Home Novel Seram/Misteri Menari pada tengah malam
Menari pada tengah malam
Maryani Zailani
13/11/2022 18:57:01
4,731
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

Marieanne pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Dia baru sahaja selesai menghadiri kuliah pada sesi pagi. Teriknya mentari menitikkan peluh di dahi. Hausnya bukan main menyebabkan dia ingin cepat pulang. Sudah teringat-teringat akan minuman sejuk di dalam peti ais.

Jarum jam tangan ditenung. Sudah menunjukkan hampir jam 12:00 tengahari. Patutlah matahari tegak di atas kepala. 

Tidak semena-mena, telefon pintar dalam poket seluar berbunyi sambil bergetar-getar. 

“Mesej whatsapp lah tu,” komennya, sambil mengeluarkan telefon pintar.

Ternyata benar tekaannya. Group whatsapp rumah meriah dengan beberapa mesej daripada rakan-rakan serumahnya. Marieanne tidak berapa peduli akan perbualan mereka namun, kelopak matanya terbeliak besar saat mereka membicarakan mengenai jamuan kelas mereka malam nanti.

“Alamak! Aku lupa pula ada acara tukar hadiah. Aku tak beli apa-apa lagi ni,” luah Marieanne, menggelabah di tengah jalan.

Ramai pula manusia yang sedang menuju ke kedai makan waktu tengahari memerhatikan tingkah lakunya yang tidak keruan.

“Masalahnya… aku sendiri tak tahu nak beli apa!”

Mata Marieanne melilau melihat jika ada kedai yang menarik untuk membeli-belah hadiah malam nanti.

“Semuanya macam kedai makan je?”

Hampa perasannya. Dia terus melangkah sambil tidak lepas memerhati deretan kedai. Hampir dia putus harapan, tiba-tiba sahaja harapannya menyala kembali. Sebuah kedai menjual barangan antik menarik perhatiannya. 

Berlari-lari anak Marieanne ke arah kedai antik itu. Dari pandangan mata kasar, kelihatan misteri sahaja kedai itu. Cat hitam pada dinding luar sudah pudar. Dalamnya pula, Marieanne melihat lampu vintage mengeluarkan cahaya kejinggaan.

Aura menyeramkan tiba-tiba sahaja menguasai diri saat dia menolak pintu utama. Angin sepoi-sepoi bahasa menerpa tubuh menerbangkan sedikit rambutnya. Aneh, dinginnya boleh dirasai sampai ke tulang putih. Hampir sahaja giginya berlaga atas bawah. 

Dia tidak peduli semua itu saat terpandangkan barangan antik bersusun di dalam kedai. Semuanya terletak elok di rak kayu yang bercantum pada dinding. Kebanyakan barangan antik di situ merupakan bahan tembikar seperti pasu yang mempunyai pengaruh dari tanah besar China.

Jam dinding Perancis lama berdetak kuat menunjukkan betapa sunyinya keadaan di situ. 

Jari-jemari Marieanne menyentuh arca yang mempunyai unsur mitos zaman Greek sebelum tertarik untuk melihat refleksi diri di depan kaca cermin. 

Rambutnya paras bahu dibelai-belai. Sempat lagi mekap pada wajah diperhatikan. Marieanne terasa dirinya cantik berbanding hari-hari biasa. Seri wajahnya seakan menyerlah menyebabkan dia ingin lama-lama memerhatikan wajahnya. 

Entah macam mana, dia terbayang seseorang lelaki dengan masquarde mask datang dari arah belakang lalu terus memeluknya dengan mesra. Dia merelakan dan terasa nyaman dengan kehangatan itu. Matanya terpejam. 

“Hehemm!” 

Deheman seseorang membuatkan dia mendadak membuka mata. Marieanne terpinga-pinga. Apa yang dibayangkan tadi terasa wujud di alam nyata.

“Apa yang boleh saya bantu cik?” Tegur seorang lelaki yang muncul entah dari mana. Dia berdiri di kawasan kaunter kedai sambil tersenyum.

Marieanne agak, itu merupakan pemilik toko antik itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.