan...sakit. Aku minta maaf kerana tidak sempat melawat,"mawar merah yang dihulur, disambut dengan sopan olehku. Setelah itu, Hakimi menguntum senyuman manis sebelum berlalu pergi. Senyumannya itu, seperti ada makna tersirat disebaliknya.


"Kau bakal menderita...pernah dengar orang selalu berkata...jangan berlawan dengan api?" Kata-katanya penuh dengan ancaman di saat di berjalan bersebelahanku. Aku tergamam.


Kukira setelah kejadian itu, Sofea selalu mencari gaduh denganku. Aku sendiri pun tidak tahu apa salahku. Mungkin dia cemburu melihat adeganku dengan Hakimi. Siapa tahu dia ada hati dengan Hakimi?


Aku tidak membuang masa laluku atur langkah menuju ke kelas. Tidak jadi pergi ke kantin kerana takkan pula aku mahu membawa mawar merah itu bersama, nanti jadi bualan pelajar lain pula.


Apabila aku tiba di dalam kelas, aku melihat Sofea sudah duduk di tepi bucu mejaku sambil berpeluk tubuh. Aku sudah mulai tidak sedap hati dengan perlakuannya itu. Tiada senyuman di wajah, muncungnya panjang. Semacam bangau pula aku lihat. Perbuatannya itu membuatkan langkahku terbantut. Jadi serba salah pula untuk menyimpan mawar merah walaupun di tempatku sendiri. Kami saling berpandangan.


KINI


"Nad? Nad?" Aku kembali semula ke alam nyata apabila ku dengar petikan jari oleh Jane berulang kali. Aku terpinga-pinga.


"Kau okey ke?" Soalnya sambil berdiri.


"Haaa...aku okey," sedaya upaya menyorok perkara yang aku teringatkan sebentar tadi.


Setelah dia menerima jawapanku, dia pun berlalu pergi diikuti dengan kumpulan lain. Tidak lain tidak bukan lagi mereka mahu menuju ke tempat air terjun. Aku segera mengekori lantaran tidak sabar untuk bermain air terjun.


'Lucu pula apabila terkenangkan kembali hal itu. Masakan aku boleh menyukai dan jatuh hati kepada saudaraku. Pelik juga ya si Sofea tu. Dia bukan sesiapa pun kepada Hakimi untuk tiba-tiba berasa cemburu,' bisik hatiku sambil ketawa kecil.


"Nad...jomlah terjun!" Ajak Jane bersungguh-sungguh. Dia sudah jauh ke tengah dasar air.


Aku tersenyum sambil memerhatikan tingkah laku Jane dan yang lain-lain. Aku bertenggek di atas batu besar, tidak berani bergerak ke tengah dasar yang kurasakan mempunyai kedalaman yang tinggi.


"Tak naklah...aku tak pandai berenang sangat!" Kataku.


Rancak sungguh Jane menggelakkanku diikuti beberapa orang yang lain. Pipiku terasa hangat dikertawakan apatah lagi cahaya matahari menyirami mukaku. Makin hangat aku dibuatnya.


☆☆☆☆☆


Sedang aku asyik memerhatikan mereka berenang dengan riang, dapatku rasa ada tangan menolakku dengan kuat sehingga terjatuh ke dalam sungai. Ah, kurasa kepalaku berdarah akibat terkena batu-batu sungai yang tajam. Aku terkapai-kapai, tercungap-cungap mencari udara. Ah, dalam pula sungai ini! Sayup-sayup kedengaran mereka menjerit memanggil namaku. Dalam kesamaran dan penglihatan yang semakin terbatas, aku melihat beberapa orang berupaya menyelamatku.


Ketika nyawa hampir di hujung tanduk, aku terlihat, Sofea memeluk tubuh sambil ketawa terbahak-bahak. Dan...aku...duniaku gelap.


☆☆☆☆☆


KETIKA TERSEDAR


Aku terjaga tatkala mukaku basah dipercik dengan air. Sempat aku menepis-nepis. Cahaya lampu menyilaukan mata.


"Bangun...dah maghrib ni! Solat dulu," kata ibuku sebaik sahaja mataku terbuka. Dia berlalu pergi.


Aku terpisat-pisat. Kubetulkan urat leherku yang terasa tegang. Itulah padahnya melentokkan kepala atas meja.


Aku memandang komputer ribaku.


"Haaa...aku termasuk dalam karyaku?" Teringat mimpi yang mirip dengan cerita yang baruku karang siang tadi. Cumanya, aku muncul sebagai watak utama.


"Mengarutlah!" Cuba menghadam realiti.


"Tapi...sama!" Aku mengakui sehingga bingung seketika.


"Apa yang aku tulis tu...sama macam mimpi aku! Pelik...walaupun hanya mimpi," sempat aku gelak kecil mengejek diri sendiri.


Aku meraup muka. Aku berharap karyaku itu tidak akan menjadi kenyataan di dunia realiti. Biarlah ia kekal sekadar karya.


Hmmm, Sofea...dalam dunia sebenar aku tidak kenal sesiapa bernama Sofea. Itu hanya watak rekaan dalam karyaku. Karya itu hanyalah berdasarkan kreativitiku. Buat apa aku runsing memikirkannya. Tanpa memikirkannya lagi, aku mematikan suiz komputer riba. Aku berlalu pergi untuk menunaikan solat maghrib yang masih belumku lunaskan. Agaknya, itulah padahnya tidur pada waktu petang lebih tepat lagi pada waktu maghrib.


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.